SAMBIL melihat keindahan alam, aku termenung melihat pemandangan di luar cermin kereta. Seminggu lagi Hari Raya Aidilfitri akan tiba, sedar tak sedar sudah tiga minggu aku berpuasa. Hampir sebulan aku berada di Pulau Pinang. Sekejap betul masa berlalu. Dalam usia hampir 86 tahun, aku masih dikira insan yang kuat semangat kerana mampu menjalani ibadah puasa dengan baik.
Aku amat bersyukur kerana ingatanku masih utuh. Aku masih mampu mengaji al-Quran. Kawan-kawan seusiaku ramai yang sudah meninggal. Terbayang satu demi satu kenangan kami bersama-sama. Banyak bahagia daripada derita. Bibah yang kalah reporter menyampai berita orang kampung, Timah yang suka mengusik, Imah yang suka merajuk dan akulah yang selalunya menjadi pendamai . Aku sayang semua kawan-kawan aku, tiada seorang pun lebih, tiada seorang pun kurang. Timah meninggal dua tahun lepas dan Imah pula meninggal bulan lepas. Kini tinggal aku dan Bibah. Aku tertanya-tanya, perangai Bibah sama macam dulu atau dia sudah berubah. Atau masih lancangkah mulut dia. Aku sudah hampir 6 bulan tidak balik ke rumahku. Lama tu, mesti Bibah sudah berubah.
Tiba-tiba … ‘Tet …!’
Bunyi brek kereta Honda Jazz anak bongsuku, Alia mengejutkan aku daripada lamunan.
“Mak, kita dah sampai, tak nak turun ke?”sambil Alia bukakan pintu kereta untukku.
“Nak, tapi sekejap. Kaki Mak ni rasa berat. Lama sangat duduk. Kau masuk la rumah dulu. Jangan lupa angkat semua barang. Mak nak ambil angin sekejap” kataku.
Alia mula mengangkat barang dan membawa masuk ke dalam rumah. Rumah yang kutinggal kosong selama 6 bulan. Aku tak perlu risau, walaupun sudah lama aku tinggalkan rumah itu, rumah tetap terjaga dan diurus rapi. Ratu, anak sulungku selalu datang menjengah dan mencuci rumahku. Dia juga yang mengutip sewa rumah yang ditinggalkan oleh suamiku.
Selain Alia, Asma dan Ratu, aku juga ada empat orang anak yang lain. Mereka sudah mempunyai rumah. Rumah mereka masing-masing tidaklah terlalu jauh. Cuma aku lebih suka dan selesa duduk dengan Alia dan seorang lagi anakku di Kuala Lumpur, Asma.
Sambil memandang laman rumahku, tiba-tiba aku terpandang kelibat seseorang berjalan dari arah kanan, tersenyum-senyum sambil melaung namaku. Aku sudah tahu, itu mesti Bibah.
“Romlah, …. Romlah. Kau tu kan?” Dia berjalan mendekati aku.
“Kau nampak makin kurus. Anak kau tak bagi kau makankah? Ya lah, kan semua kerja pejabat. Tentu sibuk.”
“Eh, Bibah. Ya lah aku ni. Aku makan, bukan tak makan. Tapi kita ni kan makin tua, makan sikit dah mula rasa tak nak. Si Alia tu tinggal je makanan. Engkau nampak sihat,” balasku.
“Aku … Alhamdulillah. Macam ni la. Badan masih sama. Anak tak ramai macam kau pun, selalu sahaja bawakan aku makanan. Tak makan membazir pula. Sedap pula makanan tu. Mereka pun duduk di sekitar sini je. Anak kau balik semua tak raya ni?”
“Alia dah ada dalam rumah tu. Asma katanya sampai pagi esok. Ratu belum nampak batang hidung. Yang lain tu tak ada pula telefon nak balik.”h
Sedar tak sedar hampir 30 minit aku berborak dengan Bibah. Semua cerita orang kampung sudah aku tahu. Kini seolah-olah baru enam hari aku tinggalkan kampung itu, bukannya enam bulan. Bibah mula meminta diri. Aku pun mula terfikir tentang pertanyaan Bibah tadi. Anak-anakku sudah berubah. Mereka sudah ada anak, ada menantu, ada cucu dan cicit. Rumah aku ini bukan lagi rumah utama mereka. Aku mula teringat arwah suamiku. Dialah orang pertama yang akan menegurku kalau aku fikir bukan-bukan.
Perasaan sedihku menjadikan aku rasa tidak mahu masuk ke rumah. Jadi, aku berjalan di sekitar rumah sewaku. Di tepi tangga aku terlihat pokok lada yang sudah tua. Daunnya ada beberapa helai tapi masih ada buah. Mataku terus tertarik memandang pokok itu.
Rumah itu disewa oleh dua orang pemuda bujang. Ini mesti pokok lada yang ditanam Idah, penyewa sebelum ini. Pokok lada itu kering seperti tidak terjaga. Aku terus bersuara.
“Alia … ooo Alia … bawakan air ke sini.”Laungku dari luar rumah.
“Ya mak. Mak nak buat apa?” tanya Alia sambil membawa segayung air.
“Ni tolong siram pokok lada ni.”
Esoknya, aku bangun pagi dan berpuasa seperti biasa. Jam menunjukkan pukul 7.00 malam, tiba-tiba aku teringat pokok lada tadi. Aku panggil Alia lagi. Dia yang sedang kalut memasak juadah berbuka puasa menolak permintaanku. Entah kenapa jiwaku rasa sedih sekali. Dalam aku melayani sedih, aku melihat Asma keluar dari biliknya mengendong bayi berusia empat bulan. Aku menyuruh Asma menyiram pokok lada tetapi Asma juga menolak. Katanya siapa nak jaga bayinya, dia risau bawa keluar rumah bayi waktu sebegini. Logik juga kata Asma itu. Mahu sahaja aku pergi siram pokok itu sendiri. Tetapi kaki masih lagi sakit akibat berada terlalu lama dalam kereta semalam menjadikan aku tidak mampu berbuat demikian. Rajukku tidak terubat, kalau ada arwah suamiku, tentu dia akan layani permintaanku.
Allahu Akbar…
Allahu Akbar …
Allahu … Akbar …
Laa ilaaha illah Allah, Allahu Akbar…
Allahu Akbar… walillahhilham …
Gema suara takbir saling bersahut. Jiwaku makin sayu. Walaupun Alia dan Asma ada di rumahku tetapi anak-anak yang lain tidak ada. Dalam hati, aku mengakui kata-kata Bibah. Aku tahu nanti di surau, waktu sembahyang hari raya aku mesti bersalam dengan Bibah. Mesti dia tanyakan soalan yang sama. Anak aku memang semua masuk universiti, semua orang puji aku pandai dalam mendidik anak. Tapi lihatlah mereka sekarang. Mungkin aku bukan ibu yang baik, mereka sanggup biarkan aku. Air mataku mula mengalir. Aku mula membandingkan nasibku dengan Bibah. Walaupun anaknya tiada seorang pun masuk universiti, semua ada di rumahnya.
“Mak … jom mak kita ke surau,” jenguk Alia dari tepi pintu.
Aku menyapu air mata yang menitis tanpa sengaja. Aku tidak mahu Alia dan Asma tahu aku sedih. Aku bangun dan berjalan ke luar rumah. Walaupun surau dekat, tetapi oleh sebab kakiku belum begitu sembuh,kami ke surau dengan kereta Alia.
Usai bersolat sunat hari raya dan bersalaman dengan jemaah, aku bergegas ke kereta. Tidak mahu lagi berborak panjang dengan semua orang terutama Bibah. Tidak mahu lagi hatiku menjadi lebih sakit. Alia terkocoh-kocoh mengejarku.
“Mak … lajunya jalan. Tak terkejar orang. Orang tengah salam tadi, toleh belakang tengok mak dah ke kereta.” Kata Alia sambil termengah-mengah.
“Aha … mak tak larat nak berdiri. Tu datang ke kereta. Ada bangku tepi tu. Boleh duduk. Alia jom kita pusing-pusing kampung. Mak rasa macam nak pergi tengok rumah baru Idah. Sejak dia pindah, mak tak pernah lagi ke sana.” Balasku kepada Alia.
“Boleh je mak.” Jawab Alia ringkas.
Kereta Honda Jazz mula bergerak menuju keluar dari pekarangan surau. Jarak rumah Idah dari surau lebih kurang 10 minit sahaja dengan kereta. Alia bukan hanya bawa aku pergi ke rumah Idah, tapi bawa aku pusing satu kampung. Banyak betul perubahan dalam kampung aku. Rumah jiran-jiran aku sudah bertukar yang dulunya menggunakan kayu kini dibina menggunakan batu dan simen. Sunguh cantik dan indah kampungku. Sedar tak sedar kereta Alia sudah di depan rumah Idah. Aku lihat Idah sedang menyiram pokok bunganya.
“Assalamualaikum Kak Idah, Selamat Hari Raya Adilfitri. Alia bawa mak ni. Katanya nak tengok rumah baru akak.” Kata Alia sambil bersalaman.
“Waalaikummussalam, eh Alia ka … Kak Romlah pun ada. Selamat Hari Raya. Masuklah. Beginilah rumah kami. Cukuplah untuk kami tiga beranak berteduh.”
“Wah … cantiknya rumah kau Idah, patut tak sabar nak pindah. Akak datang ini nak minta pokok lada yang kau tanam kat depan rumah akak tu. Boleh kan Idah?” pintaku.
“Pokok lada yang tepi tangga tu ka kak? La … ambil je kak. Pokok tu dah tua. Memang Idah sengaja biar di situ.’’ Kata Idah.
Mendengar aku berbicara tentang pokok lada, muka Alia mula berubah walaupun bibirnya tetap mengukir senyuman. Dia terus memandang telefon pada tangannya dan menaip sesuatu. Pandanganku beralih ke Idah. Kami meneruskan perbualan tentang pokok lada itu.
Aku rasa Idah lebih berminat melayan aku berbicara tentang pokok lada berbanding anak-anakku.
Setelah hampir 20 minit beraya di rumah Idah, kami masuk ke kereta dan berangkat pulang ke rumahku.
Sampai di rumah, aku lihat ada dua biji kereta di hadapan rumah. Aku tahu itu kereta Ratu dan anak-anaknya. Ketika aku menjenguk ke ruang tamu, aku nampak mereka semua sedang menunggu aku. Mereka berpakaian raya yang indah. Sudut kanan ada Ratu dan keluarganya, di sudut kiri Asma dan keluarganya. Sejurus aku duduk, mereka berebut ingin bersalaman denganku. Cucu-cucuku sudah besar dan bekerja. Dahulu aku berikan mereka duit raya. Kini aku yang terima duit raya. Kami semua bergelak ketawa. Bertanya khabar, berkongsi cerita.
Jam menunjukkan jam 11.00 pagi. Aku mula teringat pokok lada yang belum aku siram. Aku sudah merajuk untuk menyuruh Alia dan Asma. Kini Ratu jadi sasaranku. Ratu sangat memahami aku. Dia bukan seorang anak yang suka membantah kalau denganku. Aku puas apabila pokok lada itu kini sudah jadi milikku dan sudah pula disiram. Tetapi aku tidak pasti kenapa sedihku masih ada. Mungkin kerana empat orang anakku belum berkunjung tiba.
Dalam kemeriahan rumahku dengan suara keluarga Ratu dan keluarga Alia, tiba-tiba ada suara memberikan salam.
‘”Assamualaikum … kami datang nak beraya.” Seorang demi seorang anak, menantu dan cucu serta cicitku masuk melalui pintu.
Aku memandang mereka seorang demi seorang. Semua datang memeluk dan menciumku. Waktu itu akulah watak utama dalam drama yang belum bertajuk. Jiwaku berbunga ceria. Tambahan pula mereka membawa sepohon pokok lada yang baru ditanam di dalam pasu untukku. Pokok itu penuh berbuah dan tidak tua seperti pokok yang di tepi tangga. Senyumku terukir ceria. Wajah arwah suamiku terbayang di minda.
‘Abang … Benar kata abang. Kalau kita ikhlas mendidik anak kita, mereka tak akan lupakan kita. Maafkan Romlah bang. Romlah lupa. Romlah silap.’ Bicara hatiku dan aku mula mengalirkan air mata gembira. Duit raya sudah tak terhitung kerana hampir semua mereka menghulurkan sampul kepadaku.
“Mak, mengapa mak menangis?” tanya Ratu agak kehairanan dengan kelakuan ibunya.
“Mak menangis gembira,” kataku ringkas.
“Mak masih fikir pasal pokok lada ka mak? Kami tahu mak terasa. Maafkan kami. Kami tak ada niat pun nak buat mak begitu. Kami tak pernah abaikan mak. Kami semua memang berpakat adik-beradik. Alia selalu cerita perkembangan mak kat group WhatsApp. Apa-apa kami akan bincang di situ. Kami tak mahu mak pening kepala.
“Kami mahu mak hidup tenang sahaja. Tu kami datang kumpul masa yang sama dan beli pokok baru yang ditanam di dalam pasu untuk mak senang nak siram. Mak pun boleh tengok sebab pokok tu depan mata mak. Mak jangan risau. Mak tetap insan utama dalam hati kami semua mak.” Ratu menjelaskan kepadaku.
Mendengar penjelasan itu, aku benar-benar bahagia. Air mataku sudah berhenti mengalir. Tubuhku sekali lagi dipeluk oleh anak-anakku. Bibah, kau silap. Anak-anakku tak pernah melupakanku walaupun mereka belajar tinggi. Drama Bibah dan pokok lada tua sudah sudah tamat.
Kini aku ada pokok lada yang lebih muda. Yang selalu ada depan mata. Yang boleh aku siram pada bila-bila masa aku suka. Yang berdaun lebat dan buah melata.
Walaupun hari semakin malam, rumahku tetapi meriah dengan anak, menantu, cucu dan cicitku. Aku jenguk rumah Bibah. Aku tengok ada sebiji kereta sahaja. Mungkin anak-anak dan menantu pergi ke rumah mentua. Bibah, kita berdua berperanan sebagai ibu. Cara kita didik anak dan nasib kita tak sama. Tapi kita tetap bahagia cara kita. Terima kasih Allah SWT kerana sentiasa memberikan aku rasa bahagia dan menyedarkan aku yang mudah alpa.