KECEWA menyelimuti jiwa mereka. Keinginan untuk bertemu seorang artis popular telah gagal, tidak seperti yang dirancang. Walaupun telah berhubung dengan pengurus peribadi artis tersebut, kesibukan selalu menjadi halangan sehingga terpaksa membatalkan janji. Entah benar atau sekadar alasan, siapa tahu?
“Apa kata kita fokus kepada pelakon di belakang tabir untuk tugasan kali ini?” cadang Razlan sambil menepuk lembut bahu Kamal.
“Hum… boleh juga,” Kamal bersetuju tanpa membantah.
Zairil mengangguk. “Jika begitu, aku ikut saja. Tapi, siapa yang akan kita temu bual nanti?”
“Serahkan saja pada aku,” jawab Razlan tersenyum lebar.
***
“3… 2… 1… action!” Terjunan dari sebuah bangunan tinggi dilakukan dengan pantas. Penerjun itu, seorang pelakon lagak ngeri dan tidak dikenali ramai. Hanya aksi-aksi lasak dan ngeri yang diperlukan. Inilah jenis pelakon yang dicari oleh tiga siswa itu untuk menyelesaikan tugasan akhir mereka sebagai pelajar sinematografi dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Selepas lebih kurang dua jam, penggambaran babak-babak ngeri selesai. Mereka terpesona menontonnya sehingga terlupa tujuan asal mereka. Teringat kepada janji, pelakon tersebut datang menemui mereka bertiga.
“Saya perkenalkan Stuntman Hassan. Pelakon kita untuk kali ini,” ujar Razlan, sengaja mencipta gelaran gurauan untuk pelakon lagak ngeri itu.
Dia sudah lama berkenalan dengan Hassan.
“Ada-ada saja kamu ini. Abang bukan Superman,” balas Hassan sambil tersenyum.
Jarang sekali orang mahu menemu bual dirinya. Selalunya, pelakon popular yang dicari orang. Zairil segera bersedia merakam video untuk membuktikan hasil temu bual mereka. Kamal memulakan soalan.
“Sebelum terlibat dalam dunia lakonan, abang ini dahulunya seorang yang aktif bersukan, terutamanya tinju. Selepas kahwin, abang mencuba nasib dalam bidang pelakon lagak ngeri demi menyara keluarga. Alhamdulillah, kini berjaya,” jelas Hassan memulakan bicara.
Razlan bertanya, “Apa reaksi keluarga dan teman-teman selepas mengetahui pekerjaan abang?”
“Pada awalnya, ada juga tentangan daripada mereka. Mereka risau kerana pekerjaan ini berisiko tinggi. Sesekali mereka datang ke set penggambaran untuk melihat sendiri aksi yang abang lakukan. Lama-kelamaan, mereka faham dan menerima pekerjaan ini,” jawab Hassan.
“Aksi-aksi apa yang sering abang lakukan?” tanya Zairil.
“Selama 10 tahun, abang telah melakukan pelbagai aksi, termasuk terjunan dari tempat tinggi, menunggang motosikal sebagai ‘Mat Rempit’, bertempur dalam hutan, babak tembak-menembak, dan juga terjunan ke dalam laut,” kata Hassan dengan bangga.
Razlan bertanya lagi, “Pernah mengalami kecederaan serius?”
“Ya, pernah beberapa kali. Biasanya pada tangan. Kadang-kadang, mungkin kerana kecuaian sendiri,” balasnya sambil tergelak kecil.
“Latihan yang cukup sangat penting untuk menghasilkan aksi-aksi yang terbaik, terutamanya dalam persekitaran yang baru. Tapi, abang tidak pernah serik dengan pekerjaan ini,” tambah Hassan.
“Apa pendapat abang tentang penggunaan CGI dalam filem? Adakah khidmat pelakon lagak ngeri akan berkurangan?” Kamal bertanya dengan serius.
“Jujurnya, abang tidak begitu faham tentang CGI. Namun, penerbit kata walaupun banyak teknik CGI digunakan, aspek keselamatan tetap perlu diutamakan. Teknologi memang penting, tapi aksi sebenar masih diperlukan untuk menambah realisme. Malah, filem animasi juga memerlukan model manusia sebenar untuk menggambarkan watak,” terang Hassan panjang lebar.
Razlan bertanya, “Apa harapan abang pada masa hadapan?”
“Ingin menjadi pelakon utama di hadapan tabir yang melakonkan sendiri aksi lagak ngeri, terutamanya sebagai watak penjahat,” jawab Hassan dengan penuh keyakinan.
“Watak penjahat sering kalah atau mati. Jika berlaku kemalangan, watak tersebut boleh diganti. Sedangkan watak hero lebih sukar dicari penggantinya,” jelasnya.
Mereka bertiga sedikit keliru dengan jawapan Hassan. Kebanyakan orang ingin menjadi hero, tetapi Hassan sebaliknya.
“Tom Cruise melakonkan sendiri aksi lagak ngeri dalam filem seperti Mission Impossible. Jackie Chan juga gemar melakukan aksi sendiri. Bahkan, Angelina Jolie melakonkan semua babak ngeri dalam filem Salt,” sambung Hassan.
Mereka bertiga berpuas hati dengan sesi temu bual ini. Banyak ilmu dan pengalaman berharga dikongsi oleh Hassan. Semua maklumat telah terkumpul. Hanya tinggal laporan, tesis dan slaid pembentangan.
***
Semasa pembentangan, mereka menceritakan bahawa filem pertama yang memperkenalkan aksi lagak ngeri ialah The Count of Monte Cristo pada tahun 1908. Dalam filem tersebut, pelakon lagak ngeri perlu terjun ke dalam laut. Revolusi pelakon lagak ngeri terus berkembang dan kini menjadi aspek penting dalam industri perfileman.
Pensyarah memuji hasil tugasan tersebut dan mengatakan bahawa tugasan mereka sangat menarik dan unik kerana menonjolkan kelainan. Walaupun tidak mendapat markah tertinggi, nilai kerjasama dalam satu pasukan lebih penting bagi mereka. Mereka tersenyum kerana teringat kembali penjelasan Hassan tentang watak yang digemarinya. Walaupun kelihatan pelik, itu adalah matlamat sebenar pelakon lagak ngeri tersebut.
“Abang sudah banyak berlakon sebagai watak musuh. Abang semakin tertarik dengan watak itu kerana wajah abang yang menakutkan. Selalunya, watak jahat dikalahkan oleh watak baik. Jadi, abang perlu korbankan segalanya untuk memastikan lakonan yang terbaik, agar kekalahan itu terlihat indah,” kata Hassan sambil ketawa kecil.
“Kalah yang terindah?” tanya Razlan.
“Ya, benar. Ketika berdepan detik kematian atau kekalahan, watak penjahat perlu terlihat indah agar watak hero lebih menyerlah dan hebat,” jelas Hassan.
“Benar-benar menginspirasi!” kata mereka serentak.
Mereka sangat kagum dengan pandangan Hassan terhadap wataknya walaupun dia hanya berperanan di belakang tabir.
“Sememangnya, itulah harapan abang dalam melakonkan aksi lagak ngeri sebagai watak musuh,” kata Hassan.
Sebelum meninggalkan set penggambaran, mereka melihat seorang pelakon lagak ngeri wanita. Kata Hassan, pelakon itu baru setahun dalam bidang ini. Rasa ingin tahu mereka tentang pengalaman wanita itu terbit, namun masa tidak mengizinkan. Mungkin suatu hari nanti mereka akan kembali ke set tersebut, mungkin sebagai penulis skrip. Ilmu tentang watak dan perwatakan pasti perlu dikuasai.
Penilaian purata / 5. Kiraan undi:
Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.