PAGI itu seperti biasa saya bangun awal daripada tidur yang lena. Seperti hari-hari sebelumnya. Saya sudah biasa begitu. Kekok untuk saya bangun lambat. Sekiranya saya bangun lambat agaknya dunia ini akan kiamat. Saya memang mengunci memori kepala untuk setiap hari patuh kepada masa bangun tidur. Jangan sesekali terlambat bangun.
Rutin saya pada setiap pagi adalah melakukan senaman ringan di hadapan rumah sebelum memulakan hari yang mencabar. Dalam keadaan kantuk yang belum bersiap sedia untuk meninggalkan kelopak mata, saya bangun dari tilam yang empuk dan enak. Beberapa kali juga saya menguap. Untuk membuang rasa mengantuk, saya menggeliat tubuh dengan lembut dan perlahan dengan harapan supaya mengantuk cepat sirna.
Saya bangun dari katil kayu jati dan menapak menuju pintu di ruang tamu setelah menyelak daun pintu bilik yang tertutup rapat. Saya membuka pintu perlahan-lahan dan menjenguk suasana di luar rumah. Suasana di luar rumah agak sepi. Mungkin keadaan masih pagi. Matahari baru sahaja timbul dari laut timur. Keadaan sekeliling masih belum jelas kelihatan.
Saya melangkah keluar beberapa tapak ke halaman rumah yang terbentang beralaskan selipar. Saya menggoyangkan badan dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Menghirup udara pagi yang nyaman dan segar sepuas-puasnya.
Sambil melakukan regangan ringan, mata saya melilau ke kanan dan kiri. Di sebelah kanan, rumah jiran masih gelap. Di sebelah kiri, rumah jiran kelihatan terang benderang. Tidak lama kemudian, suasana sekeliling menjadi cerah dengan bangkitnya matahari daripada tidur.
Ada sesuatu yang aneh yang saya lihat apabila keadaan sekeliling menjadi terang dan jelas kelihatan. Ada sebuah tembok yang entah datang dari mana, tumbuh di depan pagar rumah kami.
Saya tidak pasti sama ada itu Tembok Berlin ataupun Tembok Besar China mahupun tembok seperti di dalam filem Siapa Besar terbitan Malay Film Productions Ltd. Tembok itu diperbuat daripada papan lapis dan kayu.
Setahu saya, petang semalam tiada apa-apa tembok di depan pagar rumah. Pandangan jika dari depan rumah sememangnya menghadap jalan raya. Saya mulai diserang kehairanan. Aktiviti senaman ringan saya hentikan dengan serta-merta. Saya menapak laju menuju tembok durjana itu. Gara-gara tembok itu, pandangan mata saya terbatas. Saya tidak dapat melihat pemandangan padang rumput yang luas di seberang jalan. Padang rumput tempat kerbau dan kambing memakan rumput pada siang hari.
Banyak persoalan yang bermain di fikiran saya. Siapa yang bina tembok itu? Untuk apa tembok itu dibina? Bila tembok itu dibina?
Persoalan itu mencucuk-cucuk otak saya. Saya perhatikan rumah jiran di sebelah kanan, tiada sebarang tembok yang dibina. Rumah banglo yang agam dan indah itu – tiada sebarang tembok. Rumah jiran di sebelah kiri pula dipasang dengan tembok. Reka bentuk tembok yang sama dengan di depan rumah saya.
Saya teringin melihat dari pandangan depan tembok. Sesampainya saya di tepi jalan menghadap tembok. Saya dapat melihat dengan jelas lukisan yang cantik dan indah yang tertera pada tembok. Terdapat sebuah tulisan bersaiz gergasi, SELAMAT DATANG KE KAWASAN KAMI.
Untuk apa agaknya tembok yang indah ini dibina di sini? Saya menduga yang tembok ini dibina pada waktu malam. Waktu manusia seperti saya tidur lena dan nyenyak. Saya teringat akan kisah Candi Prambanan yang dibina dalam masa semalam sahaja oleh Bondosowo. Sesungguhnya, manusia yang leka akan rugi dan mudah dipijak serta dianiayai.
Saya tidak puas hati dengan tindakan memacak dan membina tembok di atas tanah saya ini sesuka hati. Saya dirasuki rasa marah dengan tiba-tiba. Saya nekad untuk meruntuhkan tembok itu. Saya kembali ke dalam rumah untuk mengambik kapak pusaka nenek moyang.
Di dalam perjalanan menuju pintu rumah yang terbuka luas, jiran di sebelah kiri memanggil saya dengan nyaring. Saya terkejut. Dengan pantas saya memalingkan wajah. Saya dapat melihat jiran saya, seorang lelaki yang berusia sebaya saya. Dia melambaikan tangan ke arah saya. Saya menemui dia.
Jiran sebelah kiri saya memberitahu bahawa tembok itu telah dibina pada malam hari. Dia sempat melihat beberapa orang lelaki memasang tembok tersebut. Namun dia takut untuk bertanya dan menegur. Akan tetapi, dia ada mendengar daripada hebahan di media sosial bahawa jalan depan rumah itu akan dilalui oleh orang kenamaan, VVIP dan pemimpin-pemimpin utama dunia untuk suatu acara pertemuan pemimpin dunia di sebuah resort terkemuka yang terletak tidak jauh dari situ.
Saya ajukan kepada jiran saya: Kenapa rumah jiran di sebelah kanan kita tidak dipasang tembok? Rumah kita yang diperbuat daripada kayu, atap zink rontok, serba daif, berbau busuk dan tidak semewah rumah jiran di sebelah kanan ini pula menjadi korban, ditutup dengan tembok.
Saya katakan lagi kepada jiran saya: Mereka memasang tembok di depan rumah kita untuk menutup situasi sebenar yang kita semua sedang hadapi sekarang. Situasi yang kita semua sedang bergelut dengan serba serbi kenaikan dan pemotongan. Macam teori iceberg yang dipelopori oleh Sigmund Freud. Yang indah, kaya, baik, bagus dan menyenangkan dipertontonkan di permukaan. Yang buruk, daif, miskin dan susah disorokkan di dasar laut.
Saya mengajak jiran saya itu untuk melakukan sesuatu yang bijak. Saya mengajak dia dan mereka-mereka yang senasib dengan saya untuk meruntuhkan dan merobohkan tembok pengkhianatan itu. Biar satu dunia melihat sendiri kenyataan hidup kami semua. Realiti yang pahit untuk dilihat di sebalik tembok buatan yang dibina oleh manusia bertangan kotor.