Corak pemerintahan dan pentadbiran mengikut sistem waris di Luak Sungei Ujong, Negeri Sembilan telah diamalkan sejak zaman sebelum wujudnya Kesultanan Melayu Melaka.
Dahulu, setiap pembesar atau dato’ adat yang mengepalai waris-waris di Sungei Ujong berkuasa mengutip cukai dan zakat, selain denda kesalahan jenayah dalam negeri mengikut lingkungan (kawasan atau jajahan) yang diamanahkan.
Walau bagaimanapun, apabila British campur tangan dalam pemerintahan setelah termeterainya perjanjian pada tahun 1895 dengan pembesar yang memerintah Negeri Sembilan, dato’ adat ini hilang kuasa mengutip cukai dan denda (kecuali zakat) dan kehilangan kuasa itu digantikan dengan elaun pencen seumur hidup.
Bagi Luak Sungei Ujong, British mengguna pakai sistem waris adat zaman purbakala Sungei Ujong untuk memudahkan pemberian elaun pencen seumur hidup kepada dato adat yang kehilangan kuasa mengutip cukai dan denda.
Perihal ini pernah dirakamkan menerusi surat Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu Sir William Hood Treacher kepada Residen British Negeri Sembilan, Walter Egerton pada April 1903.
Dalam surat itu, Residen Jeneral memohon Residen British di Negeri Sembilan memperincikan makna Waris di-Darat dan Waris di-Ayer Luak Sungei Ujong bagi membezakan sistem waris yang turut digunakan oleh kerabat diraja Perak.
Menerusi dokumen rasmi pada April 1903 berkenaan, ternyata sistem waris Luak Sungei Ujong bukan asing dan baharu. Malah diperakui oleh pentadbiran kolonial British dan diteruskan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan Persekutuan hingga kini.
Kedudukan waris bagi Luak Sungei Ujong telah pun diakui sah dan dimaktubkan dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Di Luak Sungei Ujong, Waris Klana Waris di-Ayer dan Waris Andulika Mandalika dikenali sebagai Waris Negeri bagi Sungei Ujong, berkedudukan sama seperti kerabat diraja Perak.
Perbezaannya hanya pada garis nasab, yang bermakna Perak mengikut nasab bapa manakala Waris Negeri Sungei Ujong mengikut nasab ibu.
Terdapat juga waris-waris lain yang mendiami Luak Sungei Ujong meliputi seluruh daerah Seremban dan Port Dickson. Berdasarkan rekod setakat November 2022, terdapat lebih 90 kumpulan waris wujud di Luak Sungei Ujong.
Bercakap mengenai Waris Negeri, asalnya dikenali Waris Biduanda Sungei Ujong yang bermakna berketurunan orang besar istana Johor Lama. Waris Negeri Sungei Ujong berketurunan Bendahara Sekudai Bendahara Paduka Raja Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga.
Takrifan Biduanda itu jelas menyanggah pandangan umum bahawa Biduanda merupakan satu daripada suku yang terdapat di Negeri Sembilan. Umum berpendapat bahawa suku Biduanda ini wujud hasil daripada perkahwinan campur antara orang asal dengan orang Minangkabau.
Berbeza bagi Luak Sungei Ujong, Biduanda bermaksud gelaran yang merujuk kepada waris berketurunan Orang-orang Besar, khususnya keturunan Seri Nara Diraja dan Bendahara-bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang.
Bagi Waris Klana, Waris Seri Maharaja Diraja lagi Bandar (Waris di-Ayer) dan Waris Andulika Mandalika, salasilah mereka daripada susur galur Bendahara Paduka Raja Tun Jenal atau Bendahara Sekudai.
Berdasarkan keturunan ini, mereka dipanggil Biduanda kerana berketurunan Orang-orang Besar di istana Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang suatu ketika dahulu.
Ketiga-tiga waris ini dikenali sebagai Waris Negeri bagi Luak Sungei Ujong bermula pada zaman pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Maamor bin Dato’ Menteri Kassim, Undang Luak Sungei Ujong (1889 -1945).
Berdasarkan Sejarah Melayu, gelaran Biduanda itu sebenarnya sudah lama wujud. Gelaran tersebut dikesan sudah diguna pakai sejak zaman Kerajaan Singapura Lama sekitar abad ke-13 Masihi, lama sebelum penghijrahan orang Minangkabau ke Tanah Melayu.
Berdasarkan buku Tasjil Anis Salatin, Biduanda ialah gelaran yang merujuk kepada anak-anak keturunan Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana dan keturunan Orang-orang Besar Negeri Sembilan.
Perkataan Biduanda itu sudah pun menunjukkan bahawa perkataan tersebut adalah sangat lama. Berkemungkinan perkataan itu diambil daripada bahasa Melayu kuno.
Jika diteliti, Yamtuan Besar pertama, Raja Melewar yang dijemput ke Tanah Mengandung pada pertengahan tahun 1700-an, manakala nama suku-suku di Negeri Sembilan diambil daripada tanah ataupun daerah besar di Sumatera Barat.
Sebagai contoh, suku Batu Hampar diambil sempena kedatangan orang-orang dari daerah Batu Hampar di Pagar Ruyong. Semakan mendapati tiada tempat atau daerah bernama Biduanda di Sumatera Barat.
Semakan dalam bahasa Minangkabau kuno dan kamus Batak kuno juga tidak menunjukkan wujudnya perkataan Biduanda. Hal ini menunjukkan Biduanda sememangnya perkataan Melayu asli yang digunakan di Sungei Ujong untuk merujuk kepada anak-anak Bendahara Skudai.
Dalam Terombo Dato’ Batin Jempol, ada disebut gelaran Biduanda itu berasal daripada gelaran orang yang bertaraf pegawai yang bertugas di istana Raja-raja Melayu.
Selain Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, memang terdapat gelaran Biduanda di dalam hikayat-hikayat lama yang merujuk adanya pegawai dalam istana zaman dahulu itu yang dipanggil “Biduanda” khususnya di istana Temasik dan Melaka. Biduanda istana ini diberi gelaran “Hang” bagi lelaki manakala perempuan pula diberi gelaran “Dang”.
Maka itu, berdasarkan riwayat Sungei Ujong, catatan sejarah dan salasilah serta hikayat Melayu lama, perkataan Biduanda di Sungei Ujong itu sebenarnya merujuk kepada waris berketurunan Orang-orang Besar dan bukannya suku hasil perkahwinan campur antara orang Asal dengan orang Minangkabau dari Sumatera.