JARIKU berhenti menaip. Kosong. Idea langsung tidak melekat di fikiranku. Sekadar singgah bertanya khabar. Hilang bagai malam. Tidak seperti manuskrip yang ditulisku sebelum ini. Seluar Pendek. Waktu itu aku tertarik hadiah lumayan yang ditawarkan oleh penganjur.
‘Aku pun dapat menulis cerita seperti itu. Kalau aku hantar, pasti menang hadiah,’ getusku dalam hati, setelah membaca cerpen yang memenangi hadiah utama tahun lepas.
Namun, apa yang berlaku di luar jangkaan. Enam bulan aku menunggu, tetapi manuskripku yang kuserahkan tidak juga disiarkan. Hampir setiap hari aku memeriksa e-mel peribadi. Hampa. Apa yang tidak kena dengan manuskripku? Mungkinkah manuskripku itu tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan? Ah, aku tidak mahu manuskripku itu seperti jeruk buah-buahan. Aku mengomel dalam hati.
Di hadapan komputer, aku mencari manuskrip “Seluar Pendek”. Aku ingin membaca semula manuskrip yang aku tulis setahun lepas itu .
[Percaya atau tidak, anda sendiri yang tentukan. Bagi dia pula, ada tafsiran tersendiri yang ingin dia kongsikan. Dan dia yakin, hari itu pasti tiba dan akan disambut keesokan hari. Sudah semestinya persiapan untuk menyambut Hari Seluar Pendek dilakukan hari ini. Jadi, tidak mungkin dia hanya berdiam diri di dalam bilik sewa. Lantas dia mengambil beg sandang dan menuruni anak tangga dari tingkat dua bangunan flat itu.
Lokasi pertama yang harus dia tujui adalah kedai menjual pakaian. Jaraknya hanya 500 meter berjalan kaki, melalui sisi jalan raya. Setibanya di hadapan kedai, kelihatan barisan panjang pelanggan yang ingin membeli pakaian baharu. Dia sangat yakin, ada antara mereka yang ingin membeli seluar pendek.
Nah, perkara inilah yang dia tidak suka: berdiri di barisan paling belakang . Anggarannya, ada lebih daripada 50 orang dihadapannya. Mahu tidak mahu, dia perlu berbaris. Dia melilau ke sekeliling, memerhatikan orang ramai yang memenuhi sekitar kedai itu.
Di hadapan kedai pakaian itu, ada sebuah lagi kedai. Beberapa orang sedang berbaris hendak memasukinya. Tetapi barisannya tidaklah sepanjang kedai menjual pakaian. Boleh dikira dengan jari tangan. Dia agak, kedai itu kedai gunting pakaian kerana terdapat lambang gunting besar pada papan tanda kedai itu. Di tangan pelanggan dalam barisan itu, masing-masing membawa seluar panjang dan ada yang disangkut ke bahu. Mereka membawa lebih daripada sehelai seluar panjang.
Hatinya mula dilema. Matanya melihat kedai menjual pakaian, tetapi fikirannya tertumpu ke arah kedai gunting pakaian itu. Dia sentiasa membawa sehelai baju dan seluar panjang di dalam beg sandangnya. Itu persiapan persalinan, jika dia kehujanan.
Dia berkira-kira, daripada berbaris panjang di sini, lebih baik dia gunting sahaja seluar panjang yang ada. Tanpa berfikir panjang lagi, dia berlari menuju ke kedai gunting pakaian lalu mengambil tempat di barisan paling belakang. Walaupun tercungap-cungap, setidak-tidaknya, barisan di kedai ini tidaklah sepanjang barisan di kedai menjual pakaian tadi. Dia segera mengeluarkan seluar sukan yang baru dibeli 3 bulan lepas. Harganya tidaklah mahal, cuma RM50 sahaja.
“Seluar yang masih elok,” ujar lelaki di hadapannya.
Dia mengangguk.
“Tukang gunting hanya menggunting seluar yang koyak bahagian lutut hingga ke buku lali,” katanya lagi.
Dia tercengang. Dia perhatikan seluar yang ada di bahunya. Koyak di bahagian lutut seperti telah digigit oleh tikus.
“Kenapa tukang gunting tidak menggunting seluar yang elok?” tanyanya sambil menunjukkan seluar warna kelabu yang ada di tangan.
“Pakaian yang masih elok jangan dirosakkan,” jawab lelaki itu. Selamba.
Nah! Tidak guna dia berbaris di sini. Pasti niat untuk menggunting seluar panjangnya ini tidak kesampaian. Argh, dia terperangkap.
Perlahan-lahan dia melangkah ke belakang, menjauhi barisan kedai gunting pakaian. Adakah dia perlu berbaris kembali di kedai menjual pakaian? Adakah syarat tertentu untuk masuk ke kedai menjual pakaian seperti yang ditetapkan oleh kedai menggunting pakaian? Dia tidak berpuas hati. Dia inginkan jawapan.
Lantas dia berlari kembali menghampiri barisan kedai menjual pakaian. Dalam keadaan tercungap-cungap dia menyentuh bahu seorang lelaki yang berdiri di barisan paling belakang.
“Kedai ini untuk golongan apa?”
Bulu kening lelaki itu terjungkit.
“Awak merepek apa ni? Sesiapa sahaja boleh masuk kedai ni,” jelas lelaki mengenakan topi di kepalanya.
Adakah mereka yang berbaris semuanya golongan berada? Mungkin ya, tafsirnya, melihat dari segi cara berpakaian dan percakapan mereka.
Akhirnya, dia kembali ke bilik sewa tanpa membeli sehelai pun seluar pendek, mahupun memotong seluar panjang miliknya. Sepanjang perjalanan pulang, fikirannya kosong. Semalaman dia memikirkan tentang Hari Seluar Pendek hingga terlelap.
Keesokannya, dari jendela bilik sewa dia tercari-cari orang yang sedang berjalan kaki. Nah! Tidak seorang pun kelihatan berada di jalan raya atau di sekeliling kota. Dia baru sahaja terbaca laman e-berita di dalam telefon pintarnya pagi ini. Dia terperangkap!
Dia pasti, semua pekerja yang mengenakan baju kemeja dan berseluar pendek berada di pejabat. Begitu juga orang awam yang berseluar pendek, tentu sedang berada di dalam rumah masing-masing. Yang memandu pula, dengan yakin menggunakan seluar pendek kerana tidak dapat dilihat.
Seperti yang dia katakan tadi, terpulang kepada anda mahu percaya atau tidak tentang Hari Seluar Pendek. Yang pasti, dia masih mengenakan seluar panjang. Dia tidak berniat untuk membeli seluar pendek. Tidak juga berniat memotong bahagian kaki seluar dan kembali ke kedai gunting pakaian semalam, melainkan kalau kaki seluar yang dia gunakan koyak di bahagian lutut hingga ke buku lali.
Anda pula bagaimana?]
Sebelum itu, aku pernah menghantar manuskrip bertajuk “Semut” kepada syarikat penerbitan yang sama. Itulah kali pertama kali aku menghantar manuskrip.
Apabila tidak disiarkan, aku menerimanya dengan terbuka hati. Mungkin editor ada alasan tersendiri. Namun, sebagai penulis, aku mengharapkan manuskrip yang aku tulis, diterbitkan.
Di dalam folder yang sama, ada sebuah manuskripku yang berjudul “Televisyen”. Aku membukanya.
[Suara seorang lelaki memenuhi ruang. Wajah tampannya mampu mencairkan perasaan setiap gadis. Bentuk badan tegap pelakon lelaki itu menimbulkan perasaan cemburu. Dia tidak mahu pelakon itu mengganggu kesenangannya malam ini. Dengan segera dia mencapai alat kawalan jauh lalu menukar siaran.
Nah, sekali lagi kejantanannya tercabar. Dia tidak perlukan ketampanan. Dia juga tidak mahukan kesetiaan. Dia mampu memiliki sesiapa sahaja yang diinginkan. Apatah lagi permainan mata yang disajikan kepada umum. Langsung tidak menggugah egonya. Lantas dia menekan butang padam. Ruang tamu bertukar sunyi, hanya dipenuhi cahaya samar-samar daripada lampu malam di sudut rumahnya.
Kelopak matanya hampir tertutup, kuyu memandang skrin televisyen bersaiz 42 inci. Apa beza antara lelaki dalam televisyen dengan dirinya? Mereka itu, hanya mempamerkan sesuatu yang bukan milik kekal untuk menggoda mata setiap gadis. Tidak pernah dia memikirkan keracauan seperti itu. Sudah setahun dia hidup sendirian. Sejak gambar perkahwinan sebesar kertas saiz A3 ditanggalkan dari dinding ruang tamu.
Kedua-dua kakinya selesa di atas meja. 3 daripada 6 butang baju kemeja yang berwarna biru muda dibuka sehingga menampakkan sebahagian dadanya. Kedinginan mulai menyerap setiap liang roma yang terdedah. Matanya sudah tertutup.
Tiba-tiba, dia merasakan seperti ada jari-jemari kecil merayap pada kulit lengan. Lalu dia menepis dengan agak kuat. Seketika kemudian, jari-jemari itu kembali dirasai bergerak. Tapi kali ini dibiarkan sahaja. Dia melepaskan senyuman dan merelakan jari-jemari kecil itu merayap hingga ke bahagian tengkuknya.
Dia kemudian mengambil sesuatu di dalam beg plastik yang ada di atas meja. Kotak kecil yang berwarna merah. Dia membuka kota itu dengan keterujaan. Di dalamnya tersimpan permata yang berwarna putih dan berkilau. Dia mengambil ketulan kecil itu dan diletakkan di tempat duduk sebelah kirinya. Wajahnya menggambarkan kepuasan.
Kakinya digoyang ke kiri dan kanan. Tangannya menepuk-nepuk kulit sofa. Kepalanya direbahkan. Dia kemudian merenung lampu ruang tamu yang berjuntaian. Sepertinya dia menanti kedatangan seseorang. Seorang yang istimewa dalam hidupnya. Dingin terus memenuhi ruang tamu yang besar itu. Tanpa sedar matanya kembali tertutup.
Sesuatu yang mencurigakan muncul di ruang kecil bahagian belakang televisyen. Bergerak beriringan, berkumpulan, menuju ke lantai. Lalu menghampiri ke arah kaki sofa. Kemudian menuju ketulan permata yang bekilau itu. Mungkin ketulan permata itu menarik sekumpulan semut kerana kemanisannya. Semakin lama, semakin banyak semut memenuhi ketulan itu. Dia tidak menyedari akan kehadiran semut-semut itu. Kumpulan semut itu berkumpul sehingga membentuk sarang tempat tinggal sebesar sarang tebuan. Namun kilauan pada batu permata itu masih bercahaya dan menerangi separuh ruang tamu.
Tidak dijangkakan kumpulan semut itu memerlukan rakan-rakannya yang lain. Setelah hampir setengah jam, kumpulan semut itu memenuhi permata dan akhirnya kilauan tidak lagi kelihatan. Makhluk yang sangat aneh. Hadir dengan begitu banyak dan mampu menghilangkan kilauan permata.
Yang pasti, ia bukan spesis semut hitam yang hadir memenuhi gula pasir bertaburan di atas lantai. Mahkluk aneh itu bergerak-gerak tanpa berpisah lalu membentuk susuk tubuh seorang wanita yang sedang duduk di sebelahnya. Tidak bermata.
Dia belum jua sedar dari lena. Makhluk hitam itu mulai bergerak menuju ke hujung jari kaki dan memenuhi kakinya hingga ke pinggang. Kemudian bahagian badan dan tangan. Lalu bergerak memenuhi leher dan kepalanya. Dia tidak lagi kelihatan seperti seorang manusia. Makhluk aneh itu bersarang pada kulitnya. Makhluk aneh itu terus beraksi dan sekarang mulai bergerak ke bahagian kelopak mata. Matanya kemudian terbuka. Mungkin dia baru tersedar. Beberapa ekor makhluk itu jatuh di pipinya.
Matanya masih memandang ke atas. Badannya tidak mampu digerakkan. Seperti seseorang yang lumpuh seluruh badan. Hanya anak matanya memandang ke kiri dan kanan. Sesekali ke atas dan bawah. Seminit, dia seperti seketul batu besar yang menyerupai bentuk manusia. Matanya kemerahan dan mulai berair. Jantungnya bergerak dengan laju. Kali ini dia menahan kesakitan. Seakan-akan malaikat maut sedang mencabut nyawanya. Tiada sesiapa yang ada bersamanya untuk membantu ketika ini. Dia hanya berserah pada takdirnya.
Seperti yang diharapkan, anggota badannya dapat digerakkan digerakkan sedikit. Dengan sekuat tenaga dia melawan kekuatan makhluk aneh yang berpaut pada tubuhnya. Dia berusaha memecah kuasa ghaib yang dia sendiri tidak pasti.
Setelah kembali duduk, dia tercungap-cungap seakan baru selesai berlari pecut sejauh 100 meter. Dahinya basah. Tekaknya terasa mual. Dengan payah dia memuntahkan sesuatu. Namun, hanya air liur yang keluar dari mulut. Nafasnya turun naik.
Dia menyapu mukanya berkali-kali. Dia memandang tempat duduk bahagian kiri. Tiada sesiapa yang berada di sebelahnya. Dia toleh ke arah kanan. Wajahnya ditampal persoalan. Dia kemudian memandang skrin televisyen. Agak lama. Watak lelaki televisyen menyebabkan dia terpaku pada skrin yang ada dihadapan. Itukah dirinya? Dan susuk tubuhnya yang dipenuhi oleh makhluk aneh itu berada pada skrin televisyen. Kelihatan hitam dan berada di dalam kurungan gelap yang dipenuhi ketakutan. Bisik hati kecilnya.
Dia menggeleng berkali-kali. Kecelaruan menguasai dirinya. Kebarangkalian berlegar dalam fikirannya. Lantas dia bangun dan berlari menuju ke suis lampu utama. Jarinya menekan suis lampu dan akhirnya ruang tamu yang gelap menjadi terang benderang. Dia terduduk di tepi dinding.
Loceng rumah dibunyikan. Dalam keadaan keliru, perlahan-lahan dia menghampiri daun pintu. Dia melihat di sebalik lubang kecil yang direka khas untuk mengintai. Sedang berdiri seorang gadis muda mengenakan skirt pendek dan rambutnya lurus sehingga ke paras bahu. Loceng terus ditekan berkali-kali. Tanpa henti.
Dalam keadaan begini, telinganya tidak mahu mendengar bunyi loceng yang menggoda. Jarinya tidak mahu memadam lampu ruang tamu. Hatinya tidak berniat untuk membuka pintu untuk gadis itu. Dia tidak rela tubuhnya dibekukan lagi. Lalu dia masih menyandar di tepi dinding. Kakinya diluruskan. Kedua-dua tangannya menggenggam rambut. Matanya memandang ke arah skrin televisyen. Kakinya digagahkan untuk berdiri. Dia kembali duduk di sofa dan terus menerus merenung skrin televisyen. Barangkali dia masih memikirkan tentang nasib buruk yang bakal menimpa lelaki televisyen. Renungannya dipenuhi kesal.]
Argh, jariku tersentuh sesuatu. Aku berdiri di hadapan komputer. Hampir saja gelas di atas meja tertumpah kerana tanganku. Aku inginkan kepastian. Seluar yang tergantung di dalam almari aku keluarkan. Seluar yang aku gunakan sekarang aku tukar dengan seluar pendek berwarna hitam.
Semut bersarang di dalam poket seluar panjang yang aku gunakan tadi. Nah, puncanya adalah sebiji gula batu yang entah sudah berapa lama ada di dalam poket seluar itu. Mungkin gula batu berada di dalam poket seluarku seusia dengan manuskrip “Seluar Pendek” dan “Semut” yang aku tulis tahun lepas. Adakah ini kebetulan? Argh, aku tidak peduli. Yang pasti aku sudah ada idea untuk manuskrip terbaru yang akan aku tulis.
Aku menuju ke bilik mandi. Seluar itu aku letakkan di dalam baldi. Esok saja aku bersihkan kerana aku tidak dapat menahan jari ini untuk menaip manuskrip baharu. Yang pasti, aku tidak mahu lagi memeram dua manuskrip yang aku tulis tahun lepas di dalam komputer ini. Aku mahu berkongsi dengan orang lain tentang apa yang aku fikirkan sekarang ini. Tentang memenangi sayembara, sejujurnya aku tidak mahu fikirkan lagi.