Menjadi seorang penulis bukanlah suatu perkara yang mudah kerana teknik penulisan yang berkesan harus diajar kepada anak-anak kecil, ibarat pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.
Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dengan kerjasama Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif Kanak-kanak bertempat di Perpustakaan Awam Pahang. Seramai 32 orang peserta berumur 7 hingga 12 tahun dari sekitar Kuantan telah menyertai bengkel ini.
Menariknya, bengkel ini memberikan peluang kepada kanak-kanak seawal usia 7 tahun, meskipun ada antara peserta yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis sepenuhnya. Namun demikian, ruang dan peluang ini bagi mendorong mereka menyuburkan minat terhadap bidang penulisan.
Bengkel bermula dengan sesi pengenalan terhadap penulisan kreatif. Sepanjang sesi ini, peserta didedahkan dengan definisi penulisan kreatif dan jenis-jenis penulisan kreatif seperti pantun, sajak, cerpen dan novel kanak-kanak.
Peserta turut diberikan peluang mendeklamasikan sajak yang mereka tahu dan menceritakan semula kisah-kisah daripada buku atau novel yang pernah dibaca.
Selanjutnya, bengkel diteruskan dengan mengetahui cara-cara menjadi seorang penulis. Penceramah mendedahkan pelbagai ruang dan medium yang ada buat kanak-kanak menghantar karya mereka.
Terdapat juga pelbagai pertandingan yang boleh disertai oleh penulis asalkan penulis ada kemahuan yang tinggi dan minat yang mendalam. Bagi menguasai teknik penulisan, para peserta harus mengetahui asas penulisan yang signifikan. Elemen-elemen ini termasuklah tema, latar masa, latar masyarakat, watak dan perwatakan, plot dan sinopsis. Sekiranya peserta mahu menjadi penulis yang berkualiti, asas yang dinyatakan ini haruslah dikuasai dengan baik.
Peserta turut berpeluang meneliti karya-karya yang ditulis khas untuk kanak-kanak, terutama buku cerita bergambar kanak-kanak yang memiliki jalan cerita dan ilustrasi yang menarik.
Jika peserta berminat menulis buku cerita bergambar sedemikian, peserta harus mempelajari teknik-teknik penulisan yang tepat, selain memiliki kemahiran melukis.
Bengkel Penulisan Kreatif Kanak-kanak diadakan bagi mencapai objektif, iaitu memupuk minat kanak-kanak terhadap dunia penulisan, selain memberikan pendedahan tentang teknik penulisan berkesan. Bengkel ini bertujuan menanam keyakinan dalam diri peserta yang masih belia.
Pada masa yang sama, peserta perlu selalu berfikir dan menggali idea untuk menulis. Hal ini, bertepatan dengan maksud penulisan kreatif itu sendiri, iaitu penulisan yang mengungkapkan cetusan idea dan perasaan penulis dengan cara yang imaginatif, selalunya unik dan puitis.
Penulis haruslah memiliki daya imaginasi yang tinggi bagi menghasilkan karya yang menarik dan berbeza dengan karya yang sudah berada di pasaran. Karya mereka juga haruslah unik dan menarik hati membaca. Disebabkan itu jugalah, petua menjadi penulis yang bagus adalah dengan memperbanyak bahan bacaan. Daripada situlah lahir idea-idea unik dan di luar kotak.
Pada pendapat penulis yang juga merupakan penceramah bagi bengkel ini, setiap kanak-kanak memiliki kemampuan luar biasa untuk menghasilkan karya.
Seorang pakar psikologi dari University of Oregon, Marjorie Taylor mengatakan bahawa kanak-kanak menggunakan imaginasi sebagai alat pemikiran mereka. Mereka menggunakan imaginasi untuk mencari penjelasan tentang beberapa perkara yang sukar mereka fahami dalam kehidupan, seperti masalah keluarga, isu ketuhanan, mahupun dunia kanak-kanak sebelum kelahiran. Kanak-kanak juga gemar berimaginasi bagi mengatasi kesakitan dan kedukaan yang mereka alami dan rasai.
Maka itu, bengkel penulisan kreatif merupakan ruang dan peluang bagi kanak-kanak berimaginasi dalam berkarya. Kebiasannnya, melalui bengkel ini, peserta diberikan tugasan untuk menghasilkan sebuah cerita pendek atau disebut cerpen. Mereka diberikan kebebasan memilih tema cerpen masing-masing untuk merangsang daya pemikiran dan membentuk kreativiti.
Ada peserta berminat untuk menulis siri pengembaraan, seram dan misteri, kisah teladan, semangat setia kawan dan haiwan kesayangan. Penceramah juga mengajar mereka memilih tajuk cerpen yang bagus. Penceramah juga menasihati peserta bahawa sesebuah cerita yang hendak ditulis haruslah memiliki nilai murni yang akan disampaikan kepada pembaca, terutama pembaca kanak-kanak.
Selesai menentukan tema, memilih tajuk, membina watak utama dan watak sampingan serta menulis sinopsis ringkas, setiap peserta harus membentangkan hasil tugasan mereka.
Penceramah berfungsi sebagai mentor dan memberikan maklum balas secara langsung kepada peserta. Kebanyakan peserta digalakkan untuk membaca lebih banyak bahan bacaan yang sesuai kerana ada beberapa orang dalam kalangan mereka masih tidak mampu mengembangkan idea penceritaan dengan baik dan akhirnya cerita mereka tergantung begitu sahaja. Komen-komen yang diberikan oleh penceramah adalah bertujuan sebagai proses pengajaran agar peserta memahami cerita sendiri sepenuhnya.
Tuntasnya, penulis merasakan bahawa bengkel seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang, terutama pada musim cuti persekolahan. Selain mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, bengkel ini akan mencungkil bakat terpendam dalam kalangan kanak-kanak.
Penulis juga berharap agar ibu bapa di rumah menggalakkan anak-anak mereka untuk menulis sesuatu yang diminati tidak kira sajak, pantun, cerpen, seloka mahupun novel. Semoga akan lahir lebih ramai pelapis kepada penulis mapan, seterusnya melahirkan bakal Sasterawan Negara bagi menyambung warisan karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara yang sudah menuju umur senja.