“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, umpama gantung tidak bertali”. Begitulah ketegasan yang dinyatakan oleh Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam sebaik sahaja memulakan ceramah umum beliau di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 29 Februari 2024.
Ketegasan Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam yang segak berbusana India, jelas mencerminkan jati diri beliau, walaupun beliau bukanlah berbangsa Melayu. Namun begitu, kecintaan dan semangat juang beliau harus dicontohi oleh semua pihak tanpa mengambil kira ras, kaum, mahupun keturunan.
Dengan nada yang tegas, dapat dirasai bahawa beliau sememangnya ikhlas untuk memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ingin melihat bahasa Melayu terus dihormati serta berada pada kedudukan yang sewajarnya.
Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam telah dijemput oleh Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) untuk menyampaikan ceramah umum yang bertajuk “Bahasa Melayu Gantung Tidak Bertali” di Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Ceramah umum ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Pengarah Jabatan Bahasa dan Sastera yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari.
JKTBM ditubuhkan pada 23 Disember 1972 bertujuan untuk melaksanakan hasrat yang terkandung dalam Pernyataan Bersama Malaysia Indonesia yang telah ditandatangani oleh Tun Hussein Onn, Menteri Pelajaran Malaysia dan Mashuri Salleh S.H., Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pada 23 Mei 1972 di Jakarta.
Tugas utama JKTBM adalah untuk merancang dan memantapkan bahasa Melayu daripada aspek ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa serta membuat perakuan dan cadangan mengenai pengisian dan pelaksanaan dasar-dasar bahasa kepada Menteri Pendidikan Malaysia.
Ahli jawatankuasa JKTBM dilantik oleh Menteri Pendidikan Malaysia yang terdiri daripada 15 orang ahli, iaitu ex officio Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dua orang ahli daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan 10 orang ahli daripada kalangan tokoh yang mewakili institusi pengajian tinggi, badan perundangan, persatuan yang diiktiraf, badan korporat dan pakar yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, bahasa, sastera dan budaya serta mempunyai iltizam yang tinggi untuk kemajuan bahasa Melayu.
Ceramah umum yang dianjurkan oleh JKTBM dan di bawah kelolaan DBP merupakan aktiviti tahunan JKTBM yang diadakan dua kali setahun. Tujuan penganjurannya adalah untuk menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab JKTBM serta memaklumkan masyarakat tentang kepakaran serta sumbangan anggota JKTBM dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu.
Mula diadakan pada tahun 1999 di Institut Pendidikan Guru Malaysia dan institusi yang terpilih di seluruh negara. Beberapa orang ahli JKTBM dan tokoh yang terpilih dalam pelbagai bidang ilmu diundang untuk memberikan ceramah umum yang berkaitan dengan hal ehwal kebahasaan dan persuratan Melayu.
Ceramah umum yang berlangsung pada Februari 2024, JKTM telah mengundang Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam yang merupakan ahli akademik di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), dan ahli JKTBM. Seramai 100 orang tetamu yang terdiri daripada pelajar, pensyarah IPG Kampus Bahasa Melayu, serta tetamu jemputan dalam kalangan pencinta bahasa hadir untuk mengikuti ceramah umum tersebut.
Ceramah umum yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam dalam tempoh hampir dua jam sarat dengan hujah yang tegas dan fakta yang jelas. Sebanyak 20 cabaran yang disenaraikan oleh Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam mengenai isu bahasa kebangsaan mutakhir ini. Antaranya termasuklah tahap penguatkuasaan undang-undang untuk menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.
Seperti mana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu haruslah digunakan untuk maksud rasmi, terutama dalam hal surat-menyurat, mesyuarat, komunikasi, dan persidangan. Walaupun undang-undang telah digubal dengan sebaiknya, namun masih lagi terdapat kelemahan penguatkuasaan undang-undang sehingga ada pihak yang cuba-cuba untuk melanggar undang-undang yang telah ditetapkan dengan meremehkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.
Malah, ada pihak yang seolah-olah mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan andaian bahawa bahasa Melayu tidak memiliki nilai ekonomi yang tinggi berbanding dengan bahasa Inggeris. Hal ini jelas disangkal oleh Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam dalam ceramah umum beliau.
Dengan penuh tegas, Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam menyatakan bahawa setiap warganegara yang berada di Malaysia harus menggunakan bahasa kebangsan sebagai bahasa rasmi kerana mereka berada di Malaysia dan harus patuh dengan undang-undang yang telah ditetapkan. Tidak keterlaluan, jika kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan bagi warganegara yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.
Malah, beliau turut menekankan skop Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) yang digubal hanya mengandungi 11 seksyen sahaja dan akta tersebut dianggap tidak mencukupi untuk mengawal selia semua sektor di Malaysia dalam konteks penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Tambahan pula, Akta 32 ini tidak memperuntukkan hukuman yang setimpal bagi mana-mana pihak yang melanggar akta ini. Menurut Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam, Akta 32 merupakan undang-undang yang penting dan perlu lebih menyeluruh, dalam erti kata lain untuk mencegah mana-mana pihak mahupun individu supaya tidak sewenang-wenangnya memperkecil peranan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Dalam ceramah umum tersebut juga, Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam turut menekankan peranan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan. Menurut beliau, masih banyak pihak yang tidak mematuhi Akta Pendidikan 1996 – seksyen 17 (1), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 – Seksyen 41(1).
Walaupun kerajaan melalui menteri mempunyai kuasa untuk membenarkan mana-mana institusi pengajian tinggi (IPTA) menggunakan bahasa, selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, namun dalam usaha untuk memperoleh ilmu, bahasa Melayu harus diutamakan dalam apa-apa juga keadaan seperti dalam sesi pengajaran, ceramah dan persidangan. Perkara ini penting untuk menjamin peranan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua IPTA.
Dalam konteks pengiklanan pula, Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam turut menekankan masih banyak lagi papan iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul, walaupun setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Akta ini memperuntukkan supaya semua pengiklanan mengutamakan bahasa kebangsaan dalam setiap hebahan dan papan tanda.
Dalam undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, pengiklanan turut diwajibkan untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua iklan dan saiz tulisan dalam bahasa kebangsaan mestilah lebih besar berbanding dengan bahasa lain. Dalam hal ini, penguatkuasaan wajar dilaksanakan secara berterusan, terutama PBT yang berwajib. Pemantauan lebih kerap amatlah digalakkan supaya undang-undang ini dipatuhi sepenuhnya oleh pemilik premis, syarikat, mahupun individu yang memperagakan iklan perniagaan mereka.
“Kita tidak mahu bahasa yang dipamerkan oleh para pengiklan ini terus meracuni minda masyarakat dengan penggunaan bahasa dan ejaan yang kurang tepat. Maka, undang-undang kecil ini perlu dikuatkuasakan sepenuhnya seperti termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976,” demikian tegas Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam.
Pada akhir sesi ceramah umum tersebut, Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamaickam turut menekankan soal jati diri terhadap bahasa kebangsaan. Semua permasalahan dan cabaran yang dibincangkan oleh beliau sepanjang ceramah umum tersebut berkait rapat dengan soal jati diri dan semangat mencintai bahasa kebangsaan. Soal memperjuangkan bahasa kebangsaan bukan terletak sepenuhnya atas bahu DBP semata-mata tetapi usaha yang murni ini terletak di bahu semua pihak.
Oleh yang demikian, jati diri yang mantap dalam mencintai bahasa kebangsaan harus disemai sejak kecil dengan memperkasakan mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Mata pelajaran ini bukan hanya berfungsi sebagai medium untuk murid mendapatkan ilmu, namun peranannya perlu diangkat lebih tinggi sebagai medium pembelajaran dan menanam jati diri murid tentang kepentingan mencintai bahasa kebangsaan Malaysia.