Puisi merupakan sebuah genre sastera yang terawal wujud di dunia ini. Sebagai contoh, pengkarya Eropah telah menggunakan puisi bagi mencipta epik yang bertajuk Iliad dan juga Odyssey. Bagi masyarakat Hindu pula, mereka telah menggunakan puisi untuk mencipta epik Mahabrata dan juga Ramayana.
Puisi bermaksud sebuah karangan berangkap yang terikat dengan peraturan-peraturan berdasarkan jenis puisi tersebut. Puisi terdiri daripada dua jenis, iaitu tradisional dan juga moden.
Harun Mat Piah pada tahun 1989 menegaskan bahawa puisi tradisional bermaksud suatu bentuk pengucapan yang luar biasa jika dibandingkan dengan pertuturan seharian kita serta menggunakan bahasa yang memfokuskan kebolehan intelektual dan juga logik. Puisi tradisional terdiri daripada beberapa jenis, iaitu pantun, nazam, gurindam, syair, seloka dan lain-lain.
Dalam Kamus Dewan (2005), animasi bermaksud suatu proses pembuatan untuk menjadikan sesuatu itu kelihatan hidup. Selain itu, animasi boleh ditafsirkan sebagai sebuah karya seni untuk menghidupkan gambar-gambar seperti kartun dan sebagainya.
Menurut Ibiz Fernandes (2001), animasi merupakan suatu proses merakam dan memainkan semula siri gambar yang statik bagi mencipta sebuah ilusi yang menampakkan bahawa gambar tersebut mempunyai pergerakan.
Animasi dibahagikan kepada dua, iaitu animasi 2D dan juga animasi 3D. Ciri animasi 2D merupakan gambar yang dikeluarkan hanya terlihat daripada bahagian hadapan sahaja, manakala animasi 3D pula gambarnya akan terlihat lebih berdimensi, iaitu mempunyai sisi lain yang dapat dilihat oleh mata kasar.
Terdapat pelbagai agensi dan syarikat animasi tempatan seperti Animonsta, Wau Production dan Les’ Copaque yang telah mula menerapkan elemen puisi tradisional Melayu dalam penghasilan siri animasi mereka. Hal ini dilihat sebagai sebuah usaha yang positif bagi memperkenalkan puisi tradisional Melayu kepada masyarakat lebih-lebih lagi kepada golongan muda.
Puisi tradisional merupakan salah satu daripada perkara yang sering disebut sebagai identiti bagi masyarakat Melayu selain keris. Puisi tradisional seperti pantun, gurindam, seloka dan sebagainya kini semakin kurang digunakan dalam kehidupan harian kita, dan generasi kini bahkan tidak mengenali jenis puisi tradisional yang lain selain syair dan pantun.
Siri animasi sudah tidak asing lagi dalam kehidupan rakyat Malaysia. Terdapat banyak studio animasi tempatan yang berjaya menempa nama di peringkat global dalam dunia animasi. Studio seperti Les’Copaque, Animonsta dan Wau Production telah menghasilkan siri dan filem animasi seperti Boboiboy, Pada Zaman Dahulu, Upin & Ipin dan Ejen Ali.
Penghasilan animasi yang berjaya menarik perhatian penonton bukan sahaja dalam negara bahkan hingga ke peringkat antarabangsa ini berjaya membuktikan bahawa animasi boleh dijadikan sebagai platform untuk memperkenalkan dan mempromosikan warisan dan budaya negara kita seperti puisi tradisional Melayu.
Terdapat pelbagai usaha menerapkan unsur puisi tradisional dalam siri dan filem animasi tempatan bagi memberikan pendedahan dan pendidikan kepada penontonnya tanpa mengira umur. Penerapan ini dapat dilihat melalui siri animasi terkenal, iaitu Upin & Ipin yang banyak menerapkan elemen puisi tradisional Melayu, iaitu pantun.
Penyampaian puisi tradisional Melayu dalam siri animasi tersebut dilihat melalui penerapan puisi tradisional Melayu melalui watak Jarjit Singh, satu watak yang terkenal dengan kebolehannya berpantun secara spontan tanpa mengira situasi.
Puisi Tradisional Melayu dalam Animasi Tempatan
Antara jenis puisi tradisional yang digunakan dalam siri animasi tempatan ialah pantun. Pantun merupakan sebuah puisi tradisional yang terawal dan juga tertua. Pantun berasal daripada masyarakat Melayu dan banyak digunakan dalam kehidupan harian mereka. Asal usul penciptaannya ialah sebagai alat untuk menyampaikan buah fikiran dan juga perasaan seseorang kepada individu yang lain. Menurut Za’ba (2002), pantun juga merupakan sebuah puisi tertua yang berasal dari Tanah Melayu dan kepunyaan masyarakat Melayu. Penerapannya dalam siri animasi merupakan jenis puisi tradisional yang paling kerap digunakan dalam siri animasi tempatan. Antara contoh penerapan puisi dalam siri animasi tempatan ialah syair. Menurut Muhammad Mandur (1948), syair merupakan sebuah puisi tradisional Arab yang berlagu. Syair juga merupakan sebuah puisi Arab yang mempunyai rangkaian kata dan mengandungi campuran wazan dan qafiah bagi memberikan gambaran sesebuah idea yang ingin disampaikan.
Kemunculan syair dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional dipengaruhi oleh kedatangan Islam ke Tanah Melayu ketika itu. Puisi tradisional yang berasal daripada Parsi ini telah wujud sejak abad ke-15 lagi di Melaka. Syair merupakan sebuah puisi yang berbentuk terikat. Oleh itu, sebuah syair yang bagus perlulah memenuhi ciri-ciri seperti, mempunyai empat baris dalam satu rangkap, bilangan suku kata dalam setiap barisnya sama, iaitu antara lapan hingga 12 suku kata dalam satu baris syair, rima akhir a-a-a-a, mempunyai jeda di antara setiap baris syair dan pendeklamasian syair hendaklah secara berlagu.
Gurindam juga turut diterapkan dalam siri animasi tempatan. Gurindam yang berasal daripada bahasa Sanskrit yang menerusi bahasa Tamil (India) yang disebut kirindam, diertikan sebagai perumpamaan.
Walaupun gurindam berasal daripada bahasa asing, namun gurindam telah menapak lama dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Gurindam mempunyai bentuk yang tersendiri dan berbeza daipada keistimewaannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan gurindam dalam bahasa Sanskrit.
Gurindam berfungsi untuk memberikan pengajaran dan panduan kepada orang ramai. R. J. Wilkinson (1969) menyatakan bahawa gurindam merupakan sebuah puisi tradisional Melayu yang berasal daripada bahasa Tamil, iaitu dari India merupakan sebuah rangkap kata-kata yang dijadikan sebagai bidalan ataupun pepatah.
Kaedah Penerapan Puisi Tradisional dalam Animasi
Terdapat beberapa kaedah penerapan puisi tradisional Melayu yang telah digunakan oleh syarikat animasi tempatan bagi menyertakan puisi tradisional Melayu dalam siri animasi tempatan.
Antaranya termasuklah mengintegrasikan puisi dalam dialog watak. Kaedah ini merupakan suatu teknik yang mampu untuk memberikan pengalaman baharu dalam naratif animasi. Melalui konteks ini, puisi digunakan dalam dialog sesama watak secara halus dan kreatif.
Puisi tradisional Melayu seperti pantun, syair, gurindam mahupun seloka akan digunakan dalam dialog antara watak ataupun secara monolog dalam animasi.
Pengintegrasian puisi dalam dialog watak animasi juga dapat digunakan bagi menunjukkan emosi dan perasaan watak dalam cerita animasi tersebut. Kaedah ini juga dapat menunjukkan perasaan dan emosi watak dalam cerita yang digunakan bagi menunjukkan situasi sama ada watak tersebut teruja, sedih, marah ataupun gembira dalam sesebuah sketsa.
Sebagai contoh, dalam salah satu episod daripada siri animasi Upin & Ipin musim ketujuh, iaitu episod “Cerita Kami”. Dilihat bahawa watak ayah kepada watak Jarjit Singh menggunakan pantun bagi menunjukkan emosinya yang teruja dan bahagia setelah melihat persembahan anaknya di tadika tersebut. Ayahnya berpantun seperti berikut;
Makan roti sapu kaya,
Itulah anak saya.
Melalui pantun tersebut, dapat dilihat bahawa penyampaian emosi melalui puisi digunakan bagi menerapkannya dalam animasi tersebut. Emosi gembira dan teruja yang digambarkan melalui watak ayah Jarjit Singh setelah bangga melihat persembahan anaknya bersama-sama kawan-kawan.
Seterusnya, puisi turut diterapkan dalam animasi dengan menokohkan watak dengan puisi tradisional Melayu. Kaedah ini menggunakan watak-watak dalam sesebuah animasi itu untuk diberikan satu peranan yang khusus dan menjadikannya sebagai sebuah simbolik ataupun perkara yang sinonim dengan watak itu sahaja. Kaedah ini akan menetapkan satu atau dua watak yang akan kerap memberikan puisi tradisional Melayu seperti pantun, syair, seloka dan sebagainya di sepanjang berlangsungnya siri animasi tersebut.
Kaedah penggunaan puisi sebagai penokohan watak telah digunakan oleh beberapa siri animasi tempatan. Sebagai contoh, watak Jarjit Singh dalam siri animasi Upin & Ipin. Watak tersebut telah menjadi sinonim dengan kebolehannya untuk berpantun secara spontan tidak mengira masa, tempat dan situasi yang dilaluinya.
Watak kedua yang digunakan bagi mengintegrasikan puisi dalam penokohan watak dapat dilihat melalui siri animasi Boboiboy Galaxy: Sori, iaitu pada watak Tuan Guru Gaharum.
Melalui watak Tuan Guru Gaharum, beliau digambarkan dengan kemampuannya untuk berpantun dan sering menggunakan pantun dalam dialog untuk bercakap dengan watak-watak yang lain.
Kesan Penerapan Puisi Tradisional Melayu dalam Animasi
Penerapan puisi tradisional Melayu dalam animasi tempatan telah berjaya memberikan kesan yang positif melalui pelbagai aspek, antaranya melestarikan warisan dan budaya.
Dengan memasukkan puisi tradisional Melayu ke dalam siri animasi tempatan, sedikit sebanyak dapat membantu untuk memastikan bahawa elemen warisan budaya masyarakat Melayu ini kekal hidup dan generasi muda akan datang mengetahui mengenainya.
Hal ini penting untuk mengekalkan identiti budaya masyarakat Melayu sendiri selain dapat memberikan pendedahan yang lebih baik kepada penonton mengenai sejarah serta adat tradisional yang terkandung dalam puisi tradisional Melayu. Langkah ini juga diyakini dapat meningkatkan penghayatan bahasa dan sastera, khususnya dalam kalangan generasi muda. Penerapan puisi tradisional Melayu dalam animasi tempatan juga dapat menggalakkan masyarakat supaya lebih menghargai bahasa Melayu. Perkara ini seterusnya dapat menaikkan semangat para penonton, lebih-lebih lagi golongan muda agar bangga dengan bahasa dan sastera negara kita.