NAYLA berasa gembira dan puas hati apabila melihat pastri dan pemanis mulut hasil tangannya laris bagaikan goreng pisang. Kafe Manis Madu yang dibangunkan mula menjadi perhatian kerana tular dalam media sosial popular dalam satu malam. Dia mengucap terima kasih kepada pempengaruh yang membantu mempromosikan menu Kafe Manis Madu daripada hasil tangannya. Setiap hari kafe tidak pernah berhenti menerima kunjungan pelanggan.
Jam tepat menunjukkan angka lima petang. Dia mula mengemas kerusi meja dan membersihkan kafe. Sebaik sahaja dia mengunci kafe, dengan berhati-hati seorang wanita berusia awal 60-an memberi salam.
Nayla berpusing dan menjawab salam. Dia tidak pernah melihat wanita ini. Dia tidak pasti juga kalau wanita ini pernah merasai hidangan pencuci mulut daripada pastri dan kuih-muih hasil tangannya.
“Maaf mengganggu, nak. Mak Cik Suhaila, dari Muar. Kamu cucu Maryah, bukan?” tanya wanita bertudung sarung yang sarat dengan bunga sama seperti mak cik-mak cik tipikal yang lain.
Nayla mengangguk laju, “Mak cik kenal arwah nenek saya?”
Puan Suhaila mengangguk, “Mak kamu, Maryana pun mak cik kenal.”
“Maaf mak cik, apa yang saya boleh bantu?” tanya Nayla sopan.
Puan Suhaila tersenyum lalu membuka beg tangannya dan mengeluarkan sebuah buku bersaiz A5. Nayla melihat buku itu agak lusuh dan usang.
“Mak cik nak pulangkan kepada yang berhak. Buku resipi arwah nenek kamu yang mak cik pinjam dulu. Maaf ambil masa yang lama untuk memulangkannya.” Puan Suhaila menghulur buku kecil itu dengan anggukan kepala memohon Nayla mengambil segera dari tangannya.
Nayla menyambut dengan teragak-agak. Arwah nenek tidak pernah cerita. Begitu juga mama tidak pernah memberitahu tentang buku resipi nenek.
“Arwah nenek kamu banyak bantu mak cik. Tanpa dia, tak mungkin mak cik dapat sekolahkan anak-anak mak cik sampai ke universiti,” katanya sambil tersenyum. Lega. Puas.
Nayla mendengar dengan rasa kagum. Terus terbayangkan wajah arwah nenek di ruang matanya.
Rasa rindu menerpa dan masih terasa akan kehangatan sentuhan nenek. Terus Nayla teringatkan kuih tepung puli air tangan nenek yang begitu enak.
“Mak cik nak sangat belajar buat kuih-kuih lama untuk tambah pendapatan. Keluarga kami susah. Lalu mak cik minta arwah nenek kamu ajarkan mak cik buah kuih. Tapi, dia selalu sibuk dan tak ada masa nak ajar mak cik. Suatu hari, dia jumpa mak cik dan serahkan buku resipi ini. Buku resipi yang dia tulis sewaktu belajar membuat kuih-kuih lama daripada moyang kamu. Dia kata, arwah ibu dia pun tak ajar dia buat kuih, tapi dia akan melihat cara-cara moyang kamu buat kuih, kemudian catat dalam buku ini,” katanya sambil tersenyum bahagia. “Banyak resipi kuih-kuih lama daripada buku ini yang dapat mak cik pelajari. Akhirnya, mak cik berjaya mendapat tempahan kuih daripada pelbagai pelanggan. Setiap hari ada saja tempahan hinggalah mak cik dapat membuka sebuah gerai kuih sendiri di depan rumah,” cerita Puan Suhaila panjang lebar. Senyuman yang menggambarkan rasa puas hati dengan hasil penat lelah mencari rezeki.
Nayla rasa sebak mendengar. Rasa tersentuh apabila ada insan lain menceritakan kebaikan arwah nenek.
“Mak cik pulangkan semula kepada kamu. Ini hak kamu. Mak cik dah janji nak pulangkan.” Puan Suhaila merenung wajah gadis muda di hadapannya, berharap agar dia menerima buku kecil itu.
“Senyuman kamu tak ubah seperti arwah Kak Maryah. Kamu tahu, arwah nenek kamu tu si pembuat kuih terhebat di Ayer Molek. Kamu pun boleh jadi macam dia.” Puan Suhaila menepuk bahu Nayla berkali-kali.
Nayla tersenyum. Tidak berhenti senyum.
“Kamu ada kafe yang cantik, nak.” Mata wanita tua itu merenung Kafe Manis Madu di hadapannya. “Kamu buatlah kuih-kuih lama orang Melayu pula. Siapa lagi kalau bukan kita yang nak masyhurkan kuih-kuih tradisional kita? Kuih-kuih Melayu bukan setakat manis saja, pedas ada, pahit ada, tawar ada. Itulah kuih bangsa kita, unik sama seperti hidup kita ini macam-macam rasa ada,” sambungnya lagi sambil tersenyum.
“Insya-Allah, mak cik.”
“Terima kasih banyak-banyak. Hajat mak cik nak pulangkan buku resipi ini dah pun tercapai. Mak cik pulang dulu, ya,” Puan Suhaila beredar menuju ke arah jalan besar sambil melambaikan tangan pada Nayla.
Nayla memerhati tubuh rendah dan gempal itu berlalu pergi. Ada sebuah kereta menanti mak cik Suhaila. Barangkali pemuda yang membukakan pintu itu anak lelakinya.
Buku resipi di tangannya dibelek berkali-kali. terdapat pilihan resipi kuih-kuih tradisional di dalamnya. Nayla tersenyum. Dia tiba-tiba teringat kuih lama masyarakat Melaka yang selalu dia temui di majlis-majlis kahwin. Kuih tepung Puli!
Nayla tidak sabar lagi untuk menyediakan kuih tepung puli. Kuih kegemarannya setiap kali pulang ke Ayer Molek. Kuih lama ini dia sendiri ingin mencuba membuatnya dan segera menyediakan bahan-bahan kuih yang diperlukan. Kuih ini sedikit sulit disediakan tetapi dia bertekad untuk mencuba membuatnya sehingga berjaya.
Tepung pulut, tepung gandum dan bahan-bahan pelengkap yang lain sudah siap disediakan di atas meja dapur. Kerja-kerja mengukus berjaya dilaksanakan tetapi langkah menggulung sedikit menghadapi kesulitan. Percubaan pertama Nayla gagal, namun dia tidak berputus asa.
Nayla ingat akan kata-kata nenek bahawa sewaktu menggulung tepung puli mestilah ketika tepung yang dikukus itu masih panas. Dia hampir berputus asa ketika menggulungnya. Sangat sukar kerana tepung itu masih panas. Dia menyarungkan sarung tangan, namun dirasakan gulungan kuih tepung puli itu sangat longgar. Gulungan itu tidak cantik dan kemas. Tidak padat dan padu gulungannya seperti buatan nenek.
Dia masih ingat lagi tangan arwah nenek yang berkedut begitu kental menggulung kuih tepung puli yang masih panas, namun wajah nenek masih tenang dan tersenyum. Tidak merasai panasnya kuih tersebut. Dia pula ketika itu tidak sabar-sabar lagi mahu mengunyah kuih manis itu.
Nayla mencuba lagi menggulung tepung yang entah ke berapa kali. Meskipun ada yang hampir berjaya, dia tetap ingin tepung puli buatannya menjadi sesempurna hasil air tangan nenek.
Hingga lewat petang, akhirnya Nayla berjaya juga menyediakan kuih tepung puli yang sempurna. Dia berasa sangat puas hati apabila mama dan papa mengatakan bahawa rasa kuih itu sama seperti buatan air tangan Nek Maryah. Nayla berasa lebih bersemangat untuk mencuba resipi lain yang terdapat dalam buku resipi nenek.
Puan Maryana terkejut apabila terlihat buku lama itu berada atas meja makan. Itu buku resipi milik arwah bondanya. Pernah dia bertanya di manakah buku resipi tersebut? Tetapi ibunya memberitahu, dia meminjamkan buku itu kepada seorang kawan lama dan akan dipulangkan apabila tiba waktunya.
“Mama tak sangka dapat tengok buku resipi ni lagi. Mana Nayla dapat?” tanya Puan Maryana ingin tahu.
“Mak Cik Suhaila pulangkan petang semalam. Arwah nenek pinjamkan kepadanya. Dengan buku resipi nenek ni, rezeki dia melimpah-ruah. Anak-anaknya semua berjaya masuk universiti kerana tempahan kuih-muih yang dipelajari daripada buku resipi nenek. Tanpa buku ini, dia tak tahu apa akan jadi pada dia dan anak-anak. Buku resipi nenek dah bantu Mak Cik Suhaila jadi peniaga kuih tradisional yang berjaya,” kata Nayla dengan rasa kagum.
“Mama rasa dah tiba masanya Nayla mencuba lebih banyak kuih-kuih tradisional dan menjadi menu utama di Kafe Manis Madu. Mama tahu, masyarakat sekarang lebih suka croissant, cromboloni, crotabak, mochi donut dan kek tapak kuda seperti yang terdapat dalam menu utama Kafe Manis Madu, tapi ada lebih baiknya juga generasi sekarang mulai mengenal kuih-kuih tradisional masyarakat Melayu kita seperti tepung puli, puteri ayu, nona manis, popia sambal, pulut panggang, bakar pandan, cara berlauk, abuk-abuk yang semakin hilang warisannya,” kata Puan Maryana bersungguh-sungguh. Dia tidak menyangka anak sulungnya ini yang mewarisi bakat membuat kuih-muih tradisional Melayu yang sedap sama seperti arwah ibunya.
“Itu memang rancangan Nayla, mama. Nayla nak cuba dulu buat kuih tepung puli. Kuih ni tak semua orang tahu. Nanti dah tiba masanya, Nayla akan perkenalkan kuih tepung puli kepada pelanggan tetap Nayla dan juga masyarakat Malaysia. Harap-harap tepung puli terus tular nanti di media sosial,” kata Nayla penuh yakin.
Puan Maryana tersenyum bangga.