Oleh Jamail Masador
Tangon-tangon (cerita rakyat) merupakan salah satu cabang sastera lisan yang disampaikan oleh masyarakat Kimaragang bagi tujuan mengembangkan kebudayaan mereka. Menurut, Jacqueline (2012, ms.147) Tangon merujuk kepada cerita rakyat, dongeng dan cerita pari-pari hasil rekaan tradisi lisan untuk memberikan hiburan dan nasihat. Sementara itu, Mohd. Firdaus Che Yaacob (2016) telah mengemukakan pendapat bahawa cerita rakyat merupakan hasil karya sastera menarik dan begitu unik kerana mengandung perutusan nilai murni yang dapat memacu akal fikiran masyarakat (Melayu) untuk mempraktikkan perlakuan-perlakuan yang baik dalam menjalani kehidupan seharian.
Jika diimbas kembali, suku Kimaragang termasuk dalam kalangan kumpulan etnik Kadazandusun (Topin,1996). Oleh hal yang demikian,etnik Kimaragang berkongsi persamaan dengan kumpulan etnik Kadazandusun yang lain dari segi bahasa, asal-usul, dan ciri budaya. Namun begitu, masyarakat Kimaragang percaya bahawa mereka mempunyai identiti, kepercayaan, amalan dan keunikan yang tersendiri. Keunikan tersebut termasuklah sastera rakyat (cerita rakyat) yang dimiliki. Salah satu mesej yang disampaikan dalam cerita rakyat mereka ialah berkaitan nilai kekeluargaan.
Dalam pada itu, keluarga ditafsirkan sebagai sekumpulan orang yang dihubungkan melalui perkahwinan dan kelahiran yang bertujuan mencipta dan mempertahankan budaya yang umum, meningkatkan perkembangan fizik, mental, emosional dan sosial daripada individu yang ada di dalamnya yang terserlah melalui pola interaksi yang saling bergantungan untuk mencapai tujuan bersama. Pendapat Fahrudin dalam Adi Fahrudin, Husmiati & Mohd Dahlan Haji A. Malek (2014) menjelaskan keluarga memainkan peranan penting dalam membangunkan kesejahteraan, pengasuhan dan pendidikan dasar kepada anggota-anggota keluarga. Sehubungan dengan itu, konsep kekeluargaan dalam masyarakat Kimarangang adalah hampir sama dengan sistem keluarga mana-mana etnik di negara ini.
Berdasarkan analisis cerita rakyat yang diperolehi, faktor alam sekitar mampu mempengaruhi ikatan dan pembentukan sebuah keluarga masyarakat tradisi. Hal ini kerana alam memberikan mereka pengalaman, kemanfaatan dan hubungan yang begitu akrab. Hal tersebut bersesuaian dengan pendapat Muhammad Haji Salleh (2008), manusia hidup di ruangnya; di tepi sungai, di tepi laut, paya, hutan atau bukit yang menjadi ruang hidupnya dan ruang itu menjadi rezeki. Untuk mencari rezeki, dia harus mengenali ruang ini dengan amat dalam. Dia harus mengenali bagaimana musim beralih, bagaimana rentak dan pasang dan surut mempengaruhi hidup matinya, bagaimana tabiat binatang, unggas dan ikan terjalin dalam kewujudannya. Dia juga harus memerhatikan cara bagaimana sungai dan paya berlubuk atau berumput, bagaimana lubuk menyimpan jenis ikan khusus dan jenis pokok yang mungkin menjadi sumber ikan itu. Dia harus mengetahui bukan sahaja nama pokok tetapi sifat dan rasa buahnya. Hal ini menjelaskan alam memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat. Alam mempengaruhi dan mempunyai perkaitan dengan cara mereka membentuk, mengembangkan dan mengekalkan keutuhan keluarga mereka.
Hasil analisis ke atas tangon-tangon menunjukkan ikatan kekeluargaan masyarakat tradisi Kimaragang berjaya dibentuk dan dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai rintangan dan fenomena alam sekitar. Ini dapat diperhatikan melalui cerita rakyat berjudul Panglima Tambangon dan Panglima Panguda, dan Dudungit. Secara amnya, cerita-cerita rakyat ini bertema tentang nilai-nilai kekeluargaaan yang perlu disemai, disuburkan dan dikembangkan sebagai satu upaya memberi pendidikan dan pengajaran kepada khalayak pendengar atau pembaca.
Peranan anak kepada kedua-dua orang tua, peranan ibu bapa kepada anak dan hubungan antara adik-beradik telah membangun plot penceritaan cerita-cerita rakyat tersebut. Hal ini terjadi kerana fungsi cerita rakyat itu sendiri yang berperanan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan bagi masyarakat terdahulu.
Cerita rakyat lain yang banyak mengaitkan anak dengan ibu (tunggal), antaranya termasuklah Tasu Tosundu, Lopung Tosundu, Ih Gongan, dan I Ganuk. Dalam Tasu Tosundu, misalnya, diceritakan bagaimana seorang ibu menjaga anak tunggalnya yang telah lama kematian bapanya. Dalam serba kekurangan itu, watak ibu telah berusaha bersungguh-sungguh untuk bekerja bagi menampung kehidupan mereka. Hal ini digambarkan melalui petikan daripada cerita rakyat yang berbunyi, “Biarpun tidak berupaya memburu binatang, ibunya tetap memetik pucuk-pucuk kayu untuk menampung makanan anaknya”. Petikan di atas menggambarkan satu usaha murni seorang ibu menjaga ahli keluarganya. Ini sesuai dengan fungsi efektif sebuah keluarga yang menuntut supaya saling mengasih, bersyukur atas rezeki-Nya, cinta kasih dan sokong-menyokong antara ahli keluarga. Jika dapat memenuhi segala tuntutan ini, maka dapat mengeratkan hubungan antara mereka dan menyejahterakan lagi kehidupan mereka.
Dalam pada itu, sebuah keluarga seharusnya saling menghargai, mengakui hak setiap anggota dan berusaha membina ikatan kekeluargaan pada landasan yang benar. Ibu bapa harus mengembangkan nilai-nilai baik dalam kalangan anak-anaknya tanpa membanding bezakan mereka. Ibu bapa juga harus merealisasikan dan melaksanakan kawalan sosial terhadap anak-anak. Dalam cerita rakyat etnik Kimaragang, banyak pesan pendidikan dan pengajaran diberikan supaya kawalan sosial berbentuk primer seperti adat resam, pantang larang dan norma masyarakat ditekan supaya generasi muda mengambil sesuatu yang positif daripadanya.
Selain itu kesetiaan seorang isteri juga sering digambarkan dalam cerita rakyat. Melalui peristiwa yang terdapat dalam cerita rakyat yang berjudul Mondu dan Laki, ikatan kekeluargaan digambarkan amat erat dan menujukkan kesabaran seorang isteri. Watak wanita sebagai isteri sentiasa mematuhi kehendak suaminya, Laki. Namun dalam hidup berkeluarga pasti ada sahaja rintangannya. Rintangan yang paling ketara dalam cerita rakyat ini ialah godaan lelaki-lelaki lain ke atas isterinya. Dikatakan Mondu seorang wanita cantik dan sering mendapat perhatian masyarakat desa sementara si Laki diceritakan sebagai lelaki kurang sempurna dari segi akal dan sering diperbodohkan. Namun kebijaksanaan dan kesetiaan isteri mengurus “kejahilan” suaminya dapat menyelamatkan kebahagiaan keluarganya, terutama tindakannya yang sentiasa membela suaminya.
Sebaliknya, ikatan kekeluargaan agak longgar digambarkan dalam cerita rakyat, iaitu Sandagau (Sumber: Welin Ebal, Kg. Salimandut). Ikatan kekeluargaan itu bukanlah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang antara mereka. Sebaliknya, ikatan kekeluargaan dipengaruhi oleh faktor kehidupan yang dihimpit kemiskinan. Dalam cerita rakyat ini didambarkan bahawa watak Sandagau dilahirkan sebagai lelaki yang luar biasa. Sejak dari kecil watak Sandangau memperlihatkan ciri-ciri yang tidak pernah ada wujud dalam masyarakat tersebut. Dikatakan tabiat watak Sandangau ialah mempunyai nafsu makan yang amat luar biasa. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang serba kekurangan (miskin tegar) mereka tidak mampu memenuhi selera makan anak mereka yang luar biasa itu. Maka, ibu bapa kanak-kanak tersebut terpaksa mengambil keputusan untuk menghalau Sandangau keluar pomugunan (daerah) mereka. Oleh hal yang demikian bermulalah Sandangau mengembara bagi memenuhi kehendak nafsu makannya yang luar biasa itu. Walau bagaimanapun, di akhir cerita rakyat ini digambarkan bahawa ahli keluarga ini bersatu kembali. Dan yang lebih menggembirakan Sandangau membawa pula harta pencarian yang melimpah ruah sehingga akhirnya mereka sekeluarga hidup bahagia.
Sementara itu, turut diselitkan ialah pelanggaran norma dan keengganan mendengar nasihat daripada kedua ibu bapa terjadi dalam cerita rakyat Legenda Tuyu-uyu. Dalam cerita rakyat ini diceritakan bahawa seorang budak perempuan telah menjadi seekor burung punai kerana melanggar pantang, iaitu larangan turun ke tanah pada waktu senja. Perempuan remaja yang tinggal keseorangan di rumah, telah mengisi masa lapangnya dengan menjahit. Sewaktu remaja perempuan itu sedang menjahit pakaiannya, tiba-tiba tanpa sengaja jarum yang digunakannya terjatuh ke bawah rumah. Oleh sebab keinginannya yang mendesak untuk mendapatkan jarum itu maka remaja perempuan itu turun ke tanah. Maka, oleh sebab dia telah melanggar pantang secara tiba-tiba remaja perempuan itu bertukar menjadi burung tuyu-uyu (burung punai). Sehingga kini dikatakan burung punai terus kedengaran keridaunya yang membayangkan kerinduan dan kekesalan atas perbuatannya yang telah lalu.
Dalam cerita rakyat berjudul Landang Om Kara pula memperlihatkan ketidakpatuhan hidup bersama dalam sebuah komuniti. Cerita ini berkaitan ikatan kekeluargaan yang longgar akan mewujudkan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan penghuni sesuatu tempat. Mereka akan mencipta beberapa tipu helah bagi menjatuhkan yang lain. Kesannya akan menyebabkan ketidakharmonian dan ketidaktenteraman dalam sebuah masyarakat. Hal ini menunjukkan ikatan kekeluargaan yang harmoni dapat menjamin kesejahteraan hidup, jika sebaliknya berlaku akan mewujudkan masyarakat yang kucar-kacir.
Kajian terhadap tangon-tangon etnik Kimaragang menunjukkan sistem kekeluargaan amat dipelihara dan menjadi asas kepada aktiviti kehidupan sehari-harian pada zaman dahulu kala. Perkara tersebut boleh dikesan dalam cerita rakyat berjudul Panglima Tambangon dan Penguda dan Gingiriyok dan Gingiritai. Cerita rakyat ini memperlihatkan hubungan kekeluargaan yang erat yang mewakili masyarakat pada ketika itu. Dalam Panglima Tambangon dan Paglima Ponguda, biarpun kedua-dua anak yang dilahirkan dalam keluarga itu beribukan haiwan tetapi kedua-dua anak lelaki tersebut membesar dan menjalankan peranan sebagai manusia biasa. Sebagai anak yang dilahirkan oleh ibu berlainan serta dari golongan haiwan pula, nenek yang menjaga dan membesarkan mereka dapat menerima kenyataan itu. Nenek yang membesarkan anak-anak tersebut dapat menerima kenyataan bahawa segala yang terjadi itu adalah atas ketentuan dan kebesaran Tuhan yang mereka percayai. Justeru melalui kedua-dua anak tersebut membolehkan watak Nenek Kopokuwan dapat membentuk keluarganya sendiri. Maka, pengalaman yang dilalui oleh watak-watak dalam cerita rakyat tersebut jelas memberikan pelajaran dan ingatan kepada khalayak bahawa pengalaman dengan alam akan membentuk keperibadian masing-masing, sama ada, bertindak bijak atau sebaliknya jika berhadapan dengan sesuatu fenomena alam atau peristiwa.
Nama anak gergasi dalam cerita rakyat yang berjudul Dudungit, iaitu Dudungit ku Dudungit, tatas do mogundalok, ngit kangkung kawadan pula merupakan pernyataan tentang nama-nama tumbuhan yang mereka kenali pada zaman tersebut, iaitu pokok mogundalok dan kangkung kawadan. Secara ringkas, pokok-pokok ini tumbuh banyak di persekitaran mereka dan boleh dijadikan sayur ulam-ulaman. Keadaan ini jika dihubungkaitkan dengan budaya masyarakat Kimaragang merupakan suatu keadaan yang biasa terjadi terutama dalam sistem kekeluargaan yang masih mengamalkan budaya mahupun tradisi lama, misalnya ibu bapa menamakan anak-anak mereka berdasarkan benda-benda yang akrab dengan mereka. Nama yang diberikan kepada anak gergasi tersebut berdasarkan pengalaman yang dialami oleh ibu bapanya dalam interaksi dengan alam. Nama yang diberi itu memudahkan ibu bapa gergasi tersebut senang mengingati nama anaknya. Namun, nama yang agak panjang itulah yang dieksploitasi oleh kedua-dua watak lain (manusia) dalam cerita rakyat tersebut. Dalam cerita ini, anak gergasi tersebut sering terlupa menyebut namanya sendiri. Watak Kolintagu berjaya melepaskan diri daripada jerat anak gergasi tersebut kerana kegagalan anak gergasi tersebut memberitahu namanya sendiri.
Melalui aspek moral, menamakan seorang anak yang panjang mempunyai kebaikan dan keburukannya. Pada zaman ini, ramai ibu bapa yang menamakan anaknya dalam tiga ke empat perkataan, sehinggakan mungkin memberikan kesulitan kepada anak tersebut dalam urusan peribadi pada masa akan datang. Trend dan perubahan ini memang tidak dapat dielak berlaku dalam masyarakat kini. Namun biapun begitu, secara amnya pemupukan sikap bermoral dan berhemah akan melahirkan insan yang berguna kepada masyarakat lain. Maka nilai yang baik perlu wujud dalam sebuah keluarga, yang sudah pasti menyuburkan kepimpinan yang berhemah (bagi ibu bapa).Sebuah keluarga yang sempurna dapat pula menyumbang sesuatu kepada pembentukamn sebuah masyarakat. Maka wujudlah masyarakat yang bertanggungjawab, amanah dan jujur yang mendorong ke arah kehidupan yang berbudaya dan dapat pula menyumbang sesuatu yang bermakna kepada negara.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Tangon-tangon etnik Kimaragang merupakan salah satu medium yang sesuai untuk memberikan pengajaran tentang nilai-nilai positif. Justeru, Tangon-tangon etnik Kimaragang, ternyata tersirat dengan segala mujarab ilmu yang mendorong suatu anjakan ke arah yang hampir sempurna sifatnya.Masyarakat lama meletakkan nilai moral sebagai ukuran berhasil atau tidaknya amalan sesebuah masyarakat.Pada umumnya gambaran watak-watak dalam cerita rakyat adalah realistik dan boleh diterima oleh akal yang logik ke arah melahirkan pengajaran yang boleh diterima umum. Penting dilihat dan dinilai bahawa cerita rakyat sebagai harta atau khazanah kepengarangan insan seni kerana ia adalah nilai kesedaran masyarakat terdahulu yang mempunyai keupayaan untuk mencapai, mempertahan dan mengabadikan diri ke arah kemakmuran melalui usaha memecah tembok budaya dalam kepelbagaian etnik dalam negara. Unsur pemikiran,kepercayaan dan amalan masyarakat yang terpancar menerusi cerita rakyat pula memberikan impak yang menyeluruh dan lebih teliti. Para pendengar atau pembaca akan dapat menangkap makna dan tanda yang disembunyikannya.
Konklusinya, tangon-tangon (cerita rakyat) memperkasa cara berfikir dan kepercayaan supaya mengamal dan menyebarluaskan sikap berbalas kasihan, bekerjasama, bertimbang rasa, saling memahami dan saling memaafkan dalam sesebuah keluarga. Nilai-nilai moral tersebut akan mewujudkan bentuk keluarga yang bergerak ke arah permuafakatan, menghargai masa,bijak berasimilasi dengan alam dan menyesuaikan diri dengan ahli keluarga lain. Hal ini jika diperkukuhkan akan mewujudkan sesebuah keluarga bahagia yang boleh memacu kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sejagat.
Rujukan:
Adi Fahrudin, Husmiati dan Mohd Dahlan Haji A. Malek, 2014.Kefungsian Keluarga: Konsep dan Indikator Pengukuran dalam Penyelidikan. Seminar Kebangsaan Integriti Keluarga (SKIK), 11 Disember 2014. Universiti Malaysia Sabah.
Jacqueline Pugh-Kitingan, 2012. Kadazandusun. Siri Etnik Sabah. Kuala Lumpur Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Mohd. Fahmi Ismail, 2016. Nilai Budaya dalam Cerita Rakyat Masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang, Kelantan, Malaysia. Universiti Putra Malaysia (Tidak diterbitkan).
Muhammad Haji Salleh, 2008. Permata di Rumput, Gilang Sastera sebagai Ruang Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Topin, Benedict, 1996. Sharings on Kadazandusun Culture,Penampang: Sabah State Library, Penampang Branch.