LAMA KUAMATI kepingan kulit mati luka di lenganku. Ibarat tanah merekah dek kemarau panjang. Mula bernanah nampaknya. Serasa ringan sahaja jari runcingku mahu mengopek epidermis kering menghitam tanda bakal gugur. Mahu sahaja aku menggaru, mereda rasa gatal luka yang mula kering. Kutahan, bimbang makin ketara kesan luka andai tersiat lagi kalau digaru.
‘Macam kawah bulan,’ getus hati kecilku. Luka itu mula berparut kekal. Dalam juga tersiatnya. Lebam yang membengkak di sekeliling luka sudah beransur surut. Dua minggu telah berlalu sejak peristiwa itu. Tidak akan mungkin sirna dari ingatan selagi parut itu membekas di lengan.
Dalam hening Subuh, usai tanggungjawab kepada-Nya aku kejutkan Anis daripada lena. Berkali-kali. Sabarku menipis jua pada satu-satunya puteriku asbab palsi serebrum yang menjadi identitinya.
“Cepatlah, angah! Kita dah lambat ni. Bangun, ibu mandikan cepat!” Meninggi frekuensi peti suaraku. Dalam kalut pagi, siap juga Anis, yang mesra disapa angah dalam keluarga.
“Ibu! Ayah! Angah nak roti canai.” Anis menepuk-nepuk bahuku. Pintanya diulang-ulang.
Ayah sekadar tersengih, menggeleng melihat tingkah Anis yang tidak sepadan dengan usianya yang semanis 19 tahun.
“Ya, angah. Nanti kita singgah sarapan dulu di restoran.”
Dia tampak berselera sekali. Habis dua keping roti kosong yang sudah makin meningkat harganya.
“Permulaan baik pagi ni. Harapnya sampai ke hospital nanti.” Tinggi harapan suamiku agar Anis baik-baik sahaja dengan rutinnya tiap pagi dalam tempoh tiga bulan ini.
Hospital menjadi rumah kedua kami sejak Anis dilahirkan dengan congenital hydrocephalus. Seawal dua minggu kelahirannya, sudah ditebuk tempurung kepalanya untuk dimasukkan VP shunt bagi mengalirkan cecair yang terkumpul. Jika menolak surgeri itu, memungkinkan kepala Anis kian membesar dan cecair itu akan mengakibatkan tekanan tinggi pada otak.
Tajam telingaku menderia sebutan nombor giliran di skrin. Sudah kebas aku bertenggek di lengan bangku kayu bersebelahan Anis. Itu sahaja tempat duduk yang ada. Melaut pesakit dan penjaga masing-masing menunggu di kaunter pendaftaran.
“Bukan anak puan seorang yang OKU, ramai lagi pesakit – orang tua, ibu mengandung…”
Terdetik geram bergaul hairan dengan jawapan staf kaunter apabila aku bertanya akan nombor giliran untuk orang kelainan upaya. Sekadar bertanya untuk kepastian.
‘Begitukah balas yang sepatutnya dari seorang penjawat awam?’ gerutu hatiku menahan diri agar tidak berbalas cakap. Nampaknya apabila sabar itu rapuh, manusia menjadi semakin kurang tertib dalam berbicara.
Sejam bermonolog memerhati ragam manusia, nombor Anis dipanggil. Dihalakan kami ke kaunter rawatan pula. Mujurlah ada jururawat yang masih punya empati, menyuruh kami menunggu giliran di hadapan bilik doktor. Kalau tidak, makin resahlah Anis di dalam sesak ruang menunggu awam ini.
Sekali lagi episod penantian. Aku sempat menyemak permohonan cuti rehat khas untuk hari ini melalui aplikasi HRMIS (Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia). Sudah diluluskan oleh ketua jabatanku. Begitulah cara aku memanfaatkan cuti rehat khas yang hanya diperuntukkan 10 hari setahun itu. Kebanyakannya langsai hanya untuk anak-anak terutama Anis yang istimewa.
“Ibu, ayah mana?”
“Ayah cari parkir. Nanti ayah datang.”
“Ibu, angah nak kerepek.”
“Nanti ibu pesan ayah beli di lobi hospital.”
Lelah juga melayan pengulangan soalan Anis. Genggamannya tidak lepas dari novel remaja karya Ain Maisarah. Naik lunyai dikelek ke sana ke mari. Puas memegang novel itu, dipinta pula komik Boboi.
“Ibu, baca ni.” Diunjuk komik itu ke wajah kian menua seorang ibu.
Tersentak aku yang ralit melayari alam maya di telefon bimbitku.
“Awak hendak ke mana?” Aku bacakan ayat pertama.
Anis mengajuk girang, terayun-ayun badannya. Di balik bundar irisnya, Anis mengalami right homonymous hemianopia yang tidak memungkinkan apa-apa objek terbentuk di retinanya.
6012. Berdeting nombor itu terpapar di skrin.
“Jom, angah! Doktor dah panggil tu.” Bergegas aku memimpin tangan Anis yang ringkan mengatur langkahnya dek keadaan right hemiplegic cerebral palsy.
“Hai, Anis! Jemput duduk,” sapa doktor muda bertubuh kurus. Manis wajahnya bermata sepet. Kupandang tanda namanya: Dr. Chong Ai Lin.
“Anis okey, ibu? Epilepsinya terkawal? Macam mana tidurnya pada waktu malam?” Bertalu soalan Dr. Chong, pakar neuro yang dipinjamkan dari Hospital Sungai Buloh, mahu mengetahui kesan pil epilim yang perlu diambil setiap hari tanpa culas bagi mengawal serangan epilepsi.
Aku menjawab sambil tanganku bersedia mengepung Anis yang kulihat mulai meresah.
“Nak mainan!” Anis menyampuk, kedengaran tidak mesra.
Hatiku di terpa risau. Lebih-lebih lagi kulihat tangan kirinya yang kuat itu, mula menarik, memegang segala objek yang ada di meja doktor. Ciri-ciri autisme pada dirinya yang tidak selesa akan perubahan rutin dan berasa tidak selamat, kian menampak pada wajah.
Hampir sahaja stetoskop Dr. Chong direntap Anis. Aku cepat-cepat tepis apabila blaus Dr. Chong sudah dicekak kuat dek Anis. Barangkali terkejut ditepis, Anis mengamuk, menangis bagai anak kecil sembilan tahun yang tidak terkabul apa-apa yang dimahukannya. Pupilnya yang sedikit juling, terbeliak menahan marah. Rona wajahnya merah menyinga. Tangisannya bagai menahan sakit dan marah akibat dipukul entah siapa.
“Abang, emosi Anis tidak baik hari ini. Abang tolong urus tarikh baharu temu janji Anis. Ambil ubat di farmasi sekali,” ujarku kelam-kabut, menelefon suami yang menunggu di luar.
Pelbagai rasa merojak dalam diriku menatijahkan juraian mutiara jernih tanpa henti. Malu menerpa diriku dengan kelakuan Anis apabila orang-orang sekeliling mula meninjau kekecohan di bilik kami. Dr. Chong lembut memberi isyarat tangan agar tiada yang mendekat, menambah keruh situasi ibu dan anak.
“Encik, bagi kad ini pada misi ya. Misi, tolong uruskan temu janji Anis dulu,” ujar Dr. Chong kepada suamiku sambil mengarah jururawat bertugas.
Dalam sedu-sedan Anis, aku terdengar suami meminta maaf kepada Dr. Chong atas kejadian yang tidak terduga pagi ini.
“Tak apa, encik. Anis baru pertama kali berjumpa pakar neurologi. Sebelumnya dia lama di klinik pediatrik, kan?” Lembut tutur Dr. Chong memahami keadaan.
Bertambah lebat air mataku yang gugur tatkala terpandang mata Dr. Chong yang juga merah menahan sayu. Jarang-jarang aku ketemu doktor yang tidak langsung meninggalkan kami kepada jururawat untuk ditenangkan ketika emosi Anis tidak terkawal.
Anis semakin agresif. Putus rantai suasa bersulam mutiara yang aku ubah suai menjadi penyambung pelitup muka. Gelang emas yang kupakai bengkok direntap dek Anis, terpelanting ke lantai. Sudah tidak bulat bentuknya. Mujur juga Dr. Chong kutip dan memasukkannya dalam tas silang yang kupakai.
Dr. Chong memeluk bahu Anis yang teresak-esak dengan emosi yang tidak terkawal. Tangisnya bergema di ruang klinik yang kurasa sepi seketika dan puluhan mata memerhati adegan kami. Aku cuba menghalang Anis agar Dr. Chong tidak ditolak jatuh. Dalam keadaannya seperti ini, tenaga Anis luar biasa gagahnya.
“Anis! Jangan gigit ibu!” jeritan halus Dr. Chong mengejutkan aku.
Baru terasa pedih di lengan. Mekanisme pertahanan dirinya barangkali. Lengan ibu paling hampir dengan mulut Anis. Pedih berbisa gigitannya. Tiada pilihan lain, tangan kiriku mencubit geram akan pipinya agar dilepaskan gigitan yang amat menyakitkan.
Aku duduk atas ribaan Anis, menarik tangannya agar berpaut keliling pinggangku. Esaknya makin kuat. Bagai orang ketakutan. Basah tudungku jadi pengelap air matanya yang hangat.
“Peluk ibu, angah. Peluk ibu!” Itu kuulang berkali-kali. Lama. Beransur reda amuknya. Namun tidak berupaya menghentikan tangis yang bersisa. Buat pertama kalinya juga, sejak sekian lama tidak begitu, aku menangis teresak-esak di hadapan Dr. Chong. Sebak, sedih, pilu, kesal, malu bergaul sebati dalam diriku.
“Puan okey?” Lembut Dr. Chong menyentuh bahuku seakan memujuk.
“Minta maaf, Dr. Terima kasih.” Dr. Chong sekadar tersenyum. Tubir matanya berair.
Melihat itu, semakin aku rasa sebak. Kolam mataku ibarat empangan pecah. Aku basahkan tapak tanganku di singki di dalam bilik rawatan itu. Kuusap muka Anis sambil menghembuskan ummul kitab di ubun-ubunnya.
Hampir dua dekad umur Anis, aku kuat menahan sebak atas kesulitan yang dihadapi dalam menguruskan ketidakupayaannya. Namun hari ini, aku tewas. Tidak mampu aku menahan belas mendengar tangisan Anis.
Aku paut Anis berdiri. Sudah sama tinggi, sama saiz denganku. Wajahnya cantik dengan hidung mancung bak seludang. Aku merindui tawa riang keanak-anakannya seperti selalu. Rindu soalannya yang berulang-ulang menyuruh aku membacakan cerita.
“Kita balik, ya?” Air mataku kian lebat menuruni pipiku yang mula bergaris halus.
Anis memaut pinggangku sekuatnya dengan esakan yang belum usai. Terkesan malu di hatiku apabila kami menjadi tontonan mereka yang masih ramai menunggu giliran. Serasa jauh benar jarak ke pintu utama hospital. Setiba kami di situ, barulah terungkai pautan Anis yang kejap amat. Dia tampak tenang seketika, mengayun-ayun tanganku persis gembira dapat meninggalkan tempat seakan-akan neraka buatnya. Ketara benar beza Anis yang manja, teruja mahu pulang dengan keadaan amukannya tadi.
Menjelang sepertiga malam, kurawat lengan yang mula berdenyut sakit hingga ke nyali. Keliling luka kian membengkak lebam membiru. Perit gigitan itu membawaku ke lena panjang memutar episod kelahiran puteri bertuah ini.
***
“Segera hubungi doktor pakar!” Cemas suara doktor ginekologi bertugas hari itu sewaktu mengimbas kandunganku secara 3D. Pada awal tahun 2000, kiranya canggihlah imbasan 3D sebegitu, pada waktu itu. Sekarang, beruntung ibu mengandung sudah boleh mengimbas kandungan secara 5D.
“Kenapa ni, Dr.?” Aku kehairanan melihat wajah sugulnya. Lebih-lebih lagi, apabila pakar ginekologi, Dr. Guna pantas mengarahkan aku dimasukkan ke wad.
“Puan pernah tengok budak hydrocephalus? Saiz kepala bayi puan… besar!”
Terpinga-pinga aku dan suami. Hampir lapan bulan kandunganku tidak pernah bermasalah. Segalanya normal. Setiap janji temu aku patuhi tanpa culas dan tanpa banyak soal. Aku juga tidak pernah bercuti sakit sepanjang mengandungkan bayi kedua ini. Teringat janji temu aku di Klinik Desa Kampung Gurney pagi tadi.
“Weh la… bakpo denyut jantung anakmu tinggi bena?” Jururawat masyarakat yang mesra kupanggil Kak Kama, bersuara kehairanan. Pekat betul loghat Kelantannya tiap kali bercakap denganku apabila dia tahu ayahku berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
“Tekanan darah normal. Gulo pun comei. Rehatlah kejap. Mu stres ko?”
Bebelan Kak Kama kusambut dengan sengihan kerang busuk walau dalam fikiran mula mencuak. Tiada rekod darah tinggi atau diabetes tetapi kenapa begini keadaan bayi dalam kandunganku?
“Weh la.. denyut jantung anakmu turun pulok! Mu bawok buku pink, gi hospital loni! Kak rasa ada tak kena ngan anakmu ni.” Tegas Kak Kama menyuruh aku terus ke Klinik Pakar Ginekologi di hospital. Kak Kama lebih cemas daripadaku yang asyik memikir alasan yang mahu kukhabarkan kepada ketua jabatanku – cuti sakitkah atau mohon hadir lewat?
“Boo la ingat kijonyo. Anok tu lebih penting.” Sergahan Kak Kama memutus lamunanku.
Satu per satu prosedur dijalankan oleh doktor bertugas. Vaginal examination baru menunjukkan bukaan 2 sentimeter, tekanan jantung dan denyutan nadi bayiku normal sehinggalah imbasan 3D dilaksanakan.
Aku dan suami kelu seribu bahasa. Hanya air mata yang berbicara. Aku masih cuba menafikan apa-apa yang baru diketahui. ‘Ah! Doktor bukannya Tuhan!’ getus hatiku menyedapkan rasa yang mula mengocak ketenangan.
Tiga hari menunggu tarikh pembedahan bagai menanti hukuman mati. Setiap kali doktor atau jururawat datang memantau, tiap kali juga aku bertanya ‘kenapa’? Tidak pernah aku lalui apa-apa surgeri, justeru keadaan ini sangat menakutkan aku.
Akhirnya tepat pukul 9:00 pagi di hari pertama bulan ketujuh, satu-satunya puteri kami selamat dilahirkan. Aku yang sedar dengan hanya bahagian abdomen ke bawah kebas dek epidura, bising mengulang kata ‘kepalanya tak besar pun, doktor!’ Namun pasukan doktor dan jururawat pembedahan hanya membisu, tekun menjahit luka.
“Tenang, puan. Tekanan darah puan mula tak stabil,” pujuk pakar bius.
“Ibu, tengok anaknya. Anak apa? Cakap… anak apa?” Jururawat bertugas meletakkan Anis atas dadaku.
Tidak mampu kutahan empangan iris yang pecah. Kulurut jari-jemari Anis. ‘Cukup lima,’ detik hatiku. Masya-Allah. Cantiknya dia! Alis keningnya terlukis semula jadi indah. Rambutnya ikal lebat.
“Perempuan, misi.” Lirih suaraku. Bertambah sebak apabila dikhabarkan Anis akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Dua minggu aku bertabah menemaninya di NICU. Dia kususui sebagaimana sering aku doakan semasa dia menghuni rahimku agar hanya meminum susu ibu. Enam jam selepas pembedahan aku sudah berjalan perlahan dari wad ginekologi ke NICU semata-mata mahu menyusukannya. Berlari-lari jururawat membawakan kerusi roda, bimbang aku tumbang.
Saban hari, khabar yang diterima tentang Anis, tidak seindah diharapkan. Keputusan ujian MRI juga mengesahkan keadaan congenital hydrocephalus yang Anis hadapi. Kami dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kuala Lumpur untuk Anis dirujuk ke pakar neurosurgeri.
Aku diberi tempoh tiga hari untuk menimbang keputusan membenarkan Anis dibedah bagi memasukkan VP Shunt ke dalam kepalanya. Alat tersebut bertujuan mengurangkan tekanan tinggi yang disebabkan cecair otak berlebihan dalam kepalanya akibat hydrocephalus.
Kedua-dua orang tua dan suami banyak memberi sokongan moral buatku yang hampir kemurungan. Berkat tahajud papa dan mama, serta munajat seorang ayah kepada anak istimewa, menguatkan aku agar cuba berdamai dengan takdir yang tertulis.
Bermulalah hospital menjadi teratak kedua selepas Teratak Safeeya, istana kasih kami. Dua tahun pertama umur Anis, sebutlah nama klinik yang tidak kami lawati – ginekologi, fisioterapi, terapi cara kerja, terapi bertutur, ortopedik, oftalmologi dan pediatrik – semuanya sudah kami bertamu, menyantuni Anis agar mampu menjadikannya normal.
Namun akhirnya, diagnosis doktor melalui ujian CT Scan, MRI dan penilaian intervensi awal kanak-kanak, tetap menyatakan Anis adalah anak kurang upaya. Hakikat yang aku cuba nafikan, akhirnya menjadi realiti yang perlu digenggam.
“Bayi puan mengalami masalah right hemiplegic cerebral palsy akibat hidrosefalus kongenital yang menyebabkan perkembangan tumbesarannya melambat. Dia juga mengalami autisme ringan. Selain itu, anak puan mempunyai masalah dengan penglihatannya. Dia tidak boleh melihat tetapi dia tidak buta.”
Berbalam mata kutatap laporan doktor itu. Air mata ibu sangat murah sejak Anis lahir. Suamiku tenang, walau wajahnya terzahir resah dan kosong.
“Kenapa semua ini jadi, Dr?” soalku untuk ke sekian kalinya.
Dr. Guna menarik nafas panjang lalu perlahan-lahan, setenang air di kali mengutarakan sesuatu yang buatku berhenti bertanya. “Penyebabnya bukan apa-apa yang puan makan atau tidak puan makan. Hakikatnya, puan dan suami … dipilih oleh Tuhan untuk bersama-sama menyayangi anak syurga ini!”
***
Perkembangan Anis sangat perlahan. Kemahiran yang diperolehnya terkebelakang jauh daripada adiknya yang lahir pada usia Anis dua tahun lebih. Aku menjadi semakin sensitif akan hak dan keperluan warga kelainan upaya khususnya anak pemegang kad pengenalan diri OKU yang bermasalah pelbagai.
Kutelan rungutan petugas di Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang lelah mencuci najis mukhaffafah Anis yang tidak mahu diatur ke tandas. Enggan menyusahkan petugas tersebut, kupakaikan lampin pakai buang ketika meninggalkannya di PDK sewaktu aku ke tempat kerja.
“Puan kena latih juga Anis ke tandas. Tak boleh biar dia terus memakai lampin!”
Aku tersentuh hati, bagaikan aku tidak pernah cuba melatihnya. Berjaya juga Anis ke tandas setelah setahun aku mengaturnya. Usah dikenang entah berapa kali aku dan suami mencuci dan mop lantai. Namun kejayaan itu hanya untuk siang hari. Itu pun perlu diingatkan, diulang tanya berkali-kali sehari.
“Reda sajalah, Ana. Mama tak nak Ana yang jatuh sakit sebab tak cukup tidur, asyik bangun untuk atur Anis ke tandas malam-malam,” ujar mama empati.
Pada usianya 10 tahun, masih perlu dilatih ke tandas pada waktu malam. Setiap dua jam, aku bergilir dengan suami menjenguk Anis di bilik. Mengejutnya untuk ke tandas juga perlukan kekuatan emosi yang ampuh.
Kadang-kadang berjaya hingga ke subuh, tidurnya tanpa berlampin. Namun banyak kali juga kesemua lapis tilamnya ‘dilimaui’ hancing. Pagi-pagi sebelum keluar bekerja, suamiku sabar membasuh tilam sewaktu aku mengurus mandi dan pakai Anis.
Tika menginjak ke usia tujuh tahun, Anis mengikuti Program Pendidikan Khas (PPKI) Integrasi dan dikelompokkan dalam kumpulan Murid Berkeperluan Khas (MBK) berkefungsian rendah. Aku semakin belajar untuk tidak meletakkan aras pencapaian tinggi buat Anis kerana itu seakan-akan aku tidak pernah cuba menerima keadaannya begitu dengan reda. Cukuplah Anis mampu berdikari walaupun dengan bimbingan separa dan boleh berada bersama-sama dalam persekitaran normal.
“Puan, anak puan, Anis masih tak boleh pegang pensel betul-betul. Dia tak boleh ikut titik-titik untuk membentuk gambar atau huruf. Huruf pun tak betul disebut. Mewarna macam menconteng saja. Waktu rehat, pembantu pengurusan murid masih perlu membelikan makanan untuk Anis dan disuakan kepadanya.” Panjang lebar Cikgu Rahim membentangkan laporan rancangan pendidikan individu buat Anis.
Aku membelek-belek buku latihan Anis yang lebih berupa buku contengan. Tiada satu muka surat pun yang boleh dianggap latihan. Semuanya diconteng dek Anis ibarat lakaran lukisan abstrak yang perlu diterjemahkan. Lama aku membungkam, hingga akhirnya aku bersuara agak tegas, “Sepanjang cikgu mengajar, apa yang anak saya boleh buat dengan bimbingan guru-guru?”
Giliran Cikgu Rahim pula terdiam. Bukan niatku mahu mempersoalkan kredibiliti pendidik tetapi sebagai guru pendidikan khas, mereka lebih terlatih secara profesional mendidik MBK. Aku berpendapat, satu yang sangat pantang buat kami ibu bapa anak OKU apabila pihak yang terlibat secara langsung dengan anak-anak syurga ini, hanya menyatakan apa-apa yang permata kami tidak boleh buat. Itu sudah amat kami ketahui.
Pada tahun keempat Anis di sekolah menengah, kami mengambil keputusan memindahkan Anis ke PPKI sekolah terhampir dengan teratak kami kerana aku bertukar tempat kerja.
Terasa bagaikan satu kesilapan dengan keputusan itu, apabila ada guru yang merungut, “Kami tak biasa dengan murid pemahaman tahap rendah macam Anis. Tak pernah kami dapat MBK yang tak boleh buat apa-apa sangat macam Anis.”
Sesungguhnya pada saat itu, aku semakin difahamkan bahawa penerimaan masyarakat terhadap warga kurang upaya masih di tahap minda kelas ketiga!
Terimbas semula reaksi ketua jabatanku sebelum ini, “Buat apa beri pada Ana jawatan itu, dia dah ada beban!”
Padaku, biarlah aku tidak terpilih kerana kurangnya kecekapan aku bekerja, bukan menidakkan peluang kenaikan pangkatku disebabkan Anis yang dikatakan beban.
***
Kring! Kring! Kring! Terpisat-pisat aku terkejut jaga mendengar bunyi jam pada telefon bimbit. ‘Ya Allah, aku boleh terlelap dalam pada membelek luka gigitan Anis di lengan,’ getus hati kecilku.
Usai mengurus diri dan berwuduk membasahi wajah yang bersisa kantuk, kupanjatkan munajat pada-Nya agar tidak membolak-balikkan hati ini antara sabar dengan marah dalam menyantuni satu-satunya puteri permata syurga kami.
“Ana beruntung. Allah letakkan tiga syurga dalam rumah Ana. Anak istimewa yang doanya tanpa hisab dan dua putera penghafaz al-Quran,” tutur Ustazah Najwa. Lembut bicaranya penuh hikmah, membuat aku tersentak. Bukan sedikit mahar sabar yang perlu kukelek selagi amanah ini digalas. Bukan sekali air mata terempang pecah, malah tidak terhitung.
Pupil mataku terfokus imej potret konvokesyen ketika dua puteraku, along dan alang menerima deklarasi Sijil Tamat Hafazan daripada graha tahfiz masing-masing. Pengijazahan along di SMKA daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, manakala penganugerahan alang di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Selangor (MITS) daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Gambar itu gah menghuni mandala ibadat di ruang solat Teratak Safeeya kami.
Letusan zikrullah spontan membasahi lidah senada dengan apa-apa yang ditamsilkan oleh Ustazah Najwa. Aku alpa akan janji-Nya bahawa dalam kesulitan, ada kesenangan. Di sebalik payah diduga sabar meladeni anak syurga, Allah rezekikan abang dan adik lelaki Anis sebagai huffaz yang tamat hafazan 30 juzuk.
“Sandarkan namanya pada nama ibunya. Biar dia sekuat ibunya,” terngiang-ngiang suara papa memberikan cadangan nama kedua buat Anis ketika baru saja menjenguk dunia. Anis Sofea namanya. Sofea yang menjadi sandaran pada namaku, namun kuatkah aku sebagai ibunya?
Ketika sepertiga malam kian dipaut sepi, sekonyong-konyong kulihat kelibat puteri tunggal itu mendekat. Di tangannya seperti biasa membimbit buku cerita tanpa memahami aksaranya. Menjadi rutin sebelum beradu, dia akan menyalami dan melekapkan bibirnya ke pipiku. Hangat. Terasa ada titisan air suam ditinggalkannya di papan wajahku.
Mukanya kutenung. Arca di wajahnya seakan berbicara mendambakan sesuatu daripadaku, ibunya. Tubir mataku tidak mampu bertahan. Lalu sebutir kristal mencair dan bersatu dengan air matanya yang mendiami pipi nan kian renta.
‘Kelemahanmu akan menguatkan ibu, sayang,’ pasak azamku di lubuk nubari sambil menghantarnya ke kamar peraduan dengan retina yang masih berkaca.
***
[Pemenang tempat keenam Sayembara Menulis Cerpen Bertemakan Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2022 anjuran DBP Wilayah Selatan dan Komuniti Buku Pengkarya Johor]
Glosari
Congenital hydrocephalus – pengumpulan cecair otak (Cerebro Spinal Fluid) yang berlebihan sejak lahir
Right hemiplegic cerebral palsy – gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan di sebelah kanan disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang
VP Shunt – Pembedahan pemasangan saluran pintasan secara dalaman terdiri daripada dua tiub bendalir dan injap sehala
Right homonymous hemianopia – Gangguan medan penglihatan bitemporal hemianopia / binasal hemianopia (bahagian kiri dan kanan penglihatan binokular)