Pelbagai monumen atau binaan yang dibangunkan bertujuan menarik perhatian dan mengalu-alukan kedatangan pelancong. Binaan ini bukan sahaja memberikan makna atau identiti kepada sesebuah kawasan, bahkan menjadi satu kebanggaan kepada penduduk di kawasan tersebut.
Pintu gerbang atau gapura merupakan salah satu bentuk binaan yang menjadi mercu tanda sesuatu tempat. Pintu gerbang berfungsi sebagai pemisah di antara bahagian dalam dan luar sesebuah kota, bangunan atau premis. Pintu gerbang juga menjadi pintu keluar dan masuk ke kawasan tersebut.
Pintu Gerbang Kota Darul Ehsan misalnya, menjadi pemisah sempadan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Demikian juga dengan pintu gerbang lain yang menjadi pintu masuk ke sesebuah negeri di Malaysia. Pintu gerbang di Masjid Kampung Hulu Melaka pula ialah contoh pintu gerbang untuk masuk ke premis bangunan tersebut.
Secara umumnya, pintu gerbang atau gapura terbina daripada dua tiang yang direka bentuk mengikut kepakaran dan kreativiti perekanya. Bentuk melengkung biasanya terdapat di bahagian atas. Di samping itu, terdapat juga aksesori tambahan seperti replika atau arca tertentu yang diletakkan pada pintu gerbang tersebut.
Jika anda memasuki negeri Johor Darul Takzim, anda akan merasakan keistimewaan yang jarang-jarang ditemui di negeri-negeri lain. Jika di tempat lain pintu gerbang hanya terdapat di sempadan atau laluan masuk ke beberapa bangunan, namun keadaan berbeza berlaku di Johor.
Lalui segenap daerah di negeri ini, anda akan teruja apabila melihat jajaran pintu gerbang pada setiap jalan masuk ke kampung atau mukim. Susunan kampung di Johor yang terletak di sepanjang jalan utama dan tali air atau parit memberikan kita pandangan yang cukup menarik.
Pelbagai idea diterapkan dalam pembinaan pintu gerbang atau gapura mengikut kreativiti dan ikon yang signifikan dengan kampung atau mukim tersebut. Umpamanya, replika buku, al-Quran, buah-buahan dan lain-lain lagi yang melambangkan etos kawasan tersebut sekali gus pengunjung dan orang ramai dapat mengenali kearifan tempatan di situ.
Sepanjang kembara ke beberapa buah daerah di negeri Johor, penulis sempat merakamkan imej monumen gapura yang mempunyai pelbagai variasi di lokasi tertentu. Bermula di bandar Pontian, kita akan melihat sebuah pintu gerbang konkrit yang dhiasi dengan lambang mahkota kerajaan negeri Johor sebagai pintu masuk pengunjung ke Dataran Pontian. Dataran ini merupakan antara lokasi kunjungan warga Pontian pada waktu petang atau masa lapang. Terdapat kawasan luas untuk aktiviti riadah atau keluarga berkelah di situ.
Replika mahkota yang kelihatan amat gah menjadi kebanggaan rakyat Johor terhadap negeri kelahiran mereka. Strukturnya terbina dengan empat tiang melengkung diambil daripada bentuk gading gajah yang mengampu mahkota kebesaran diraja. Kedudukan dataran yang terletak di pesisir Selat Melaka membuatkan suasana lebih nyaman dengan desiran semilir dari segara yang bersih. Gapura ini seakan-akan menjadi induk kepada pintu gerbang lain yang bertaburan di daerah ini.
Gerbang Kemahkotaan yang terdapat di Dataran Pontian.
Pintu gerbang juga menghiasi laluan masuk ke Stadium Mini Pontian, masjid dan bangunan kerajaan di sekitar. Menelusuri laluan ke Benut, Ayer Baloi, Parit Madirono dan sekitarnya pula, kita akan melihat setiap kampung sejajar di sepanjang jalan dan mempunyai gapura masing-masing.
Antara yang menarik perhatian ialah pintu gerbang masuk ke Kampung Parit Puteri Menangis. Di samping namanya yang unik, binaan pintu gerbangnya juga sangat kreatif. Monumen ini diilhamkan daripada Menara Berkembar Petronas yang dibina pada tahun 1998.
Pintu gerbang ala-ala Menara Berkembar Petronas di Kampung Parit Puteri Menangis.
Sementara itu, pintu gerbang kampung berdekatan, Kampung Parit Mohayat pula lebih ringkas dan sederhana. Dua batang pilar konkrit digabungkan dengan struktur besi pada bahagian atas. Walaupun ringkas, pintu gerbang jenis begini tahan lama.
Pintu gerbang di Kampung Parit Mohayat.
Melepasi deretan kampung, kita akan melihat pintu gerbang yang menandakan sempadan daerah atau kawasan. Pintu gerbang masuk biasanya tertera perkataan “Selamat Datang” manakala perkataan di bahagian belakangnya pula tertulis “Sila Datang Lagi” atau “Terima Kasih”.
Perkataan “Selamat Datang” di pintu gerbang bertujuan menyambut kedatangan tetamu.
Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Ujang, 38, binaan tersebut bukan mudah untuk direalisasikan. Pintu gerbang biasanya dibina menggunakan logam seperti besi, zink dan bahan-bahan terbuang.
“Masa yang diambil untuk membina sesebuah pintu gerbang ini bergantung kepada bentuk dan bahan yang digunakan. Namun kerjasama penduduk sangat penting dalam usaha menyiapkannya.”
Menurutnya lagi, pada suatu ketika dahulu, pintu gerbang amat popular terutamanya menjelang sambutan hari raya. Setiap kampung akan mendirikan pintu gerbang dengan hiasan lampu dan pelbagai bentuk lagi untuk memeriahkan suasana sambutan tersebut.
Sekiranya kita mengembara atau memandu dari daerah Kluang melalui Simpang Renggam ke Pontian, pintu gerbang akan turut kelihatan dan itu menandakan bahawa kita telah memasuki daerah lain.
Sempadan daerah Kluang dan Pontian.
Binaan pintu gerbang ini memberikan aura kepada para pengunjung seolah-olah mereka dialu-alukan ke kawasan kampung tersebut. Di samping terkenal sebagai tarikan pengunjung, keindahan kampung juga turut terserlah dengan keunikan pintu gerbang masing-masing.
Menurut mantan Ketua Kampung Paya Palembang, Ulu Benut, Encik Isa bin Chek, 56, pembinaan pintu gerbang di kawasan kampung merupakan nilai tambah kepada keceriaan dan landskap perkampungan mereka.
“Kita ada Pertandingan Desa Lestari setiap tahun. Pintu gerbang merupakan salah satu ciri yang diambil kira dalam penghakiman. Justeru, tidak hairanlah jika setiap kampung menampilkan pelbagai bentuk pintu gerbang yang menggambarkan ikon atau identiti kampung itu,” ujarnya ketika ditemu bual.
Berkenaan dengan reka bentuk pula, beliau menjelaskan bahawa pintu gerbang kini lebih banyak menggunakan kerangka keluli atau besi untuk tahan lama dan memudahkan laluan kenderaan besar atau tinggi memasuki kampung.
“Walau bagaimanapun, ada pelbagai bahan yang digunakan untuk membangunkan pintu gerbang ini seperti menggunakan tiang roman, konkrit atau kayu. Bahan lain pula terdiri daripada bahan kitar semula seperti botol, tayar, tin, bekas minuman dan sebagainya,” sambungnya yang lebih mesra dengan panggilan Tok Isa itu.
Pemandangan yang sama juga dapat kita saksikan ketika melalui Mukim Parit Raja, Batu Pahat. Beberapa kampung di jalan utama ke Air Hitam telah mendirikan pintu gerbang yang dihias cantik bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sebuah replika al-Quran terletak di bahagian puncak tengahnya manakala di kiri kanannya pula terdapat dua batang tiang dihiasi dengan bentuk kubah yang menjadi simbol pegangan kukuh agama Islam penduduk setempat.
Lebih unik, di hadapan jalan masuk juga dibina replika nanas sebagai simbol komoditi utamanya. Kampung Parit Tengah merupakan antara kawasan penanaman nanas terbesar di daerah Batu Pahat, Johor.
Replika nanas menjadi salah satu simbol kearifan tempatan.
Satu lagi keistimewaan di negeri Johor adalah apabila nama-nama kampungnya bermula dengan perkataan “parit”. Jika kita perasan, kebanyakan parit terletak selari dengan jalan di negeri Johor. Di situlah bermulanya petempatan penduduk apabila parit dikatakan menjadi sumber utama air sejak zaman dahulu.
Selain pintu gerbang di Kampung Parit Tengah, terdapat juga beberapa pintu gerbang yang menarik di sepanjang jalan utama. Antaranya Kampung Seri Menanti Darat dan Kampung Seri Dalam yang turut mencatatkan tarikh pembukaan kampung, iaitu pada tahun 1917.
Pintu gerbang Kampung Menanti Darat.
Pintu gerbang Kampung Seri Dalam.
Sesungguhnya, hiasan pintu gerbang yang menjadi mercu tanda setiap kampung, mukim dan daerah di negeri Johor ini bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negeri tersebut. Kerajaan Negeri Johor sebenarnya telah menjadikan monumen ini sebagai budaya dan tradisi sejak dahulu.
Kini, selepas beberapa tahun, binaan lama telah mula kelihatan usang dan ada yang telah dirobohkan. Kerajaan Negeri Johor telah mengambil inisiatif dengan membaik pulih dan menaik taraf mercu tanda tersebut. Melalui peruntukan wakil rakyat kawasan masing-masing, penduduk kampung dapat menambah baik pintu gerbang kampung mereka.
Dalam Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Johor, Rancangan Pengukuhan Imej Desa 2023 telah menyediakan peruntukan besar untuk memulihara pintu gerbang di seluruh daerah, mukim dan kampung. Pintu gerbang yang dianggap sebagai sense of welcoming ini ternyata menjadi agenda utama pembangunan luar bandar.
Di daerah Batu Pahat sahaja terdapat 14 mukim dan setiap mukim dibina pintu gerbang yang signifikan dengan identitinya. Antara motif dan bentuk replika yang dibina ialah bentuk kuda kepang, al-Quran, tembikar dan gasing. Kos pembinaan sesebuah pintu gerbang ini boleh mencecah hingga RM400,00.00 bergantung kepada bahan dan bentuknya.
Menurut sumber TikTok Media Digital Johor, terdapat dua pintu gerbang yang menjadi kebanggaan rakyat Johor, iaitu Gerbang Jubli atau Jubilee Arch dan Gerbang Kemahkotaan. Gerbang Jubli terletak di jalan masuk ke Istana Besar Johor, di Bukit Serene dan Gerbang Kemahkotaan pula dibina bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar. DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan Yang di-Pertuan Agong sekarang.
Kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah menjadikan negeri Johor dihiasi dengan pelbagai bentuk pintu gerbang yang unik dan kreatif. Natijahnya, usaha mewujudkan monumen yang bersifat kearifan tempatan adalah sangat bermanfaat kerana monumen tersebut mampu menjadi tarikan pelancong serta dapat dijadikan rujukan sejarah dan geografi kawasan berkenaan.