ANGIN deras menampar-nampar ingatan, saya merenung ombak yang bergulung-gulung dari rumah penginapan. Siapa yang mampu melupakan tragedi Disember yang benar-benar memberikan kesan, menakluk segala perasaan? Kita sendiri begitu maklum tanggal 26 Disember yang pastinya akan dikenang berabad lama, kerana tidak pernah sekalipun terjangkakan. Apatah lagi saya yang ketika itu melalui fasa-fasa bahagia, mempunyai keluarga kecil yang melengkapkan kerukunan kebahagiaan. Namun, sekelip mata kebahagiaan itu seperti diragut ombak yang menghempas pantai. Astaghfirullah, lekas-lekas saya beristighfar. Sesungguhnya menerusi ayat kedua, surah al-Mulk yang kita baca, Allah berfirman, “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
Masih sehingga sekarang saya mendengar suaranya di mana-mana, hatta di dalam redup ruang surau wilayah kami, juga dalam suasana hingar pasar raya di tengah-tengah pekan. Suaranya masih sama seperti dulu, meski masa menjarakkan saya dan kenangan. Saya terasa dia masih ada, bermain, berlari-lari meraikan usia kanak-kanaknya dan menumbuhkan kecintaan pada setiap yang mendampingnya kerana telatahnya yang menghibur jiwa. Sayakah yang telah dipilih Tuhan melalui ujian seberat ini sehingga saya benar-benar merasakan yang terjadi ini ialah sebuah ilusi. Mimpi ngeri yang menakutkan dan segalanya akan kembali seperti sediakala ketika saya bangun daripada lena. Sebegitukah? Saya umpama tidak percaya dengan segala yang saya harungi ketika itu. Saya sekadar ingin menunaikan janji saya, menggembirakan hatinya bermain air di pantai.
Saudara, pagi itu, tiada sebarang keganjilan yang tertangkap dek mata hati saya. Segalanya seperti biasa, cuma keluarga kecil kami akan berkelah di pantai seperti yang telah lama kami rencana.
Dia terlalu gembira, sangat gembira. Malam sebelumnya lagi dia telah berceloteh kepada saya dan isteri, tentang keinginannya bermandi-manda, tentang istana pasir impiannya dan tentang khayalan-khayalan seorang anak kecil. Lucu. Begitulah kenangan yang mampu membuatkan saya tersenyum, sesekali tanpa sedar pipi saya terasa hangat. Oh Tuhan, yang mendakap saya dengan kasih-Nya. Sesungguhnya saya sangat merindukannya.
Hampir-hampir sahaja jiwa saya turut pergi bersama-sama arus yang memadamkan keceriaan kami pada hari yang seharusnya menjadi hari yang membahagiakan. Saya melihat gelombang yang mampir ke pesisir tiba-tiba seperti melaju dan rentaknya tidak seperti selalunya sehinggalah ada suara yang meminta kami menjauhkan pantai. Saya yang cemas, menjerit-jerit nama Nadim, supaya dia lekas kepada kami dan seterusnya berhindar dari situ. Namun, Nadim tidak kelihatan, dan ada tangan yang menarik saya untuk menjauhi pantai. Entah fenomena apakah yang sedang berlaku, ombak begitu meninggi. Kami begitu takut melihat segala yang terhadap di hadapan mata. Mungkinkah kiamat? Nadim… mana Nadim? Nadim sudah pulang?
***
Teratak Nadim ini saya perdirikan dengan keikhlasan, kesungguhan dan kasih-sayang yang tidak berbelah bahagi. Suatu ketika pada bulan Ramadan, kami begitu kepingin untuk berkongsi rezeki sehinggalah Tuhan melorongkan ingatan pada sebuah rumah anak-anak yatim di hujung desa. Sejak itu, anak-anak yang menghuni di situ, kami anggap sebagai anak sendiri. Kehidupan mereka yang tidak sama seperti kanak-kanak lain begitu meruntun jiwa. Setiap orang daripada mereka mempunyai kisah tersendiri yang memilukan. Walaupun masih di usia hijau, mereka telah menanggung ujian maha hebat. Dan semestinya kami yang lebih dewasa juga belajar tentang ketabahan daripada mereka. Maha Suci Tuhan yang mengatur perjalanan kehidupan sekalian makhluk-Nya.
Selalunya, pada hujung minggu kami mampir ke rumah anak-anak yatim di hujung desa, menemui anak-anak kami yang telah seminggu tidak kami temui. Mengunjungi rumah ini benar-benar memberikan kehidupan baharu kepada kami. Menghampiri mereka ialah peluang terindah yang Tuhan berikan kepada kami. Hampir seharian pada hujung minggu kami menghabiskan waktu mendengar segala permasalahan yang diungkapkan, lantas cuba memahami perasaan anak-anak kesayangan. Kami luangkan juga masa menyemak perihal pembelajaran mereka agar tidak ketinggalan serta mencukupi seperti kanak-kanak seusia mereka yang lainnya. Keberadaan kami bersama-sama mereka pada setiap hujung minggu benar-benar memberikan kegembiraan kepada mereka. Tidaklah mereka merasa terasing dan merasa kekurangan berbanding rakan-rakan sebaya mereka yang lain.
“Alhamdulillah, Allah kembalikan kesihatan abang, setelah beberapa lama abang dalam keadaan yang tidak terurus. Maha Suci Tuhan yang menciptakan seluruh alam, yang menyembuhkan segala kesakitan.”
“Peristiwa itu benar-benar menyentap rasa. Syukurlah, Tuhan selalu mengajarkan.”
Saudara, saya hampir kehilangan diri sendiri selepas kehilangan Nadim. Sejak kepergian Nadim pada pagi 26 Disember 2004 itu, saya seolah-olah tidak teringat akan segala yang terjadi. Setiap hari saya menyebut nama Nadim, setiap hari juga saya mencari Nadim. Nama Nadim tidak pernah menjauh dari bibir saya saban waktu. Isteri saya yang sabar tidak cepat melatah. Tetap berada di sisi saya, menemani, melayani karenah saya yang seakan tidak mengerti segala hal yang terjadi. Saya tidak menafikan, peristiwa itu benar-benar memberi kesan kepada emosi juga mental saya. Mana mungkin saya tidak merindui dia, setiap hari saya melihatnya di hadapan mata dan tiba-tiba, dia tiada lagi mengisi hari-hari yang mendatang. Nadim, anak tunggal kesayangan kami antara mangsa korban tragedi 26 Disember 2004. Maaf, air mata saya ini laju sahaja mengalir apabila mengingatkan tentang peristiwa itu, tragedi yang menggemparkan itu, apatah lagi saya dan isteri antara insan yang terpilih untuk melalui ujian ini.
Ujian ini begitulah berat, dan isteri saya yang baik sering kali mengingatkan saya tentang tafsiran ayat kelima surah an-Nisa’, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah S.A.W dan kepada ulil al-amr daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya dan Allah, Tuhan yang Maha Pengasih tidak akan membebani hamba-hamba-Nya sekiranya tidak terbeban oleh mereka.
Lama-lama saya dapat menerima kepulangan Nadim kepada Sang Pencipta. Suatu ketika, kepala saya seperti terhantuk pada batuan yang besar, yang kembali menyedarkan saya akan berpijak di bumi yang nyata. Pada awalnya saya seperti kebingungan dan setelah dikisahkan oleh isteri dan dinasihati oleh doktor, barulah saya sedar bahawa saya selama ini terlalu mengikutkan perasaan sedih saya yang kehilangan Nadim. Isteri membawa saya menemukan tempat persemadian Nadim, rumah baharu Nadim setelah dijemput pulang kepada pencipta-Nya. Saya benar-benar merindukan Nadim dan akhirnya saya dapat menerima kenyataan, segala yang kepunyaan kita hanyalah pinjaman dan Allah SWT jualah pemilik segalanya. Saya sedekahkan wangian al-Fatihah dan saya jirus pusaranya dengan kalimah basah surah Yasin. “Nadim, anak abah yang abah sayang, damailah di sisi Tuhan yang menciptakan, rianglah di taman syurga nan menawan.”
“Ustaz, kami memahami permasalahan kewangan yang membelenggu rumah anak-anak yatim ini. Izinkanlah kami membantu dan mengambil alih rumah anak-anak yatim ini. Kami berjanji untuk menjaga kebajikan mereka, menjaga mereka seperti anak kami.” Begitulah ayat permulaan yang melorongkan kami menguruskan rumah anak-anak yatim di hujung desa kami. Kami mengambil alih rumah anak-anak yatim ini dengan jiwa yang besar, lalu kami namakannya dengan nama Teratak Nadim. Teratak Nadim bukan sahaja menempatkan anak-anak yatim yang hilang tempat bergantung, kami juga mempelawa anak-anak yang dalam kalangan keluarga yang keterbatasan kewangan, untuk berteduh juga di sini, sekurang-kurangnya makan, pakaian dan pelajaran mereka tidak terabai. Mengenangkan mereka, saya jadi terlalu kasihan, seusia muda seperti mereka telah melalui ujian sebesar ini, kehilangan ibu bapa, melalui dugaan kemiskinan yang serba kekurangan.
Teratak Nadim ini, saya dan isteri sebolehnya melengkapkan segala kemudahan, kami cuba memperbaiki segala kekurangan sebelumnya dari segi infrastrukturnya dan kami perkemaskan lagi pengisian setiap hari di Teratak Nadim dengan pengisian yang bermanfaat seperti perihal akademik, aktiviti kesukanan dan program-program kerohanian dalam membantu memperteguh jiwa. Sesekali, saya mengundang pakar motivasi dan penceramah bebas untuk meluangkan masa bersama-sama mereka, membangkitkan semangat mereka yang terasa terasing juga kerdil dalam kalangan rakan-rakan sebaya mereka yang lebih beruntung mengecap nikmat dunia.
“Abah, syurga itu seperti apa ya?”
“Syurga itu terlalu indah, sayang. Syurga itu ialah rumah yang telah Allah SWT sediakan untuk mereka yang taat pada perintah-Nya, dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya.”
“Kalau begitu, Nadim pun ingin masuk Syurga.”
“Kalau Nadim ingin masuk Syurga, Nadim harus menjadi anak yang baik, mendengar kata-kata abah dan ibu, tidak melawan kata-kata guru dan sentiasa berbuat baik walaupun perbuatan kita itu sekecil-kecil perkara.”
Perbualan saya dengan Nadim tentang syurga kembali menghampiri halwa telinga saya. Sebegitu juga saya peringatkan kepada anak-anak saya di Teratak Nadim. Jangan pernah berputus asa untuk melakukan kebaikan, mencari keredaan Allah SWT, semoga gajaran syurga itu menjadi milik kita. Saya dan isteri melayani anak-anak di Teratak Nadim seperti anak sendiri. Tidak ada pilih kasih atau berat sebelah dalam sebarang layanan. Sesungguhnya kami begitu gerun membaca hadis dan tafsiran ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang anak-anak yatim. Sesungguhnya menyantuni anak yatim akan menjuruskan kita untuk mendapatkan perlindungan di hari kiamat kelak, seperti sabda Rasulullah SAW yang tercatat dalam hadis riwayat Thabrani, “Demi Allah yang mengutus aku dengan kebenaran di hari kiamat Allah SWT tidak akan mengazab orang yang mengasihi anak yatim dan berlaku ramah padanya serta manis tutur katanya. Dia benar-benar menyayangi anak yatim dan mengerti kekurangannya, dan tidak menyombongkan diri pada tetangganya atas kekayaan yang diperoleh Allah kepadanya.”
Saudara, menerusi ayat suci al-Quran, Allah tidak suka kepada mereka yang melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya pada anak yatim dan orang miskin. Perihal ini dapat dikesani dalam surah al-Maun ayat satu hingga ayat tiga, “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”
Begitulah Allah SWT mengingatkan kita, saudara. Kita ini mungkin adakalanya terlupa akan kenikmatan yang kita kecapi sebenarnya sebahagiannya adalah milik insan lain yang harus dikongsi terutama buat mereka yang begitu memerlukan. Saya dan isteri akan saling berpandangan antara kami selepas usai membaca surah ini. Surah yang menjadikan kami tiba-tiba pegun seketika. Takut dengan azab yang sedang menunggu di hari muka. Begini tafsiran surah an-Nisa’ ayat yang kesepuluh, “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).”
Setiap pekerjaan yang kami lakukan di Teratak Nadim akan mengingatkan saya pada ayat ini, semoga tiadalah culas saya dalam melaksanakan tanggungjawab membela anak-anak yatim dan anak-anak dari keluarga tidak berkemampuan di sini. Peringatan Tuhan yang satu ini benar-benar membekas di sanubari saya dan isteri. Gerun, bukan?
***
Seperti yang saya katakan sebelumnya, saya melayani anak-anak di Teratak Nadim seperti anak sendiri. Segala keperluan mereka, kami cuba penuhi. Mereka juga ingin merasai seperti rakan-rakan sebaya mereka nikmati, jadi saya dan isteri putuskan untuk membawa mereka bercuti seperti yang diminta mereka. Mereka tidak pernah merasa seperti apakah seronoknya bermain air di pantai, jadi saya bawa mereka bercuti ke sini sempena cuti sekolah kali ini. Kegembiraan mereka tentulah kegembiraan saya juga sebagai ‘ayah’ mereka biarpun pada hakikatnya saya sekadar penjaga mereka, tempat mereka menumpang kasih dan sayang.
Saudara, anak-anak saya ini tidak terbatas pada yang sesuatu kaum sahaja, selainnya juga boleh menumpang teduh di bawah bumbung Teratak Nadim. Teratak Nadim mengalu-alukan anak-anak yang senasib dengan mereka tanpa mengira warna kulit. Mereka akan sama-sama saling belajar tentang jurang perbezaan mereka dapat dirapatkan dengan nilai-nilai murni kerana setiap agama menganjurkan kebaikan. Anak-anak saya sudah belajar untuk hidup dalam suasana harmoni seusia awal remaja begini.
“Abang, apakah yang dimenungkan itu?”
“Mari kita menjamu selera tengah hari, anak-anak sedang menunggu untuk makan bersama-sama. Selepas ini mereka mahu mandi air laut pula.”
Tengah hari itu, kami menikmati hidangan makan tengah hari yang telah saya tempah di rumah penginapan percutian kami dengan meriah sekali. Ada gelak ketawa yang mencuit hati, ada kegirangan yang terpancar di wajah anak-anak saya. Saya menghabiskan makan tengah hari itu dengan segala kesyukuran. Usai menunaikan solat zuhur, saya menggenapkan lagi rindu ini pada Nadim dengan bacaan Yasin bersama-sama adik-beradik Nadim yang lainnya sebelum mereka membasahkan diri dengan air laut.
Sesungguhnya, laut ini, pantai ini mengingatkan saya kepada Nadim yang terlebih dahulu berpergian. Laut ini juga mengingatkan saya akan betapa luasnya nikmat serta kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Suatu ketika, Allah SWT telah mengambil kembali Nadim dan seterusnya Dia menggantikannya dengan anak-anak di Teratak Nadim. Tuhan, ketemukanlah kami sekeluarga di Syurga nanti. Teratak Nadim menjadi saksi kebahagian keluarga kami. Doa saya terapung bersama-sama hawa panas laut yang naik ke udara. Saya mengizinkan rasa rindu pada Nadim, rasa kasih sayang pada anak-anak Teratak Nadim serta rasa kesyukuran atas nikmat kurniaan Tuhan berdamai dalam semilir angin yang berhembus. Terasa nyaman, damai. Saya mahu mengucap syukur lagi, dan lagi. Terima kasih Tuhan atas takdir yang terindah. Alhamdulillah.