“Memahami berbeza daripada mengetahui. Seorang yang baru sampai mengetahui, belum sampai memahami.” – Aristotle.
DALAM sebuah masjid, sebelum wabak COVID-19, ketika selesai menunaikan sembahyang sunat, dan ingin duduk menyandar pada dinding, seorang lelaki (berpakaian rapi dan berperwatakan ekstrinsik), usia lewat 60-an, berkata kepada sekelompok kawannya yang juga sedang duduk melunjur kaki (ada yang berbaring), “ramai yang membaca buku-buku tebal, belek setiap halaman muka surat. Lepas satu, buka satu lagi buku. Tetapi tidak faham apa-apa pun dari pembacaannya.”
Saya yang berada tidak jauh daripada mereka, hanya tiga langkah, tersentak, berasa terpukul dan disindir. Sungguh dalam kata-kata itu, bisik saya. Dalam kalangan mereka, dari sudut penampilan luaran (seperti gelandangan), tidak bekerja dan tidak menerima pendidikan tinggi. Buku Umat Islam Lain Dahulu Lain Sekarang, tulisan Ummu Muhammad, terbitan Dakwah Corner Bookstore, 2023, tidak jadi saya keluarkan dari dalam beg sandang. Malu alah saya mendengar kata-kata pedas itu.
Kepada siapa kritikan lelaki itu tujukan? Golongan pseudo intelektual atau orang-orang terpelajar di luar sana? Tetapi saya tidak menafikan apa yang dikatakan oleh lelaki tadi memang benar. Walapun dia bukan seorang profesor atau ahli akademik tersohor yang kerap muncul di skrin televisyen, hakikatnya ternyata sepadan dengan senario sekarang. Kehidupan di dunia ini banyak lapisannya. Apa yang kelihatan putih dan bersih di atas permukaan, belum tentu keadaannya serupa di balik yang terzahir pada pandangan mata kasar. Seseorang itu tidak perlu memamerkan kebijaksanaan melalui penampilan luaran atau menunjuk-nunjuk kelulusan akademik di depan namanya untuk membuktikan ketinggian ilmu yang diperoleh. Itu hanyalah aksesori yang (kadang-kadang) digunakan untuk membesar-besarkan kedudukan diri. Ilmu yang benar tidak semestinya datang dari pengajian di universiti sahaja.
Memiliki buku yang banyak, adakah semua dibaca dan dimengerti segala pokok persoalannya? Kepada pencinta ilmu dan pencari kebenaran, ia memang sesuatu yang wajib untuk dijadikan sumber rujukan utama. Tidak kisah, sama ada seseorang itu menerima pendidikan formal atau tukang kebun di sekolah. Ilmu bukan milik sesuatu institusi, pihak berkuasa, golongan elit terdidik atau kononnya ulama. Sesiapa pun bebas untuk menangguk segala ilmu pengetahuan dan berbeza pandangan jika perkara yang dibincangkan masih lagi tersekat dalam kekaburan.
Menghukum seseorang yang ingin mencari kebenaran atas dasar berbeza fahaman, tidak selayaknya dilakukan ke atas umat manusia bertamadun. Hal itu mengingatkan saya kepada sebuah buku baharu tulisan Syed Ahmad Fathi, Intelek yang Membosankan, terbitan The Biblio Press, 2024, bahawa ilmu perlu dinilai dengan merit kebenaran, bukan merit ideologi. Kita melihat betapa keruh dan kelirunya budaya mencari ilmu dan kebenaran pada masa sekarang apabila wujudnya amalan menyesatkan pihak yang berbeza dalam mempraktikkan kebenaran. Andai masyarakat awam tidak membiasakan diri dengan pembacaan rujuk silang sumber, tentu akan terperangkap dengan dakwaan pihak yang disepakati oleh majoriti. Sedangkan tidak semua yang dilakukan oleh majoriti menjadi aras penentu kebenaran.
Namun tidak semua buku di pasaran menawarkan sesuatu yang diperlukan oleh pembaca. Pembaca dewasa dan halus pengamatannya, sudah tentu lebih terarah kepada bahan bacaan yang lebih kompleks dan mencabar daya kefahamannya. Di situlah paras daya berfikir seseorang dianjakkan. Apatah lagi yang bersangkut-paut dengan ketepatan fakta dalam urusan keagamaan, akidah, sejarah, sahsiah dan perubatan, misalnya. Sebagaimana dipesan
Buya Hamka, membaca buku-buku baik (berkualiti), bererti memberi makanan rohani yang terjamin manfaatnya.
Jika tersilap memilih buku (termasuk guru), apatah lagi ditulis oleh seseorang yang bertalam dua muka, kononnya diperakui oleh sebagai cendekiawan hebat dan disanjungi masyarakat, ia bukan jaminan menghantar pembaca ke landasan yang benar dan selamat.
Dalam satu ceramah (melalui tontonan di saluran Youtube), Ustaz Dasman Yahya Ma’ali, bertajuk Kenali Kebenaran itu dengan Dalilnya, telah memperingatkan kepada audien bahawa status kecerdasan seseorang ataupun deretan gelaran akademiknya, bukan suatu jaminan untuk dijadikan tolok ukur atau pedoman Selagi individu-individu yang berpenampilan hebat itu berdusta malah tersasar dalam mempraktikkan ilmu yang dimiliki. Maknanya, tokoh-tokoh hebat itu tidak mengamalkan apa yang berkali-kali disampaikannya kepada audien. Sementara mereka secara akademiknya, telah menyeleweng daripada garis kebenaran dalam diam-diam tanpa pengetahuan masyarakat umum. Paling menyedihkan apabila, mengaku serba pandai demi menaikkan imej dan mendapat kebanggaan peribadi. Mengapa hal demikian menyelinap dalam kalangan tokoh ilmuwan dan terus berlanjutan?
Sudah tentu tokoh-tokoh ilmuwan itu sesungguhnya hanya memanipulasi kejahilan audiennya melalui gaya luarannya sahaja. Perkara seumpama itu dianggap telah membebalkan masyarakat yang menerima sahaja tanpa berusaha untuk menyelidik darjah kesahihan. Tetapi, terbukti, lambat-laun apa yang batil akan terhapuslah dengan kebenaran. Atau apa yang disuarakan oleh Hamzah Tzortzis, apabila berbicara secara ilmiah, seseorang dilarang untuk menipu. Ia tidak akan bertahan lama. Hal ini kerana, dengan usaha mencerdaskan diri dengan ilmu pengetahuan yang benar dan diperakui, tidak selamanya masyarakat mudah diperdayakan oleh persona seseorang tokoh. Bahkan Tuhan melarang umat manusia untuk membodohkan akal yang dianugerahkan, sebagaimana ditekankan secara berdalil dalam buku Allah Melarang Membodohkan Akal, karangan Muhamad Rozaimi Ramle.
Membeli buku yang pelbagai bidang pengetahuannya, adakah akan menyesatkan pemikiran seseorang? Tidak. Apatah lagi kepada generasi baharu yang kelak akan berhadapan dengan pelbagai gelombang kekacauan diimport dari budaya asing. Fahaman songsang seks terlarang, ateisme, penyamaan seluruh agama dan sebagainya yang bertentangan dengan syariat agama akan terus dan terus menggempur ke dalam jiwa anak muda. Hanya dengan ilmu sahaja, seseorang mampu untuk menangkis dan menganalisis segala pendustaan yang dibawa oleh golongan kononnya terpelajar, berjawatan tinggi dan memiliki deretan pengakuan akademik. Ada agenda tertentu mengapa golongan demikian terus berleluasa dalam masyarakat jika tiada usaha untuk memandaikan diri dengan ilmu yang hak.
Sebagaimana yang diperingatkan oleh Ustaz Dasman Yahya Ma’ali dari perenggan sebelumnya, manusia yang lalai dan tidak bersungguh-sungguh mencari ilmu (dan berfikiran kritis), sentiasa menjadi mangsa kepada golongan yang mengakui tokoh intelektual. Ramai yang mengakui ilmuwan dan terpelajar sebagai suatu nilai tambahan untuk meningkatkan kelas sosial agar diperakui oleh masyarakat. Ada yang benar-benar jujur dan amanah dalam menyampaikan ilmu. Begitu juga yang menipu di sebalik ajaran dengan mendandan diri mereka dengan penampilan mempesonakan mata masyarakat awam. Tidak semua ilmu itu (biarpun canggih dan luar biasa kandungannya) sesuai dengan syariat agama. Syed Hussin Alatas sudah awal-awal mengingatkan kita tentang kecelaruan ilmu menerusi buku Kita dengan Islam: Tumbuh Tidak Berbuah, “kita belajar ilmu perihal racun dan ubat.”
Bijak berbicara, petah berbahasa Arab, fasih dengan segala aliran falsafah, logik dan metafizik, tidak menandakan bahawa seseoang itu benar di sisi Tuhan. Memang individu-individu sedemikian tampak berpelajaran tinggi, mempunyai pengetahuan luar biasa dalam aspek pemikiran ketuhanan. Tetapi kebenaran yang selama ini dijadikan pedoman oleh Tuhan dan para nabi, tidak akan ditimbus oleh segala hujah dan pandangan mereka. Terlalu kerap pembohongan yang dilakukan oleh beberapa individu dan pihak berkepentingan, misalnya dengan alasan atas nama agama, sehingga tergamak mengheret para pengikutnya ke dalam kejahilan. Kesan daripada pembodohan itu, akal pemberian Tuhan seakan-akan menjadi tidak berfaedah buat seseorang manusia.
Buku-buku yang yang dibeli, bukan perabot untuk dipamerkan. Buku-buku yang bersusun memenuhi rak, juga bukan menjadi lambang kecerdasan seseorang. Bahkan, insya-Allah, setiap naskhah buku yang bermanfaat (keilmuannya) menjadi penyelamat rohani atau sebaliknya, akan menenggelamkan akal seseorang. Terpulanglah pada kekuatan daya saring seseorang dalam menilai sesebuah buku yang dibaca.
Ilmu Tuhan itu luas, kata ramai orang. Tetapi jika tidak dipandukan dengan pedoman yang benar, ia hanya membawa seseorang terapung-apung tanpa destinasi. Buku-buku tebal dan tampak dahsyat tajuk-tajuk dan nama pengarangnya, tetapi disampaikan dengan kaedah yang menyimpang dan kabur (apatah lagi berkaitan dengan akidah dan agama), tentu menjejas kefahaman para pembaca. Maka, benarlah, apa yang disindir oleh lelaki dalam masjid seperti disebutkan pada awal tulisan ini.