Pengenalan
Semua orang boleh menulis. Semua orang juga boleh mencoretkan apa-apa sahaja yang diingini, sama ada untuk simpanan sendiri atau untuk berkongsi kisah dengan orang lain. Proses menulis juga bergantung kepada kemahiran diri dan kehendak seseorang. Begitu juga dengan pemerolehan idea untuk menghasilkan karya yang boleh didapati di mana-mana sahaja sekeliling kita. Mudah kata semuanya bergantung kepada kesungguhan dan kemahuan diri sendiri. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Begitu jugalah yang belaku kepada sekumpulan 13 pelajar bersama-sama dua orang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang, Kulim, Kedah ini. Mereka berkehendak, maka lahirlah buku antologi ini.
Antologi Cerpen Pelajar Kerdip Bintang di Dada Langit Daerah Sepi terkandung 14 buah cerpen yang pada pandangan saya sangat istimewa. Hal ini demikian kerana, cerpen ini dihasilkan oleh 13 orang pelajar sekolah menengah dan seorang guru. Guru ini sudah tidak asing lagi dalam dunia penulisan Tanah Air kerana sering mengungguli sayembara penulisan di negara kita iaitu Amer Hmzah L. Kadir atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Amer. Kali ini Cikgu Amir berkolaborasi dengan isterinya Cikgu Rozana Othman untuk menghasilkan sebuah antologi pelajar sekolah mereka, Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang (SMKM), Kulim, Kedah.
Sebenarnya, untuk pengetahuan semua bukan mudah untuk menghimpunkan beberapa buah cerpen menjadi sebuah buku. Jadi selayaknya saya merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua editor buku ini atas kesungguhan mereka terutama dalam usaha mengajar cara penulisan cereka, memilih cerpen yang terbaik daripada puluhan (60) tulisan yang dihantar, mengedit dan seterusnya membuat konsep reka letak sehingga tercetaknya buku ini. Jadi yang terpilih, pemilik sebanyak 13 buah cerpen ini harus berasa bangga.
Sehubungan dengan itu, perbincangan ini akan memfokuskan kepada dua perkara utama iaitu, (1) kepelbagaian cerita yang melibatkan pengalaman terutama pemerhatian dan pembacaan (lingkungan) pengarang dan kedua, (2) keistimewaan karya ini serta manfaatnya kepada khalayak yakni pembaca. Kedua-dua objektif ini akan diteliti menggunakan Teori Pembelajaran dan Pedagogi yang diperkenalkan oleh Lev Vygotsky (1978) mengenai pembelajaran sosial berkaitan proses penulisan cerpen-cerpen membantu pelajar dalam pembelajaran dan perkembangan diri yang berharga.
Teori Pembelajaran dan Pedagogi dalam Penulisan Kreatif
Pendekatan Konstruktivis oleh John Dewey menekankan pengalaman sebagai asas pembelajaran, jadi aktiviti atau kerja menulis cerpen dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang berharga kepada seseorang terutama pelajar. Sekilas tentang Teori Pembelajaran Konstruktivis: Lev Vygotsky (1978). Beliau adalah seorang ahli psikologi yang terkenal dengan konsep pembelajaran sosial iaitu Zon Pembangunan Prosikmal atau Zone of Proximal Development (ZPD). Menurut Vygotsky (1978), pembelajaran adalah proses sosial yang terhasil melalui interaksi dengan orang lain.
Dalam konteks penulisan cerpen oleh pelajar, teori ini boleh diterapkan dalam menganalisis proses penulisan dan pembelajaran melalui interaksi sosial seperti bimbingan yang dapat membantu dalam perkembangan potensi pelajar. Potensi diri pelajar seperti kemahiran bahasa, kemahiran menulis, menjana idea dan sebagainya boleh digilap untuk dikembangkan. Adakalanya jurang yang membentuk ketidakpastian, ketidakyakinan dan ketidaktentuan dalam diri pelajar dapat dibantu oleh guru untuk mengatasinya. Sehubungan dengan itu, dalam penulisan konsep cerpen ini, pelajar mempunyai cerita namun ada kemungkinan mereka tidak pasti atau tidak tahu teknik, gaya bahasa, plot dan sebagainya yang menjadi satu jurang untuk dibantu oleh orang lain. Maka, konsep ZPD dalam Teori Pembelajaran Konstraktivis dapat mengatasi masalah tersebut.
Konsep Utama dalam Teori ZPD oleh Vygotsky mengatakan jarak atau jurang antara tahap perkembangan seseorang boleh dicapai oleh diri sendiri. Juga sesuatu tahap itu boleh dicapai dengan bantuan orang dewasa atau rakan sebaya yang lebih mahir. Dalam penulisan cerpen, bimbingan daripada guru atau kolaborasi dengan rakan-rakan sebaya dapat membantu pelajar mencapai tahap kemahiran yang lebih tinggi. Dalam hal ini, Vygotsky mengatakan perkara ini merujuk kepada sokongan sementara yang diberikan oleh guru atau rakan sebaya yang lebih berpengalaman untuk membantu pelajar memahami konsep yang lebih kompleks. Dalam penulisan cerpen, guru boleh memberi panduan dalam aspek seperti struktur cerita, penggunaan bahasa, dan teknik penceritaan.
Selain itu dalam pembelajaran sosial, Vygotsky menekankan bahawa pembelajaran ialah proses sosial yang berlaku melalui interaksi dengan orang lain (dan juga alam sekitar serta pengalaman). Melalui perbincangan dan kolaborasi dalam penulisan cerpen, pelajar dapat berkongsi tentang idea, mendapatkan maklum balas serta memperbaiki kemahiran penulisan mereka. Jadi aplikasi teori oleh Vygotsky dalam penulisan cerpen oleh pelajar melibatkan beberapa perkara seperti berikut; (1) Kolaborasi: Pelajar bekerja dalam kumpulan untuk menulis dan mengedit cerpen, berkongsi idea, dan memberikan maklum balas antara satu sama lain. Selain itu, bimbingan daripada guru dalam memberikan panduan dan maklum balas kepada pelajar semasa proses penulisan membantu mereka untuk memperbaiki cerita mereka dan memahami konsep sastera yang lebih kompleks.
Berikutnya (2) penggunaan alatan dan sumber. Pelajar menggunakan alat dan sumber seperti buku panduan menulis, contoh cerpen, dan perisian penulisan untuk membantu dalam proses penulisan mereka. Terakhir (3) rujukan tempatan di Malaysia. Teori pembelajaran konstruktivis telah diterima dan diaplikasikan dalam konteks pendidikan di Malaysia. Misalnya, kurikulum bahasa Melayu di sekolah-sekolah Malaysia telah mengintegrasikan pendekatan konstruktivis melalui aktiviti penulisan kreatif dan kolaboratif. Jadi, mengaplikasikan teori Vygotsky dalam analisis antologi cerpen yang dihasilkan oleh pelajar boleh membantu memahami bagaimana proses sosial dan bimbingan dapat meningkatkan kemahiran dan perkembangan bahasa pelajar?
Antologi Cerpen Pelajar Kerdip Bintang di Dada Langit Daerah Sepi
Berikut adalah sinopsis dan tema bagi 14 buah cerpen dalam antologi ini;
Bil. |
Judul/Pengarang |
Sinopsis |
Tema |
1. |
Sejambak Andani Oleh Siti Khadijah Mohd Zamri |
Khadeeja dibesarkan oleh bapanya tanpa ibu di sisi. Kehidupan mereka dua beranak sangat susah. Sebagai seorang nelayan bapa Khaleeda, Zamri tidak dapat memberikan kemewahan kepada anaknya. Khaleeda yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dikejutkan dengan kematian bapa yang sempat menghadiahkan sejambak bunga ketika majlis penyampaian hadiah. |
Kasih sayang bapa terhadap anak walaupun terpaksa hidup susah, namun tetap cuba memenuhi impian anaknya. |
2. |
Dunia Kecil Alina Oleh Ainatul Husna Mohd. Zukhi |
Mengisahkan sebuah keluarga yang agak besar dan hidup terpaksa berpindah-randah kerana kesusahan. Hubungan keluarga Alina dengan nenek dan keluarga bapanya juga tidak harmoni. Sikap nenek yang pilih kasih sering membebankan ibu bapanya. Alina bertekad untuk belajar bersungguh bagi mengubah nasib keluarganya. |
Kasih sayang dalam keluarga. Alina yang melihat kesusahan ibu bapanya bertekad untuk belajar dan berjaya. |
3. |
Untuk Dia Tersayang Oleh Nur Alya Farzana Mohd. Ramli |
‘Aku’ (anak tidak sah taraf) telah diambil menjadi anak angkat oleh sebuah keluarga yang baik lalu berpindah ke luar negara. Setelah berusia 20 tahun Aku kembali ke Malaysia untuk mencari ibunya. Pertemuan itu dapat mengubat rindu Aku sudah yang bertahun lamanya terpendam. |
Kerinduan seorang anak terhadap ibu. Walaupun terpisah tetap mengingati ibunya. |
4. |
Aku Seorang Content Creator Oleh Hur’ain Mardhiah Azahar |
Mengisahkan tentang cita-cita Nadia bekerja membantu ibu bapanya. Selepas mencuba Nadia akhirnya terpilih untuk bekerja sebagai content creator dengan seorang yang popular. Kerjanya yang baik menjadikannya sangat disukai, malah sering dipuji sebagai seorang yang sangat kreatif. Lalu dia bertekad untuk pulang ke kampung halamannya menjadi content creator memperkenalkan keunikan dan keindahan kampungnya. |
Kegigihan dalam mengejar cita-cita yang dihajati. |
5. |
Gaza, Aku Ingin Jadi Pejuang Oleh Farah Izzani Farhana Malek |
Setelah membaca dan melihat banyak siaran di media sosial tentang peperangan di Gaza, “aku” bertekad untuk terus membantu penduduk Palestin dengan apa-apa cara sekalipun seperti menyebarkan berita tentang kekejaman Israel dan Amerika serta memboikot barangan dari negara tersebut. Aku mula menyebarkan segala berita tentang kesusahan rakyat Palestin agar lebih ramai yang menghulurkan bantuan. |
Sikap prihatin terhadap isu semasa terutama masalah yang melanda umat Islam di Palestin. |
6. |
Badai Salju: Titik Awal Persahabatan Oleh Mohd. Azim Hafizi Mohd Rodzi |
Menceritakan tentang peperangan untuk menewaskan makhluk aneh (asing) yang mahu memusnahkan umat manusia. Beberapa orang pemuda yang gagah bergabung untuk menangani dan menyelamatkan dunia ketika itu. Dalam kekacauan peperangan itu terjalin ikatan persahabatan yang erat. Mereka bertiga lebih yakin dengan kemampuan mereka untuk memusnahkan makhluk asing itu. |
Sikap tolong-menolong yang membawa kepada persahabatan yang erat. |
7. |
Pudarnya Bianglala Oleh Siti Aisyah Humairah Batrieysa Abdullah |
Perkenalan Raisya dengan Rayyan seorang pelajar baru di sekolahnya telah mengubah sikapnya. Daripada seorang yang baik dan patuh kepada ibu telah mula memberontak. Malah sikap itu telah membawa penyesalan kepadanya apabila ibunya meninggal dalam kemalangan. Ketika itu ibunya hendak pulang daripada membeli telefon bimbit yang diminta oleh Raisya. |
Kasih sayang dan pengorbanan ibu. |
8. |
Keringat Bapa dan Air Mata Ibu Oleh Muhammad Alfarhan Abd Malek |
Kegagalan ‘aku’ dalam peperiksaan bukanlah berakhirnya sebuah kehidupan. Selepas gagal dalam peperiksaan SPM aku memilih untuk membantu bapanya menoreh getah. Dalam masa yang sama aku mula menyimpan wang untuk mengejar cita-citanya membuka kedai membaiki telefon bimbit di kampungnya. Akhirnya dia berjaya. |
Kegigihan dalam mengejar cita-cita. |
9. |
Belasungkawa II Oleh Cikgu Amer Hmzah L. Kadir |
Mengisahkan tentang masalah alam sekitar di Kampung Segumpal. Aktiviti pembalakan yang dilakukan secara berleluasa telah menyebabkan Gunung Segumpal runtuh dan memusnahkan serta mengorbankan beberapa orang penduduk di sekitarnya. |
Isu kemusnahan alam sekitar: berkaitan dengan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal. |
10. |
Kejayaan di Hadapanku Oleh Puteri Liyana Damia Abdullah |
Damia Medina telah kehilangan bapanya akibat sakit buah pinggang. Masalah bertimpa-timpa apabila ibunya pula diserang sakit jantung. Namun dengan pengorbanan abang dan guru serta kegigihan, Damia berjaya juga menjadi seorang doktor. |
Kegigihan seorang pelajar dalam melalui kehidupan yang sukar sehingga berjaya. |
11. |
Impian dalam Duka Oleh Elysya Aziela Mohd. Ridzuan |
Amira yang kehilangan ibu dan bapa dalam kemalangan meneruskan kehidupan bersama-sama adiknya. Kesusahan mereka itu mendapat perhatian seorang guru dan rakan baik ibunya. Cikgu Sarah sering membantu Amira di sekolah. Manakala Cik Jah membantu menjaga adiknya serta makan minum. Akhirnya Amirah diumumkan sebagai pelajar cemerlang. |
Ketabahan menghadapi kehidupan akibat kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya. |
12 |
Cahaya Hidayah Oleh Putri Aelis Sofea Mohd Supi |
Jesicca yang meminati fotografi mendapat tugasan untuk mengambil gambar landskap. Peluang untuk digunakan untuk beliau mengambil gambar seni bina masjid. Beliau berkenalan dengan Ustazah Maryam yang banyak membantunya mengenali Islam. Lantaran itu beliau memilih untuk memeluk agama Islam walaupun tidak dipersetujui oleh ibunya. |
Usaha dan keyakinan yang membawa kepada perubahan diri untuk berjaya. |
13. |
Nombor 10 Oleh Muhammad Faez Munir |
Mengisahkan tentang minat Amar yang mendalam untuk menjadi pemain bola sepak. Walaupun dalam keadaan kasut yang lusuh beliau tetap terpilih menjadi pemain bola untuk mewakili sekolah. Malah Amar yang mendapat kepercayaan Cikgu Firdaus lalu berjaya menjaringkan gol untuk memenangkan pasukannya. |
Kegigihan mengejar cita-cita sehingga berjaya walaupun kehidupan ada kekurangan. |
14. |
Mencari Reda-Mu Oleh Alyaa Ainaa Ahhari |
Shamsul mengidap diabetes dan merasakan dirinya sudah tidak berguna. Dia bertemu dengan seorang sahabat baik bernama Omar yang berjaya mengubah persepsi hidupnya. Dia mula yakin yang semua ujian adalah untuk umatnya yang disayangi. |
Persahabatan yang berjaya merubah kehidupan. |
Berdasarkan analisis tersebut, terdapat kepelbagaian tema dalam cerpen-cerpen ini yang merangkumi suatu isu pokok, iaitu tentang nilai kemasyarakatan setempat dalam persekitaran pengarang, iaitu pelajar. Maka pandangan Lukas (1981), yang mengatakan pengarang mencipta sesebuah karya adalah berdasarkan pengalaman atau cerminan hidup mereka amat jelas melalui cerpen-cerpen dalam antologi ini. Menurut Cikgu Amer, idea asal serta konsep untuk menghasilkan antologi cerpen ini muncul atas rasa tanggungjawabnya dengan tujuan utamanya untuk mengetengahkan bakat-bakat yang terpendam dari sebuah kawasan yang terpencil seperti yang tertera pada judul antologi ini iaitu “sebuah daerah yang sepi”. Maka hal ini bertepatan dengan pandangan Vygotsky, 1978 melalui konsep ZPD; pembelajaran adalah proses sosialisasi yang tercipta melalui interaksi dengan persekitaran sama ada melalui pergaulan, pemerhatian, pengalaman dan sebagainya.
Jurang dan Aspek Pemurnian dalam Antologi Cerpen Pelajar Kerdip Bintang di Dada Langit Daerah Sepi
Keseluruhan aspek dalam cerita ini boleh dikategorikan sebagai baik walaupun bukan cemerlang atau luar biasa. “Baik” kerana pelbagai sebab seperti ada cerita, ada unsur kearifan tempatan, ada isu, gaya penyampaian sebuah cerita sampai (timbul rasa/perasaan kepada khalayak). Jadi saya menjawab persoalan dan kebimbangan Cikgu Amer iaitu, “jika orang membeli buku ini berbaloi atau tidak?” jawapannya “ya”. Namun begitu, untuk sampai ke tahap puas hati dan seronok atau boleh sampai memenangi hati pembaca perlu ada penambahbaikan kepada perkara berikut;
- Aspek kearifan tempatan seperti bidang pekerjaan penoreh getah (untuk menunjukkan miskin atau susah) tetapi tiada satupun perincian yang menjelaskan bagaimana pekerjaan itu dilakukan sehingga menunjukkan kesusahan? Perlu ingat ada suatu ketika dahulu penoreh getah kaya raya (senang). Jadi untuk menunjukkan pekerjaan itu susah kena tunjuk (show) bukan semata-mata cakap (tell).
- Jenis tragedi seperti kemalangan jalan raya, meninggal dunia (mati) tetapi tidak jelaskan jenis penyakit (penderitaan itu). Tujuan pemerian itu untuk menimbulkan perasaan (feel) agar dapat menyentuhkan perasaan pembaca. Maka seeloknya jelaskan atau ceritakan dengan terperinci.
iii. Isu klise -cerita yang sering kita dengar dan ditulis atau diceritakan oleh orang lain dianggap basi (klise). Pada saya tidak salah klise tetapi perlu cari sisi atau apek atau ruang atau cara penyampaian yang berbeza. Tujuannya agar ada kelainan yang dipersembahkan kepada pembaca. Banyak sebenarnya caranya, maka cuba fikir dan gali lagi. Semua perkara ini boleh diperoleh melalui pembacaan.
- Pemilihan judul/tajuk -fikirkan yang menarik tetapi perlu ada kaitan dengan cerita. Boleh secara analogi, boleh secara terus, boleh melalui kiasan dan sebagainya. Tentang panjang atau pendek judul itu terpulang kepada cita rasa masing-masing. Adakalanya bergantung juga kepada “trending” (ikutan semasa).
- Aspek sastera -Seperti nama watak, latar, plot, tema (isu utama), sudut pandangan dan teknik perlu difikirkan dengan teliti. Jika sudah siap cerita simpan atau peram dahulu, kemudian baca semula untuk melihat kesesuaian. Atau cari kawan-kawan yang baik (ikhlas) untuk membaca karya tersebut dan buat komen.
Penutup
Keseluruhan cerpen ini mengandungi idea yang menarik serta unik untuk diketengahkan kepada khalayak terutama dari segi isu yang hendak disampaikan. Walaupun ada sesetengah cerita yang menginginkan maklumat lebih mendalam atau naluri pembaca mahu mengetahui dengan lebih lanjut. Jadi di sini saya mencadangkan beberapa perkara yang boleh dilakukan pada masa hadapan oleh pengarang-pengarang muda ini mengebangkan lagi bakat mereka seperti; (1) mengetahui konsep plot cerita, (2) mempelbagaikan teknik pencerita, (3) memilih isu yang benar-benar dikuasai, (4) kembangkan cerita agar mencapai kemuncak dan (5) memperkemaskan gaya bahasa. Semua aspek ini boleh dipelajari melalui bengkel penulisan dan juga carian di Internet serta membaca karya-karya yang bagus di pasaran. Tuntasnya, di mana ada usaha di situ ada jalan untuk berjaya. Serta jangan sesekali putus asa dengan segala komen atau kritikan. Menulis bukan suatu pekerjaan yang sekelip mata boleh berjaya lalu popular dan kaya raya.
Rujukan
Amer Hmzah L Kadir dan Suzana Othman, 2024. Antologi Cerpen Pelajar Kerdip Bintang di
Dada Langit Daerah Sepi. Mahang: Koperasi SMK Mahang.
George Lukacs, 1968/1972. Studies in European Realism. London: The Merlin Press.
George Lukacs, 2011. Dialektika Marxis: Sejarah dan Kesedaran Kelas. Terjemahan Inyiak Ridwan Munzir. Yogyakarta: Ar-ruzz Media.
Nor Hashimah Jalaluddin (2010). Pedagogi Bahasa Melayu: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Vygotsky, L.S, 1978. Mind in Society: The Development of Higher Psychological Processes.
Harvard University Press.
Zuraidah Mohd Don, 2013. Pendekatan Konstruktivis dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press.