Skip to content
Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Kearifan Tempatan > Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu
Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu
Kearifan Tempatan

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu

  • MAULANA AL-FIN BIN CHE MAN
  • 20 Mei 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 78
  • 5

Dalam lipatan sejarah dan warisan Melayu, senjata tradisional bukan sekadar alat mempertahankan diri, tetapi  menjadi cerminan kehalusan seni, status sosial, dan kearifan tempatan yang diwarisi turun-temurun. Ia bukan sekadar sebilah besi yang ditempa untuk kegunaan pertempuran, tetapi juga melambangkan keperibadian pemiliknya, keberanian seseorang pahlawan, serta adat dan kepercayaan sesebuah masyarakat. Setiap bilah yang ditempa mengandungi kisahnya yang tersendiri, merakamkan keberanian, kebijaksanaan, serta kemahiran tukang besi yang mahir dalam menghasilkan senjata yang bukan sahaja berfungsi tetapi juga sarat dengan nilai estetika.

              Senjata segenggam dalam pelbagai bentuk dan rekaannya, telah menemani bangsa Melayu dalam pelbagai peristiwa bersejarah, dari medan pertempuran, istana raja-raja, hinggalah ke kehidupan harian masyarakatnya. Setiap lekukan, ukiran halus pada hulu dan sarung, serta pemilihan bahan yang digunakan merupakan cerminan kepada kekayaan seni pertukangan dan daya cipta orang Melayu. Dalam genggaman seorang pahlawan, senjata ini menjadi alat ketangkasan yang menentukan hidup dan mati. Namun, di tangan seorang bangsawan, ia menjadi lambang kedudukan dan maruah. Bagi seorang wanita pula, sebilah rencong yang terselit di sanggulnya merupakan perlindungan yang senyap tetapi penuh makna.

          Keindahan senjata ini tidak hanya terletak pada reka bentuknya, tetapi juga pada falsafah yang terkandung di dalamnya. Ada yang menyatakan bahawa senjata Melayu bukan sekadar alat bertempur, tetapi juga cerminan nilai spiritual dan kepercayaan masyarakat yang mempercayai perlindungan bukan sahaja dalam bentuk zahir, tetapi juga dalam aspek maknawi. Oleh itu, setiap senjata yang dihasilkan bukan sahaja mempunyai fungsi praktikal tetapi juga menyimpan nilai budaya yang tidak ternilai harganya. Maka, mengenali dan memahami senjata segenggam ini bukan sekadar mempelajari sejarah, tetapi juga menghayati warisan ketamadunan Melayu yang kaya dengan makna dan simbolik yang mendalam.

          Dalam konteks ini, senjata segenggam memainkan peranan penting kerana reka bentuknya yang ringkas, tetapi memiliki fungsi yang pelbagai. Senjata ini mudah dibawa ke mana-mana, disisipkan di pinggang, disembunyikan dalam lipatan kain, atau diselit di celahan sanggul. Keupayaan untuk digunakan dengan pantas menjadikan senjata segenggam pilihan utama dalam pertahanan diri dan pertempuran jarak dekat. Sesetengah senjata segenggam turut diangkat sebagai simbol status dan kebesaran dalam adat istiadat tertentu. Berikut adalah beberapa jenis senjata segenggam yang menjadi lambang kehebatan seni persenjataan Melayu.

Rencong Aceh: Senjata Beridentiti Keislaman

Rencong Aceh bukan sekadar senjata, malah menjadi simbol keberanian, keagungan, dan keteguhan jati diri masyarakat Aceh. Keunikan rencong bukan hanya pada bentuknya yang melengkung seperti huruf ‘L’, tetapi juga pada ukiran yang sering menghiasi bilahnya. Senjata ini memiliki nilai spiritual yang tinggi kerana kebiasaannya rencong dihiasi dengan ukiran ayat-ayat suci seperti “Bismillah” dalam huruf Jawi, mencerminkan hubungan erat masyarakat Aceh dengan agama Islam dan keyakinan bahawa setiap perjuangan harus bermula dengan doa dan keberkatan Ilahi.

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang MelayuGambar 1:  Rencong Aceh.

            Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu                             Gambar 2:  Rencong Aceh  berbentuk tulisan “Bismillah”.                               

         Rencong juga merupakan simbol keperwiraan yang digunakan oleh para pahlawan Aceh untuk mempertahankan tanah air mereka daripada penjajah. Dalam sejarah, rencong menjadi lambang keteguhan perjuangan tokoh-tokoh besar seperti Laksamana Malahayati dan Sultan Iskandar Muda. Setiap pahlawan Aceh dikatakan memiliki rencong yang ditempa khas bagi mencerminkan status serta keperibadian mereka. Selain itu, rencong juga digunakan dalam upacara adat sebagai sebahagian daripada pakaian kebesaran, menunjukkan betapa pentingnya senjata ini dalam struktur sosial masyarakat Aceh.

                   Dari segi reka bentuk, rencong menyerupai tumbuk lada tetapi memiliki lekukan unik pada mata bilahnya. Panjang bilahnya sekitar 24 sentimeter dengan lebar 2 sentimeter. Sarungnya diperbuat daripada kayu berwarna hitam, sementara hulunya diperbuat daripada kayu atau tanduk berbentuk bengkok. Sarung rencong sering dihiasi dengan tembaga atau perak, menjadikannya bukan sekadar alat pertahanan, tetapi juga lambang kebanggaan. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kaum wanita Aceh sering menyembunyikan rencong dalam sanggul sebagai alat pertahanan diri, menjadikan senjata ini bukan sekadar milik lelaki, tetapi turut diwarisi oleh kaum wanita.

Sewar: Senjata Rahsia dalam Upacara Istiadat

Sewar ialah senjata pendek yang berasal dari Sumatera dan sering digunakan dalam upacara adat. Senjata ini unik kerana bilahnya berlekuk atau bengkok, dengan ketajaman yang mampu memberikan luka yang dalam dan sukar sembuh. Panjangnya kurang daripada 19 sentimeter dengan lebar sekitar 1.5 sentimeter, menjadikannya mudah disembunyikan dan sesuai untuk pertahanan diri secara rahsia.

               Hulu sewar diperbuat daripada kayu, gading, tulang atau tanduk dengan panjang sekitar 11 sentimeter. Keistimewaan sewar terletak pada sarungnya yang berbentuk seperti tangkai pistol. Reka bentuk ini bukan sahaja memberikan cengkaman yang baik kepada pemiliknya, tetapi juga membolehkan ia ditarik keluar dengan pantas apabila diperlukan. Sarung ini dihiasi dengan motif kepala burung serta ukiran pintalan gelang yang melambangkan kehalusan seni pertukangan Melayu. Sewar sering dikaitkan dengan kalangan bangsawan dan digunakan dalam istiadat tertentu.

Lading Terus: Tikaman Tajam yang Berbentuk Lurus

Lading terus merupakan senjata yang mempunyai dua bilah mata yang tajam, lurus, dan meruncing ke hujung. Bentuknya yang lurus menjadikannya berbeza daripada kebanyakan senjata Melayu lain yang cenderung melengkung. Panjang bilahnya antara 15 sentimeter hingga 22 sentimeter, dengan kelebaran sekitar 2.5 sentimeter hingga 4 sentimeter.

             Hulu dan sarungnya diperbuat daripada kayu, tulang, tanduk, atau gading. Lading terus sering digunakan dalam pertempuran jarak dekat kerana bentuknya yang memudahkan serangan pantas dan tepat. Kadangkala lading juga digelar sebagai lembing pendek kerana bentuk mata senjata ini menyerupai mata lembing. Senjata ini sering dikaitkan dengan pahlawan Melayu kerana keupayaannya dalam pertempuran memerlukan kelajuan dan ketangkasan.

Lawi Ayam dan Kerambit: Senjata Tersembunyi yang Berbahaya

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu

Gambar 3:  Kerambit.

Lawi ayam terkenal dengan bentuknya yang kecil dan melengkung, digunakan untuk menikam atau menghiris. Senjata ini mendapat namanya kerana bentuknya menyerupai kuku ayam, melambangkan ketajaman dan kepantasan serangan yang sukar dijangka. Saiznya yang kecil memungkinkan ia disembunyikan dengan mudah, menjadikannya senjata pilihan dalam pertarungan jarak dekat dan sering digunakan sebagai senjata rahsia oleh pahlawan dan pesilat.

                   Dalam seni mempertahankan diri Melayu, lawi ayam merupakan alat menyerang serta dianggap salah satu strategi licik dalam pergerakan yang lincah. Pengguna senjata ini sering kali menggunakannya dengan cengkaman khas pada jari, membolehkan mereka melancarkan serangan pantas ke arah sasaran yang paling terdedah seperti leher dan bahagian vital tubuh lawan. Selain itu, reka bentuknya yang melengkung membolehkan tikaman atau hirisan dilakukan dengan daya tarikan ke belakang, menyebabkan luka yang lebih dalam dan sukar sembuh.

             Lawi ayam digunakan oleh lelaki dan juga oleh wanita sebagai alat pertahanan diri. Dalam sejarah, ada kisah tentang wanita-wanita Melayu yang menyimpan senjata ini di dalam sanggul mereka sebagai perlindungan daripada ancaman musuh. Senjata ini juga sering dijadikan sebagai sebahagian daripada kelengkapan seorang pendekar, yang menggabungkannya dengan teknik silat yang rumit dan pergerakan yang licik.

            Mata bilahnya runcing dan tajam, panjangnya antara 11.5 sentimeter hingga 30.5 sentimeter, manakala lebarnya sekitar 2 sentimeter hingga 3.2 sentimeter. Hulunya diperbuat daripada kayu atau tanduk, dengan pangkal yang berlubang untuk memasukkan ibu jari bagi cengkaman lebih kukuh. Kerambit pula lebih kecil daripada lawi ayam dan sering digunakan dalam seni bela diri kerana kelajuan dan ketajamannya. Dalam silat Melayu, kerambit digunakan dengan teknik yang licik dan tidak terduga, menjadikannya senjata yang amat berbahaya di tangan pengamal yang mahir.

Beladau: Tikaman Melengkung yang Mengerikan

Beladau ialah sejenis senjata pendek yang berbentuk melengkung dan meruncing. Bilahnya tajam di kedua-dua belah sisi dan digunakan sebagai senjata tersembunyi. Bentuknya yang melengkung memberikan kelebihan kepada pemiliknya untuk membuat tikaman yang lebih sukar dielak.

Panjang bilahnya antara 17.5 sentimeter hingga 27.5 sentimeter dengan kelebaran sekitar 3.75 sentimeter hingga 6.25 sentimeter. Hulu dan sarungnya diperbuat daripada kayu atau tanduk, sering dihiasi dengan ukiran yang menarik. Selain menjadi alat pertahanan, beladau juga sering dijadikan lambang kebesaran bagi pemiliknya.

Badik: Senjata Serba Guna dalam Kehidupan Harian

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang MelayuGambar 4:  Badik Minang.

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang MelayuGambar 5:  Badik Terengganu.

Badik merupakan senjata yang popular dalam masyarakat Melayu, terutamanya di Semenanjung, Sumatera dan Sulawesi. Senjata ini bukan sahaja digunakan dalam pertempuran, malah turut menjadi alat serba guna dalam kehidupan harian seperti menyembelih binatang dan meracik sayur-sayuran.

                   Terdapat tiga variasi utama badik, iaitu badik Sulawesi, badik Jawa, dan badik Sumatera. Mata bilahnya lurus dan tajam di satu sisi, namun ada juga yang ditajamkan di bahagian belakang untuk memberikan lebih fleksibiliti ketika digunakan. Panjang bilahnya dianggarkan antara 3.2 sentimeter hingga 11.5 sentimeter, dengan hulu dan sarung diperbuat daripada kayu keras, gading atau tanduk. Badik mudah disisipkan di pinggang atau disimpan dalam kain sarung, membolehkan pemiliknya mencapai senjata ini dengan pantas ketika dalam keadaan genting.

Tumbuk Lada: Tikaman yang Berbisa

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang MelayuGambar 6 Tumbuk Lada.

Tumbuk lada berasal dari Sumatera dan terkenal dalam budaya Minangkabau serta Negeri Sembilan. Ia sering dikaitkan dengan golongan bangsawan berkedudukan rendah dalam upacara adat istiadat. Nama “tumbuk lada” dipercayai merujuk kepada kesakitan yang dirasai akibat tikaman senjata ini, diibaratkan seperti pedihnya memakan lada yang pedas. Ada juga cerita yang mentafsir bahawa nama “tumbuk lada” diperoleh daripada proses kulinari masyarakat Melayu. Penciptaan tumbuk lada penuh dengan manifestasi budaya dan falsafah Melayu. Hulu tumbuk lada yang menyerupai alu tumbuk sambal yang melambangkan keteguhan dan kegigihan. Dalam kehidupan harian, alu digunakan untuk menumbuk bahan masakan sehingga lumat yang menjadi cerminan terhadap usaha dan kesabaran dalam mencapai sesuatu tujuan. Perlambangan ini mengajarkan bahawa seorang pahlawan atau pemilik tumbuk lada harus memiliki daya tahan, kekuatan mental serta ketekunan dalam menghadapi cabaran hidup ibarat alu yang tidak gentar dalam tugasnya, seorang pejuang harus tetap teguh dalam menghadapi musuh.

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu   Gambar 7:  Hulu Tumbuk Lada.

Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu   Gambar 8:  Ukiran Buah Jering.

    Senjata Segenggam: Warisan, Fungsi dan Akal Budi Orang Melayu    Gambar 9:  Buah Jering.

                 Pada sarung tumbuk lada terdapat ukiran buah jering di bahagian bawah sarung. Buah jering sangat terkenal dalam masyarakat Melayu sebagai makanan yang tahan lama, berbau kuat, dan mempunyai rasa yang pahit dan unik. Ukiran buah jering pada bahagian bawah sarung tumbuk lada membawa maksud kecerdikan dan keteguhan peribadi. Dalam dunia persilatan dan kehidupan harian, seseorang itu harus tajam akal seperti bau jering yang kuat, serta mampu bertahan dalam pelbagai situasi, sebagaimana jering mampu bertahan lama dan sukar busuk. Ini juga melambangkan ketahanan seseorang pahlawan yang tidak mudah dikalahkan.

            Menurut cerita daripada Pak Mazin yang merupakan empu keris dari Bukit Chandan, Kuala Kangsar, mata bilah tumbuk lada yang direka berbentuk melengkung dan tirus lebih memudahkan tusukan. Bentuk tirus boleh menyebabkan darah tidak dapat keluar selepas ditikam lantas darah akan beku di dalam badan. Ada juga bilah tumbuk lada yang ditempa berlurah yang mampu menghasilkan tikaman yang berbeza. Lurah yang dibuat pada bilah tumbuk lada boleh menghasilkan ruang udara ketika menikam. Hal ini pula boleh menyebabkan darah lebih cepat keluar tanpa henti. Kedua-dua bentuk bilah ini boleh menghasilkan hasil tikaman atau tusukan yang berbeza. 

          Bentuknya menyerupai alat menumbuk lada, dengan hulu diperbuat daripada kayu atau tanduk dan sering dihiasi dengan ukiran yang menarik. Mata bilahnya agak melengkung dan sangat tajam, manakala bahagian belakangnya agak tebal dan meruncing ke hujung. Panjang bilahnya antara 15 sentimeter hingga 20 sentimeter, dengan lebar sekitar 2.5 sentimeter hingga 3.8 sentimeter. Selain digunakan untuk menikam, ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemotong dalam keadaan tertentu.

Kesimpulan

Senjata segenggam orang Melayu bukan sekadar alat pertahanan diri, tetapi menjadi warisan budaya yang tidak ternilai harganya. Setiap bilah yang ditempa bukan hanya secebis besi yang tajam, tetapi membawa makna mendalam tentang nilai keperwiraan, kehormatan, dan ketangkasan pemiliknya. Pada setiap ukiran dan tempaan bilah, tersimpan kisah keberanian dan strategi bertempur yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Senjata segenggam orang Melayu membuktikan bahawa pahlawan Melayu merupakan satu bangsa yang berani dan bukannya pengecut. Hal ini menyangkal kata-kata orang British dahulu yang menggelarkan senjata pendek Melayu sebagai “A Cowardly Weapon“. Hal ini demikian kerana pertempuran menggunakan senjata segenggam ini memerlukan pertempuran dalam jarak dekat dan berhadapan.

                        Keunikan setiap senjata terletak pada reka bentuknya yang berbeza-beza mengikut fungsi dan kegunaan. Ada yang digunakan dalam peperangan, ada yang dijadikan perhiasan dalam adat istiadat, dan ada juga yang berfungsi sebagai alat harian. Sesetengah senjata bahkan memiliki nilai spiritual, digunakan dalam upacara dan adat tertentu untuk melindungi pemiliknya daripada bahaya yang tidak kelihatan. Warisan ini harus terus dihargai dan dikaji agar generasi akan datang dapat memahami kekayaan sejarah dan budaya bangsa. Setiap bilah yang ditempa adalah simbol kebijaksanaan dan daya kreatif masyarakat Melayu yang harus dikenang dan dipertahankan.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (13) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (15) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (14) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

ڤسن عالم
Puisi Moden

ڤسن عالم

  • 5 Mac 2025
  • 4.6
WARUNG TENGKUJUH
Puisi

WARUNG TENGKUJUH

  • 20 November 2024
  • 127
  • 4.3
بهاس ڤرانتارا
Puisi Moden

بهاس ڤرانتارا

  • 5 Jun 2025
  • 5
Berangkat
Puisi

Berangkat

  • 5 Mei 2024
  • 221
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP