Pengenalan
Sabah ialah negeri kedua terbesar di Malaysia yang berkongsi sempadan di rantau barat selatan bersama-sama negeri Sarawak. Bersama-sama Sarawak juga, Sabah berkongsi sempadan dengan Kalimantan Timur Indonesia pada bahagian selatannya. Keluasan Sabah menjangkau 72,500 kilometer persegi dan dikelilingi oleh Laut China Selatan di bahagian baratnya, manakala Laut Sulu di sebelah Timur Laut dan Laut Celebes di bahagian timur. Struktur geografi negeri Sabah terdiri daripada kawasan pantai, pergunungan dan hutan hujan tropika.
Sabah merupakan sebuah negeri yang memiliki keunikannya yang tersendiri kerana kepelbagaian budaya, agama, bahasa dan makanan. Selain itu, Sabah mempunyai variasi buah-buahannya yang jarang-jarang kita temui pada hari ini. Buah-buahan sama ada tempatan atau diimport mengandungi sumber semula jadi dan nutrisi yang baik untuk kesihatan kita. Terdapat berpuluh-puluh jenis buah-buahan tropika yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti durian, rambutan, manggis, cempedak dan mangga. Namun, pernahkah kita mendengar tentang buah-buahan eksotik di Sabah misalnya tarap, bambangan, belunu atau durian sukang? Jika belum, marilah kita bersama-sama menambah ilmu untuk mengenali buah-buahan tempatan ini.
Tarap
Buah tarap dikelaskan sebagai salah satu buah eksotik yang terdapat di Sabah. Nama saintifik bagi buah ini ialah Artocarpus Odoratissimus. Buah tarap tumbuh subur di kawasan beriklim tropika serta amat mudah didapati di Kepulauan Borneo. Buah tarap juga dikenali sebagai “timadang” dalam kalangan masyarakat Kadazandusun. Tarap amat popular ketika tiba musim buah dan sentiasa menjadi kegemaran dan pilihan penduduk dan penggemar buah-buahan. Apabila tiba musimnya, buah ini sering dijual di kawasan yang menjadi tumpuan penduduk seperti pasar, tamu, dan di tepi jalan utama.
Tarap berbentuk bulat dan beratnya dianggarkan boleh mencapai 2.5 kilogram. Pada kebiasaannya panjang buah tarap sekitar 15 hingga 20 sentimeter dengan ukuran 13 sentimeter lebar. Permukaan luar buah ini diselaputi duri yang tumpul mendatar dan lembut. Tarap juga sedikit bergetah pada tangkainya. Bagi buah yang masih muda atau mentah, kulitnya berwarna hijau pekat dan keras. Apabila sudah masak, buah mula bertukar warna kekuningan, lembut serta berbau harum. Buah tarap yang sudah masak sangat mudah dikopek untuk mengambil isinya yang berwarna putih susu. Buah ini dijual oleh penduduk kampung pada harga yang murah, lebih kurang RM5.00 sebiji. Bagaimanapun jika bukan musimnya buah ini dijual agak mahal, iaitu sekitar RM20.00 hingga RM30.00. Begitu juga jika dijual di bandar seperti Kota Kinabalu.
Bambangan
Selain buah tarap, satu lagi buah eksotik yang popular di Sabah ialah buah bambangan. Nama saintifik bagi buah ini ialah Mangifera Pajang. Buah bambangan ini tergolong dalam kumpulan keluarga mangga dan kuinin. Berbeza dengan mangga yang kulitnya berwarna hijau ketika mentah dan mengguning apabila masak, kulit buah bambangan ini tetap memiliki warna coklat sama ada dalam keadaan mentah atau masak. Isi buah bambangan ini berwarna kuning keemasan dan memiliki rasa masam dan manis seperti mangga.
Berat buah bambangan lebih kurang 500 gram dan boleh mencapai dua kilogram sebiji. Kulit buah bambangan adalah keras dan tebal, iaitu antara 0.5 sentimeter hingga satu sentimeter. Kulitnya tahan lasak itu dapat melindungi buah daripada mudah rosak, meskipun jatuh dari pokok yang tinggi. Ketinggian pokok bambangan ini kebiasaannya melebihi 50 meter dan besarnya seakan pokok kayu balak. Pokok bambangan mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berbuah selepas ditanam. Cara untuk membuka buah bambangan adalah seperti mengopek kelapa tua dan isinya dihiris seperti mangga. Buah bambangan dijual pada harga RM5.00 hingga ke RM10.00 sebiji bergantung kepada berat buah. Musim buah bambangan sekitar bulan Julai dan dijangka berterusan hingga Oktober.
Selain dimakan begitu sahaja, buah bambangan boleh dibuat sambal atau jeruk serta perasa tambahan dalam makanan. Ada yang gemar mencampurkannya dalam masakan sup terutamanya ikan rebus. Biasanya ketika tiba musim buah bambangan, bambangan akan dijadikan jeruk agar tahan lama. Proses pembuatan jeruk ini memerlukan buah bambangan yang mentah atau separuh masak. Setelah dipotong, bambangan dijeruk bersama-sama parutan biji buah dan dicampur garam sebelum diperam. Jeruk buah bambangan ini enak dimakan bersama-sama dengan sambal belacan.
Mengikut kepercayaan kaum Kadazandusun, mereka ditegah menjeruk buah bambangan sekiranya ada berlaku kematian di kampung kerana dikhuatiri jeruk akan menjadi rosak. Si pembuat jeruk juga haruslah berada dalam keadaan tenang dan damai. Perasaan sedih dan marah akan mempengaruhi rasa dan kualiti jeruk bambangan tersebut.
Belunu/Bundu
Satu lagi buah eksotik yang terdapat di Sabah ialah buah belunu atau dikenali juga sebagai buah bundu dalam bahasa Dusun. Buah ini hanya ditemui ketika musim buah, dan kebanyakannya terdapat di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah. Nama saintifik buah ini ialah Mangifera Ceasia yang merupakan tumbuhan berbunga dalam keluarga Anacardiaceae.
Buah belunu ini seakan buah binjai yang terdapat di Semenanjung, Malaysia. Bezanya belunu mempunyai rasa yang lebih manis. Buah belunu ini terdapat dalam pelbagai variasi seperti bujur dan bulat serta kulitnya berwarna coklat kehijauan. Panjang buah belunu dianggarkan lebih kurang 18 sentimeter dan isi buahnya pula seperti putih susu. Pokok belunu berbatang lurus dan boleh mencapai ketinggian 30 meter dan bentuk berkanopi bulat.
Buah belunu yang sudah masak mempunyai bau yang harum. Belunu boleh dimakan dalam keadaan masak. Terdapat segelintir masyarakat yang menjadikannya sambal dan dimakan bersama nasi. Namun buah belunu yang masih muda tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana ditakuti akan menyebabkan kegatalan pada kulit atau mulut. Kegatalan ini berpunca daripada getah yang ada pada kulit buah belunu.
Penggemar buah ini perlu lebih berhati-hati dalam menghiris isinya agar tidak sampai terkena biji buah kerana dikuathiri akan terkena “bunduon”. Bunduon bagi masyarakat Dusun bermaksud ditimpa penyakit seperti kudis atau timbul ruam. Kebiasaannya bunduon ini mudah menimpa mereka yang dipercayai kurang antibodi.
Menurut kepercayaan orang dahulu, mereka mendakwa bahawa pokok belunu mempunyai kisah misteri seperti penunggu yang berkuasa jahat. Ada yang mengatakan rimbunan ranting tebal pada pokok belunu kelihatan seakan langsir yang mempunyai singgahsana nan indah. Lain pula berpendapat, pokok belunu ini sukar ditumbangkan dan berkemungkinan jentolak yang digunakan akan mengalami kerosakan enjin.
Durian Sukang
Durian sukang dikenali juga sebagai durian hutan yang tergolong dalam kelas buah-buahan eksotik Sabah. Nama saintifik bagi durian sukang ini ialah durio oxleyanus dari spesies durian dalam keluarga Malvaceace. Durian sukang tidak sama dengan durian dalit yang terdiri daripada spesies durian isi merah, oren dan kuning.
Tidak seperti durian komersial, durian sukang bersaiz kecil, iaitu kira-kira 200 gram hingga 300 gram sebiji. Keunikan durian sukang ini hanya mengandungi satu hingga tiga ulas sahaja bagi sebiji buah. Buah durian sukang berduri panjang mencacak seperti bulu landak sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Durian ini memiliki tangkai yang pendek, hanya sekitar satu hingga dua sentimeter sahaja. Warna buah durian sukang ini ialah hijau tua dan berbeza sedikit daripada durian biasa. Isi durian sukang agak tebal berwarna kekuningan serta memiliki rasa berlemak dan manis. Lazimnya durian sukang berbuah antara bulan Oktober hingga Disember pada setiap tahun.
Durian sukang juga digelar sebagai “musang king” eksotik Sabah oleh penjual-penjual durian. Durian sukang mempunyai peminatnya yang tersendiri sama ada penduduk tempatan mahupun pengunjung luar. Durian ini dijual lebih murah berbanding durian biasa kerana ciri-cirinya yang kurang berisi. Harganya dijual sekitar RM5.00 hingga RM6.00 sekilogram, namun boleh mencecah RM10.00 sekilogram apabila musim buah mula berkurangan. Durian sukang ini boleh didapati di gerai tepi jalan mahupun tamu mingguan sekitar kawasan Tuaran, Tamparuli dan Kota Belud.
Serapit/Kubal
Salah satu buah-buahan tradisional yang jarang-jarang ditemui di Sabah ialah buah serapit. Buah ini dikenali juga sebagai buah surapit di sesetengah tempat atau buah kubal di Sarawak. Nama lain bagi buah ini ialah kubal madu. Nama saintifik bagi buah serapit ini pula ialah Willughbeia Angustifolia. Buah liar ini biasanya ditemui di Borneo seperti di Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan Indonesia.
Pokok serapit tergolong dalam kalangan pokok renek bersifat memanjat. Pokok serapit merupakan tumbuhan menjalar dan memerlukan pokok tumpangan yang tinggi bagi membina kanopinya sendiri. Adakalanya kanopi pokok serapit ini terlalu merimbun sehingga menutupi pokok tumpangan. Pokok serapit ini boleh menjalar setinggi 60 meter untuk berada di puncak pokok di dalam hutan. Buahnya berbentuk bulat dan berwarna hijau ketika mentah, kemudian kekuningan pada waktu muda dan bertukar kuning kemerahan apabila sudah masak.
Isi buah serapit seperti beri berwarna kuning keemasan atau kuning kejinggaan. Buah serapit yang sudah masak boleh dimakan begitu sahaja. Namun, buah ini mengeluarkan getah dari dalam kulitnya. Jika getah terkena pada isi buah, tekstur rasanya berubah menjadi kurang sedap. Rasa buah serapit sedikit kelat dan ada rasa masam manis. Buah ini jarang-jarang dimakan dan tidak lagi menjadi perhatian masyarakat.
Pengalaban
Buah pengalaban ialah buah eksotik yang semakin pupus dan dilupakan. Di Sarawak buah ini dikenali sebagai buah engkalak atau mengkalak. Nama saintifik buah pengalaban ini ialah Litsea Garciae. Buah ini ialah rumpun keluarga Lauracea. Buah nadir ini masih terdapat di Kepulauan Borneo, khususnya di daerah Sipitang, Sabah dan beberapa daerah yang lain.
Pokok buah pengalaban merupakan pokok saka yang tumbuh menegak dan mempunyai banyak cabang. Ketinggian pokoknya boleh mencecah antara 10 hingga 15 meter. Pokok ini boleh ditanam dari biji benih yang sudah matang, namun memerlukan empat hingga lima tahun untuk mengeluarkan buah. Kebanyakan pokok pengalaban ini tumbuh meliar di dalam hutan.
Buah pengalaban berwarna hijau semasa masih muda, dan bertukar kepada merah jambu apabila sudah ranum dan masak. Rasa buah pengalaban ini adalah masam, pahit dan kelat. Cara memakannya amat mudah, iaitu hanya perlu mencelur buah di dalam air panas sekitar suhu 80 darjah celcius selama lima minit. Buah akan menjadi lembut dan mudah untuk mengupas kulitnya. Bagi menambah rasa, buah pengalaban dicecah dengan garam halus atau kicap pekat.
Terdapat pantang larang untuk mengambil buah pengalaban dalam masyarakat Sarawak. Buah yang sudah masak, tidak boleh dijolok menggunakan batang buluh kerana dikhuatiri akan menjadi pahit apabila dimakan. Sebaliknya buah pengalaban ini hanya boleh diambil dengan cara memanjat pokok tersebut dan memetiknya menggunakan tangan.
Penutup
Bersama-samalah kita raikan kepelbagaian dan keunikan buah-buahan eksotik tempatan Sabah. Usaha mengangkat buah-buahan eksotik ini ke peringkat yang lebih tinggi harus digiatkan lagi agar generasi akan datang kekal mengenali buah-buah nadir terutamanya yang tertumpu di kawasan hutan. Keindahan dan keunikan buah-buahan eksotik ini juga harus diangkat ke mata dunia bagi memperkenalkan keunikan identiti buah tersebut.
Keharmonian dan kelestarian hutan juga amat penting dalam memastikan buah-buahan ini tidak pupus ditelan zaman. Alangkah bertuahnya kita kerana bumi Sabah ini penuh dengan kepelbagaian biodiversiti flora dan faunanya. Menjadi tanggungjawab kita bersama-sama dalam memastikan buah-buah ini terus tumbuh mekar dalam persekitaran yang terjaga.
Anak-anak muda kita pada hari ini bukan sahaja hanya boleh mengenali buah durian dan mangga, tetapi harus tahu keenakan masam manis bambangan, kemanisan buah tarap, dan merasa kelatnya buah serapit dan pengalaban. Siapa lagi yang harus menjaga khazanah bumi Sabah ini jika bukan kita penduduknya sendiri.