Dari utara hingga ke selatan Semenanjung Malaysia membawa ke Sabah dan Sarawak, pelbagai loghat ataupun dialek dapat kita telusuri. Selain kaya dengan pelbagai jenis makanan, tempat-tempat menarik dan budaya, Malaysia juga turut dikenali dengan keunikan ragam bahasanya melalui kepelbagaian loghat dan dialek yang ada. Setiap negeri di Malaysia memiliki loghat dan dialek masing-masing yang sangat menarik untuk dikaji. Loghat Kedah antara loghat yang unik kerana penuturnya dianggap sebagai orang yang bersifat kasar sedangkan bukanlah sebegitu sifatnya. Bahkan, antara satu kawasan dengan kawasan yang lain di negeri ini juga mempunyai loghat yang berbeza antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana loghat menunjukkan identiti bagi penduduknya di sesuatu tempat atau kawasan. Loghat Kedah unik, mesra dan sentiasa memikat pelancong dan pengunjung yang mengunjungi negeri tersebut.
Kedah yang juga dikenali dengan negeri Jelapang Padi merupakan sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia berjiran dengan negeri Perlis dan Pulau Pinang selain bersempadanan dengan negara Thailand. Seperti mana negeri-negeri lain, Kedah juga mempunyai dialeknya yang tersendiri. Menurut Asmah Omar dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, dialek Melayu di Malaysia secara umumnya dibahagikan kepada 12 kawasan dialek, masing-masing dengan subdialeknya. Sembilan kawasan daripada 12 dialek kawasan tersebut berada di Semenanjung Malaysia manakala selebihnya di Sabah dan Sarawak. Abdul Hamid Mahmood dalam kajian Najwa Abdull Manan dan Monaliza Sarbini-Zin yang bertajuk “Unsur Kesalingfahaman dan Ketidaksalingfahaman dalam Dialek Kedah dan Dialek Melayu Sarawak” menyatakan perbezaan dialek ini didorong oleh beberapa faktor, antaranya faktor geografi, politik, penjajahan, perdagangan, dan masa.
Dialek atau loghat Kedah merupakan sebuah dialek yang dituturkan oleh masyarakat yang tinggal di negeri Kedah. Namun begitu, menurut Asmah Haji Omar di dalam bukunya, Languange and Society in Malaysia, terdapat lima daerah atau rantau-rantau kecil yang menutur dialek Kedah walaupun kawasan tersebut terletak di negeri lain. Antaranya termasuklah:
i) Kawasan dari utara negeri Perlis sehingga ke Bandar Baharu, Kuala Nerang, Sik dan Baling.
ii) Pulau Langkawi
iii)Pulau Pinang
iv) Bandar Baharu di Kuala Kangsar
v) Kawasan sempadan di utara Padang Besar, kawasan tenggara di daerah Padang dan Sik.
Dialek Kedah bukan sahaja mempunyai persamaan pola dengan dialek negeri jiran seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak, malahan mempunyai pola yang sama dengan kawasan di selatan Thailand. Menurut Ibn Jawi dalam tulisannya yang berjudul “Perbezaan Loghat Mengikut Kawasan”, dialek Kedah secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga jenis subdialek atau variasi, iaitu dialek Kedah Timur (hulu), dialek Kedah Selatan (hilir) dan dialek Kedah Utara (hilir). Beliau menyatakan dialek Kedah Timur atau dikenali sebagai dialek Reman, dialek ini dituturkan oleh masyarakat Reman, iaitu sebuah kerajaan di selatan negara Thailand. Kawasan yang menggunakan dialek ini merangkumi kawasan Padang Terap, Kuala Nerang, Sik, Baling dan sebahagian kecil kawasan Pokok Sena dan Kubang Pasu. Dialek Kedah Selatan pula merangkumi kawasan Sungai Petani, Kulim-Bandar-Bharu, Padang Serai, Merbok dan sebahagian kawasan Jerai. Manakala, dialek Kedah Utara pula dituturkan oleh masyarakat di kawasan Alor setar, Kubang Pasu-Jitra, Jerlun, Ayer Hitam, Kuala Kedah, Pendang dan sebahagian Pokok Sena. Dialek Kedah dan Selatan ini mempunyai persamaan dan hanya berbeza pada nada dan intonasi selain lenggok sebutan sesuatu perkataan.
Umum beranggapan bahawa dialek atau loghat Kedah ini sebagai kasar mungkin disebabkan kebanyakan penduduk di negeri Kedah bertutur dengan nada yang kuat. Jika diikutkan dialek atau loghat Kedah ini sebenarnya lembut, mesra dan ada elemen lucu dan jenaka. Buktinya, kebanyakan drama atau filem Malaysia yang menggunakan dialek atau loghat Kedah tergolong dalam kategori komedi yang bersifat santai dan menghiburkan para penonton. Manakala, kebanyakan filem serius dan agak berat di Malaysia pula lebih gemar menggunakan dialek Kelantan. P. Ramlee juga menggunakan loghat Kedah dalam filem komedinya yang berjudul Masam-Masam Manis melalui watak wanita utamanya, Norkiah yang berasal dari Alor Setar selain watak ibu dan adik Norkiah. Antara dialog yang paling melekat dalam ingatan penonton dalam filem tersebut sehingga ke hari ini ialah “Kalau hang pi Alor Staq, kepala hang aku putaq …”. Filem Cun arahan Osman Ali yang ditayangkan pada tahun 2011 juga mengangkat dialek Kedah melalui watak utama lelakinya yang dilakonkan oleh pelakon Remy Ishak. Cun merupakan sebuah filem bergenre cinta, keluarga, dan komedi bukan sahaja menggunakan dialek Kedah tetapi kebanyakan penggambaran filem tersebut juga dibuat di sebuah kampung di negeri Kedah. Walaupun ada komen penonton yang beranggapan penggunaan perkataan dialek Kedah seperti bangang, bodoh, beruk, celaka, mampuih dan betina kedengaran kasar dan tidak sesuai namun sememangnya begitulah gaya percakapan orang Kedah.
Bukan sahaja filem, terdapat juga drama bersiri dan telefilem yang menggunakan dialek Kedah. Dialek Kedah telah diangkat dalam telefilem dan drama bersiri, Mak Cun atau dalam loghat Kedahnya, Mok Cun. Drama bersiri Mak Cun mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada para penonton. Mak Cun musim ketiga contohnya telah meraih 11 juta tontonan sepanjang 12 episod bersiaran. Drama Mak Cun sememangnya memiliki pengikutnya yang tersendiri. Jika tidak, mana mungkin drama Mak Cun berjaya ditayangkan sebanyak lima musim selain penghasilan empat telefilem yang berkisarkan kisah Mak Cun sejak tahun 2015. Bukan itu sahaja, drama ini juga telah diangkat sebagai pemenang anugerah Drama Komedi Terbaik dalam Anugerah Skrin pada tahun 2018. Walaupun berjaya menarik perhatian penonton, Erma Fatima dan para pelakon dikecam kerana dilihat gagal menyampaikan dialek atau loghat Kedah dengan tepat ketika melakonkan watak dalam drama tersebut. Sememangnya, rakyat Kedah dikenali sebagai antara golongan yang begitu fanatik dengan loghatnya.
Tidak cukup dengan filem atau pun drama yang mengangkat dialek Kedah, terdapat juga lagu popular yang menggunakan dialek tersebut. Lagu Hang Pi Mana yang dinyanyikan oleh kumpulan Khalifah mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Lagu bergenre rock yang menyelitkan nasihat untuk masyarakat itu menggunakan dialek Kedah walaupun tiada anggota kumpulan tersebut yang berasal dari negeri tersebut. Menurut vokalis kumpulan Khalifah, Yabang, idea lagu ini hasil daripada pemain gitar mereka, iaitu Herry. Mereka memilih untuk menggunakan dialek Kedah dalam lagu kerana dialek ini senang difahami dan juga tidak kedengaran serius. Antara dialek Kedah dalam lirik lagu ini termasuklah “hang”, “depa” “cek” dan “pi”. Sememangnya perancangan mereka berjaya kerana masyarakat Malaysia begitu menyenangi lagu tersebut sehingga meraih perhatian ramai. Boleh dikatakan kumpulan Khalifah sentiasa mengetengahkan dialek negeri dalam lagu-lagu mereka seperti lagu berjudul Saiba dalam album pertama mereka yang menggunakan dialek Kelantan, Namun, lagu tersebut tidak terkenal seperti lagu Hang Pi Mana yang berjaya sehingga ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-31 dan diangkat sebagai pemenang Kategori Persembahan Terbaik dalam anugerah tersebut.
Beberapa tahun lepas, tular video ragam adik Sumayyah atau panggilannya, Mayyah yang baru pulang dari hari pertama sesi persekolahannya. Gelagat si cilik tersebut yang membebel menggunakan loghat utara telah mencuit hati masyarakat Malaysia. Ayat yang paling mencuit hati penonton dalam video tular tersebut ialah “makanan pun kena beli sendiri nah”. Bahkan, terdapat pelbagai pihak yang membuat parodi mengikut gayanya bercakap loghat utara termasuklah parodi dalam program Meletop terbitan Astro yang dilakonkan oleh Jihan Muse dan Bell Ngasri. Hal ini membuktikan dialek atau loghat Kedah mampu memikat hati masyarakat kerana dialeknya yang mudah difahami dan penuh dengan unsur jenaka.
Tuntasnya, dialek atau loghat setiap negeri melambangkan identiti dan jati diri masyarakatnya. Rakyat Kedah merupakan antara rakyat yang begitu berbesar hati dan bangga dengan dialeknya sehinggakan jika ada antara saudara mara, rakan dan kenalan mereka yang berasal dari Kedah tetapi tidak bercakap menggunakan loghat tersebut akan menerima sindiran atau ditegur dalam nada gurauan. Walaupun banyak pihak yang beranggapan dialek Kedah kedengaran kasar tetapi sebenarnya adalah sebaliknya. Buktinya, dialek Kedah acapkali digunakan dalam filem mahu pun drama yang bergenre komedi dan bukannya bergenre berat. Dialek Kedah penuh keistimewaannya, mesra dan sentiasa memikat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.