Kunjungan ke negeri Melaka tidak lengkap sekiranya tidak menikmati masakan istimewa negeri Melaka, iaitu asam pedas hasil air tangan tukang masak dari negeri Melaka. Demikian sinonim dan terkenalnya asam pedas Melaka di negara kita. Asam pedas dan negeri Melaka berpisah tiada. Melaka terkenal kerana keenakan asam pedasnya yang berbeza daripada negeri-negeri lain di tanah air kita.
Sehubungan dengan itu, uniknya asam pedas Melaka tidak menggunakan daun kesum dan bunga kantan yang kebiasaannya digunakan di negeri Johor, Terengganu, Pahang dan lain-lain negeri di negara kita. Asam pedas Melaka menggunakan bahan rempah ratus segar seperti kunyit, halia, buah keras, cili kering, serai dan daun limau purut serta lada hitam biji bagi menambahkan aroma dan kesedapannya. Seterusnya, asam pedas Melaka yang pekat, pedas dan gabungan rasa masam, manis dan masin yang seimbang ini menarik perhatian pelbagai pengunjung dari seluruh pelosok negara. Penggunaan ikan pula terpulang kepada selera pengunjung. Ada yang gemar akan ikan jenahak, merah, pari, kembung, tenggiri atau pilihan lain seperti telur ikan tenggiri, daging tetel atau tulang lutut lembu yang menjadi pilihan pengunjung mengikut cita rasa masing-masing.
Oleh sebab keistimewaan inilah, maka asam pedas Melaka menjadi tarikan utama pelancongan di negeri Melaka. Terdapat banyak restoran atau gerai yang menyediakan juadah asam pedas. Antara restoran asam pedas yang pernah penulis kunjungi di Melaka termasuklah Asam Pedas Claypot Kota Laksamana, Asam Pedas Pak Man Ujong Pasir dan Asam Pedas Kak Nora, Medan Selera Semabok. Ketiga-tiga restoran ini mempunyai keunikan masing-masing dan rasa yang berbeza namun sedap dan memenuhi cita rasa penulis.
Penulis tertarik dengan sebuah laman web popular, http://siraplimau.com yang menyenaraikan tujuh kedai asam pedas yang mesti dikunjungi oleh pengunjung yang datang melancong ke negeri Melaka. Antara kedai yang disenaraikan termasuklah Asam Pedas Claypot Dahlia Ria Corner dan Ujang Asam Pedas yang terletak di Medan Selera Pasar Borong Batu Berendam. Dua kedai makan ini memang menjadi pilihan pengunjung yang datang ke Melaka.
Sementara itu, Asam Pedas Pak Man juga bukan calang-calang. Rasanya yang sedap berjaya memikat hati masyarakat di negeri Melaka dan pengunjung yang datang ke Melaka. Restoran Asam Pedas Pak Man terletak di Bukit Katil. Menu utamanya asam pedas telur tenggiri menjadi pilihan peminat asam pedas yang berkunjung ke Restoran Asam Pedas Pak Man. Rata-rata pengunjung memberikan nilai 8-10 markah untuk rasa dan kualiti asam pedas telur tenggiri.
Seterusnya, Restoran Selera Hang Tuah memang terkenal dalam kalangan orang Melaka yang dikenali sebagai “Warung Asam Pedas Lampu Isyarat Duyong”. Restoran ini sudah berpuluh-puluh tahun beroperasi dan menyediakan hidangan asam pedas asli turun-temurun. Yang uniknya, hidangan asam pedas di sini menyediakan asam pedas selain ikan, seperti tulang lutut lembu (gearbox). Lokasi restoran ini, jika pengunjung dari bandar Melaka boleh melalui jalan ke Bukit Katil, di simpang empat arah ke kanan menuju ke perkampungan Hang Tuah, dan di sebelah kiri hala ke Semabok Dalam. Dari lampu isyarat tersebut, restoran ini berada di sebelah kiri.
Untuk makluman pengunjung yang belum pernah pergi ke Melaka, di kawasan Bukit Katil, terdapat banyak restoran asam pedas yang popular. Selain Pak Man Asam Pedas dan Restoran Selera Hang Tuah, terdapat Asam Pedas Station Nooraidah Haji Isenin di Taman Saujana Puri, Bukit Katil. Sekiranya berkunjung ke Bukit Katil, pengunjung boleh memilih salah satu antara tiga restoran ini. Rasa dan kualiti asam pedas restoran ini sememangnya diakui oleh masyarakat setempat dan pengunjung luar yang sudah merasai kesedapannya. Pastinya asam pedas tiga buah restoran ini tidak akan mengecewakan pengunjung yang baru pertama kali berkunjung ke negeri Melaka.
Jika pengunjung tidak mahu berjalan jauh dan hanya mahu menginap di bandar Melaka, terdapat Restoran Asam Pedas Lot 35. Restoran ini terletak di belakang Pasar Raya Mahkota Parade. Selain Asam Pedas Lot 35, pengunjung juga boleh mencuba Asam Pedas Selera Kampung yang terletak di Jalan PM 3, Plaza Mahkota. Asam Pedas Selera Kampung ini juga salah satu kedai yang popular di sekitar bandar Melaka. Sementara itu, Restoran Selera Ibuku yang terletak di Jalan Lagenda 1, Taman Lagenda pula boleh menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung yang membeli-belah di pasar raya AEON dan Tesco. Menu popular di Selera Ibu ialah asam pedas ikan patin. Namun demikian, terdapat juga jenis ikan lain yang boleh didapati di restoran ini. Yang istimewanya, kawasan medan selera ini selesa kerana baru dinaik taraf dan boleh memuatkan ramai pelanggan pada waktu puncak. Bagi pengunjung yang menginap di bandar Melaka, bolehlah berkunjung ke Restoran Selera Ibuku yang menjanjikan asam pedas yang lazat dan membuatkan pengunjung mahu berkunjung lagi pada masa depan.
Setiap negeri mempunyai keunikan dan pelbagai jenis hidangan yang menarik kedatangan pengunjung untuk datang melancong ke negeri tersebut. Tidak terkecuali negeri Melaka. Sejak dahulu, apabila sebut negeri Melaka, akan terbayang keenakan asam pedas yang merah, pedas dan rasa yang enak hingga membuatkan pengunjung sukar melupakan menu yang sangat popular itu. Asam pedas sememangnya hidangan yang dapat mengeratkan hubungan antara semua kaum di Malaysia kerana bukan hanya menu hidangan masyarakat Melayu tetapi juga digemari oleh bangsa Cina dan India serta kaum-kaum lain di Malaysia.
Asam pedas umpama utuhnya hubungan kekeluargaan. Apabila pelbagai rempah ratus seperti kunyit, halia, jintan, serai, lada hitam, halba, bawang putih, bawang merah dan cili kering digiling sehingga lumat dan ditumis sehingga naik bau, hal ini berupaya mengeratkan lagi rasa hidangan asam pedas. Apabila rempah ratus yang ditumis itu mesra dan dicampurkan pula dengan protein segar seperti ikan parang, jenahak, merah, pari atau kembung, rasa asam pedas itu berpadu dengan baik dan meningkatkan lagi selera makan penggemarnya. Rasa pedas, manis, masin dan masam boleh diertikan sama dengan kehidupan masyarakat Melayu yang saling bersatu padu dan saling membantu untuk mempertahankan kedaulatan negara kita. Kesepaduan rasa pedas, manis, masin dan masam itu menggambarkan bahawa sungguhpun pernah berselisih faham, namun kembali bersatu demi negara yang tercinta.
Sungguhpun jauh di negeri Melaka, rakyat Malaysia dari utara, timur dan selatan serta dari Sabah dan Sarawak sanggup datang ke negeri Melaka untuk merasai keenakan asam pedasnya yang sudah terkenal di seluruh tanah air. Asalnya hanya satu menu yang biasa, menjadi luar biasa kerana kesepaduan rasa asam pedas yang lazat dan istimewa dan berbeza daripada negeri yang lain. Demikianlah hebatnya asam pedas yang disediakan oleh cef yang hebat dari zaman dahulu kala. Terima kasih negeri Melaka. Kesedapan rasa asam pedas yang luar biasa!