Seni ukiran tembaga merupakan salah satu seni yang menarik dan penuh dengan nilai warisan sejarah serta mempunyai keunikannya tersendiri. Seni ukiran tembaga melibatkan proses mengukir dan membentuk tembaga menjadi objek hiasan atau kegunaan harian.
Walaupun nampak ringkas, seni ini sebenarnya mencerminkan identiti dan nilai budaya Melayu melalui penggunaannya dalam seni bina tradisional, peralatan rumah dan aksesori peribadi.
Sejarah
Menurut kajian sejarah terdahulu, penemuan logam tembaga telah ditemui oleh manusia kira-kira 8,000 tahun sebelum Masihi. Artifak tembaga tertua yang ditemui di negeri Terengganu pada ketika itu ialah sebuah gong.
Seni ukiran tembaga di Terengganu dikatakan bermula sejak zaman pemerintahan Dong Son di Funan sewaktu pemberontakan menentang rejim pemerintahannya menjelang tahun 800 Masihi.
Hasil daripada pemberontakan dan pergolakan tersebut, tukang ukir dan tukang logam berhijrah ke Thailand, Kepulauan Indonesia dan Tanah Melayu. Penghijrahan mereka ke Tanah Melayu telah mengembangkan seni ukiran tembaga, khususnya di negeri Terengganu.
Lokasi
Dua buah kampung di Kuala Terengganu, iaitu Kampung Ladang dan Kampung Tanjung masih lagi meneruskan warisan seni ukiran tembaga sehingga ke hari ini. Bukan itu sahaja, perkembangan seni pertukangan tembaga di Kampung Ladang bermula apabila penduduk kampung mula menghasilkan peralatan dan hiasan yang diperlukan di Istana Maziah, iaitu istana rasmi Kesultanan Terengganu.
Teknik dan Proses
Terdapat dua teknik utama bagi penghasilan seni ukir tembaga, iaitu, teknik acuan penghapusan lilin dan teknik goresan timbul.
Logam tembaga dipilih sebagai bahan utama kerana warnanya yang menarik dan mempunyai titik lebur sekitar suhu 1000°C, menjadikannya mudah dibentuk. Antara peralatan tradisional yang digunakan untuk menghasilkan seni ukiran tembaga ialah:
1. Penukul kayu. Digunakan untuk mengetuk alat ukir semasa proses pembentukan corak pada permukaan tembaga.
2. Gunting. Digunakan untuk memotong kepingan tembaga mengikut saiz dan bentuk yang dikehendaki.
3. Set alat pengukir. Terdiri daripada pelbagai jenis pahat dan alat tajam yang digunakan untuk mengukir dan membentuk motif pada permukaan tembaga.
4. Penggilap. Digunakan untuk menggilap permukaan tembaga setelah proses ukiran selesai bagi memberikan kilauan dan kemasan yang menarik.
5. Cat gelap. Digunakan sewaktu proses kemasan untuk menonjolkan corak ukiran dengan memberikan kontras warna pada permukaan tembaga.
6. Relau. Digunakan untuk meleburkan tembaga sebelum dituangkan ke dalam acuan.
7. Acuan tanah liat. Digunakan dalam teknik acuan penghapusan lilin. Lilin yang telah dibentuk akan dilapisi dengan tanah liat sebelum proses pembakaran.
8. Kertas pasir. Digunakan untuk menghaluskan permukaan tembaga setelah proses ukiran selesai dan sebelum bermulanya proses penggilapan.
Petua
Menurut Allahyarham Encik Wan Abdullah bin Wan Muda, Adiguru Kraf Tembaga, terdapat beberapa petua dalam menghasilkan seni ukiran tembaga ini. Antaranya ialah hari yang dianggap elok untuk menuang tembaga adalah pada setiap awal bulan, iaitu antara satu hingga sepuluh hari bulan.
Selain itu, proses menuang tembaga juga tidak digalakkan sewaktu berlakunya kematian. Hal ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah seperti berlakunya kerosakan pada acuan atau kelewatan dalam proses melebur. Selain itu, unsur agama Islam juga turut diterapkan sewaktu seni ukiran tembaga dijalankan, iaitu dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi memudahkan urusan kerja.
Alatan Memasak
Pada zaman dahulu, alatan tembaga yang digunakan untuk memasak ialah periuk dan kuali. Alatan ini digunakan kerana lebih cepat panas, sekata dan mengelakkan makanan menjadi terlebih hangus.
Acuan kuih bakar
Acuan kuih tradisional seperti kuih bakar pada ketika itu menggunakan acuan tembaga. Acuan ini digunakan supaya kuih yang dibakar masak dengan sekata. Acuan ini juga boleh menghasilkan tekstur yang lembut di dalam dan sedikit garing di luar.
Dulang tembaga
Selain boleh dijadikan sebagai dulang makanan dan lauk-pauk, ia juga sering digunakan sebagai dulang hantaran semasa kenduri atau majlis perkahwinan. Dulang tembaga juga turut menjadi hiasan yang menarik semasa majlis perkahwinan.
Dulang tembaga ini juga dikenali sebagai ‘por’ oleh masyarakat Terengganu.
Warisan Seni Ukiran Tembaga pada Masa Kini
Terdapat beberapa syarikat yang masih giat mengusahakan seni ukiran tembaga. Antaranya ialah Syarikat Wanisma Craft &Trading, Tembaga Terengganu dan SA Unique Craft.
Syarikat-syarikat tersebut aktif memasarkan produk tembaga melalui platform dalam talian. Produk tembaga yang dihasilkan ialah alatan masakan tradisional, cenderamata, hiasan meja dan alatan perkahwinan.
Kesimpulan
Seni ukiran tembaga mampu dipasarkan secara global sebagai salah satu produk yang berkualiti tinggi kerana seni ukiran ini agak unik, mempunyai sejarah tersendiri dan berdaya saing di pentas antarabangsa.
Kredit foto: Nur Sabihah