OH, sungguh saya tidak menyangka yang saya akan berlama-lama dalam Dunia Penulisan! Dunia ini membuatkan saya ketagih. Benar! Betul-betul bermula, pada tahun 2021 dengan cerpen yang bertajuk “Sampul Merah” yang diterbitkan di dalam antologi cerpen Secawan Kopi, Secangkir Teh Limau, saya memulakan langkah dengan membawa nama pena Johari A. Julaihi. Jika ditanya, mengapa saya memilih nama tersebut?-entahlah! Ketika itu, saya letak-letak sahaja nama pena tersebut. Mula-mula dulu, ada juga saya mahu menggunakan nama pena Bidak Pujangga. Mujur saya tidak menggunakan nama itu. Lucu benar itu nama! Saya malu sendiri ketika mengenangkan betapa tololnya saya, ketika itu.
Masa itu, saya tidak berani menghantar karya ke majalah Dewan Bahasa dan Pustaka atau akhbar-akhbar perdana. Yalah. Sedar diri juga saya ini. Lalu, adakah saya hanya bermain-main, tidak serius? Siapa kata! Sudah tentu saya serius, cuma keyakinan itu belum lagi ada. Perlu ada sesuatu menjadi “api” dan seseorang menjadi “rumah api”.
Ya, saya juga ada “rumah api”, yang tidak membiarkan saya sesat dan terus tenggelam dan tenggelam dalam Dunia Penulisan ini pada mula-mula dulu. Hasreeyati Ramli, seorang novelis yang saya panggil Kak Tie. Saya sungguh berterima kasih kepada beliau kerana disebabkan beliau saya masih dalam Dunia Penulisan ini. Beliau sering memberi nasihat dan petua-petua dalam bidang penulisan. Kak Tie sangat percaya dengan kebolehan saya sehingga menyarankan dan menawarkan untuk membuat novelet dengan salah satu syarikat penerbitan pada tahun 2022.
Saya fikir cuma sebuah novelet sahaja, tetapi tidak saya sangka, editor itu terus menawarkan kerja penulisan sehingga saya memiliki sembilan buah novelet bersama-sama syarikat tersebut. Segala-galanya adalah disebabkan oleh “rumah api” saya. Malah, sehingga kini pun, saya menerima tawaran daripada syarikat penerbitan lain untuk mengarang novelet, atas saranan Kak Tie kepada editor syarikat penerbitan tersebut.
Ah, kenangan ini menyebabkan saya berasa sebak pula!
Selain itu, dalam dunia perpuisian, saya boleh katakan bahawa Ibnu Din Assingkiri, yang saya panggil sebagai ‘Cikgu Ensem’ sebagai penunjuk jalan yang betul untuk penulisan puisi. Saya benar-benar berterima kasih.
Tahun 2023, saya cuba untuk ke peringkat seterusnya. Pada waktu inilah, saya cuba menghantar karya-karya eceran di akhbar Suara Sarawak. Sajak “Inilah Bidadari Untukku”, karya pertama saya yang tersiar, menjadi pembakar semangat saya untuk terus menghantar karya ke media perdana.
Saya kira, itulah “api” saya. Kemudian, saya cuba pula menghantar karya ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpen bertajuk “Hajat Empot” menjadi cerpen pertama yang disiarkan di pelantar digital Tunas Cipta. Bayangkan betapa terujanya saya pada saat itu apabila karya itu diterima oleh media-media tersohor. Melompat-lompat sehingga terlucut seluar saya. Hairan kucing-kucing saya: si Jo-ed, Kechik dan Yunin, yang melihat kejadian itu. Mungkin mereka fikir saya sudah gila. Sejak itulah, karya-karya kreatif saya terus-menerus disiarkan oleh Suara Sarawak dan sesekali diterbitkan dalam majalah Tunas Cipta.
Pada tahun 2023 juga, saya menulis artikel berkaitan dengan topik patologi tumbuh-tumbuhan dan dihantar ke Dewan Kosmik. Rezeki saya, artikel itu tidak mengambil masa lama untuk disiarkan. Sudah ada tiga artikel saya yang terbit di Dewan Kosmik.
Dan, tahun 2024, saya mula bergerak ke arah penulisan esei, sama ada esei ulasan atau kritikan atau esei biasa. Esei pertama saya yang bertajuk “Fasmofobia dalam Blogofobia” yang diterbitkan di dalam akhbar Suara Sarawak merupakan satu esei kritikan terhadap sebuah novel. Kemudian, saya cuba pula menghantar esei reaksi bertajuk “Nasi Aruk, Ikan Bilis, Dabai atau Ikan Masin?: Sebuah Analogi” ke Dewan Sastera. Syoknya saya, kawan. Esei itu diterima oleh editor Dewan Sastera! Esei itu disiarkan dalam Ruangan Reaksi, pelantar digital Dewan Sastera. Tercapai salah satu bucket list saya. Dalam tahun ini juga, saya mencuba bidang baru-terjemahan karya.
Penulisan esei berbentuk ulasan dan kritikan ini tercetus disebabkan oleh budak itulah. Siapa lagi kalau bukan Stefanie Kaso. Kami berdua sering bertukar-tukar pandangan berkenaan dengan sesebuah karya. Kadang-kadang dia mengkritik karya saya. Dan saya mengulas karyanya. Saya suka. Betul-betul saya suka! Dan sejak itulah, saya meminati seni mengait ulasan dan kritikan, meskipun benang yang saya gunakan untuk proses mengait itu, bukanlah benang teori-teori yang dibeli daripada kedai Pak Cik Sastera.
Saya mencari sesuatu isu dalam sesebuah karya untuk saya ulas dan kritik dalam bidang pengetahuan saya, iaitu psikologi. Kritikan bersandarkan sastera bukan kekuatan saya. Saya nampak tolol jika saya mengulas dan mengkritik bersandarkan kritikan sastera. Lagi pula, bukankah sudah ada Muhammad Qhidir Mat Isa? Serahkan sahaja kepada yang pakar.
Perbincangan sebegitu, adakalanya kami berdua, Stefanie dan saya, masing-masing punya pandangan berbeza. Namun, perbezaan begitulah yang membantu dalam pembinaan serta menambah baik karya masing-masing. Seharusnya dalam kelompok penulis, perlu ada sahabat-sahabat sebegitu. Sahabat-sahabat yang jujur mengkritik, sama ada kritikan positif atau negatif.
Seni mengkritik yang saya maksudkan di sini adalah kritikan atau ulasan berbentuk objektif dan konkrit. Membina bukan menghina. Perlu ada poin-poinnya. Perlu juga ada cadangan penambahbaikan. Tidak salah mengucapkan tahniah tetapi secara peribadinya, saya mengalu-alukan sahabat-sahabat penulis yang memberi komen berbentuk kritikan positif atau negatif terhadap karya saya. Itu sungguh membantu.
Pagi. Hari itu. Ketika saya sedang bermalas-malasan di atas katil, saya tertarik dengan kata-kata Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari di ruangan berita di jendela DBP: Penulis Muda Perlu Contohi Penulis Silam. Petikan tersebut menyatakan, penulis silam bersikap reda terhadap setiap kritikan atas kesedaran bahawa kritikan atau ulasan yang lengkap adalah bersandarkan ilmu, bukanlah hujah berbentuk peribadi atau letusan emosi semata-mata. Sikap inilah yang membentuk kemenjadian penulis-penulis silam.
Ya. Seharusnya begitulah. Namun, bukan sahaja penulis pemula atau penulis muda, malah, penulis-penulis lama dan mapan atau popular sekali pun, harus reda menerima kritikan sungguhpun kritikan itu datangnya daripada penulis baru. Bagi saya, tiada istilah cekur jerangau masih lagi ada di ubun-ubun.
Namun, molek kita bertanya soalan ini pada diri: sanggupkah kita menerima kritikan terhadap karya kita? Dan, berapa ramai penulis-penulis di Malaysia ini yang dapat menerima kritikan? Usah menafikan, kawan. Dalam kalangan penulis, memang ada penulis dari dunia kayangan yang berdaulat.
SN Dato’ Rahman Shaari juga menyatakan yang penulis muda perlu membuat pemeraman karya sebelum dihantar kepada editor. Masih saya ingat, inilah perkara pertama yang Kak Tie kata kepada saya ketika mula-mula menulis. Terpulang berapa lama karya itu ingin diperam. Jika saya, saya akan memeram karya terutamanya karya berbentuk kreatif, dalam lingkungan satu sehingga dua minggu. Selesai sahaja draf pertama, saya biarkan sehari dua sebelum melakukan penyuntingan seterusnya, seterusnya dan seterusnya sehingga saya berasa karya itu = okey.
Sudah sifat penulis pemula, ingin cepat-cepat sahaja dalam segala-galanya. Oleh sebab itulah, kadang-kadang karya yang dihasilkan mempunyai banyak kesilapan-paling asas, iaitu kesalahan ejaan. Tatabahasa, usah diceritakanlah jika ejaan pun sudah banyak yang salah. Ada ejaannya hilang ‘m’; ada yang hilang ‘b’; ada yang sepatutnya ‘tunggak’ menjadi ‘tonggek’; yang ‘potong’ menjadi ‘pocong’; ‘dengan’ menjadi ‘dzenghan’. Nah, bagaimana hendak menyebutnya? Berputar-putar lidah saya.
Bukanlah bererti saya tidak pernah silap ejaan dalam karya. Pernah, kawan. Bohonglah jika saya katakan, tidak pernah. Tidak mahu saya hilang pahala sebab berbohong. Namun, memiliki sahabat-sahabat yang baik yang menegur kesalahan itu, menjadikan saya terus peka dengan kesilapan tersebut dari masa ke masa.
Ada! Memang akan ada kesilapan dan kekurangan pada draf pertama. Oleh sebab itu, perlunya pemeraman karya supaya ada bahagian-bahagian yang dapat kita ubah. Dalam tempoh pemeraman inilah penulis biasanya menyedari ayat-ayat tidak sesuai yang wajar diganti. Pantang bagi penulis pemula (atau muda atau siapa-siapa) mengatakan tidak mahu untuk melakukan pemeraman karya. Mesti mahu. Mesti buat.
(saya mengeluh sebentar).
Sudah tiga tahun, saya dalam Dunia Penulisan ini. Tidak berasa. Pernah ada seorang sahabat yang bertanya: sudah ramaikah orang yang kenal dengan kamu, Joe? Eh, sibuk benar sahabat saya itu! Saya jawab: entah! Saya tidak tahu sama ada orang kenal saya atau tidak; mereka tahu wujudnya nama pena Johari A. Julaihi itu atau tidak; membaca hasil penulisan saya atau tidak; suka karya saya atau tidak. Entah. Yang penting bagi saya, saya teruskan mengarang cerita, saya mengarang esei, saya mengulas karya, saya mengkritik karya (ini menerusi perbincangan tertutup sahaja) dan saya menterjemah karya yang saya suka. Saya akan buat semua yang disebutkan sehinggalah saya menjadi kerepot atau sudah tidak mampu lagi. Itu yang penting. Dan, berkongsi ilmu.
Lagipun, sekarang ini, di sekitar saya sudah bertambah “rumah-rumah api”, merangkumi editor dan teman-teman dalam Dunia Penulisan. Itu lebih menyeronokkan bagi saya. Lebih menguja. Tidak saya kisahkan sangat jika masih ada yang belum tahu kewujudan Johari A. Julaihi dalam Dunia Penulisan. Lambat-laun, tahu juga mereka.
Apa-apa pun, tetap sahaja menulis-mengarang. Bukan buat saya sahaja, tetapi buat semua pengarang di luar sana. Meminjam kata-kata pasangan saya yang sering dia ucapkan:
“That is your passion. Teruskan sahaja.”