MEREKA itu manusia dan kepala mereka berbentuk segi empat. Tidak berwajah!
Dia pula seperti makhluk asing dalam kalangan mereka (pasti mereka berfikiran sebegitu juga) kerana kepala dia, berbentuk bujur. Melihat keadaan sebegitu, takut dia! Puas sudah dia menggeleng sehingga kepalanya terasa ingin tercabut, semata-mata ingin menyingkirkan kemungkinan dia berada dalam mimpi, namun imej itu kekal. Mereka itu, memang berkepala segi empat. Kepala yang aneh!
Oh, tidak! Adakah dia mengalami psikosis yakni keadaan individu yang tidak dapat membezakan di antara realiti dan bukan realiti? Adakah dia menghidap kecelaruan psikosis seperti Skizofrenia? Oh, benar-benar dia bingung!
Dia kembali memandang makhluk-makhluk berkepala aneh itu. Sudahlah tidak berwajah. Pada kepala mereka itu, hanya ada tulisan-tulisan dan gambar-gambar sahaja. Pelik sekali!
POM!
Eh, terkejut dia! Bikin dia melatah sahaja. Makhluk berkepala aneh itu tidak semena-mena melanggar tiang.
“Aduh, sakitnya!” Makhluk itu menggosok kepalanya yang aneh itu, bingkas bangun lalu berjalan kembali.
Dia panar. Dia menggosok-gosok mata. Dia melihat tiang; dia melihat makhluk itu lagi. Tiang-makhluk, makhluk-tiang. Tadi, kepala makhluk itu mengecut, berubah menjadi bujur. Tetapi, beberapa detik kemudian, selepas dia bangkit daripada jatuh dan pergi, kepalanya mengembang kembali menjadi segi empat tepat. Ganjilnya!
Ingin dia bertanyakan kepada sesiapa, tetapi semua makhluk yang berada di sekelilingnya ini, aneh-aneh belaka.
Dia menyusuri jalan itu. Di taman. Di restoran. Di padang. Di pusat beli-belah. Di mana-mana sahaja, dewasa; tua muda; kanak-kanak: Tiada. Semuanya berkepala segi empat tepat. Lalu, harus kepada siapa, dia bertanya?
“Argh!”
Terkejut dia! Lantas dia menoleh dan …
“Argh!” Dia pula yang menjerit lalu menutup mata (tetapi masih dapat melihat melalui jari). Adakah itu hantu? Dia berfikir-fikir.
Makhluk itu tidak berkepala! Dan, seakan-akan mencari sesuatu. Meskipun tiada ekspresi wajah, berdasarkan bahasa tubuh makhluk itu, makhluk itu berada dalam keadaan panik. Ia memunggah barangan di dalam beg tangan, ia menyelongkar sampah, ia melihat di bawah bangku-ia mencari sini sana.
“Mana … mana kepala aku?” pekik makhluk itu.
Sekonyong-konyong, terdengar jeritan lagi. Jeritan. Jeritan. Jeritan. Di sana sini.
Tidak semena-mena, keadaan sunyi-aman itu tadi, berubah menjadi kucar-kacir. Segelintir makhluk itu mencari kepala mereka yang tertanggal. Dia tertanya-tanya: bagaimana kepala mereka boleh tercabut?
“Jangan hiraukan mereka itu.” Satu suara mencubit gegendang dia.
Dia menoleh. Sekali lagi, dia tersentak saat melihat seseorang yang sedang duduk membaca buku Psikologi Abnormal. Ah, sudah! Sungguhkah dia tidak mengalami psikosis? Benar-benar dia bingung. Di hadapan dia kini ialah, dia sendiri!
Adakah dia itu Bunshin No Jutsu? Dia melihat ‘dia’ yang turut melihat dia. Kepalanya juga bujur seperti kepala dia.
“Siapa engkau? Mengapakah wajah engkau sama seperti aku?”
Susuk yang sama wajah itu itu menutup buku lalu memandang makhluk-makhluk aneh yang sedang panik mencari kepala mereka. Bagaimana ya? Apa kata, kalau kita panggil susuk yang serupa wajah ini sebagai Petot, supaya tidak keliru.
“Engkau tahu, mereka itu mengalami Nomophobia,” ujar Petot.
“Apa?”
Dia terkulat-kulat. Sudahlah soalan dia tadi tidak dijawab. Sekarang ini, Petot menambahkan kebingungan dalam otak dia dengan terma yang bukan-bukan.
“Nomophobia itu ialah permasalahan psikologi, sejenis ketakutan yang tidak rasional atau kegelisahan seseorang tanpa telefon bimbit. Secara mudahnya, jika mereka kehilangan telefon bimbit, mereka akan menjadi gelisah, panik – seperti itu,” kata Petot sembari menunjuk ke arah makhluk tadi lalu memandang dia.
“Selain panik, terdapat gejala tipikal yang kita dapat lihat. Antaranya, mereka tidak boleh berenggang dengan telefon; sentiasa memeriksa telefon untuk memastikan telefon mereka berfungsi; sentiasa memeriksa jika ada pesanan diterima, berulang-kali dan mereka ini akan berasa gelisah jika tidak menemui telefon mereka atau telefon mereka tiada di depan mata. Engkau ada gejala-gejala sebegitu?” tanya lagi si Petot.
Dia bungkam. Cuba menyerap maklumat tersebut. “Apa? Aku … .”
Petot meneruskan kata-kata. Dia pula sedaya menyerap apa-apa maklumat yang disampaikan.
“Nomophobia dikelaskan oleh golongan profesional dalam bidang kesihatan mental sebagai permasalahan psikologi yang muncul pada abad ke-21. Seiring dengan pembangunan teknologi, terutamanya pembangunan Internet dan kecanggihan telefon, ketagihan atau fobia ini pun turut timbul.”
“Cop! Cop! Sebelum itu, aku mahu bertanya dengan engkau.”
Dia dan Petot bertatapan. Aneh rasanya saat melihat diri sendiri.
“Siapa engkau? Wajah engkau seperti aku!”
“Aku?” Petot berkerut dan merenung dia beberapa detik. “Aku ini ialah engkau. Sudah tentu wajah aku ialah wajah engkau!”
Ah, sudah! Semakin pening dia akhirnya.
Jeritan makhluk itu mengejutkan mereka. Makhluk-makhluk yang kehilangan kepala itu tidak henti-henti mencari kepala. Mereka merenung makhluk-makhluk aneh itu. Terasa lucu juga ulah makhluk-makhluk itu.
Petot kembali berkata-kata. “Tahukah engkau? Ada sebuah kajian yang mengumpulkan 52 buah kajian, merangkumi 47,399 responden daripada 20 buah negara. Dan analisis kajian itu mendapati, 20% responden mengalami Nomophobia yang sangat teruk, 50% pada tahap sederhana dan 20% pada tahap ringan. Kajian ini menunjukkan betapa Nomophobia ini telah berada pada tahap kritikal meskipun ada yang dikelaskan kepada tahap ringan.”
“Sejak tadi engkau sebut Nomophobia. Mengapa pelik benar namanya?” Dia bertanya.
“Nomophobia itu sebenarnya akronimdaripada no–mobile-phone-phobia. Akronim ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2008 semasa kajian dilakukan oleh pejabat pos di United Kingdom. Kajian tersebut mendapati, sebanyak 53% daripada 2000 responden mengalami kegelisahan apabila mereka tidak dapat mengakses kemudahan telefon bimbit. Kajian tersebut, mencetus kepada kajian-kajian berkenaan dengan masalah psikologi ini,” jelas Petot.
“Oleh sebab telefon dan Internet saling berkait rapat, ini dikira sebagai satu permasalahan psikologi yang saling berkaitan. Jika mereka ada telefon tetapi tiada kemudahan Internet, mereka tetap mengalami Nomophobia. Jika kemudahan Internet ada, tetapi mereka hilang telefon atau kehabisan bateri, mereka pun boleh mengalami kegelisahan. Ini disebabkan penggunaan yang berlebihan.”
Dia mengangguk lagi sebelum mencampakkan soalan.
“Aku keliru. Nomophobia ini sebenarnya satu ketagihan atau fobia?”
“Oh, itu soalan yang sangat bagus! Bagi aku, Nomophobia ialah cetusan disebabkan oleh ketagihan. Meskipun terdapat perkataan fobia di situ, secara peribadi, aku beranggapan yang Nomophobia itu ialah satu ketagihan tingkah laku.”
Ah, apa pula ketagihan tingkah laku itu?
“Ketagihan ialah kehilangan kawalan terhadap sesuatu tingkah laku, penggunaan bahan-bahan terlarang atau aktiviti yang boleh mendatangkan mudarat terhadap diri. Menurut Teori Tingkah Laku atau Behaviourism, organisma akan mempelajari sesuatu secara sistematik menerusi proses latihan serta pengalaman di sekeliling mereka sekali gus akan mewujudkan satu-satu sifat serta mempengaruhi tingkah laku. Dalam bidang psikologi, proses latihan ini disebut sebagai conditioning. Pembelajaran ini merangkumi dua jenis, iaitu ‘secara perhubungan’ yang melibatkan dua keadaan dan ‘secara pemerhatian’.”
Dia terkebil-kebil.
“Untuk memudahkan pemahaman engkau, aku pilih salah satu proses, iaitu operant conditioning. Begini, sesuatu tingkah laku akan semakin kuat atau menjadi lemah disebabkan oleh impak yang dicetuskan daripada kelakuan tersebut sama ada ia berbentuk positif atau negatif.”
“Telefon dan Internet boleh membuatkan seseorang memperoleh satu kepuasan dan kegembiraan semasa melayarinya. Kepuasan yang diperoleh adalah satu bentuk pengukuhan berbentuk positif dan itulah yang membuatkan seseorang dapat menghabiskan masa berjam-jam menghadap telefon disebabkan rasa seronok sekali gus akan menguatkan tingkah laku tersebut. Namun, apabila terlalu kerap dan individu rasa terlalu selesa, di sinilah timbulnya ketagihan tingkah laku.”
Dia mula perlahan-lahan memahaminya. “Jadi, maksud engkau, gabungan ketagihan Internet dan telefon itulah yang mewujudkan Nomophobia?”
Petot mengangguk.
Mereka membisu seketika sebelum Petot menyambung, “Fobia ialah satu perasaan takut yang tidak rasional terhadap sesuatu subjek atau situasi. Individu yang ada Nomophobia mengalami perasaan takut yang melampau dan boleh mengalami kegelisahan. Disebabkan itulah perkataan fobia itu diletakkan di dalam Nomophobia tersebut. Meskipun begitu, Nomophobia tidak dimasukkan ke dalam manual Diagnostic and Statistical of Mental Disorder.”
Dia mengangguk. Mereka kemudian bergerak lalu duduk di salah sebuah kerusi simenfero sambil merenung ulah makhluk-makhluk berkepala segi empat itu.
“Sebenarnya aku masih bingung. Ini sebenarnya tempat apa? Dan makhluk apa sebenarnya mereka itu?” soal dia kepada Petot.
“Abad 21, tahun 2099.”
Kata-kata Petot membuatkan darah dia tersembur. Tersentak. Bungkam.
“Ini masa hadapan! Bagaimana aku boleh masuk ke sini?”
Petot mengangkat bahu lalu berkata, “Mereka itu dahulunya manusia (ketika ini dia betul-betul terkejut). Tetapi disebabkan anjakan pemodenan dan kecanggihan teknologi dari masa ke masa, terutamanya dalam bidang komunikasi Internet dan telefon, penggunaan telefon dan Internet semakin berlebihan. Mana tidaknya, telefon akan sentiasa dihadap sama ada ketika makan, semasa ingin tidur, membuang hajat bahkan ketika mandi pun mereka masih menghadap telefon. Apa-apa aktiviti mereka, telefon harus diutamakan. Lalu mereka mengambil keputusan untuk membelah kepala mereka lalu meletakkan telefon itu ke dalam kepala mereka untuk memudahkan mereka mengakses Internet. Sesudah itu, perlahan-lahan kepala mereka bermutasi menjadi segi empat. Begitulah jadinya.”
Kedua-duanya membisu.
Petot memandang dia. “Engkau tahu, semasa aku baca buku ini tadi, aku ada terjumpa maklumat yang aku kira bagus sungguh.”
Dia berpaling. Kata-katanya melekat di rengkung. Menunggu kata-kata daripada Petot.
“Ada kajian yang dilakukan pada 240 responden, 16.9% menghabiskan masa mereka melebihi sembilan jam sehari untuk melayari Internet; 47.1% dan 27.8%, masing-masing menghabiskan masa sebanyak tiga ke enam dan enam ke sembilan jam sehari. Kalau kau nak tahu, banyak kajian-kajian yang dilakukan mendapati golongan remaja dan muda yang lebih banyak mengalami Nomophobia. Mereka ini pelapis dan harapan kepada negara. Tidakkah ini boleh menimbulkan kebimbangan?”
“Bukankah telefon dan Internet itu sangat penting untuk komunikasi, pencarian maklumat, memudahkan kerja-kerja, hiburan-memperoleh sahabat baharu melalui media sosial? Banyak perkara menjadi mudah disebabkan kemudahan ini,” kata dia.
“Aku tidak nafikan kemudahan serta kesenangan yang dibawa oleh teknologi ini kepada sejagat. Namun, yang menjadi kebimbangan adalah penggunaan yang keterlaluan boleh menimbulkan Nomophobia dan mengubah kepala mereka kepada bentuk segi empat tepat. Bukan itu sahaja, timbul masalah psikososial dan tekanan psikologi seperti depresi, tingkat penghargaan diri yang rendah, perhatian yang kurang, hubungan antara manusia menjadi renggang dan menjejaskan kualiti kehidupan dan pekerjaan. Engkau lihat di sana.” Petot menunjuk ke arah beberapa keluarga yang sedang limpas dan duduk di bangku. Mereka berkepala segi empat tepat.
“Budak sekecil itu pun sudah bermutasi gara-gara ibu dan bapanya yang asyik memberikan telefon kepadanya. Lama-kelamaan, kanak-kanak itu ketagih. Tidakkah engkau terfikir, ini salah satu puncanya mengapa Nomophobia meningkat dan boleh terjadi dalam kalangan golongan muda, termasuk kanak-kanak?”
Dia mengezip bibir, beberapa detik.
“Aku setuju dengan kata-kata engkau. Di tempat aku, di sekeliling, aku banyak melihat ibu atau bapa yang membiarkan anak-anak mereka melayani telefon. Jika anak mereka menangis, bukanlah pujukan atau pun mendodoi anak dilakukan oleh para ibu bapa, tetapi disuakan dengan telefon atau tablet agar si anak berhenti meragam atau menangis. Anak-anak buah aku sendiri pun, asyik dengan telefon sahaja. Bahkan, berjam-jam mereka mampu!”
“Engkau lihatlah kesannya kini. Mutasi yang disebabkan teknologi Internet dan telefon. Aku bukanlah pembenci teknologi, aku juga pengguna teknologi tetapi penggunaannya haruslah berpada-pada.” Petot mengeluh.
Dia mengeluh. “Sampai bilakah kepala mereka akan sedemikian?”
“Entahlah. Susah untuk aku jawab soalan engkau. Mungkin - sampai bila-bila,” jawab Petot.
Kehadiran kucing dia yang mengiau-iau melemaskan lamunannya di dalam lautan bawah sedar. Dia sudah kembali ke tahun 2024, semalam - sebaik sahaja dia singgah di tandas awam pada tahun 2099 itu, saat dia ingin membasuh tangan di sinki, tersentuh sahaja air itu, dia terus disedut masuk ke dalam pili air lalu – entah berapa lama – kembali semula ke tahun 2024, berdiri dia saat itu, menghadap cermin.
Dan semalam, sebaik sahaja menyedari dia berada di rumahnya sendiri, dia terus berlari keluar untuk melihat manusia di sekeliling. Adakah masih terdapat makhluk-makhluk berkepala segi empat tepat itu? Mujurlah tiada. Orang yang lalu-lalang, hairan memandang dia.
Kucing dia melompat di atas riba lalu tidur. Enaknya dia tidur. Dia pula menghadap komputer. Kisah makhluk berkepala segi empat tepat itu, perlahan-lahan mencipta cerita dalam otaknya. Dia hendak sekali menghantar cerita ini. Namun, ketika dia menekan abjad ‘a’, tidak semena-mena, tubuhnya perlahan-lahan, kemudian pantas menjadi debu pasir lalu sedikit demi sedikit, masuk ke dalam komputer, yang kini sesuatu sedang berpusar-pusar pada monitor, menyedut debu-debu tubuh serta kucingnya yang sedang panik.
“Apa lagi yang berlaku ini!” Terdengar gema jeritannya.
Komputer itu terpadam, beberapa detik sebelum terbuka kembali lalu memancarkan cahaya terang.