MEREKA ketawa sungguh-sungguh. Sampai mengalir air mata. Beberapa orang yang berhampiran dengan meja mereka sesekali menjeling.
“Ah, biarlah nak jeling sampai juling pun!” hatinya meronta. Mahu sahaja dia bertanya, “Apa pandang-pandang?”
Kedai kopi memanglah begini. Tidak kiralah warung di tepi jalan atau kedai mewah yang berhawa dingin. Semuanya berkonsepkan sembang. Di kampung-kampung lagilah riuh. Tiada sesiapa pun hendak pandang pelik lagi hairan. Silap-silap pakat tambah-menambah kata. Kutuk-mengutuk, melawak kemudian berderai gelak-ketawa. Riuh-rendah seluruh kedai. Gembira.
Sudah dapat berjumpa dengan orang kampung yang lama tidak bertemu, pasti akan ada ketawa dan air mata. Kawan sewaktu kecil-kecil. Eh, waktu budak-budak yang sama-sama main pondok-pondok! Biarlah, walaupun itu kedai kopi berjenama Amerika yang harga secawan kopi sampai berbelas-belas ringgit. Sembang-sembang kena teruskan juga.
“Mu tipu …”
“Aku pula yang salah?”
“Mu ingat senang ka, nak dapat buah beka zaman sekarang ini?”
“Ya Allah, itu gambar aku tengah makan benda alah apa lagi? Cubamu beliak besar sikit biji matamu itu …” dia senyum. Suaranya masih dikawal agar tidak terlalu kuat. Sekumpulan remaja di meja sebelah berkumpul di kedai kopi tetapi masing-masing bermain telefon bimbit. “Dah kenapa budak-budak ini?”
Yati tidak puas hati. Dia sudah lama mengidam makanan autentik itu. Ketika zaman kanak-kanak dan remaja dahulu memang menjadi kegilaannya untuk makan kerabu beka dengan nasi yang masih panas-panas. Tidak perlu lauk lain lagi … hanya kerabu beka dan nasi putih. Bertambah-tambahlah jawabnya.
Setahunya buah beka yang seperti papan bersaiz tapak tangan itu hanya dibuat kerabu. Belum pernah maknya memasak cara lain. Cerita Hadi meliurkannya. Hadi sejak pulang tinggal di kampung ini, pelbagai jenis makanan unik diselongkarnya. Pada masa yang sama, Yati gembira. Teringin hendak makan apa-apa, terus sahaja buat pesanan kepada Hadi. Sepupu Hadi yang berniaga ulam-ulam kampung itu akan cuba mencarinya dan Hadi akan COD kepadanya. Ah, mudah!
Segala kenangan lampau ketika di kampung menjengah ingatannya.
“Mak, benda apa ini, macam papan? Keras pula itu,” dia cuba untuk mematahkan benda yang sedang dipegangnya. Liat.
“Buahlah …” hanya sepatah. Mak masih menyusun ranting-ranting rambutan yang kering agar api segera marak.
Yati masih membelek-belek. Kemudian dia menggigit. “Ah, pahit!” lekas-lekas dia menggabus lidahnya dengan tapak tangan untuk menghilangkan rasa pahit. Berkali-kali diludahnya.
“Dok tebeng kokak buah beka itu buat apa? Kan mak sudah bagi tahu tadi yang buah itu pahit …” maknya ketawa besar.
“Mak kata buah …” Yati masih tidak berpuas hati. Padanya semua buah mesti enak dan manis. Dia paling suka buah manggis. Lebih-lebih lagi dia suka buah kasai. Eh, dia juga suka buah durian isi ganja yang terkenal di Kampung Ulu Tawar itu! Pendek kata semua buah-buah tempatan dia gemar.
“Memanglah buah … tunggulah mak nak buat kerabu dahulu. Nanti baru boleh makan,” masih ada ketawa di akhir kata-kata mak.
Yati masih meludah untuk segera menghilangkan rasa pahit yang masih melekat di lidahnya. Pahit buah beka ini agak lain daripada pahit ubat-ubatan. Itulah yang boleh dijelaskan.
Setelah api menyala, emak mencampakkan buah beka tersebut ke dalam api yang sedang marak. Selang beberapa minit, emak membalik-balikkan buah beka tersebut. Lebih kurang tujuh hingga sepuluh minit apabila kulit buah beka itu terbakar hangus, emak mengais buah tersebut keluar daripada api.
Kemudian emak berpesan kepada Yati. “Hah, tunggu sejuk dahulu, nanti tolong bawa masuk ke dalam rumah. Jangan kelam kabut sangat, terus angkat buah beka yang masih panas-panas itu …” ada senyum di bibir mak.
Emak risau. Yati suka melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. Langkah emak laju menuju ke arah pokok kelapa. Beberapa biji buah kelapa yang gugur emak pungut. Yati masih mencangkung menanti buah beka tersebut sejuk seperti yang dipesan. Dia tidak berani lagi ingkar arahan mak. Tidak pasal-pasal nanti dua kali mendapat susah.
Di kampung banyak tumbuhan atau buah-buahan yang langka boleh ditemui. Selain buah beka yang boleh dibuat kerabu, pucuk buah setar juga enak dibuat ulam mentah. Rasa lemak dan sedikit masam-masam. Jika dicecah dengan air asam, garam dan belacan tumbuk bersama-sama cili padi, sudah pasti bertambah-tambah nasi. Itu belum dikira bunga lengkuas dan pucuk asam gelugur lagi. Ah, semua itu sangat enak untuk dijadikan ulam atau dibuat kerabu. Eh, bunga betik juga enak tau dibuat kerabu dengan serai lengkuas! Barangkali pada pandangan orang di bandar, buah-buah dan daun-daun kayu seperti itu pelik untuk dimakan. Namun, bagi Yati semua itu sangat enak untuk diet harian, jika kena gaya masakannya.
Pokok beka ini selalunya tinggi melayut. Kebiasaannya tumbuh di dalam hutan. Ada juga orang kampung menanamnya di dusun atau kebun getah. Pokok beka ini sangat mudah untuk tumbuh seperti pokok hutan yang lain. Disebabkan agak tinggi, mak akan meminta abang atau abah untuk mengait buahnya. Abah akan kait banyak-banyak kemudian diagihkannya kepada jiran. Yatilah yang akan disuruh untuk memberikannya kepada jiran-jiran.
Buah beka ini saiznya boleh memanjang sehingga satu hasta. Besarnya pula selalunya lebih kurang tapak tangan orang dewasa. Lebih kurang ketebalannya setengah inci. Kulitnya berwarna hijau lumut. Rasanya sudah tentu sangat pahit.
“Pahit berdengung ini, macam mana nak makan, mak?” Dia masih mempersoalkan tentang itu.
“His, lekaslah bawa buah itu masuk ke dapur!” Mak melaung dari arah muka pintu dapur.
Lekas-lekas dia mencapai tangkai buah itu yang masih utuh untuk dibawa masuk ke dalam rumah. “Mak, macam sudah hangus sahaja buah beka ini … boleh makan lagi ka?”
“Ambil pisau itu, kikis bahagian yang terbakar itu,” mak mengarahkan. Dulang dan pisau sudah tersedia di atas lantai.
Yati sangat teruja dapat melakukan kerja-kerja dapur. Sebelum ini ketika dia di sekolah rendah, mak memang melarang keras. Semua perkara “tak boleh” kata mak. Terutama sekali yang melibatkan pisau dan api. Kini apabila sudah berada di tingkatan dua, semua mak akan tunjuk dan arahkan dia untuk melakukannya. Eh, dia juga sudah pandai masak kari ikan haruan bendang! Mak juga puji masakan dia sedap. Lebih menggembirakan hatinya, apabila kali pertama dia tanak nasi guna dapur kayu. Mak puji dia cepat belajar. Nasi yang dia tanak tidak mentah dan juga tidak hangit. Dia sangat-sangat gembira.
“Dok senyum apa lagi … Kukut buah itu biarlah kasar-kasar sikit. Bila nak tertanggal kulit itu, kalau buat kerja lemah lembut lagu itu?” mak berpesan lagi. Bau wangi kelapa parut yang sedang digoreng oleh mak sangat menyelerakan. Habis seluruh rumah semerbak dengan aromanya.
Yati lekas-lekas ikut ajaran mak. Sesekali dia tunjuk kepada maknya agar tidak silap. Nanti kena berleter panjang pula. Silap-silap sampai ke jodoh, maknya akan ramalkan.
“Mak, dah bersih … Yati dah basuh buah beka ini,” semua kesan bakar telah dibuang. Bau harum kesan bakar pada buah beka itu juga mula meruap. Sangat enak baunya. Beberapa kali dia menghidunya.
“Potong macam ini … jangan terlalu tebal atau terlalu nipis. Sedang-sedang sahaja!” Mak mengambil pisau di tangannya lalu menunjukkan saiz yang perlu dipotong.
Yati menurut. Mak juga sudah siap menggoreng kerisik. Lalu kelapa yang sudah digoreng itu diserahkan kepada Yati. “Nah, guna lesung ini … tumbuk sampai pecah minyak. Isi kelapa yang baru-baru digoreng macam inilah lebih rasi untuk buat kerisik buah beka. Nanti mak tunjuk macam mana nak meramu bahan-bahan itu. Lekas tumbuk semua nyiur ini,” lembut mak mengarahkan.
Yati rasa sangat bertuah. Di dalam keluarganya hanya dia anak perempuan yang bongsu. Yang lain semua abangnya. Dua orang sedang menuntut di universiti tempatan. Seorang lagi bekerja askar. Dia juga bercita-cita untuk mengikut jejak langkah dua orang abangnya itu. Mahu belajar tinggi-tinggi sampai menara gading.
“His, kalau ke dapur ini tak boleh berangan-angan! Nanti habis semua hangus dan terbakar. Jangan ralit … kena tumpu,” mak sudah mula berleter.
Yati juga masih ingat beberapa perkara lain yang menjadi larangan keras mak ketika di dapur.
Yang paling dia gerun, menyanyi ketika memasak. Bimbang mendapat suami tua. Aduh, lain macam betul pantang larang yang satu itu!
Besen berisi buah beka yang sudah dipotong tadi diserahkan kepadanya. Mak minta dia yang meramu kerabu beka itu. “Nah, mu buatlah … mak nak makan air tanganmu pula,” mak senyum menyerahkan semua bahan-bahan yang sudah disiapkan.
Segala bawang merah yang sudah dipotong bersama-sama serai yang sudah dimayang halus dimasukkan ke dalam besen yang berisi buah beka. Udang kering yang digoreng tanpa minyak seperti dipanggang, kemudian ditumbuk lumat dicampurkan sekali. “Mak, kerisik ini nak boh banyak mana?” dia kurang yakin tentang sukatan itu.
“Agak-agaklah … lepas itu rasa. Eh, jangan lupa garam dan gula secukup rasa. Cabai melaka itu pun agak-agak juga. Takut pedas sangat pula nanti,” tegas kali ini mak berpesan.
Begitulah ajaran mak, semuanya disuruh agak-agak. Seperti meminta dia cuba jaya. Dia pula meraba-raba mengagak-agak segala sukatan. Hendak tanya banyak-banyak kali, bimbang kena marah. Cuma dia beringat-ingat agar tidak terlajak masin atau terlalu pedas.
Semua makanan sudah siap dihidangkan. Mak minta Yati tunggu sebentar. Selalunya ayah akan balik sebelum waktu zuhur. Mereka akan makan tengah hari bersama-sama. Kemudian akan solat berjemaah. Begitulah rutin hidup mereka tiga beranak. Namun jika hari persekolahan, Yati akan pulang lewat petang. Dia akan berada di sekolah sehingga selepas waktu asar. Banyak hal-hal sekolah akan dibereskan dahulu sebelum pulang ke rumah.
“Assalamualaikum,” seseorang memberikan salam dari halaman rumah. Kedengaran seperti tergesa-gesa.
Mak bergegas ke dalam rumah untuk menyambut tetamu dari pintu utama. Mak kata tak molek jika bawa tetamu masuk ikut pintu dapur. Yati tidak pasti sebab yang dikatakan tidak elok itu. Selalunya apa-apa sahaja pesanan mak, Yati akan turuti. Dia juga tidak pernah bertanya sebab akibat. Jika orang tua-tua berpesan selalunya pasti ada kebaikan. Itulah yang menjadi pegangannya.
“Pak Da ditimpa pokok … dema dah bawa ke hospital.”
Sayup-sayup Yati mendengar berita itu.
Selang beberapa hari ayah meninggalkan mereka sekeluarga untuk selama-lamanya. Mak pula mula murung sahaja selepas ayah pergi. Setahun selepas itu, mak pula pergi meninggalkan mereka empat beradik. Yati berasa sangat sedih. Selepas tamat tingkatan tiga, dia mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Lalu dia tinggalkan kampung untuk hidup berdikari di asrama. Hidup di asrama jugalah dia lebih mengenali Hadi yang sama-sama bersekolah dengannya.
“Nah, aku tak lupa dekatmu … walaupun lakimu tak makan semua ini. Ops …” Hadi menutup mulutnya sambil menyerahkan bekas lut sinar yang berisi kerabu beka. Ada juga sebuah bekas lagi yang berisi jeruk pucuk maman.
Ah, semua itu kegemarannya! “Terima kasih banyak-banyak. Tak sangka mu ingat dekat aku deh,” wajah Yati merona gembira.
“Bukan aku … Mel yang buat semua itu. Aku tahu makan sahaja.” Hadi ketawa.
Semenjak itu, Yati terus berhijrah ke bandar. Dia juga bertemu jodoh dengan lelaki dari bandar yang sama-sama bersekolah dengan mereka. Suaminya itu merangkap kawan Hadi.
Tiada sesiapa lagi di kampung. Rumah pusaka mereka menjadi tempat persinggahan ketika musim perayaan atau cuti sekolah. Abangnya yang bekerja di Kulim selalu juga pulang membersihkan rumah tersebut. Kini sejak Hadi, rakan sebayanya tinggal di kampung, Yati berasa lebih dekat dengan kampungnya. Hadi selalu bercerita tentang kampung halaman mereka. Selalu juga dikhabarkan jika ada orang mengadakan kenduri-kendara, sakit demam dan kematian atau sebagainya.
Rindunya kepada kampung dan juga kenangan lalu terubat. Dia seperti mahu sahaja menjamah kerabu beka dan jeruk pucuk maman ketika itu. Namun di kedai kopi jenama Amerika itu tidak pula menjual nasi.
“Jom, balik … sudah selesai kerja aku!” Mel tercegat berhampiran dengan meja mereka.
“Nah, kopi untukmu … minumlah dulu,” Yati mempelawa Mel.
Mel menghirup seteguk. “His, manis leting! Aku rasa kopi Ulu Tawar sedap lagi …” dia mengerut dahi.
Hadi dan Yati sama-sama ketawa besar mengejutkan budak-budak di meja sebelah yang sedang leka bermain telefon bimbit.
Glosari
ka – ke
dok – kenapa/buat/duduk
tebeng – pulun/gelut
deh – ya
boh – masukkan/letak
COD – Cash on delivery
dema – mereka
leting – sangat/terlampau (untuk konteks manis)