Pengenalan
Perjanjian sumpah atau lebih dikenali sebagai mikorot ialah amalan masyarakat Borneo pada zaman dahulu, khususnya dalam kalangan etnik di negeri Sabah. Mikorot merujuk kepada penyelesaian sesuatu isu atau pertikaian yang berlaku dalam kalangan etnik itu sendiri atau dengan etnik lain yang tinggal dalam lingkungan tertentu. Antara isu yang sering berlaku termasuklah isu kuasa kepimpinan, persaingan etnik, konflik komuniti, perebutan harta pusaka atau tanah dan sebagainya.
Menurut Abdul Naddin (2012, Budi Anto Mohd Tamring, 2018:94), amalan mikorot berlaku dalam kalangan etnik-etnik di Sabah, termasuk etnik Dusun dengan menggunakan istilah dan pelaksanaan yang berbeza. Amalan ini turut berlaku di negara lain, termasuk di Eropah yang merujuknya sebagai brotherhood. Masyarakat Ambon di Indonesia mempunyai amalan yang sama, iaitu dikenali sebagai pela. Amalan ini turut berlaku dalam kalangan Masyarakat Cina seperti yang disebut oleh David K. Jordan (2016, Budi Anto Mohd Tamring, 2018: 96) menerusi kajiannya bertajuk Sworn Brothers: A Study in Chinese Ritual Kinship.
Konsep asas mikorot melibatkan upacara bersumpah di lokasi berkenaan oleh mereka yang terlibat dalam upacara tersebut. Dalam upacara ini, berlaku pengeluaran darah daripada tubuh orang yang terlibat. Darah tersebut dicampur dan diminum bersama-sama. Di sesetengah tempat, upacara meminum darah ini dikenali sebagai blood brother, iaitu simbolik pengakuan bersaudara walaupun tidak ada ikatan persaudaraan darah.
Masyarakat Scythians pada masa dahulu mengamalkan sumpah meminum darah dengan menuangkan wain ke dalam mangkuk atau bekas yang besar dan mencampurkan darah yang diambil daripada tubuh mereka bersama-sama dengan peralatan yang digunakan seperti parang. Selepas berdoa dan membuat perjanjian, mereka akan meminum wain bercampur darah itu bersama-sama (Budi Anto Mohd Tamring, 2018: 96).
Perjanjian sumpah atau mikorot yang berlaku dalam kalangan etnik Rungus di utara negeri Sabah yang dibincangkan dalam makalah ini agak berbeza amalannya kerana tidak melibatkan darah manusia sebaliknya menggunakan darah daripada haiwan sembelihan atau ternakan ketika upacara dijalankan.
Mikorot dalam Kalangan Etnik Rungus
Mikorot pernah terjadi dalam kalangan etnik Rungus pada zaman dahulu. Mikorot dilakukan lagi kini, iaitu pada 11 Julai 2020 atas tujuan tertentu. Peristiwa atau kejadian mikorot itu disebut dalam bahasa Rungus sebagai minikorot.
Peristiwa minikorot yang terjadi pada masa dahulu di kuala Sungai Matunggong yang mengalir ke Teluk Marudu telah menjadi legenda. Tempat berlaku peristiwa tersebut berdekatan dengan tapak Tamu Matunggong (pasar mingguan) yang lama sebelum dipindahkan ke tapak tamu yang ada kini. Tamu Matunggong yang diadakan pada setiap hari Sabtu mempunyai keunikan dan sejarah yang tersendiri sejak zaman dahulu kala (kodhori). Pada masa dahulu, Tamu Matunggong memberikan kesempatan kepada masyarakat Momogun-Rungus berdagang dengan kaedah tukar barang. Kini kaedah berdagang menggunakan mata wang.
Aktiviti ini dilakukan sesama masyarakat Rungus dan juga masyarakat etnik lain, terutamanya dengan masyarakat Bajau Sama, Iranun/Ilanun, Kagayan, Ubian, Suluk Binadan dan lain-lain. Aktiviti ekonomi ini bukan sahaja memenuhi keperluan harian tetapi juga telah membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai pergantungan yang rapat antara satu dengan yang lain. Pengunjung setia tamu pada masa itu mempunyai rakan niaga (rakan tukar barang) yang telah dikenali bertahun-tahun. Suasana ini telah membentuk hubungan yang harmoni dalam kalangan masyarakat.
Tamu Matunggong dipercayai satu-satunya tamu mingguan yang paling lama di daerah Kudat. Tamu ini masih kekal hingga kini. Menurut cerita orang-orang tua, tamu itu sudah wujud sejak turun-temurun dan tidak ada sesiapa yang tahu sejak bila tamu itu bermula. Apa yang pasti, tamu mingguan telah wujud dan menjadi saluran komunikasi, bertukar maklumat, berurus niaga, berteguh janji dan sebagainya sejak dahulu hingga sekarang. Oleh sebab itu, masyarakat merujuk Tamu Matunggong sebagai Bhadhi Kodhori (Tamu Purba) (Raymond Majumah, 2003:53).
Peristiwa kecurian kemudiannya terjadi secara berleluasa di kawasan ini. Hal ini membawa kepada perbicaraan adat komuniti (mihukum) untuk mencari penyelesaian dengan mengenal pasti dan menghukum pencuri berkenaan. Walau bagaimanapun tidak ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab. Oleh itu, pemimpin-pemimpin masyarakat telah bersetuju menggunakan kaedah campur tangan kuasa ghaib. Mereka meminta seorang bhobholhizan (pakar ritual etnik Rungus) menyelesaikan masalah itu dengan melafazkan rinait (lafaz ritual) di hadapan sebuah batu dipanggil pinikaratan dan menyembelih ayam.
Setelah rinait itu selesai dilafazkan dan ayam yang telah disembelih dilepaskan. Ayam yang separuh mati tersebut akan menyerang (mongurub) orang-orang yang selama ini disyaki mencuri sehingga mereka lari lintang-pukang. Orang-orang yang selama itu telah mencuri kemudiannya akan mati satu persatu dengan cara yang mengerikan seperti dimakan buaya, ditimpa pokok dan keracunan. (Raymond Majumah, 2003:54).
Selepas peristiwa ini, pengunjung-pengunjung tamu menjadi saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Sebarang perbuatan jenayah atau perkara yang tidak sopan akan dihindari oleh pengunjung. Peristiwa berjanji sumpah (minikorot) yang berlaku sekitar akhir abad ke-17 atau awal abad ke-18 itu telah menjadi titik tolak kepada keamanan di Matunggong Lama dan Teluk Marudu hingga kini. Keadaan ini seiring dengan berterusannya pasar mingguan atau tamu yang lebih dikenali dalam bahasa Rungus sebagai bhadhi atau talhob.
Dalam peristiwa itu, dua pihak yang saling bertelagah, iaitu masyarakat Rungus (Momogun) dengan masyarakat penghijrah yang berada di kawasan Kuala Sungai Matunggong itu telah berakhir dengan baik setelah dilakukan sumpah berdamai antara kedua-dua pihak tersebut. Sumpah berdamai itu disebut dalam bahasa Rungus sebagai minikorot yang boleh diterjemahkan sebagai perjanjian sumpah.
Derwent Kell (1984) pernah menggambarkan tamu di Matunggong ini dalam bukunya berjudul A Doctor’s Borneo 1938-1945, (hal.8-10) seperti yang berikut:
Lebih kurang seratus orang Rungus Dusun telah berkumpul untuk ke Tamu dan Klinik. Semasa berdagang, mereka membawa beberapa ekor ikan yu dan pari yang mereka dapat daripada nelayan Bajau dengan menukarkannya dengan tempurung kelapa penuh dengan beras tempatan. Kejadian itu sangat menarik perhatian dan saya berasa bahawa pesakit-pesakit yang akan datang berjumpa dengan saya seolah-olah melangkah terus dari halaman-halaman majalah National Geographic. Lelaki-lelaki memakai parang – pisau besar dengan mata yang melengkung – dalam sarung kayu di pinggang kiri mereka. Sebelum klinik dibuka, mata-mata (polis) menjerit arahan, dan senjata-senjata ditumpuk dengan kemas dalam satu timbunan yang tidak teratur di hadapan rumah rehat. Rupanya, telah berlaku pertumpahan darah di klinik-klinik sebelum ini. Betapa kecilnya wanita-wanita itu! Pakaian mereka terdiri daripada kain linen gelap, tetapi beberapa memakai baju berwarna-warni. Kepala mereka diliputi dengan kain tuala yang dilipat dan mereka berkaki ayam. Tembakau kecil menjulur dari bibir mereka yang berwarna merah daripada mengunyah pinang dan daun sirih. Gigi mereka hitam dan diasah. Terdapat gelang-gelang yang besar dibuat dari tembaga melingkari kaki, lengan, dan leher mereka. Gelang-gelang ini berbunyi sangat eksotik apabila mereka bergerak.
(Terjemahan oleh Jester Daniel Jayyes, 3 Mei 2024).
Perjanjian Sumpah atau Mikorot Zaman Moden di Matunggong
Pada pertengahan tahun 2020, Dato Verdon Bahanda, iaitu salah seorang pemimpin Rungus berpendapat ada keperluan untuk mengadakan perjanjian sumpah (mikorot) untuk mendapatkan perlindungan daripada ancaman pihak tertentu yang berniat untuk mencetus kekacauan dan gangguan terhadap orang asal, khususnya masyarakat Rungus, seperti yang pernah diadakan pada akhir abad ke-17 atau awal abad ke-18 itu. Sebagai simbol peristiwa perjanjian sumpah tersebut, satu Batu Sumpah (Vatu Pinikaratan) telah diwujudkan dan diletakkan di puncak Bukit Gumantung dalam Daerah (K) Matunggong, sesuai dengan lokasi upacara tersebut diadakan.
Kesimpulan
Perjanjian sumpah atau mikorot yang terdapat dalam kalangan masyarakat asli di dunia ini mempunyai tujuan dan kepentingan tertentu, termasuklah untuk menyelesaikan isu atau pertikaian tertentu demi mencapai keharmonian dan kesejahteraan sebagai komuniti yang hidup bersatu-padu dalam sesebuah negara.
Dalam kalangan etnik Rungus, minikorot berjaya mewujudkan keamanan dan kemakmuran pada zaman dahulu. Minikorot diharap dapat diteruskan pada zaman moden ini agar menjadi pemangkin kepada keselamatan negara dan bangsa, khususnya dalam kalangan komuniti orang asal, termasuk Momogun-Rungus yang berada di Utara Borneo.
Monumen tanda pinikaratan ini akan menjadi mercu tanda keberadaan Orang Asal Sabah sebagai minomogun, iaitu kumpulan manusia yang telah meneroka (monoruvang), menjalani kehidupan (napasi) seperti bercucuk tanam (minongumo), membina rumah (minivalhai), seterusnya meninggalkan jejak (minomogun) dalam bentuk bekas rumah (pogun), ladang tanaman (umo) dan tanda kubur (lhobhong) di bumi bahagian utara Borneo ini.
Rujukan
Budi Anto Mohd Tamring, 2018. Mikorot dalam Konteks Kebudayaan Etnik Dusun di Sabah: Analisis dari Perspektif Hubungan Etnik. Dalam MANU Bil. 27, 93-120, 2018 (Jun).
Derwent Kell, 1984. A Doctor’s Borneo 1938-1945. Tingalpa. Australia: Boolarong Publications.
Raymond Majumah, 2003. Momogun Rungus Borneo Utara: Warisan Sastera dan Budaya Sabah. Kota Kinabalu. SLC Sdn. Bhd.
Massey et al, 2011. Beware the Animals That Dance: Conservation as an Unintended Outcome of Cultural Practices. Society Biology and Human Affairs. 76(2): 1-10