Sayidina Ali bin Abi Talib pernah meriwayatkan hadis Rasullullah SAW yang bermaksud:
“Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zamannya kerana mereka hidup pada zamannya. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zaman mereka, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian.”
Ilmu pengetahuan ialah sesuatu yang terus berkembang sesuai dengan perubahan zaman. Jika kita menelusuri sejarah pendidikan di negara kita dari era pramerdeka hingga pascamerdeka, ternyata perjuangan untuk melahirkan masyarakat negara ini yang berilmu serta maju dari segi pemikirannya tidak pernah ada titik noktahnya. Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang ada pada hari ini bermula dengan penzahiran Penyata Razak (1956), Ordinan Pelajaran (1957), dan Penyata Rahman Talib (1961) yang dikenali juga sebagai Akta Pelajaran 1961. Seterusnya, pada tahun 1979 DPK yang dikaji semula oleh Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamed telah memberikan penegasan tentang penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M) di samping penegasan tentang konsep kurikulum ala Malaysia. Selain itu, antara laporan Jawatankuasa Kabinet ini juga bertujuan membuat penilaian tentang keberkesanan DPK dalam usaha untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang dapat memenuhi keperluan negara.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan negara mendepani cabaran dunia yang kian dikuasai oleh sains dan teknologi. Pada tahun 1996, Akta Pendidikan 1996 atau dikenali juga dengan Akta 550 telah digubal untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai daya saing yang tinggi serta bersifat global impak daripada perkembangan pantas sains, teknologi dan maklumat melalui penguasaan ilmu, kepakaran dan nilai murni seiring dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Ahli falsafah pendidikan Amerika, John Dewey (1897: 77-80) dalam makalahnya “My Pedagogic Creed” menyatakan bahawa, “Jika kita mengajar anak-anak kita seperti kita mengajar pada masa lalu, bererti kita telah merompak masa depan mereka.” Kita harus menyedari bahawa majoriti murid atau pelajar yang berada di institusi pendidikan (sekolah dan universiti awam atau swasta) pada masa kini ialah Generasi Z (Gen Z) dan Generasi Alpha. Mereka merupakan golongan yang lahir dalam zaman ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dan pada zaman media sosial mula menggantikan media konvensional. Oleh yang demikian, sudah tentulah kerangka pendidikan yang digubal atau ditambah baik oleh ahli-ahli pendidikan di negara ini mencakupi keperluan pendidikan mereka, terutama dalam era pendidikan digital.
Sehubungan dengan itu, apakah pendidikan digital? Pendidikan digital ialah aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif serta merangkumi pembelajaran tentang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan teknologi untuk melahirkan murid yang fasih digital. Murid fasih digital pula ialah murid yang mempunyai keupayaan untuk menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, bertanggungjawab dan beretika; mampu menghasilkan inovasi; dan menganalisis data secara saintifik tanpa mengesampingkan pembentukan nilai-nilai murni atau adab dalam kalangan murid.
Persoalannya, apakah signifikannya perkara ini dengan pendidikan di Johor? Selain antara negeri yang termaju di Malaysia, Johor ialah negeri yang tidak pernah ketandusan pemimpin (Pengarah Jabatan Pendidikan) yang mempunyai idea dan iltizam dalam usaha untuk meningkatkan tahap serta mutu pendidikan pada peringkat sekolah rendah dan menengah di negara kita sejak tahun 1975 hingga kini.
Lantaran itu, kata-kata semangat seperti Johor One Step Ahead, Johor Top 5, Johor Leads, Johor Showcase, Johor Showcase G2, Pendidikan Holistik, DRONE, dan Lead to Execute merupakan gagasan pemikiran Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam usaha untuk menjadikan Johor sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai kualiti pendidikan terbaik di negara kita. Hal ini membuktikan keseriusan JPNJ mengimplementasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara model pendidikan yang terbaik di Asia mahupun di dunia. Sokongan dan dukungan yang padu daripada Kerajaan Negeri Johor melalui pelbagai jalinan kerjasama dalam program-program berkaitan pendidikan di negeri ini menjadi aspirasi untuk menjayakan pendidikan digital di negeri ini.
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Sesuatu dasar sudah pasti akan berubah atau ditambah baik setiap kali berlakunya perubahan pucuk pimpinan sama ada di negeri ini atau di negara kita. Kita harus berfikiran positif kerana perubahan ini sudah tentunya demi kebaikan masyarakat di negara ini. Nelson Mandela pernah berkata, “Pendidikan ialah senjata atau alat yang berkuasa untuk mengubah dunia.” Jika kita menghayati ungkapan ini, jelaslah bahawa pendidikan memainkan peranan yang cukup besar untuk menentukan maju atau mundurnya sesebuah negara.
Oleh yang demikian, sudah sampai masanya seluruh warga pendidikan, khususnya di negeri Johor menyahut cabaran untuk merealisasikan kejayaan Dasar Pendidikan Digital (DPG) yang diperkenalkan oleh KPM pada tahun 2023. DPG yang diperkenalkan ini selaras dengan beberapa buah gagasan negara seperti Membangunkan Negara MADANI, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Dasar Revolusi Perindustrian Kelima (5IR).
Bagi warga Johor, Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2023) bukan sesuatu yang asing lagi. PPMJ 2023 merupakan gagasan dan iltizam Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan negeri ini berstatus negeri maju menjelang 2030. Teras 2 PPMJ 2030, iaitu Memperkasakan Pelaburan dan Ekonomi Digital jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri ini begitu serius untuk menjadi pemain utama pelbagai sektor ekonomi melalui pelbagai program dan strategi seperti:
- Pelaburan berimpak tinggi;
- Memperkasakan ekonomi digital dan ekonomi kreatif; dan
- Memperkasakan usahawan kecil dan sederhana.
Oleh hal yang demikian, bagaimanakah semua ini dapat direalisasikan? Ya, semuanya akan dapat dicapai oleh kerajaan negeri ini melalui pendidikan yang mampu melahirkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan ekonomi digital menjelang tahun 2030.
Apabila kita berbicara tentang pendidikan digital, gurulah insan yang memikul tanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu dasar pendidikan yang diperkenalkan oleh KPM. Kejayaan dua orang guru besar dan guru-guru dari Johor yang tersenarai dalam lima (5) Terbaik dan 100 Terbaik dalam cabaran “Cikgu Juara Digital 2024” anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Hal ini membuktikan bahawa guru-guru di Johor sama ada daripada jalur kepimpinan hinggalah guru penolong biasa mempunyai kualiti untuk menjayakan DPG ini. Pelahiran guru Edufluencer KPM di Johor bagi mendepani perubahan iklim pendidikan yang berteraskan teknologi digital juga suatu bukti bahawa negeri ini tidak ketandusan guru yang berkebolehan dan berwibawa untuk melahirkan pelajar yang berinovasi dan seterusnya memacu Johor dari segi pembangunan pendidikannya.
Kejayaan dan penyertaan murid dari Johor dalam pelbagai pertandingan seperti Borneo International Robot Tournament 2024, STEM Online Challenge Peringkat Kebangsaan 2021, World Young Inventors Exibitors 2024 dan Pertandingan Robotik World Adolescent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China membuktikan bahawa murid di negeri ini sentiasa bersedia dan menyahut cabaran untuk menghasilkan dan mencipta inovasi dalam bidang berkaitan pendidikan digital. Pelbagai pertandingan dan acara yang berkaitan dengan pendidikan digital yang dianjurkan oleh JPN Johor dengan kerjasama rakan strategik seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Corporation (Jcorp), Media Digital Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan beberapa syarikat korporat lain menunjukkan negeri ini amat bersungguh-sungguh untuk melahirkan inovator muda dalam kalangan murid sekolah. Kelahiran inovator muda di peringkat sekolah merupakan aspirasi JPN Johor yang membangunkan Gerbang Digital Johor yang seiring dengan gagasan Maju Johor 2030.
Oleh yang demikian, murid atau pelajar di negeri ini perlu berani untuk menyahut dan menyertai pelbagai acara yang berkaitan Pendidikan Digital sama ada pada peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa bagi mengetengahkan inovasi atau rekaan yang dihasilkan oleh mereka. Sekolah-sekolah dan murid yang terlibat secara aktif dalam aktiviti Pendidikan Digital ini sama ada melalui pelantar DELIMa (KPM) atau apa-apa juga berkaitan dengannya boleh diberikan pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Johor dan JPN Johor seperti Anugerah Sekolah Model Digital, Anugerah Ikon Murid Digital Johor, Inovator Muda Johor dan sebagainya. Pelibatan murid dan warga pendidikan di negeri dari segi penggunaan aplikasi atau peranti yang dibekalkan oleh KPM, JPN Johor, dan Kerajaan Negeri Johor secara optimum dapat dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk melihat kejayaan pendigitalan pendidikan di negeri ini.
Sejajar dengan hal tersebut, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 dalam Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, Puan Norlizah Noh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor yang disiarkan oleh Media Digital Johor pada 5 Disember 2022, menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor akan memberikan perhatian yang sepenuhnya dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan murid dalam teknologi digital, memperkaya kandungan digital yang berkualiti, memperkasakan kompetensi guru serta membudayakan penggunaan teknologi digital, mengupayakan infrastruktur dan mengukuhkan jalinan strategik.
Selain itu, beliau turut membentangkan enam (6) langkah Kerajaan Negeri Johor ke arah merealisasikan hasrat ini, iaitu:
- Sentiasa menggalakkan pembudayaan digital dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah;
- Aktiviti pertandingan inovasi dalam kalangan guru dan aktiviti serta pertandingan kokurikulum dilaksanakan untuk menyemarakkan pembudayaan penggunaan teknologi;
- Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah membangunkan Gerbang Pendidikan Digital untuk digunakan oleh warga pendidikan khususnya guru dan murid;
- Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Johor memainkan peranan dalam aspek peningkatan kompetensi digital guru dan murid;
- Penubuhan pasukan guru pembimbing dikenal sebagai Guru Adiwira Digital Johor Educator Team (GADJET) pada 16 Jun 2022 dengan kekuatan seramai 172 guru melibatkan 11 daerah; dan
- Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengadakan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi membantu meningkatkan jaringan ke arah pendigitalan.
Bagi menyeimbangkan antara keperluan Pendidikan Digital dengan pembentukan sahsiah dan karakter murid yang berakhlak serta mempunyai identiti yang tersendiri, JPN Johor telah memperkenalkan Modul Karakter Murid Johor (KrMJ) 2.0. KrMJ 2.0 yang mengandungi 10 modul, iaitu patriotik, keterampilan diri, adab dan kerohanian, gaya hidup sihat, keterampilan berbahasa, kepimpinan, teknologi, identiti nasional, seni budaya dan sukarelawan telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi, Menteri Besar Johor di KSL & Resort Hotel Johor Bahru pada bulan April 2024.
Dengan pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor ini melalui kerjasama yang kolaboratif dengan JPN Johor, impian untuk melahirkan lebih ramai Amzar bin Roziman, murid SK Bandar Penawar 2 yang dicalonkan dalam Digital Utilisation and Technology Award 2021 (DUTA 2021): Ikon Murid Digital Robotik Peringkat Kebangsaan 2021. Murid ini juga pernah memenangi Young Engineer Award Winner: Make X Spark Robotics Online Competition – Code for Health, peringkat antarabangsa anjuran Telaga Biru dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia Digital Economy (MDEC) serta Tihani dan Jazari Robot.
Kesimpulannya, jika usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor dan JPN Johor ke arah pendigitalan pendidikan ini mencapai objektif dan sasarannya, Johor akan melahirkan ramai inovator muda menjelang tahun 2030. Mereka inilah modal insan yang akan memacu dan membawa ekonomi Johor ke era yang lebih gemilang.