Skip to content
Basuh Hati dari Suci Hujan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Basuh Hati dari Suci Hujan
Basuh Hati dari Suci Hujan
Cerpen

Basuh Hati dari Suci Hujan

  • AHMAD SAFARMAN BIN DOLLAH
  • 5 Oktober 2025
  • DBP Wilayah Timur
  • 5

DI pedalaman Jeli yang kelmarin, seorang laki-laki memakai selipar hitam. Memandang ke arah buih-buih air, menggelegak dan memercik. Di celah-celah batu, diiringi cuaca gelap dan mendung.

Pada suku petang itu, Marwin masih memerhati. Tetap terukir senyum di bibirnya. Sesekali memandang ke arah sebuah gunung penuh sejarah. Gunung Reng, gunung penuh rahsia. Begitu juga hati Marwin. Teguh erat menggenggam tugu kesetiaan.

Kelihatan orang ramai berpusu-pusu melalui sungai itu. Membasahkan kaki. Meredah arus sungai. Mandi dengan riang. Basah bersama kenikmatan. Semua itu tidak mampu menarik perhatian Marwin. Matanya masih lagi berkerdipan. Hatinya berada di sebuah jalan yang bersimpangan. Degup jantung semakin laju. Berombak ke dasar lautan kenangan di musim resah. Barangkali.

“Di sini rupanya kau,” suara yang agak kuat menjerkah Marwin dari belakang. Terpacak, tersengih menampakkan gigi dan senyuman manis Kamarul.

“Sudahlah, jangan kacau aku,” balas Marwin, ingin segera pulang. Geram saat mencari kedamaian munculnya si pengacau.

Marwin memandang ke atas Gunung Reng dengan wajah yang dihembus angin. Ramah mencumbuinya dengan kesejukan dan kesegaran. Hijau bumi Tuhan.

“Kau tahu tak, di belakang Sekolah Batu Melintang ada orang jumpa emas!” ujar Kamarul, membuatkan kaki Marwin terpacak tidak melangkah.

“Biar betul?” Marwin bertanya sambil mengerutkan wajah.

Bicara tentang emas, siapa yang tidak ingin tahu. Soal nilai dan simbol kekayaan.

Setahu Marwin, emas banyak di kawasan sungai. Ada aktiviti mendulang. Masakan ada emas di dalam hutan? Tetapi dulu dia pernah mendengarnya. Sungai yang dikelilingi bukit bukau. Emas ditemui oleh seorang petani tua yang gigih. Namanya Pak Mail. Entahlah. Jumpa betul atau tidak.

Daripada cerita mulut ke mulut, mereka memperkatakan tentang Pak Mail dan penemuan emas. Kata si pembawa cerita, suatu hari Pak Mail sedang membersihkan kebun untuk menanam ubi kayu. Cangkul Pak Mail terkena sesuatu yang keras. Dia menemui seketul batu. Dia menggali lebih dalam. Ternyata ada kilauan emas yang bercahaya kekuningan. Rupanya ada ketulan emas di balik lumpur.

“Apa kau berangan? Bermimpi di siang hari jadi orang kaya ke?” Kamarul mengejutkan lamunan Marwin sekali lagi.

“Sudahlah, aku ingin pulang,” balas Marwin berjalan dalam hujan yang mula membasahi kulitnya.

Marwin meninggalkan Kamarul yang tersengih-sengih dari tadi. 

Tarikan pemandangan gunung menarik bebola mata Marwin. Dia memandang ke puncak Gunung Reng sekali lagi. Di hujungnya awan masih perawan. Kepalanya ligat memikirkan emas yang dijumpai oleh lelaki yang dimaksudkan. Biarkan. Biarkan lelaki itu mabuk menemui lubang emas. Penoreh getah sepertinya hanya merindukan panasnya kemarau di sebalik pepohon getah.

“Aku masih mabuk dalam mimpi. Mimpi hendak jadi orang kaya,” fikirnya diam-diam.

Membiarkan hujan lebat mula menikam, bak ngilu sembilu. Namun, otaknya ligat memikirkan tentang lubang emas itu. Dia masih lagi teringat bicara Kamarul. Jumpa emas, jumpa masa depan. Memiliki emas ibarat menemui cahaya dalam kegelapan. Ibarat bumi yang kemarau ditimpa setitis hujan.

Hujan semakin lebat. Marwin tidak ingin pulang. Sebaliknya dia menuju jalan belakang sekolah. Terus melalui kebun pisang dan nanas. Meredah kebun kelapa sawit. Melihat deretan pepohon kelapa.

“Mana lubang emas ini?” bisiknya dalam hati.

Mata Marwin melilau mencari lubang tersebut. Bibirnya mula menggeletar kesejukan. Hati pula semakin berdebar. 

Dia melalui lalang-lalang miang. Pedulikan. Tapak jalan akan dicari. Mudah untuk menemui lubang. Fikirnya, tidak ada sesiapa yang datang mencari. Hujan turun semakin lebat. 

Benar. Dia menemui sesuatu yang asing. Ada selut yang meninggalkan jejak. Marwin mengekori rapat. Masuk lagi ke dalam kebun pisang, melalui jalan menuju ke sungai.

Dia menemui lubang tersebut. Inikah lubang yang dimaksudkan Kamarul? Dia mendongak. Ada kesan telah digali. Luasnya sedepa. Mungkin baru digali.

Marwin duduk betul-betul di tepi lubang. Dipandangnya ke arah lubang tersebut. Kedalamannya mungkin dua ketinggian manusia. Dihendap dan diintainya lagi. Kalau emas, mesti ada sinar. Mesti nampak kekuningan.

“Tapi lupa pula aku nak tanya Kamarul, siapa yang menemui emas ini sebenarnya?” fikirnya sendirian.

“Kau ingin mencuri emas aku?” suara garang seseorang mengejutkan Marwin.

Jerkahan kuat daripada mulut Pak Lang Mawi. Misainya tebal dan jelingannya bulat. Dia mencekak pinggang.

“Tidak. Aku hanya ingin melihat sahaja,” balas Marwin, ada sedikit getar di bibirnya.

“Pergi kau sekarang, jangan ceroboh lagi kawasan ini!” Pak Lang Mawi menghalau Marwin.

“Kita pulang sama-sama. Hujan makin lebat. Bahaya sorang-sorang di hutan,” Marwin cuba mengambil cakna.

“Tidak! Aku ingin berada di sini! Kau yang pulang!” balas Pak Lang Mawi seakan-akan menghalau Marwin.

Marwin tetap berkeras. Tetap ingin menjaga keselamatan orang kampung. 

“Bahaya musim sekarang,” balas Marwin lagi.

Marwin tetap mengukuhkan hati. Hujan musim tengkujuh bukan hujan sembarangan. Gerimis tetap hadirkan taufan. 

“Pergi dari sini. Jangan beritahu orang kampung. Rahsiakan. Balik diam-diam. Jangan jadi mulut longkang!” kata Pak Lang Mawi lagi.

Fikir Marwin, Pak Lang Mawi sudah mati dalam angan.

“Pulang sekarang!” Pak Lang Mawi menghalaunya sambil mengangkat parang panjang.

“Kau pun pulang!” Ada suara ketiga kedengaran.

Marwin dan Pak Lang Mawi menoleh serentak ke belakang. Kelihatan Pak Mazlan berdiri bersama-sama anaknya, Ikmal dan Adam. Di tangan masing-masing memegang cangkul.

“Tanah itu milik aku!” jerkah Pak Mazlan berkata dengan muka bengis dalam hujan yang turun mencurah-curah.

“Emas ini milik aku. Aku yang jumpa!” tetap Pak Lang Mawi berkeras. Pedulikan. Tidak ada orang yang berhak merampas miliknya. Biarpun berpisah nyawa daripada badan.

“Mana boleh. Ini tanah ayah. Ayah berhak ke atas emas ini!” balas Adam kuat, melawan bunyi hujan.

“Betul. Ini tanah kami. Emas ini menjadi milik kami!” Ikmal tetap laparkan kuningnya emas.

“Ini tanah bukan siapa-siapa. Ini tanah yang ditinggalkan oleh jurai keturunan Pak Aslam,” Pak Lang Mawi tetap tidak berpuas hati.

“Tanah ini milik aku. Dari semalam lagi kau sangat degil. Pulang sekarang!” jerkah Pak Mazlan.

“Sudahlah. Tidak guna bertengkar. Mari kita pulang. Hujan makin menggila ni. Esok sahaja!” Marwin meninggikan suara. 

Daripada mulut, bertukar pula ke pertelingkahan. Marwin masuk ke tengah-tengah cuba meleraikan kedua-dua pihak.

“Sudah!” jerkah Marwin menampakkan urat leher.

Namun Pak Lang Mawi terus memberikan penumbuk sulung ke arah Pak Mazlan. Berpinar biji mata Pak Mazlan.

“Berhenti semua!” Ketua Kampung, Pak Teh Shamsul muncul tiba-tiba bersama-sama lima orang pemuda kampung. Dia cuba menenangkan keadaan. 

Pergaduhan itu terlerai. Orang kampung semakin ramai berkerumun. Pak Teh Shamsul mengarahkan agar orang ramai bersurai. 

“Kawasan harimau dan gajah. Mahu mati dipijak gajah atau ditelan harimau?” balas Pak Teh Shamsul lagi.

Mereka perlahan-lahan pulang. Sejuk hujan mula terasa, sehingga ke tulang sumsum.

Dalam perjalanan, Kamarul yang datang bersama Pak Teh Shamsul tadi menegur Marwin.

“Aku ingat kau dah pulang. Rupanya kau datang,” sapa Kamarul.

“Aku tidak kebulur emas atau harta. Yang aku hairankan kenapa mereka yang awalnya baik mula bertelagah?” balas Marwin.

“Sebab emas ada nilainya,” ujar Kamarul.

“Bagaimana dengan nilai persahabatan?” Marwin membulatkan mata memandang Kamarul.

“Tok bomoh, Pak Long Rizal dah beritahu. Dah tilik. Lubang itu ada emas. Tinggi nilainya,” tambah Kamarul.

“Emas hak kerajaan,” Marwin mula bercakap tentang hak.

“Siapa jumpa dia dapat. Buat senyap sudah,” Kamarul memandang enteng. Lagaknya mahu bergaduh dengan Marwin pula.

Marwin malas bertekak. Meninggalkan Kamarul dengan harapan bahawa penangkap ikan sungai itu juga tidak ke belakang sekolah semula.

Kisah penemuan emas oleh Pak Mail begitu cepat tersebar. Sebab itulah lubang itu sekelip mata didatangi orang kampung. Melihat sendiri lubang tersebut, penuh angan yang menggunung. Emas mampu mengubah nasib diri. Penemuan emas, penemuan yang membahagiakan. Orang kampung tidak perlu lagi terbongkok-bongkok mendulang emas dari pagi hingga ke petang.

Penemuan emas bagi sesetengah orang mengajarkan kita bahawa rezeki tidak semestinya datang dalam bentuk yang senang. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, tetapi juga dalam bentuk peluang.

Apa yang Marwin mahukan mereka sedar ialah usia senja merupakan salah satu nikmat rezeki yang dikurniakan Tuhan. 

Malam itu hujan turun kian lebat. Marwin tidak dapat tidur lena. Yakin penduduk kampung juga mula resah. Pasti banyak tempat ditenggelami air. Hujan terus mencurah sampai ke pagi.

Keesokan harinya, penduduk kampung terus menerjah ke kawasan belakang sekolah. Sesuatu yang mengejutkan telah berlaku. Kawasan tersebut telah ditenggelami banjir. Kebun pisang telah menjadi lautan banjir. Lubang emas telah ditutup oleh selut dan lumpur. Banjir yang entah bila akan menemui jalan surutnya.

Pak Lang Mawi dan Pak Mazlan diam seribu bahasa. Orang-orang kampung juga hampa. Lumpur dan semak samun dari bukit yang ditarah begitu laju menghentam kebun pisang. Yang disaksikan hanyalah kehampaan.

“Sudahlah. Elok balik, ambil pukat, pergi tangkap ikan,” Pak Teh Shamsul memberikan arahan dan meleraikan penduduk kampung yang berkumpul.

“Kau Mawi, bawa cangkul pergi gali ubi kayu tenggelam dek banjir,” sindir Pak Mazlan.

“Kau pun jangan laparkan emas sangat,” balas Pak Lang Mawi geram.

“Kawasan ini semakin lama semakin tenggelam. Hanyut bersama emas kau tu. Hanyut bersama angan-angan,” Pah Teh Shamsul menyambung sindirannya.

“Ini semua kerja Tuhan. Tiada siapa boleh sekat. Sejuk, panas, ribut dan hujan. Gempa bumi, banjir dan kilat,” balas Marwin kepada semua.

Kisah tentang emas dan konflik yang muncul menemui titik noktah. Semua harus sedar. Kerja keras, kejujuran dan kesyukuran akan membawa keberkatan dalam hidup. Lupakan tentang persengketaan. Biasalah. Tiada patah yang tidak tempang. Paling penting jadikan sempadan.

Di bawah rintik hujan, Marwin terus menggenggam semua kenangan. Lemparkan ke dada langit. Biar sejuk dan mendingin beku. 

Bicara Marwin kepada Ilahi, sama seperti bicara hujan kepada tanah. Usah ditanya tentang lebatnya hujan, sepatutnya ditanya tentang apa yang akan tumbuh.

Bilangnya kepada hujan, “Tunggu aku bersama suburnya tanah. Kita sepakat basuh hati dari suci hujan.”

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (17) #komsas (2) #penulis (6) #penulisbaharu (18) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (16) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (11) dbpcawangansabah (8) dbpcawangansarawak (21) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

KEPALA MEREKA: SEGI EMPAT
Cerpen

KEPALA MEREKA: SEGI EMPAT

  • 5 Januari 2025
  • 128
  • 4.7
Ibuku
Cerpen

Ibuku

  • 19 April 2024
  • 396
  • 4.5
Tengkujuh Tak Pernah Mungkir
Puisi

Tengkujuh Tak Pernah Mungkir

  • 5 April 2025
  • 1135
  • 4.3
Igauan Kala Hujan Tadi
Puisi

Igauan Kala Hujan Tadi

  • 7 Julai 2023
  • 510
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP