HARI ini, kawan baik aku, Nazira, akan menjadi seorang isteri. Sejak sekolah lagi dia memberitahu aku, dia mahu bernikah pada hari Jumaat. Tidak kisah pagi, tengah hari, petang atau malam. Yang penting, mesti hari Jumaat.
Tiga hari yang lepas, Nazira memberitahu kepada aku dan seorang lagi rakan kami, Shamimi, dia akan bersiap selepas solat Jumaat dan meminta kami berdua untuk memakaikan pelekat inai sebelum jurusolek tiba.
Pada hari kejadian, aku dan Shamimi sudah berdiri tegak depan pintu rumah. Ternampak kelibat Nazira sedang berjalan dengan sepinggan nasi. Jam telefon aku intai semula. Semoga tidak silap aku melihat jam.
2.30 petang
Saat Nazira terpandang kami berdua, tersengih-sengih dia menanti ceramah agung daripada aku. Lekas-lekas aku masuk sesudah menyantuni keluarga Nazira. Shamimi turut menggeleng kecil.
Masuk sahaja bilik Nazira, aku sudah berlagak bagaikan seorang juruaudit. Segala barang, aksesori, dan macam-macam lagi aku tanya. Nazira mengomel saat aku meminta dia meletakkan segala apa yang aku minta. Aku kenal sangat perangai Nazira. Semua kerenah dia ada dalam fail memori aku.
“Kau dah ada wuduk?” tanya aku.
Nazira menjawab, “Sudah.”
Nikah pukul 5.00 petang. Aku rasa hanya Nazira seorang sahaja yang buat pernikahan selepas asar. Alang-alang sebelum bersolek dan menjadi isteri orang, elok solat asar sebelum bertolak ke masjid.
Selesai sahaja pelekat inai ditampal, jurusolek pun tiba. Shamimi meminta diri untuk tunggu di luar terlebih dahulu. Aku memastikan keperluan Nazira dan jurusolek cukup seadanya. Giliran aku pula menjamu makanan yang disediakan oleh ibu Nazira.
Jam digital sudah berganjak pukul 4.00 petang. Hiasan dan dulang hantaran sudah disusun sejajar di atas meja kopi. Aku tolak pintu bilik Nazira. Dia sudah siap disolek. Jurusolek sedang mengatur tudung untuk digayakan. Terdetik hati aku akan satu perkara.
“Nazira, mana tiara kau?”
Nazira dan jurusolek tersentak. Syukur vel putih belum disemat. Nazira segera meminta aku untuk mencari tiara di dalam bilik adiknya. Sekelip mata sahaja aku berjaya membawakan tiara Nazira kepada jurusolek. Alhamdulillah, busana lengkap nikah dan solekan nipis Nazira menaikkan seri wajah pengantinnya.
“Farah … .” Shamimi menggamit aku dari luar bilik Nazira.
Aku lihat wajah Shamimi sedikit mendung. Pasti ada berita kurang enak.
Lurus jari telunjuk Shamimi ke arah pintu utama. Hujan lebat dan guruh berdentum. Keluarga Nazira turut meluahkan rasa tidak senang hati.
Hari pernikahan Nazira disambut dengan hujan lebat. Jarak dari rumah ke masjid tidaklah begitu jauh, tetapi dalam cuaca yang serba basah ini, pasti menyukarkan sedikit pergerakan Nazira. Aku dah Shamimi mula merancang perjalanan. Hari bahagia Nazira tidak boleh dimulakan dengan perasaan kesal.
“Hujan ke? Macam mana ni?”
Mata Nazira mula berkaca-kaca. Shamimi segera menghulurkan tisu sebelum tertumpahnya air mata Nazira. Aku terdengar azan asar yang sayup-sayup berkumandang.
“Kau solat asar dulu. Aku dan Shamimi akan pastikan mekap tiga ratus setengah kau tu tak cair,” usik aku.
Pap! Lengan aku dipukul kasar. Askar putih Nazira ditayang. “Ingat lawak? Aku serius ni!”
***
Ibu Nazira meminta kami keluar terlebih dahulu. Pasti proses masuk ke dalam kereta mengambil masa agak lama. Biarlah pakaian kami basah dek hujan. Jangan ada setitis air hujan terkena pada pakaian dan solekan Nazira. Bergilir-gilir aku dan Shamimi menyerah payung dari rumah ke kereta.
Sebelum aku memulakan pemanduan, aku melihat Nazira tidak ceria. Suram saja mukanya. Aku memandang Shamimi di belakang menerusi cermin pandang belakang. Kedua-dua kening aku angkat. Shamimi pula membalas dengan mengangkat kedua-dua belah bahu.
“Kau dah kenapa?” soal aku prihatin. Stereng kereta diputar dan aku memilih untuk meneruskan pemanduan.
“Kalau ada apa-apa tak kena, beritahu kami. Kami ada.” Shamimi menyentuh bahu Nazira, cuba menyalurkan semangat dan kekuatan.
Tidak semena-mena, Nazira menyeka air mata dengan hujung tisu yang sudah digulung tirus. Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba bertenang.
“Tadi masa dekat pintu rumah, pak long aku beritahu aku satu benda. Masa aku lahir dulu, hujan turun sangat lebat. Macam hujan sekarang ni.” Nazira meluahkan rasa yang terbuku dalam hatiya.
Aku lihat hujan lebat yang tiada tanda-tanda reda atau berhenti. Aku melirik ke arah Nazira yang ingin menyambung ayatnya.
“Hari ni, hari pernikahan aku. Hujan pula turun lebat. Kau tak rasa aku ni macam … pembawa malang?” soal Nazira polos.
Sepi.
Shamimi cuba menyusun ayat untuk memujuk Nazira. Dia tidak mahu melihat Nazira kecewa dengan takdir yang diatur oleh Tuhan. Khidmatnya sebagai kawan baik perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebelum Nazira melangkah keluar dari kereta.
“Nazira, aku … tak tahu nak pujuk kau macam mana, tapi aku …. faham perasaan kau.” Tergagap-gagap Shamimi bersuara.
Tergelak kecil aku mendengar kata-kata semangat Shamimi. Cubaan yang bagus!
Lama Nazira termenung.
“Tuhan tak suka aku. Dia tak sayang aku.”
Ini yang aku dan Shamimi tidak gemar. Sesi menyalahkan diri sendiri dan takdir. Ingatkan lagi beberapa jam berubah status menjadi isteri orang, Nazira akan berubah matang.
Perlu ke aku jadi sarkastik?
Atau menipu untuk senyuman palsu?
“Kenapa kau pilih untuk bernikah pada hari Jumaat? Lepas asar pula tu.” Aku cuba memancing perhatian Nazira. Mungkin, bila sendiri menjawab soalan yang ditanya, dia sedar apa hikmah yang tersimpan rapi.
“Aku tak pasti kenapa lepas asar. Yang aku tahu, aku nak bernikah hari Jumaat.”
Shamimi menjengulkan kepalanya. Telefon pintar di tangan dinaikkan sedikit selari dengan aras mata. Shamimi berdeham sedikit sebelum memulakan bicara. “Riwayat daripada Jabir bin Abdullah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda, “Hari Jumaat mempunyai dua belas jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar.”
Nazira menunduk sedikit. Semua sudah sedia maklum akan fadilat doa selepas asar pada hari Jumaat.
“Cuba kau doa, minta pada Allah, redakan hujan ni sebelum sampai masjid.” Aku sengaja memberi cadangan. Kalau doa Nazira dimakbulkan, aku tumpang kelegaan.
Bersungguh-sungguh Nazira menadah tangan dan meminta macam-macam kepada Yang Maha Esa.
***
4.40 petang
Kami sudah tiba di hadapan masjid. Hujan semakin reda. Mungkin memberi tanda-tanda positif hujan akan berhenti.
Shamimi sudah melorek senyuman. Kebahagiaan Nazira bakal menyala. Aku selesai memasukkan kereta dalam kotak letak kenderaan. Masing-masing berdebar. Sebelum keluar dari kereta, sempat aku meminta Nazira dan Shamimi untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Gambar terakhir sebelum Nazira bertukar status.
Baru sahaja Shamimi membuka pintu kereta, hujan kembali lebat secara tiba-tiba. Cepat-cepat Shamimi menutup semula pintu kereta.
“Weh!” teriak Nazira. “Kenapa hujan makin lebat ni?”
Bunga tangan yang Nazira genggam tadi sudah dilabuhkan semula di atas riba. Aku dan Shamimi hilang kata-kata.
Resah.
Gelisah.
Betul ke Tuhan dah tak sayang Nazira?
Aku sendiri tidak pasti mengapa Allah tidak mengabulkan doa suci Nazira. Bukankah doa selepas asar, mustajab?
Shamimi cuba mencari lagi hikmah di sebalik ujian. Namun, dia sendiri buntu. Aku dan Shamimi berbalas pandangan melalui cermin pandang belakang.
Nazira menyeka air mata yang sudah bergenang. Dia menarik nafas dalam-dalam. Telefonnya sudah bergetar. Pasti ibunya yang membuat panggilan. Nazira tidak menjawab panggilan itu. Malah, dia membiarkan sahaja panggilan itu berhenti dengan sendiri.
“Tak nak la kahwin hari ni,” kata Nazira seraya memakai semula tali keledar keselamatan.
Aku dan Shamimi menghentikan perbuatan kurang rasional Nazira. Desakan keinginan yang meluap-luap sekelip mata dicantas dengan makhluk Allah yang turun dari langit, hujan.
“Jangan sebab hujan, kau tak nak kahwin. Aku panggil ibu kau ke sini nanti,” ugut aku.
Shamimi mengangguk setuju.
Nazira, O Nazira.
Nazira tertawa dengan tindakan kami berdua menyekat idea nakalnya.
Lama Nazira menghela nafas.
“Aku bukan nak marah Tuhan. Aku cuma sedihlah sebab hari penting aku, sentiasa hujan turun. Lebat pula tu. Aku tak tahu apa yang Allah sembunyikan berita gembira buat aku.” Nazira menoleh ke arah aku. Dia cuba memaniskan wajah tetapi aku tetap dapat kesan kepalsuan senyuman Nazira.
Aku rasa sudah tiba masanya untuk aku mengungkap ayat ini. Aku lihat Nazira sudah bersedia dan tidak memberontak seperti tadi.
“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, ada dua doa yang tidak akan ditolak. Doa ketika azan atau selepas azan dan doa ketika turunnya hujan.”
Hujan lebat di luar aku pandang. Aku menyambung, “Mungkin, kau rasa hujan lebat pada hari bersejarah kau, azab daripada Allah. Tapi kau lupa satu perkara.”
Nazira terdiam. Dia menanti ayat aku yang seterusnya.
“Bukan kau seorang sahaja yang berdoa masa hujan turun. Ramai lagi orang berdoa dan mengaminkan doa. Selesai kau bernikah nanti, mesti ramai-ramai tadah tangan aminkan doa untuk kesejahteraan dan keberkatan pernikahan kau. Kalau kau rasa doa kau tak dimakbulkan, pasti Allah makbulkan doa orang lain semasa semua orang mengaminkan doa. Kau tak rasa ke hujan ni hadiah daripada Allah?”
Belum sempat aku melihat reaksi Nazira, dia sudah merangkul batang tubuh aku. Teresak-esak dia dalam pelukan aku. Air matanya sudah jatuh berderai tepat ke atas tudung aku.
‘Tudung aku!’ gumam aku pasrah.
“Tapi, kenapa Allah pilih aku? Aku tak kuat!” Semakin kuat Nazira berteriak. Aku cuba mengusap bahu Nazira. Tidak semena-mena,
“Nazira! Mekap tiga ratus setengah kau!” jerit Shamimi di belakang.
Kelam-kabut masing-masing menyelamatkan solekan Nazira. Solekan lebih berharga daripada air mata Nazira. Aku dan Shamimi berjaya mengiringi Nazira keluar dari kereta dengan dua payung dan mendapatkan sepupu Nazira yang arif dalam solekan. Jika aku dan Shamimi yang baiki solekan Nazira, pasti semua tetamu akan pengsan melihat air tangan kami.
***
Dengan sekali lafaz, Nazira sah menjadi isteri kepada pilihan hatinya.
Shamimi sudah bersandar pada bahu aku. Menangis kegembiraan kerana Nazira berjaya menamatkan zaman bujangnya.
“Kenapa Allah pilih aku? Aku tak kuat!”
Terimbau semula soalan Nazira di dalam kereta tadi. Jika aku susun kebarangkalian dan andaian, hanya ayat ini yang aku mampu ungkapkan.
“Sebab Allah tahu kau mampu berjalan dalam hujan yang Dia turunkan.”
Jika Nazira dengan hujan, aku dan Shamimi dengan apa? Semoga kami kuat hadapi ujian dan dugaan kiriman Tuhan.