PANTUN merupakan sebuah puisi tradisional yang diwarnai dengan ketinggian pemikiran dan akar budi masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu sememangnya mempunyai hubungan yang erat dengan alam semula jadi khususnya untuk mendapatkan sumber makanan dan hasil-hasil hutan. Hubungan akrab orang Melayu dengan alam semula jadi yang diadun dengan pengamatan dan ketinggian pemikiran telah membawa kepada terhasilnya pantun yang bercirikan gastronomi. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, gastronomi membawa definisi sebagai kajian, seni, atau amalan memilih, menyedia, atau memakan makanan yang baik. Pemilihan dan penyediaan makanan yang bergizi dan seimbang bukan sahaja menjamin kesihatan tubuh badan yang baik, malahan mencerdaskan otak yang menyumbang kepada penciptaan seni pantun yang indah didengar. Pantun yang berlatarbelakangkan gastronomi sudah semestinya menyentuh perihal makanan tradisi dan budaya masyarakat Melayu, lantas mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Oleh yang demikian, kehadiran elemen sirih menerusi pantun yang terkandung dalam buku Kurik Kundi Merah Saga (2015) boleh digelar sebagai sebuah pantun gastronomi. Sirih bukan sahaja dihubungkaitkan dengan makanan semata-mata, namun sirih mempunyai makna yang tersirat masyarakat Melayu.
a) Pantun Kasih Sayang
Sirih dikatakan membawa simbol kepada kasih sayang seorang lelaki kepada perempuan perempuan. Hal ini dapat dibuktikan seperti rangkap pantun di bawah ini:
Sirih ada pinang pun ada,
Saja saya tak bubuh di tepak;
Kasih ada sayang pun ada,
Sajalah saya tak beri nampak.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
Kerap kali kita melihat masyarakat dahulu menjamah daun sirih tatkala dikenakan pula dengan buah pinang yang telah dikacip halus. Sirih dan pinang mempunyai pelbagai khasiatnya. Masyarakat yang mengunyah sirih pinang dikatakan memberikan kenikmatan seperti orang merokok, selain dapat menghilangkan bau nafas dan dapat memperkuatkan gigi (Amalisa Iptika, 2014:64). Oleh sebab itu, pembayang pantun ini menyatakan lambang saling melengkapi antara satu sama yang lain seperti sirih dan pinang.
b) Pantun Adat
Sirih sememangnya tidak asing lagi dengan adat masyarakat Melayu. Sebagaimana yang kita ketahui, masyarakat dahulu membawa tepak sirih dalam upacara pertunangan dan perkahwinan. Hal ini dikatakan demikian kerana, tepak sirih dikatakan sebagai simbol interaktif bukan lisan yang memberikan istilah sebagai permulaan bagi berbicara, pengesahan, penerimaan serta penolakan sesuatu perihal (Norhuda Salleh, 2014:177). Perkara ini dapat diperhatikan menerusi petikan berikut:
Kalau tuan mengasah kapak,
Asah mari sepagi hari;
Saya bawa sirih setepak,
Untuk saya ganti diri.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
Pada baris maksud pantun itu, pengkaji mendapati bahawa tepak sirih dijadikan sebagai pengganti diri dalam sesebuah upacara peminangan ataupun pertunangan. Perkara ini menjadi simbolik dalam adat masyarakat Melayu sebagai permulaan kepada sebuah ikatan antara seseorang lelaki dan wanita. Menerusi tepak sirih juga, kita dapat perhatikan wujudnya beberapa elemen yang lain, antaranya pinang, kapur, gambir, tembakau, cengkih, daun sirih dan kacip. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika wujud sesebuah pantun yang hanya menyebut sebahagian daripada bahan yang terdapat dalam tepak sirih, meskipun merujuk kepada sesebuah peminangan. Hal ini dapat dibuktikan pada pantun berikut:
Ibu kapur di lembah paya,
Tebang balam di cuaca redup;
Sirih sekapur persembahan saya,
Minta disimpan seumur hidup.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
c) Pantun Agama
Keberadaan pantun agama dalam Kurik Kundi Merah Saga memaparkan sirah atau riwayat susur galur nabi dan rasul-Nya. Walau bagaimanapun, pembayang pantunnya masih menghadirkan perkataaan sirih seperti dalam pantun yang berikut:
Disimpan gula dengan sirih,
Datang ia dari tanah;
Sudah ada Nabi Idris,
Ada pula Nabi Noh.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
Menelusuri pembayang pantun ini, gula dan sirih sememangnya menjadi makanan ruji masyarakat Melayu zaman dahulu. Bahan ini perlu disimpan setelah digunakan supaya tidak menarik perhatian makhluk perosak. Kedua-dua bahan ini sememangnya berasal daripada tanah. Gula datangnya daripada tebu dan sirih datangnya daripada pohon sirih yang menjalar. Perkara ini dikaitkan pula dengan maksud pantun yang menyatakan perihal nabi dan rasul yang juga dicipta oleh Allah SWT daripada tanah. Oleh yang demikian, penggunaan sirih pada pantun ini sudah tentu berkait rapat dengan kehidupan seseorang manusia yang sememangnya memberikan manfaat kepada masyarakat di luar sana. Perkara ini sudah tentu berhubung kait juga dengan kehidupan para nabi, khususnya Nabi Idris dan Nabi Noh yang membawa kebenaran kepada umatnya.
(d) Pantun Jenaka
Saya malas berhuma di cerang,
Naik batang turun batang;
Saya malas duduk bujang,
Sirih datang pinang datang.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
Melalui pantun ini juga, penggunaan sirih dan pinang merupakan perlambangan lelaki dan perempuan. Daun sirih digunakan untuk mencuci kemaluan, lantas dapat mengurangi keputihan (Titis Arumdika, 2018:14). Pada masa yang sama, daun sirih juga dapat memulihkan peranakan (Amina Noor, 2006:9). Bagi buah pinang pula, air rebusan pinang tua digunakan untuk basuhan kemaluan lelaki selepas berkhatan supaya luka tersebut sembuh dengan cepat.Secara tidak langsung, menerusi bait pantun di atas, sirih melambangkan wanita dan pinang simbolik kepada lelaki. Pantun ini menyatakan bahawa seseorang itu tidak perlu dipaksa untuk mencari jodoh, malah jodohnya akan datang sendiri. Hal ini bukan sahaja jodoh berlainan jantina, walhal sesama jantina turut datang kepadanya. Di sinilah terhasilnya unsur jenaka ataupun humor dalam pantun tersebut kerana sikap manusia yang malas.
e) Pantun Peribahasa
Daun sirih jangan dikait,
Kalaulah kait mematah layu;
Telunjuk lurus kelingking berkait,
Itu pepatah orang Melayu.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
Menerusi pembayang pantun ini, pengkaji mengenal pasti bahawa elemen daun sirih telah diketengahkan. Daun sirih sememangnya mempunyai pelbagai manfaat kepada masyarakat Melayu dahulu. Pada masa yang sama, pokok sirih dikatakan tidak mempunyai batang dan hanya tumbuh melata serta menumpang pada pohon yang lain. Untuk mengambil daun sirih, kita hanya perlu memetik sahaja, tidak perlu dikait. Pada baris maksud pantun, iaitu “Telunjuk lurus kelingking berkait” boleh didefinisikan sebagai seseorang itu kelihatan baik pada zahirnya. Namun, tersingkap pula kejahatan pada batinnya. Perihal ini berkait dengan sikap hasad dengki seseorang.
Hal ini dapat dihubungkan dengan pembayang pantun “Kalaulah kait mematah layu” kerana perbuatan mengait pada asalnya tidak bercanggah. Walaupun begitu, sekiranya mengait pokok sirih sudah tentu merosakkan pohon tersebut yang tumbuh menjalar. Oleh sebab itu, orang Melayu dahulu menyuruh masyarakat agar berwaspada terhadap seseorang yang baik kepada kita, walhal sanggup menjatuhkan demi kebahagiaan hidupnya.
f) Pantun Kiasan
Masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat mementingkan perihal adab dalam bertutur. Walau bagaimanapun, setiap pertuturan itu diselitkan dengan kiasan yang sememangnya mampu menusuk kalbu seseorang pendengar. Oleh hal yang demikian, pantun kiasan yang ada berkaitan dengan sirih juga dapat dilihat pada petikan berikut:
Sirih kuning dua tiga,
Padi rebah menghampar tikar;
Putih kuning dah jadi raja,
Seekor gajah tak ada ditukar.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
Sirih kuning ini merupakan sirih yang sudah tua. Walau bagaimanapun, permaknaan bagi sirih kuning dikatakan menjadi pelbagai simbolik terhadap masyarakat Melayu. Menerusi pantun ini, sirih kuning pada bait pembayang melambangkan seorang pemimpin. Meskipun pemimpin sudah dua tiga kali bersilih ganti, namun tugas mereka tidak ditunaikan. Hal ini dapat dibuktikan pada bait kedua pembayang iaitu “Padi rebah menghampar tikar.”
Pada bahagian maksud pantun, putih kuning diberikan simbolik kepada wajah seseorang yang segak dan bergaya. Sudah pasti wajah yang segak layah menjadi raja, bahkan rakyat akan lebih yakin dan terpesona. Meskipun begitu, wajah tidak melambangkan keperibadiaan yang sebenar seseorang pemimpin. Pada bait “Seekor gajah tak ada ditukar” bermaksud seseorang raja ataupun pemimpin itu dikatakan mempunyai sifat yang kedekut dalam dirinya.
Oleh sebab itu, perlambangan sirih kuning itu sememangnya dikiaskan kepada para pemimpin yang sering kali mengabaikan nasib rakyat. Sebagai pemimpin, kita perlulah melakukan perubahan dalam sesebuah negeri yang ditadbir, bukan hanya membiarkan rakyat merana sehingga padi yang ditanam tidak meperoleh hasil.
g) Pantun Nasihat
Jangan tebang pinang tinggi,
Takut kena junjung sirih;
Jangan kacau tunang kami,
Takut terkena hujung keris.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2015)
Menelusuri pantun ini, pengkaji mendapati penggunaan sirih junjung telah dikenakan pada baris kedua pembayang. Sirih junjung merupakan sebuah simbolik kepada adat istiadat raja ataupun sultan terdahulu, khususnya di bumi Kelantan (Suhana Hussin, 2007:4). Tambahan pula, sirih junjung dikatakan adat dan penyeri bagi sesebuah majlis pertunangan dan perkahwinan. Oleh sebab itu, pembayang pantun ini menyatakan berkaitan “jujung sirih” itu sebagai perlambangan kepada perempuan yang sudah berpunya.
Pada baris maksud pula, pantun ini jelas menampakkan unsur nasihat kepada khalayak. Hal ini dikatakan demikian kerana, istilah “jangan” sudah semestinya melarang seseorang dalam melakukan perbuatan yang tidak disenangi, lebih-lebih lagi dalam mengganggu hubungan manusia yang sudah ditunangi orang. Secara logiknya, perihal ini sememangnya akan mendatang kemarahan terhadap empunya tunang, lantas mengakibatkan pertengkaran sehingga tercetus kepada pembunuhan. Hal ini dapat diperhatikan pada bait akhir maksud pantun iaitu “Takut terkena hujung keris. Akhir sekali, pengkaji mendapati bait-bait nasihat yang terdapat dalam pantun ini sudah semestinya dinyatakan khusus kepada manusia yang tidak tahu malu mengganggu kebahagiaan seseorang. Bagi baris “Jangan tebang pinang tinggi” boleh diistilahkan sebagai jangan menjaga tepi kain orang. Oleh sebab itu, pantun nasihat mampu memberikan dorongan kepada masyarakat supaya menjadi insan yang lebih berguna.
Secara keseluruhannya, pantun merupakan sebuah nadi kepada bangsa Melayu, malah keberadaan pantun itu sendiri secara tidak langsung mampu melihat kebijaksanaan masyarakat Melayu terdahulu. Masyarakat Melayu dapat menghasilkan pantun yang bercirikan gastronomi, bahkan memberikan bayangan kepada nilai, budaya serta warisan kepada makanan tradisional. Selain dijadikan makanan, sirih turut mempunyai simbolik yang pelbagai, misalnya dari segi istiadat pertabalan sultan, peminangan, perkahwinan dan sebagainya. Melalui perlambangan sirih ini juga, maka lahirlah pelbagai pantun berkaitan sirih. Tuntasnya, dengan ada penelitian perihal gastronomi ini, sedikit sebanyak memberikan nafas baharu kepada sastera Melayu, khususnya dalam dunia pantun. Secara tidak langsung, masyarakat Melayu kini mampu menyalakan kembali obor kegemilangan pantun yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita terdahulu.
Rujukan
Amalisa Iptika, “Keterkaitan Kebiasaan dan Kepercayaan Mengunyah Sirih Pinang dengan Kesehatan Gigi” dlm. Journal Unair, 3(1), hlm 64-69, 2014.
Amina Noor. 2006. Kelebihan Ramuan Herba dalam Perubatan. Kuala Lumpur: Ar- Risalah Product Sdn. Bhd.
Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan Melayu Edisi ke-2. 2015. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nurhuda Salleh, :Tepak Sirih: Komunikasi Bukan Lisan dalam Adat Perkahwinan Melayu” dlm. Jurnal Komunikasi, 30, hlm 177-190. 2014.
Suhana Hussin, 2007. Simbolik dalam Masyarakat Melayu: Satu Kajian Interpretasi Visual Terhadap Sirih. Tesis Ijazah Sarjana yang diterbitkan, Fakultas Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak.
Titis Arumdika, 2018. Efektifitas Pemberian Cairan Antiseptik Pembersih Kewanitaan dengan Air Rebusan Daun Sirih Terhadap Kejadian Keputihan pada Siswi Di SMAN 1 Barat Kecamatan Barat Kabupaten Magetan. Tesis Sarjana Keperawatan yang diterbitkan, Program Studi Keperawatan, STIKES Bhakti Husada Mulia Madiun.