LANGKAHAN kaki perlahan-lahan menelusuri deretan bukit bukau menggamit rasa kagum. Indah sungguh ciptaan Tuhan. Ah, pokok itu menarik sekali. Kehijauan warna daunnya mengingatkan aku pada kisah silam, semalam yang berlalu. Kemalapan cahaya lampu di siang hari ibarat gambaran diriku yang meratapi kisah-kisah silam. Nasib makhluk Tuhan. Aliran listrik dalam tubuhku membuak-buak ingin meluahkan kemarahan. Mana keadilan dalam dunia ini …? Atas nama sebatang jalan, makhluk Allah yang lain teraniaya.
Kejam.
Namun, hatiku berbisik, wahai diri, sabarlah. Sabar itu sebahagian daripada iman. Tetapi aku seakan terdengar pohon-pohon di sekelilingku berbicara. Sampai bila …? Sensitif juga pohon-pohon itu pada nasib teman-temannya. Manusia …? Payah dan goyah. Hilang rasa kemanusiaan dan pertimbangan. Kuasa itu ada pada manusia. Manusia hilang akal. Bukan gila tapi atas nama pembangunan hilanglah seri alam.
Itu imaginasiku rupanya. Aku sedang mendengar kuliah Dr. Siti dalam bilik kuliah. Dr. Siti mahu kami semua kreatif. Hingga aku bertanya pada diriku, kreatifkah aku …? Mengamati gambar di tangan aku rasakan alam kini menangis. Menangisi mana lagi pohonan anggerik, angsana, mengkudu dan pepohon lain yang bernilai pada manusia di bumi milik Tuhan ini. Lenyap ditelan globalisasi, kata mereka. Aku kagum pada Dr. Siti. Proses kreatifnya dalam Kampung Paya Kami menarik sekali. Naluriku kembali pada alam imaginasi. Tempat asalku yang hilang seri dan keindahannya.
Batu karang yang menjadi tempat ikan-ikan kecil bermain-main dan berkejaran. Ada yang berwarna hijau, merah dan campuran warna pelangi. Indah dan mengasyikkan. Di celah-celah batu berwarna seakan putih itu … ah hilang lagi konsentrasiku pada mengingati keadaan kampung halamanku. Damainya yang kian hilang.
Waktu kecil dulu aku selalu menangis apabila nenek memarahiku. Aku mahu mengikut datuk ke laut, memancing ikan. Kata-kata nenek membuatkan aku hampa, sedih dan kecewa. Berlari pula ke rumah, mohon simpati ibu. Hanya cubitan halus dan perit yang aku dapat daripada ibu. Tiada kata keizinan. Laut bahaya, kata ibu. Boleh lemas dan mati. Mendengar itu, hatiku rasa gerun dan takut. Akan tetapi, beberapa tika kemudian izin itu aku peroleh jua.
Betapa gembiranya hati apabila berpeluang memancing ikan bersama-sama datukku. Penat sekali berdayung sampan.
Datukku kata, “Kekuatan dan tenaga itu penting.”
Aku diam memandang ke bawah air laut yang kelam. Birunya air laut memancing rasa cuak di jiwaku. Aku membayangkan ikan-ikan yang besar sahaja.
“Boleh makan orang,” kata datukku.
Usia sekecil enam tahun, aku memancing ikan aku peroleh ikan-ikan kecil tontong sahaja. Terbit rasa cemburu melihat datukku bergaya mendapat ikan-ikan kutambak dan lamuruk yang jauh lebih besar daripada ikan yang aku peroleh. Datukku senyum. Mungkin dia memahami gelodak jiwa kanak-kanakku. Inilah dunia lautku. Saban hari berada di laut untuk memancing. Akibatnya pulang ke rumah leteran dan cubitan ibu menjadi habuan. Aku tahu itu semua untuk kebaikanku. Masa kecil dahulu indah sungguh kenangan.
Apabila usia menjangkau belasan tahun, rasa malas bertandang dan bersarang dalam diri. Memancing hanya sekali-sekala sahaja. Dahulu, setiap hari aku dan beberapa orang rakan akan berada di laut selepas pulang sekolah. Nenek marah. Ayah dan ibu juga marah. Tetapi datukku tenang sahaja melihat perangai cucunya yang seorang ini. Kecil tubuh tetapi degil sebesar Bukit Tengkorak di hadapan kampungku.
Itu dulu. Kenangan manis di kampung halamanku. Kampung yang banyak menyimpan cerita pahit manis dalam kamus hidupku.
Di situ aku dibesarkan sebelum mengenal dunia luas seperti hari ini. Aku tidak dilahirkan di kampung itu. Aku dilahirkan di kampung lain dan di pulau lain. Pulau Pababag namanya. Kami berpindah ke Kampung Terusan Tengah sejak aku lahir. Hingga kini kami menetap di sini. Kampung yang letaknya di Pulau Bum-bum, pulau terbesar di daerah Semporna adalah motivasi untukku berjuang membuktikan bahawa anak pulau juga boleh berjaya.
Hidup dikelilingi laut. Pastinya saban hari bermain dengan ombak di tepian. Berkejar-kejaran dengan kawan-kawan di bawah rumah apabila air pasang dan banyak lagi kehidupan laut yang kutempuhi. Namun, ada sesuatu yang menyesakkan mindaku kenapa harus aku luahkan rasa ini.
Dr. Siti, maaf, saya dah keluar tajuk. Sepatutnya saya menghasilkan tulisan berdasarkan gambar yang berlatarkan bukit bukau.
Kampungku juga terbentang di hadapannya jejeran bukit bukau yang warna hijau pohonannya menyejukkan mata memandang.
Kalau dahulunya aku menganggap apa yang berlaku di kampungku sesuatu yang biasa sahaja. Tiada kesan dan tiada gunanya aku ambil peduli. Tapi, apabila bergelar mahasiswa, selaku anak pulau yang berjaya melangkah ke daratan, aku merasakan betapa nazaknya suasana kampungku. Bukan ‘Kampung Paya Kami’. Maaf, Dr. Siti.
Apabila mengingatkan ketam-ketam pelbagai jenis di depan rumah memaksa aku meluahkan apa yang dihadapi oleh ketam, ikan dan batu karang di kampungku. Mengingatkan siput-siput yang cukup lama aku tidak menjamahnya sebagai lauk makan malamku, hatiku tersentuh. Nenek, cucumu ini ingin makan sikad macam dulu. Nama-nama ikan yang kuperoleh dari datukku mengimbau rasa sedih dalam diri seorang anak jati pulau. Batu-batu karang yang dulunya perhiasan mataku apabila menyelam ke dasar laut kini tinggal kenangan. Semuanya musnah. Angkara insan yang bernama manusia.
“Ini ikan bawis.” Tunjuk abangku tatkala sampai ke rumah dari laut.
Usia lima tahun membuatkan aku tidak diizinkan ke laut untuk memancing seperti abangku. Malah mandi air laut bawah rumah pun amat payah untuk mendapat perkenan ayah dan ibu. Degil juga. Melanggar perintah, dan jawabnya ialah rotan.
Aku kagum melihat ikan bawis yang sedap apabila digoreng panas. Apatah lagi sewaktu musimnya sedang bertelur. Telurnya yang berwarna keputihan membuatkan selera makanku melonjak naik.
“Itu ikan apa …?” aku bertanya lagi pada abangku.
“Bollong,” jawabnya.
Aku kagum dengan abangku yang memancing ikan-ikan tersebut menggunakan sabit. Bukan kaedah biasa. Ikan dua jenis itu memang agak unik dan sukar diperoleh menggunakan kaedah memancing yang biasa.
Aku cukup seronok apabila satu hari abangku mengajak aku nabit di depan rumah. Jauhnya lebih kurang lima puluh meter sahaja. Di depan sebuah bungsud penduduk kampung kami melabuhkan sauh sampan. Tiba-tiba kedengaran bunyi letupan yang sangat kuat. Air laut memercik ke udara. Cantik juga pemandangan itu.
“Sial …” bentak abangku.
Semua ikan bertempiaran lari apatah lagi bawis dan bollong. Orang mengebom ikan rupanya. Pasti mangsanya bawis, bollong, tontong, lamuruk, selo dan macam-macam lagi. Aku hampa. Abang juga hampa. Peluang untuk menaikkan ikan bawis seekor pun tidak kesampaian. Kami pulang dengan tangan kosong. Abangku berjanji untuk membawaku lain kali.
Bom ikan itulah punca segalanya. Bom buatan manusia itulah yang memusnahkan harapan tinggi seorang anak pada ayahnya untuk mencari rezeki. Bom itulah juga yang membuatkan tangan seorang anak, tangan seorang ayah dan tangan seorang datuk hancur. Kudung selamanya. Bom meletup di tangan. Penyesalan tiada guna. Bom itu pemusnah batu karang yang pelbagai warna dan jenis. Bom itu juga menyebabkan kematian beribu-ribu ekor ibis sallang.
Batu karang pecah, hancur, mati dan berselerakan bahana bom ikan buatan manusia. Saban hari pasti ada penduduk kampungku atau kampung sebelah mengebom ikan di tengah-tengah ketenangan laut dan teriknya pancaran matahari. Mengganggu rutin harian nelayan yang memancing mahupun menjala ikan.
Apabila bom itu meletup, akan berlubanglah dasar laut. Kejamnya manusia. Menggunakan jalan mudah untuk mendapatkan hasil yang sementara.
Kalau dahulu pesisiran laut kampung cantik, indah dan tersusun. Tapi kini berlubang-lubang ibarat jalan raya yang tidak diperbaiki bertahun-tahun lamanya. Penuh lopak dan lubang di sana sini. Tidak boleh diperbaiki lagi. Berlubang dan akan terus berlubang. Segala-galanya angkara sebutir bom buatan manusia.
Dulu amat mudah untuk mencari apa sahaja makanan laut yang boleh dimakan mentah ataupun perlu dimasak terlebih dahulu di celah-celah batu karang. Tapi kini mencarinya terlalu susah kerana batu karang tidak lagi seperti dulu. Mati. Semuanya mati. Hilang seri warna laut kampungku. Suram. Dulu juga kima boleh dicungkil sahaja dari kerasnya batu karang. Tayum juga begitu. Kini, mencarinya ibarat sebuah pencarian yang tidak pasti. Pupus. Mungkin juga hidupan ini sudah kecewa dengan sikap penduduk kampungku lalu berpindah ke tempat lain.
Aku masih mengingati cerita datukku satu ketika dahulu apabila pulang dari mencari ketam dengan abangku. Mereka berdua mencari ketam jenis kalama di Tongkehe yang letaknya tidak jauh dari kampungku. Ketam yang hanya diperoleh dengan cara mengambilnya dalam lubang pasir.
“Kalama tinggal dalam lubang pasir,” kata abangku.
“Lubang kalama tidak dalam, bergantung pada saiznya,” terang datukku.
Datukku bercerita, pada mulanya abang tidak mahu menghulurkan tangan ke dalam lubang kalama dan hanya mendiamkan diri dalam sampan. Tapi mungkin kerana seronok melihat datukku mengambil kalama maka abangku cuba sendiri untuk mendapatkan kalama. Datukku menurut.
Sewaktu agak jauh dari tempat abangku, datukku mendengar seperti ada orang bernyanyi. Merdu tetapi tidak jelas sebutannya. Datukku menyangka abangku yang bernyanyi. Apabila datukku menghampiri abang, dia melihat air matanya menitis. Abang menangis rupanya disepit kalama. Bukannya bernyanyi seperti sangkaan datuk. Kami sekeluarga ketawa lucu mendengar cerita datuk. Abang malu dan lari, nak main guli katanya.
Itu juga dulu, masa kalama banyak lagi. Sepuluh atau sebelas tahun yang lalu, bukan setakat kalama malah ada beberapa jenis ketam yang mudah diperoleh dan kini memang sukar untuk menemuinya. Ketam sukai, kalog mata dan batu memang senang dicari. Sekarang ini cucu cicit ketam itu seakan bersumpah untuk tidak menjadikan diri mereka sebagai bahan makanan ataupun barang dagangan penduduk kampungku lagi. Semuanya kerana kami sekampung. Pasir dikorek dan dijual untuk jalan raya dan hospital. Musibahnya kalama hilang entah ke mana. Sikad, bat dan lain-lain hidupan pun turut lenyap. Bukan pupus, aku tahu, tapi merajuk meninggalkan laut kampungku yang tiada nilai kemanusiaan. Tidak memahami fitrah sesama makhluk Tuhan.
Kenangan-kenangan seperti itu ada kalanya membunuh minatku apabila sesekali pulang ke kampung. Sekali sekala mahu juga aku turun ke laut semula. Bukan untuk mandi-manda tetapi untuk memancing dan menangkap ketam. Tapi, apabila aku fikirkan semula berbaloikah setengah hari aku di laut sedangkan hanya sepuluh ekor bawis ataupun lima ekor cucu ketam sahaja yang aku peroleh. Bertarung dengan panas terik mentari, berjuang menahan ganasnya ombak. Itu semua igauan buruk apabila ada kawan, adik-adik mahupun anak saudaraku mengajak turun ke laut.
Jika sesiapa yang bertanya apa impianku di laut kampungku, pasti jawapanku mahu melihat batu karang dan habitat laut dipelihara seperti di Pulau Sipadan dan Pulau Mabul. Aku hanya mahu alam semula jadi laut kampungku kekal indah menarik. Apabila aku membaca cerpen Sebuah Pekan Bernama Semporna karya Abdullah Hussein, ingin sekali aku mengajak Sasterawan Negara itu agar datang semula ke Semporna. Melihat dan menyaksikan perubahannya. Tiada lagi tamu besar seperti dulu. Tradisi sudah banyak yang hilang angkara kemodenan kata mereka. Anak mudanya yang hilang nilai sebagai remaja Islam dan remaja bersopan dari timur.
Dulu aku boleh berbangga menceritakan kepada kawan-kawanku betapa istimewanya kampungku. Laut dan darat. Kini aku malu dan sedih membayangkan apakah nasib habitat laut di kampungku selepas ini. Adakah datukku yang dahulu sentiasa tersenyum tatkala balik dari laut dapat meramalkan keadaan yang akan berlaku setelah ketiadaannya nanti. Aku juga sering bertanya, apakah anak cucu kampungku akan mengenali mana satu bawis, bollong, sikad, bat, kalama, kalog mata, sukai, tayum, kima dan macam-macam habitat laut. Aku kecewa sekiranya anak jati laut tidak mengenal lagi warisannya. Aku sedih, hampa dan kecewa walau kini berada di perantauan kerana itu kampungku. Aku rindu pada ikan, batu karang dan ketam …!
Glosari
bawis, bollong, lamuruk, selo, kutambak, tontong, ibis sallang nama ikan dalam bahasa Bajau (Pantai Timur Sabah)
kalama, sukai, batu, kalog mata nama ketam dalam bahasa Bajau (Pantai Timur Sabah)
kima sejenis kerang
sikad sejenis siput
bat timun laut
tayum landak laut
nabit kaedah memancing ikan bawis dan bollong
sabit mata pancing yang digunakan untuk mendapatkan ikan bawis dan bollong