SYARIFAH menangis teresak-esak. Dia menutup muka dengan gebar putih. Dia tidak mahu bertemu dengan sesiapa pun. Dia berasa amat malu!
Tangan dan kakinya berbalut. Rasa kebas masih terasa walaupun kecederaannya sudah semakin pulih. Hampir sepurnama dia terlantar di wad hospital kerana kecederaan itu. Baru seminggu selepas dia benar-benar sedar akan perkara yang telah berlaku.
“Syarifah,” sapa seorang wanita pertengahan umur.
Syarifah tetap membatukan diri. Syarifah terus menangis teresak-esak. Hidupnya dirasakan tiada erti lagi. Semuanya telah musnah. Dia tidak tahu bagaimana dia harus menempuh liku-liku hidup yang akan mendatang.
“Syarifah, mak cik datang. Kamu dibenarkan pulang hari ini,” kata wanita itu.
Syarifah tidak berkata apa-apa. Kalau boleh, dia ingin memejamkan mata dan tidur sepanjang hari. Dia tidak sanggup meneruskan kehidupan dalam keadaan cacat sebegitu.
Kemalangan jalan raya yang menimpanya telah meragut kebahagiaan hidupnya. Ibu dan bapa serta adik-beradiknya meninggal dunia di tempat kejadian. Dia pula mengalami kecederaan yang amat teruk.
Wanita yang menggelarkan dirinya “mak cik” itu mengusap-usap badan Syarifah yang diselimuti selimut. Rambut Syarifah juga diusap-usap dengan penuh kasih sayang. Belaian itu sama seperti belaian ibu yang menidurkan Syarifah dahulu.
Perlahan-lahan Syarifah menoleh. Pipinya basah dengan linangan air mata. Rupa-rupanya pandangan wanita itu sedikit kabur dek air matanya yang bergenang.
“Mak cik,” kata Syarifah, sepatah. Hatinya rawan lalu dia terus menangis.
“Syarifah.”
Wanita itu memeluk Syarifah dengan erat. Dia seolah-olah dapat memahami penderitaan yang dilalui oleh Syarifah. Tugasnya kini bertambah berat kerana dia harus menjaga Syarifah dan membantunya meneruskan hidup dalam keadaan serba-serbi yang kekurangan.
“Bersabarlah Syarifah, ini semua ujian,” pujuk wanita itu.
Badan Syarifah terhinggut-hinggut. Tangisannya masih belum reda. Terlalu banyak yang mengganggu perasaan dan fikiran ketika ini. Dia takut dan bingung.
Syarifah berasa seolah-olah hidupnya sudah kosong. Seperti tiada harapan lagi untuk mencapai sinar hidup. Kini, dia tinggal sebatang kara setelah kematian ahli keluarganya.
“Syarifah cacat mak cik, cacat!” luah Syarifah tersedu sambil menangis.
Hati wanita itu turut tergores. Dia sedih melihat keadaan Syarifah.
“Bersabarlah Syarifah. Biarpun keadaan kamu begini, mak cik tetap sayang kamu. Mak cik akan menjaga kamu. Kasih sayang mak cik tidak akan berbelah bahagi,” kata wanita itu meyakinkan Syarifah.
Syarifah dibawa pulang ke rumah. Agak sukar juga pada mulanya hendak memulihkan semangat Syarifah. Setiap malam, dia asyik mengigau kerana terkenang akan peristiwa keluarganya yang ditimpa kemalangan.
Peristiwa kemalangan itu juga sering mengganggu fikiran Syarifah. Dia menjadi bertambah muram dan suka bersendirian kerana kecacatan yang dialaminya. Sebelah tangannya lumpuh akibat kemalangan tersebut.
Atas nasihat doktor pakar, Syarifah dibawa berjumpa dengan kaunselor. Di situlah dia mendapat bimbingan dan nasihat. Selepas beberapa sesi rawatan, masalah kemurungan yang dihadapinya akhirnya menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh.
Selepas beberapa purnama, Syarifah semakin ceria. Dia sudah mula menerima hakikat bahawa dirinya cacat. Layanan baik yang diterima daripada keluarga mak ciknya banyak membantu proses tersebut.
“Syarifah, kamu tidak harus berasa rendah diri. Walaupun cacat, kamu mempunyai hak yang sama rata untuk hidup bahagia. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikannya. Itu hak kamu dan kamu harus menjalani kehidupan yang sebaiknya,” kata mak ciknya dengan niat mahu memulihkan semangat Syarifah.
Syarifah mengangguk faham.
“Kamu harus tabah. Jangan sesekali mudah berputus asa. Betapa ramai orang cacat di dunia ini, namun mereka masih boleh berjaya dan mengecapi kebahagiaan. Jangan jadikan kecacatan sebagai satu halangan,” ucap mak ciknya lagi memberikan dorongan.
Syarifah bersyukur kerana dia masih memiliki seorang ibu saudara yang amat mengambil berat akan dirinya.
“Mak cik akan selalu melawat kamu. Belajarlah rajin-rajin.”
Syarifah mengangguk lagi. Hatinya berdebar kerana dia akan memulakan hari baharu sebagai pelajar sekolah khas. Dia tidak tahu sama ada dia mampu belajar di sekolah itu atau sebaliknya.
“Mak cik, saya takut!”
“Mengapa pula kamu takut?”
“Syarifah tidak biasa di sana.”
Mereka sedang bersiap-siap untuk ke sekolah khas.
“Lama-kelamaan nanti kamu akan biasa, usah khuatir. Pandai-pandailah kamu membawa diri. Jangan segan-segan untuk bertanya jika kamu menghadapi masalah. Jika malu bertanya sesat jalan.”
Mak ciknya menyikat rambut Syarifah. Rambutnya panjang separas bahu. Selepas disikat, Syarifah memakai anak tudung dan mengenakan sepasang tudung bawal. Syarifah kelihatan ayu dan manis sekali umpama andani.
“Ingat pesan mak cik, belajarlah rajin-rajin. Jangan malas. Patuhi peraturan sekolah dan asrama. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”
“Tapi mak cik, siapa yang akan sudi berkawan dengan Syarifah nanti?” tanya Syarifah yang dihantui rasa hati yang serba tidak keruan.
“Tak usah bimbang. Ramai murid lain yang sebaya dengan kamu di sana. Kamu haruslah ringan mulut, barulah dapat ramai kawan. Bak kata pepatah, masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak.”
Syarifah menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia melepaskan semula nafasnya secara perlahan-lahan.
Kini, dia sudah pun berada di sekolah khas.
“Mak cik, berapa lama Syarifah harus berada di sini? Mak cik jangan tinggalkan Syarifah,” rayu Syarifah. Nada suaranya sebak menyembunyikan galaunya perasaan.
Mak ciknya menggeleng-gelengkan kepala. Pipi Syarifah dicubit mesra.
“Kamu harus kuatkan semangat. Kamu mesti cekal. Jika orang lain boleh berjaya mengapa kamu tidak?”
Mak ciknya memberikan contoh beberapa orang tokoh kurang upaya yang telah berjaya sebelumnya.
“Sukur Ibrahim. Meskipun cacat anggota tangan dan kaki, Sukur tetap cekal mengejar impian. Kini, dia sudah lapan tahun mengusahakan perniagaan pemasangan karpet melalui syarikat miliknya, D Strike Solution Sdn. Bhd. sejak tahun 2010 sehingga dia memenangi Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan (Keusahawanan). Dia mendapat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Malah dia juga merupakan seorang Agency Supervisor di CIMB Wealth Advisors. Namun, apa yang lebih mengagumkan lagi, dia juga merupakan seorang Perunding Motivasi (termasuk juga di luar negara) dan telah memberikan inspirasi kepada ramai orang!”
“Seterusnya, Profesor Dr. Ismail Salleh, pakar ekonomi OKU yang pertama. Profesor Dr. Ismail Salleh merupakan seorang yang cacat penglihatan sejak dilahirkan. Tapi yang menariknya, walaupun dilahirkan buta, dia berjaya menjadi Senator Pakar Ekonomi OKU pertama di Malaysia. Bukan itu sahaja, dia juga merupakan seorang pensyarah (Naib Kaunselor) di Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (IUCTT).
Menurut akhbar Utusan, nama Profesor Dr. Ismail Salleh telah tercatat dalam Guinness Book of Record sebagai orang cacat penglihatan yang pertama memperoleh ijazah kedoktoran. Dia juga menjadi Pengerusi East Asia, International Council for the Education of the People with Visual Impairment (ICEVI).
Dalam bidang ekonomi pula, dia telah memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Institut kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Ekonomi, Pusat Perniagaan Malaysia serta Ahli Majlis Perunding Ekonomi Negara II (MAPEN II),” sambung mak ciknya.
Syarifah terdiam seketika. Kata-kata mak ciknya semua benar belaka.
“Seorang lagi kamu tidak harus lupa, Zhariff Affandi, pemilik Syarikat The Zhariff Initiative (TZI) Sdn. Bhd. Zhariff Affandi yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan telah menerima Anugerah Belia Perdana 2011 dan merupakan pemilik Syarikat The Zhariff Initiative (TZI) Sdn. Bhd. Peranan Zhariff Initiative bertujuan untuk memupuk dan membangunkan nilai-nilai sosial bagi agensi korporat, kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan lain.
Dia yang berkelulusan luar negara (bidang perkembangan psikologi dari Universiti Graffith, Australia) serta Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam jurusan sosiologi bertekad untuk membuka syarikat sendiri setelah beberapa kali gagal untuk menempatkan dirinya bekerja di syarikat tempatan,” kata mak ciknya lagi.
“Kamu harus mengikut jejak langkah tokoh-tokoh ini. Buang jauh-jauh perasaan rendah diri dan takut yang bersarang di lubuk jiwamu.” Mak ciknya terus berusaha membakar semangat dalam diri Syarifah.
Syarifah memandang kedua-dua belah tangan dan kakinya. Hanya sebelah tangan kanan dan kaki kiri sahaja yang dapat digerakkan. Kini, dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana.
“Kamu usah bimbang Syarifah. Selagi terdaya, mak cik akan menjenguk kamu setiap minggu. Kamu mintalah apa sahaja makanan yang kamu mahu makan. Mak cik akan masak dan bawa ke sini.” Kata mak ciknya memujuk hati Syarifah yang gundah gulana.
“Terima kasih mak cik.” Syarifah menyapu air matanya yang bergenang. Seakan mendapat nafas baharu, kini Syarifah lebih bersemangat untuk berdikari dan ingin berjaya seperti orang lain. Syarifah berasa sangat terharu akan kata-kata semangat daripada mak ciknya itu.
Berkat sokongan keluarga mak ciknya, Syarifah terus menguatkan semangat. Dia tahu bahawa dirinya harus berfikiran positif. Dia tidak sepatutnya terus bersedih dan menjadikan kekurangan dirinya sebagai batu penghalang untuk mengecapi kejayaan.
Di sekolah itu, Syarifah belajar berbagai-bagai perkara. Dari segi akademik, tidak banyak bezanya daripada persekolahan biasa. Namun begitu, terdapat aktiviti lain yang istimewa. Mereka diajar pelbagai kemahiran supaya dapat bersaing dengan orang normal yang lain.
Pada peringkat permulaannya, Syarifah berasa janggal juga tinggal di asrama sekolah khas itu. Dia belum biasa sepenuhnya untuk mengurus diri sendiri dengan baik. Semua perkara jadi serba tidak kena. Dia berasa terbeban sehingga sering menangis dan hampir putus asa.
Sering kali juga Syarifah terfikir untuk balik dan tinggal sahaja dengan mak ciknya. Walau bagaimanapun, dia bimbang akan menyusahkan mak ciknya pula.
‘Sampai bila aku hendak terus begini?’ bisiknya dalam hati seakan cuba memujuk diri sendiri.
Syarifah ingin berdikari dan melakukan berbagai-bagai perkara dalam hidupnya. Dia ingin menjalani kehidupan biasa seperti orang lain juga. Malangnya kecacatan tangan dan kakinya tidak mengizinkan dia berbuat sedemikian rupa.
Syarifah terpaksa melakukan segala aktiviti bermula daripada asas. Dalam keadaan sebegitu, Syarifah berasa bersyukur kerana mak ciknya tidak putus-putus memberikan dorongan kepada dirinya. Nasib baik juga ada penyelia asrama dan kakitangan sekolah yang membantunya.
Rakan-rakan baharu Syarifah juga tidak terkecuali. Mereka juga turut memberikan dorongan, bantuan dan melayannya dengan ramah. Setelah beberapa lama berada di sekolah itu, Syarifah berasa semakin seronok dan semakin akrab bersama teman-temannya yang lain.
Di sekolah khas itu, Syarifah belajar pelbagai kemahiran. Kerja anyaman, automotif, pertukangan, kulinari dan seni lukis. Walau bagaimanapun, Syarifah lebih cenderung kepada bidang seni lukis.
Syarifah seronok bermain dengan warna. Dia boleh melukis apa-apa sahaja walaupun agak sukar pada permulaannya. Dia sememangnya gemar melukis.
Ketika sedang khusyuk melukis, Syarifah dimaklumkan akan kedatangan mak ciknya. Setiap minggu mak ciknya tidak pernah lupa untuk melawat Syarifah.
Syarifah berhenti melukis seketika lalu menolak kerusi rodanya ke bilik tetamu berdekatan. Pada penglihatannya, mak ciknya sedang menunggu. Lantas mereka saling berpelukan melepaskan kerinduan yang terpendam di lubuk jiwa masing-masing.
“Kamu apa khabar Syarifah? Bagaimana dengan pembelajaran kamu?”
“Alhamdulillah, semakin baik. Apa yang mak cik bawa pada hari ini?” tanya Syarifah penuh ceria.
“Nasi lemak daging rendang. Masakan kegemaran kamu,” balas mak ciknya.
Bersinar-sinar cahaya kegembiraan dari mata Syarifah mendengar kata-kata mak ciknya itu. Sememangnya itu makanan kegemaran Syarifah.
“Sedapnya mak cik!” puji Syarifah.
“Bukankah mak cik telah berjanji? Mak cik bukannya orang yang suka memungkiri janji. Kamu makanlah sepuas-puasnya,” balas mak ciknya.
Hatinya gembira melihat perubahan pada diri anak saudaranya. Kini, Syarifah kelihatan lebih ceria berbanding mula-mula masuk ke sekolah khas tersebut.
“Ada apa-apa yang menarik ingin kamu kongsikan kepada mak cik minggu ini?” tanya mak ciknya ingin tahu.
“Syarifah belajar melukis. Sudah sepurnama. Susah juga hendak siapkan sebuah lukisan dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Kadangkala, habis comot lukisan Syarifah sebab warnanya asyik tertumpah,” jawab Syarifah.
“Alah bisa tegal biasa. Jika selalu dilakukan kelak akan mahir juga. Jangan berputus asa.” Nasihat mak ciknya.
“Kata cikgu di sekolah ini, dua minggu dari sekarang pihak sekolah akan mengadakan pameran seni lukis untuk mempamerkan lukisan kami. Mana-mana lukisan terpilih akan dicetak dan akan dijual di pasaran untuk mengisi tabung kebajikan sekolah.” Cerita Syarifah kepada mak ciknya.
“Wah, baguslah begitu!”
“Syarifah hendak siapkan satu lukisan yang istimewa. Akan tetapi…”
“Tetapi apa Syarifah? Kamu tidak yakin akan kebolehan kamu?” tanya mak ciknya.
“Kemungkinan besar lukisan Syarifah tidak akan terpilih. Kerana ramai lagi pelajar lain yang lukisannya cantik-cantik belaka,” jawab Syarifah ringkas.
“Jangan berhenti sekerat jalan. Belum cuba belum tahu. Cubalah dahulu. Kata orang alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Genggam bara api biar sampai jadi arang.”
Mendengar nasihat daripada mak ciknya, Syarifah memandang lukisan yang dihasilkannya. Dia tersenyum puas. Lukisan itu akhirnya siap setelah sepurnama dia bertungkus-lumus.
‘Aku namakan lukisan ini “Lukisan Rindu”,’ bisik hatinya.
Lukisan itu menggambarkan seluruh ahli keluarganya dan keteguhan hatinya yang menjalani hidup sebagai seorang yang kurang upaya. Tidak lupa juga, lukisan itu turut menggambarkan rasa kasih sayang terhadap ibu saudaranya yang banyak memberikan kata-kata semangat dan dorongan untuk terus berjaya selama hayatnya dikandung badan.
Lukisan Syarifah terpilih untuk menyertai pameran yang akan diadakan di sekolahnya. Lukisannya itu juga terpilih untuk dicetak dan akan dijual.
Syarifah tersenyum puas melihat hasil titik peluhnya selama ini membuahkan hasil. Kini, dia semakin bersemangat untuk menempuh hidup yang penuh pancaroba. Siapa sangka, kesabarannya mengharungi liku-liku kehidupan telah mengembalikan kebahagiaan yang Syarifah dambakan selama ini.