Terowong Masa
Perjalanan era sastera Melayu di Sabah bermula selepas media cetak berkembang di negeri ini seawal tahun 1948, dengan terbitnya akhbar North Borneo News (NBN), iaitu sebuah akhbar berbahasa Inggeris. NBN ialah akhbar terawal diterbitkan selepas Perang Dunia Kedua, dan merupakan akhbar lanjutan daripada The Herald terbitan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Arkib Negeri Sabah, 1995). Akhbar ini dikatakan oleh Ismail Abas (1986) dan Rusdi Awang (2006) di dalam kajian masing-masing sebagai pencetus kelahiran golongan penulis, yang kemudiannya membawa kepada berkembangnya sastera di Sabah.
Peluang penulisan dalam bahasa Melayu terbuka luas apabila akhbar North Borneo News & Sabah Times, iaitu gabungan dua akhbar berbahasa Inggeris, diterbitkan pada tahun 1954. Akhbar ini menjadi akhbar berbahasa Inggeris pertama yang menyediakan ruangan bahasa Melayu melalui kolum “Our Romanised Malay Corner” dan “The Malay Fortnightly Supplement” (Ismail, 1986). Menurut K. Bali (2002), ruangan bahasa Melayu dalam kedua-dua kolum ini menjadi wadah pengembangan bahasa Melayu, khususnya melalui siaran karya-karya sastera seperti puisi dan cerpen.
Dalam tempoh beberapa dekad kemudiannya, muncul akhbar-akhbar yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Melayu. Antaranya ialah Fajar Sabah, Utusan Bumiputera, Utusan Rakyat, Harian Mercu dan Watan Sabah. Fajar Sabah ialah akhbar berbahasa Melayu pertama diterbitkan di Sabah oleh M.A Rahman, dan editornya ketika itu ialah Ismail Abas. Akhbar bersaiz tabloid ini yang hanya mempunyai enam halaman, diterbitkan dengan tujuan untuk menyemarakkan sastera, selain menyiarkan berita berkaitan politik tempatan dan hal-hal bahasa (Ismail, 2005).
Akhbar bukannya bentuk media cetak mutlak yang menjadi wadah menyebarkan serta menyemarakkan sastera di negeri Sabah. Menurut Shuhaibun Yussuf (1970), majalah The Kent telah diasaskan penerbitannya oleh sekumpulan guru pelatih dari Maktab Perguruan Kent pada tahun 1953. Selain ruangan bahasa Melayu, majalah stensilan ini juga mempunyai ruangan untuk bahasa Inggeris dan bahasa Cina. The Kent ialah majalah pertama yang menyiarkan karya sastera seperti puisi, cerpen dan esei kritikan, di samping menyiarkan juga pelbagai rencana dan berita.
Rentetan daripada penerbitan The Kent, muncullah majalah-majalah lain seumpamanya yang juga bertujuan menyemarakkan sastera, dan seterusnya mengasah bakat penulisan karya kreatif dalam kalangan penulis di Sabah. Antaranya ialah majalah Shabash yang diusahakan oleh tokoh-tokoh penting sastera tempatan seperti Zaiton Ajamain dan Sairah Antin, ketika mereka menuntut di Maktab Sabah. Majalah Suara AGABA yang diterbitkan oleh Penulis Angkatan Gaya Baru (AGABA), juga mempunyai ruangan sastera untuk puisi dan cerpen, selain menyiarkan berita persatuan.
Apabila Badan Bahasa Sabah (BAHASA) ditubuhkan pada tahun 1970, persatuan penulis ini menerbitkan majalah BAHASA. Majalah ini sarat dengan maklumat kesusasteraan dan bahasa. Naskhah pertama BAHASA diterbitkan bersempena dengan penganjuran Seminar Bahasa dan Sastera anjuran BAHASA. Beberapa tahun kemudiannya, muncul majalah Semusim terbitan Kumpulan Anak-anak Seni yang dipelopori oleh Marzuki Ali, Emin Madi, M.Y. Anas dan Zaiton Ajamain. Majalah ini memuatkan karya-karya sastera, budaya dan kesenian yang ditulis oleh penulis Sabah. Malangnya, majalah ini hanya mampu bertahan setakat dua kali terbitan (Oktober dan November), dan terhenti pada Disember 1976.
Dewan Bahasa dan Pustaka di Bawah Bayu
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia ditubuhkan pada tahun 1956, di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Apabila DBP dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun pada tahun 1959, melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka, agensi ini diberikan peranan autonomi untuk menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif.
Peranan ini kemudiannya dicerakinkan dan digarap menjadi enam matlamat penting penubuhan DBP, iaitu:
- Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;
- Memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan;
- Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain;
- Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;
- Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul;
- Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Idea mewujudkan DBP di Sabah bermula pada tahun 1970-an. Selaras dengan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan di seluruh negara, kewujudan DBP di Malaysia Timur dianggap sangat penting. Menyedari akan keperluan untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Sabah dan Sarawak, beberapa pihak seperti DBP, Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Negeri mula mengatur perbincangan awal berkaitan usaha melebarkan sayap DBP ke Sabah dan Sarawak.
BAHASA sebagai satu-satunya persatuan penulis yang konsisten dalam perjuangannya memperkasakan bahasa Melayu di Sabah, turut mendesak agar DBP membuka cawangannya di Sabah. Hal ini tentunya sangat selari dengan matlamat penubuhannya untuk menyatupadukan semua kaum di Sabah menerusi bahasa rasmi yang tunggal, iaitu bahasa Melayu. Gesaan penubuhan DBP di Sabah turut menjadi agenda penting perjuangan BAHASA apabila hasrat tersebut ditegaskan dalam salah satu resolusi Seminar Bahasa Malaysia, yang diadakan pada 4 hingga 6 Ogos 1970.
Menurut Jamdin Buyong (1997), faktor lain yang turut menyumbang kepada penubuhan DBP di Sabah, termasuklah usaha-usaha mendaulatkan bahasa Melayu sejak tahun 1890-an oleh beberapa pertubuhan di Sabah. Antara pertubuhan yang aktif memperjuangkan bahasa Melayu ketika itu ialah The Muhammadan Association, Persatuan Melayu Tawau, Persatuan Islam Putatan, Angkatan Gaya Baru (AGABA) dan Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS). Akhirnya, tarikh keramat 1 Januari 1977, mencatatkan detik sejarah bermulanya era baharu pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu khususnya sastera kebangsaan di Sabah, melalui penubuhan rasmi DBP Cawangan Sabah yang berpusat di Kota Kinabalu.
DBP dan Penerbitan Majalah
Salah satu matlamat penubuhan DBP yang menjadi fokus perbincangan dalam makalah ini ialah matlamat kedua, iaitu “Memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan”, dan juga peranan penerbitan seperti yang dinyatakan dalam matlamat ketiga.
Fungsi penerbitan di DBP Cawangan Sabah pada awal penubuhannya, dilaksanakan melalui Unit Penerbitan yang diketuai oleh Abdullah Hussain sebagai Ketua Pengarang. Pewujudan unit ini selari dengan hasrat DBP untuk mempergiat penerbitan karya kreatif penulis tempatan dalam bahasa Melayu, selain memperkembang bakat-bakat sastera merentasi pelbagai lapisan masyarakat. Bagi memenuhi keperluan ini, urusan penerbitan di unit berkenaan turut mendapat bantuan dan sokongan daripada Bahagian Majalah di DBP Kuala Lumpur.
Majalah merupakan bentuk penerbitan pertama yang diusahakan oleh DBP Cawangan Sabah. Dewan Perintis Edisi Sabah ialah majalah sulung yang diterbitkan pada Julai 1978. Majalah yang sama bagi edisi Sarawak, diusahakan dan diterbitkan oleh DBP Cawangan Sarawak. Majalah ini disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Sesuai dengan sasarannya, Dewan Perintis Edisi Sabah menyajikan bahan-bahan berbentuk pengetahuan am, cerita-cerita rakyat dan sastera. Penerbitan majalah ini telah membuka ruang yang luas kepada para pelajar di negeri Sabah, mengasah bakat penulisan masing-masing khususnya yang berkait dengan karya sastera, iaitu sajak.
Pada tahun 1984, kedua-dua edisi Sabah dan Sarawak digabungkan dengan tujuan untuk memperluas penyebaran maklumat dan pengetahuan dalam kalangan pelajar antara kedua-dua negeri. Tentunya penggabungan ini meninggalkan dampak positif terhadap perkembangan sastera seawal peringkat sekolah di Malaysia Timur. Namun, dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1985, majalah gabungan ini dihentikan penerbitannya. Mulai tahun 1986, semua bahan dari Sabah dan Sarawak diterbitkan dalam majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa yang diuruskan terus oleh DBP Kuala Lumpur.
Apabila Dewan Perintis sudah tidak diuruskan oleh DBP Cawangan Sabah, maka diterbitkan pula majalah Wadah pada tahun 1986. Majalah ini diilhamkan oleh Haji Hamdan Yahya, Pengarah ketika itu, setelah mengambil kira keperluan untuk menyiarkan karya-karya penulis di negeri Sabah yang tidak dapat ditampung oleh majalah sedia ada terbitan DBP. Pada awalnya, Wadah hanyalah buletin yang mempunyai 16 halaman. Tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 1989, Wadah dinaikkan taraf menjadi sebuah majalah yang mempunyai 32 halaman. Bagi menampung karya-karya yang semakin bertambah, jumlah halaman ditambah lagi kepada 52 halaman bagi terbitan mulai tahun 2000.
Pada tahun 2000, DBP meminta pejabat cawangan dan wilayahnya menerbitkan sebuah tabloid yang dinamakan Jendela. Jendela Sabah diterbitkan oleh DBP Cawangan Sabah, Jendela Sarawak oleh DBP Cawangan Sarawak, Jendela Selatan oleh DBP Wilayah Selatan, Jendela Timur oleh DBP Wilayah Timur, dan Jendela Utara oleh DBP Wilayah Utara. Tabloid ini menjadi pelantar sebaran maklumat berkaitan bahasa dan sastera, seperti rencana bahasa dan sastera, pedoman bahasa, karya kreatif (cerpen dan puisi), berita dan laporan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di peringkat negeri.
Penerbitan Jendela Sabah ini memberikan nilai tambah kepada Wadah. Walaupun kedua-duanya mempunyai banyak persamaan dari segi konsep dan kandungan, namun setiap satunya mempunyai objektif tersendiri. Menurut Rusdi Awang (2006), Wadah dan Jendela Sabah mempunyai peranan masing-masing, khususnya dari segi bahan terbitan yang dicakupi. Wadah fokus menyiarkan karya-karya penulis tempatan, sedangkan Jendela Sabah lebih bersifat serantau. Selain menyiarkan karya-karya penulis tempatan, Jendela Sabah turut menyiarkan karya-karya penulis dari Negara Brunei Darussalam, Selatan Filipina dan Sulawesi.
Wadah Membina dan Mengembangkan Sastera di Sabah
Unit Penerbitan DBP Cawangan Sabah diwujudkan pada tahun 1978, bagi melaksanakan fungsi penerbitan seperti yang dinyatakan dalam matlamat penubuhan DBP. Tanggungjawab yang diamanahkan ini sangat penting agar kedudukan DBP sebagai badan penerbit bahan bacaan berbahasa Melayu di Sabah, sama relevannya dengan peranan penerbitan yang dilaksanakan oleh DBP di Kuala Lumpur. Pada awalnya, bentuk terbitan yang diusahakan ialah majalah. Hanya selepas tahun 1986, penerbitan buku mula digiatkan di Sabah.
Dalam tempoh beberapa dekad hingga kini, majalah masih antara wadah penerbitan yang digemari oleh penulis-penulis tempatan. Daripada ketiga-tiga majalah yang diterbitkan, iaitu Dewan Perintis Edisi Sabah, Wadah dan Jendela Sabah, hanya Wadah yang masih bertahan hingga kini. Majalah ini diterbitkan sebanyak tiga atau empat kali setahun, dan diedarkan secara percuma kepada pembaca. Namun, kekerapan terbitan ini tidak tekal. Antara tahun 1996 hingga 1998, dan tahun 2000, hanya satu edisi diterbitkan setahun. Tiada justifikasi yang jelas tentang ini. Penulis beranggapan, pengurangan jumlah terbitan tahunan berkait dengan peruntukan semasa di DBP Cawangan Sabah pada ketika itu.
Bermula dengan wajah buletin 16 halaman yang diterbitkan pada Oktober 1986, Wadah mengalami transformasi demi transformasi seiring dengan keperluan untuk menampung bilangan karya yang diterbitkan. Penerbitan Wadah memenuhi keperluan sebaran maklumat ilmu kebahasaan dan kesusasteraan yang lahir daripada pemikir-pemikir, serta penulis-penulis tempatan. Bahan kesusasteraan yang diterbitkan dalam setiap keluaran termasuklah cerpen, puisi, esei dan kritikan, tokoh tempatan, dan berita. Jadual 1 seperti di bawah, memaparkan maklumat bilangan karya sastera yang diterbitkan mengikut tahun terbitan Wadah. Untuk tujuan makalah ini, penulis hanya mengambil sampel daripada tiga keluaran Wadah berdasarkan bilangan halaman setiap keluaran, iaitu tahun 1990, 2004 dan 2016. Penulis tidak menemui sampel Wadah yang pertama diterbitkan pada Oktober 1986.
Wadah versi bercetak yang terakhir dikeluarkan pada Mac 2019. Mulai keluaran bulan Jun pada tahun yang sama, Wadah versi digital diperkenalkan. Selari dengan perkembangan era siber Revolusi 4.0, DBP mula mempergiat penerbitan digital secara berfasa bagi memastikan sebaran maklumat kebahasaan dan kesusasteraan dapat menjangkau khalayaknya dengan lebih meluas. Dalam hal ini, Wadah mengalami perubahan yang sangat drastik, dan ini menjadi cabaran yang besar buat editor yang menanganinya. Bermula dengan versi PDF bagi keluaran Jun 2019, Wadah dinaikkan taraf kepada versi e-buku selak (flip e-book) bagi keluaran tahun 2020.
Penerbitan Wadah digital ini telah menyumbang kepada perkembangan dan peluasan sastera di negeri Sabah. Lebih banyak maklumat sastera dapat disebarkan kepada masyarakat. Wadah yang sebelumnya hanya dinikmati oleh khalayak tempatan, kini juga telah menjangkau khalayak di luar Sabah, dan mungkin juga khalayak di luar Malaysia. Dengan pertambahan bilangan halamannya, dari 60 halaman hingga 80 halaman, lebih banyak bahan dan karya sastera dapat disiarkan. Ini juga telah membuka peluang yang luas kepada penulis-penulis di negeri Sabah untuk terus berkarya dan disiarkan di dalam Wadah.
Apabila DBP memperkenalkan portal majalah maya pertamanya yang dinamakan Jendela DBP pada tahun 2020, semua penerbitan majalah atau buletin, sama ada berbentuk cetakan atau digital, yang diusahakan di pejabat cawangan dan wilayah telah dihentikan. Portal baharu ini memuatkan pautan tujuh majalah sedia ada dalam bentuk elektronik, iaitu Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik dan Dewan Tamadun Islam; pautan media pelbagai program (TV dan radio); pautan pemasaran produk DBP; dan pautan Peka Bahasa. Maklumat berpusat ini memberikan banyak kelebihan kepada Jendela DBP hinggakan portal ini menjadi antara portal maklumat persuratan yang amat digemari pelayar maya.
Pemberhentian penerbitan majalah di peringkat pejabat cawangan dan wilayah, menjadikan Jendela DBP sebagai satu-satunya wadah dan pusat sehenti bagi para penulis di seluruh negara, menghantar karya masing-masing untuk diterbitkan. Hal ini memberikan kesan positif kepada perkembangan sastera Malaysia. Namun tidak kurang juga kesan negatifnya kepada perkembangan sastera di Sabah. Ternyata Jendela DBP masih tidak cukup untuk menampung lambakan karya penulis tempatan. Ada penulis dari Sabah yang mengeluh apabila karya mereka tidak mampu menembusi e-majalah DBP yang ada dalam portal berkenaan. Sebahagian besar penulis yang mengeluh ini terdiri dalam kalangan penulis baharu atau penulis muda yang tidak berada dalam aliran perdana. Penulis-penulis yang karyanya sebelum ini sering muncul dalam Wadah, kini sudah tidak dapat menikmati hasil tulisannya dalam Jendela DBP. Hal ini sedikit sebanyak telah membantutkan perkembangan bakat penulisan yang baru tumbuh khususnya dalam kalangan penulis muda di Sabah.
Menyedari akan peri pentingnya diwujudkan semula wadah penerbitan tambahan bagi menampung karya-karya sastera yang tercicir dari penerbitan aliran perdana, dua pejabat cawangan DBP dan empat lagi pejabat wilayah DBP sepakat merangka konsep sebuah portal majalah maya yang dinamakan Wadah DBP sejak tahun 2021. Matlamat utama Wadah DBP adalah seperti yang berikut:
- Menyediakan wadah yang luas capaiannya kepada penulis baharu untuk berkarya dan mengasah bakat;
- Menggalakkan dan meningkatkan bilangan penulis bagi memperkembang bakat penulisan dalam bahasa kebangsaan;
- Menggalakkan penulisan dalam pelbagai bidang ilmu termasuklah sains dan teknologi bagi membina kepustakaan dalam bahasa kebangsaan;
- Memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penerbitan karya kreatif, bukan kreatif dan separa ilmiah dalam pelbagai bidang secara digital dan percuma.
Wadah DBP akan menjadi medium pembangunan bakat penulisan kreatif, bukan kreatif dan ilmiah, selain mengembang dan memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penerbitan digital.
Wadah DBP secara rasminya telah dilancarkan pada 22 Jun 2023, oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-67, DBP. Keberadaan portal ini sekali gus mengembalikan peranan DBP Cawangan dan DBP Wilayah sebagai badan persuratan penting yang akan memacu perkembangan dan pembangunan sastera di peringkat negeri. Wadah DBP boleh dilayari melalui pautan www.wadahdbp.my. Portal ini mencakupi lima ruangan yang berikut:
- Titisan Pena – artikel berkaitan bahasa, sastera, sejarah dan budaya, dan tokoh.
- Lentera Kreatif – karya kreatif bagi genre cerpen dan puisi.
- Tinta Jawi – karya kreatif bagi genre puisi (moden dan tradisional) dalam tulisan Jawi.
- Cuit Minda – permainan minda seperti uji kata, teka silang kata dan sebagainya.
- Lensa – galeri gambar dan video berkaitan dengan aktiviti semasa yang dilaksanakan di setiap negeri.
Melestarikan Sastera di Bawah Payung Sabah Maju Jaya
Menurut Jasni Matlani (2020), sastera Melayu di Sabah sudah jauh berkembang. Negeri ini sudah memiliki ramai penulis berbakat besar yang tidak hanya mengaitkan kearifan tempatan dalam karya yang dihasilkan, tetapi mereka juga mampu menggarap isu-isu penting bersifat global. Karya-karya penulis Sabah sudah semakin banyak yang menerima pengiktirafan di pelbagai peringkat, dalam dan luar negara. Negeri ini juga turut melahirkan tokoh-tokoh sastera yang bukan sekadar jaguh kampung, malah tokoh-tokoh ini bertaraf kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Buktinya, tiga orang tokoh sastera dari Sabah adalah antara tokoh sastera di negara ini yang telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau South East Asia Writers Award (SEA Write Award), iaitu Allahyarham Datuk Ismail Abas (Amil Jaya) pada tahun 1992, Azmah Nordin pada tahun 2009, dan Datuk Jasni Matlani pada tahun 2015. SEA Write Award ialah anugerah sastera berprestij peringkat Asia Tenggara yang diberikan oleh kerajaan Thailand sejak tahun 1979.
Pada peringkat negeri pula, Hadiah Sastera Sabah (HSS) yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah sejak tahun 1990 ialah satu bentuk pengiktirafan khusus kepada karya-karya sastera oleh penulis tempatan. Menurut Hamzah Hamdani (2018), negeri Sabah adalah antara negeri terawal yang memberikan pengiktirafan seumpama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). HSS ialah lambang komitmen Kerajaan Negeri Sabah dan pelbagai pihak lagi dalam meneruskan tradisi menghargai peranan dan sumbangan golongan sasterawan di negeri ini terhadap pembangunan minda masyarakat. Menurut beliau lagi, HSS menjadi pendorong masyarakat untuk aktif berkecimpung dalam bidang penulisan kreatif. Hal ini membawa kepada semakin rancaknya perkembangan sastera di Sabah, dan semakin banyaklah karya penulis Sabah dibicarakan dalam pelbagai wacana kesusasteraan peringkat kebangsaan anjuran pelbagai pihak.
Selama 45 tahun (1978 – 2023) ini, DBP Cawangan Sabah telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi dan tanpa gagal, dalam memastikan sastera di Sabah terus berkembang dan lestari hingga saat ini, khususnya melalui penerbitan majalah. Bermula dengan majalah Dewan Perintis Edisi Sabah, Wadah, Wadah versi digital dan Jendela, hinggalah kepada pembangunan sebuah portal majalah maya Wadah DBP, DBP Cawangan Sabah ternyata konsisten dalam membantu menzahirkan bakat-bakat baharu dalam kalangan penulis muda, menerbitkan karya-karya sastera bermutu, dan membina kelompok sasterawan mapan serta prolifik di negeri ini. Majalah-majalah ini tidak hanya berperanan melaras kembali persepsi, rasa hormat dan apresiasi masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga menjadi pelantar himpunan maklumat bahasa dan sastera yang dapat membangunkan minda dan cendekia masyarakat moden alaf ini.
Wadah DBP, sebagai sebuah pelantar digital penerbitan terkini DBP, akan menyambung peranan memperkasakan dan melestarikan sastera di Sabah. Pertukaran musim dan peralihan zaman dalam dunia penerbitan kini, merupakan cabaran yang besar buat DBP dan juga para penulis. Teknologi data raya, dunia tanpa sempadan, aplikasi pintar atau kecerdasan buatan merupakan hal-hal yang kompleks dalam era siber Revolusi 4.0. Bukanlah bermakna penerbitan lazim (bercetak) perlu diketepikan, apabila penerbitan baharu (digital) digiatkan. Sebaliknya, kedua-dua bentuk penerbitan ini perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Kekayaan maklumat digital yang pelbagai, perlu diraikan, dan ini seharusnya mendorong para penulis untuk menghasilkan karya pada tahap optimum. Unsur-unsur sastera lebih mudah dicerap dan dicerakinkan, selain lebih meluas kelompok khalayaknya.
Penerbitan Wadah DBP diharap dapat memenuhi kelompangan yang tidak dapat ditangani sepenuhnya melalui penerbitan bercetak sedia ada, khususnya usaha mempergiat bakat-bakat penulisan baharu di negeri Sabah. Penulis menaruh harapan tinggi dan yakin bahawa Wadah DBP bakal menjadi agen pemacu tekal pelestarian sastera kebangsaan di Sabah dalam tempoh tiga ke lima tahun akan datang. Disokong oleh komitmen Kerajaan Negeri Sabah dan pihak-pihak berkepentingan yang lain di negeri ini, tentunya hasrat ini mampu direalisasikan.
BIBLIOGRAFI
Arkib Negeri Sabah, 1995. Panduan kepada Surat Khabar di Arkib Negeri Sabah. Sabah: Arkib Negeri Sabah.
Hamzah Hamdani, 2018. “Hadiah Sastera Sabah: Penanda Aras kepada Perkembangan Sastera Sabah Mutakhir”, dalam Wadah, Jilid 32, Bilangan 2, hlm. 5 – 8, November 2018.
Ismail Abas, 2005. “50 Tahun Perkembangan dan Pengembangan Sastera”, dalam Wadah, Jilid 20, Bilangan 1, hlm. 3 – 9, Mac 2005.
Ismail Abas dan Mahmud Jahar, 1986. “Perkembangan Sastera di Sabah: Apresiasi Masyarakat, Masalah dan Cara-cara Mengatasinya”. Kertas kerja dalam Perkampungan Sasterawan: Profesionalisme dalam Penulisan, Sandakan, Sabah, 7 – 9 Disember 1986.
Bali, 2002. Dari Tendong ke Borneo: Memoir Karyawan Tamu DBPCS. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jamdin Buyong, 1997. “Bahasa Melayu Membentuk Nasionalisme Perkembangan Membantu Membina Peradaban Masyarakat Sabah”. Kertas kerja dalam Seminar Pengurusan Bahasa Melayu di Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 25 Oktober 1997.
Jasni Matlani, 2020. “Wadah Manifestasi Sastera Sabah Selama 34 Tahun”, dalam Wadah, Jilid 34, Bilangan 1, hlm. 5 – 12, Mac 2020
Rusdi Awang, 2006. “Amalan Penerbitan Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah”. Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Shuhaibun Yussuf, 1970. “Sastera”. Kertas kerja dalam Seminar Bahasa Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 4 – 6 Ogos 1970.
Wadah, 1990. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Wadah, 2004. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Wadah, 2016. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Wadah, 2020. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.