DI dalam sebuah peti sejuk, di sebuah rumah. Peti sejuk itu biasanya dipenuhi oleh lauk-pauk dan minuman-minuman dingin. Sejak dua hari yang lalu dikosongkan demi menempatkan kek-kek raya.
Pada tiga tingkat tempat penyimpanan, setiap tingkat diletakkan dengan kek dengan jenis-jenis yang berbeza. Di tingkat paling bawah yakni ruang di atas laci penyimpanan sayur, ada dua biji kek tradisional. Di tingkat tengah, ada dua biji kek moden. Tingkat teratas pula, masih kosong.
“Mentang-mentang kita kek lama, kita diletakkan ke bahagian paling bawah…” rungut Kek Belacan.
“Syukur, mereka tak pernah lupakan kita. Tiap-tiap tahun keluarga kita masuk ke peti sejuk ni…” sahut Kek Hati Parek.
“Tapi kita kan kek tradisional? Kek-kek lain patut hormat pada kita. Jikalau kita diletak di bawah, samalah dia orang akan pijak kepala kita…” marah Kek Belacan.
“Hish, kita dekat sini bukan untuk bersaing tapi untuk pastikan tetamu tuan rumah ni gembira dengan hidangan yang dia orang sediakan…” nasihat Kek Hati Parek.
“Sebab itulah, jangan letak kita di bawah! Resepi kita sudah dijaga turun-temurun. Jikalau tuan rumah lupa nak hidangkan kita macam mana? Rugi saja nanti…” pertikai Kek Belacan.
Tak mungkinlah tuan rumah ni lupa. Susah-susah dia cari kita yang masih mengekalkan keaslian rasa ni. Janganlah risau!” pujuk Kek Hati Parek.
“Jikalau betul tuan rumah ni lupa nak hidangkan kita, aku merajuk. Tahun depan, aku tak akan bagi keluarga aku datang sini. Aku pastikan pembuat kek sibuk siapkan tempahan orang lain saja…” ugut Kek Belacan.
Sementara itu, di tingkat dua, dua loyang kek juga sedang berbincang sesama sendiri. Berbeza dengan perbualan di tingkat bawah yang agak tegang, suasana di tingkat tengah lebih ceria.
“Eh, makin lama makin macam-macam perisa kau ni ya?” tegur Kek Lumut Keju.
“Kau pun apa kurangnya? Dulu hijau saja, sekarang dah berkeju…” usik Kek Batik Pandan.
“Maklumlah, zaman moden, takkan kek raya tak moden sekali, kan?” kata Kek Lumut Keju.
“Sekurang-kurangnya, ada pembaharuan tiap-tiap tahun. Tahun lepas tambah satu perisa, tahun ni tukar perisa yang lain pula…” sokong Kek Batik Pandan.
“Tahun ni saja, keluarga aku dah berlapis-lapis. Aku ni dua lapis saja. Anak saudara aku, tiga lapis. Cucu saudara aku pula dah empat lapis. Hm, meriah betul di dapur tempahan hari tu…” cerita Kek Lumut Keju.
“Keluarga aku belumlah sampai bercucu-cicit ni tapi aku dan adik-beradik aku macam-macam rasa. Abang aku keju, kakak aku karamel, adik aku strawberi. Sepupu aku pula coklat kacang, coklat gelap dan red velvet. Lepas tu, aku baru tahu yang aku ada saudara jauh perisa teh tarik…” beritahu Kek Batik Pandan.
“Ada-ada saja idea pembuat kek ni, ya?”komen Kek Lumut Keju.
“Jikalau tak kreatif, tak majulah perniagaan mereka…” balas Kek Batik Pandan.
Kedua-dua mereka ketawa kecil. Hari raya selalu membuat mereka teruja. Mereka tidak sabar untuk melihat reaksi tetamu yang mencuba inovasi mereka. Adakah para tetamu akan menyukainya atau mungkin belum terbiasa dengan rasanya?
“Agak-agak kek apa ya yang akan tuan rumah ni letak di tingkat atas?” tanya Kek Hati Parek.
“Sepatutnya, kita yang di situ!” keluh Kek Belacan.
“Aku tak sabar nak tengok warnanya. Berlapis atau satu warna saja?” ujar Kek Lumut Keju dari tingkat tengah.
“Betul tu! Perisa keju, coklat, buah-buahan atau perisa yang lain lagi, ya?” sahut Kek Batik Pandan.
Pintu peti sejuk dibuka. Wajah tuan rumah tampak berseri-seri. Senyumnya lebar ibarat baru mendapat sesuatu yang sudah lama diimpi-impi. Sebiji kek bersaiz loyang 8 x 8, dia daratkan kemas ke tingkat paling atas ruang penyimpanan peti sejuk itu. Satu tatapan redup tanda lega, menjadi hadiah kepada seisi peti sejuk sebelum dia menutup rapat peti sejuk itu.
“Hai, awak! Siapa nama awak?” sapa Kek Lumut Keju.
Penghuni baharu itu tidak menjawab.
“Daripada baunya, macam bau kek tradisional kat tingkat bawah tu…” sambung Kek Lumut Keju.
“Oh, ya? Keluarga kita jugalah tu, Belacan.” Kata Kek Hati Parek, bernada teruja.
“Jikalau betul begitu, aku tak kisah. Yang penting kek tradisional masih menjadi kek yang dihormati…” balas Kek Belacan.
“Apa? Kek tradisional? Tolong sikit! Aku ni kek mahal, tahu?” jerkah Kek Tular dengan suara berat sebelum ketawa terbahak-bahak.
Ketawanya itu sedikit menjengkelkan. Membuatkan kek-kek yang lain menjadi tertanya-tanya. Mana tidaknya, sesi perkenalan diri pun belum selesai, ditambah pula dengan respons seumpama itu.
“Mahal sangat ke harga kau tu?” soal Kek Belacan, geram.
“Mestilah! Harga aku setara dengan gaji minimum rakyat Malaysia, tahu?” jawab Kek Tular.
Kek-kek lain tercengang dalam rasa sebal. Mereka fikir harga mereka yang semakin lama semakin naik, sudah cukup mahal. Rupa-rupanya masih ada kek dengan harga yang tidak masuk akal.
“Aku bukan kek biasa-biasa. Bahan-bahan untuk membuat aku, berkualiti tinggi. Tengoklah aku ni! Isi aku lembut dan rasa aku lebih lazat daripada kek-kek biasa…” beritahu Kek Tular, bangga.
Kek-kek lain mendongak ke arah Kek Tular. Mereka ingin tahu sejauh mana kebenaran kata-kata Kek Tular itu. Adakah seistimewa itu hingga ia begitu berani menyombongkan diri kepada kek-kek yang lebih senior?
Kek Tular kelihatan sangat mewah dengan lapisan-lapisan sempurna. Warnanya gelap namun berkilat, hasil adunan coklat berkualiti tinggi. Coklat dengan kandungan lemak koko yang lebih tinggi daripada coklat biasa. Ia tampak kaya dengan lapisan lembut yang diratakan oleh krim keju yang berasal dari Itali. Krim keju ini menawarkan rasa yang ringan dan sedikit manis. Teksturnya kelihatan lembab dan gebu yang dipengaruhi oleh mentega tulen. Mentega yang pastinya bukan sebarang mentega, mentega yang digunakan adalah mentega yang memiliki kurang kandungan air tetapi lebih banyak lemak susu. Dari segi penampilan, Kek Tular memberi gambaran tentang rasa yang kompleks dan halus hingga berupaya untuk menggugah selera dengan keindahan yang ditonjolkan pada setiap lapisannya.
“Jikalau aku guna mentega tulen, harga aku pun mahal jugalah, kan?” tanya Kek Batik Pandan.
“Aku pun nak cuba guna keju dari Itali jugalah nanti.” Cadang Kek Lumut Keju.
Kek Tular ketawa lagi.
“Apa yang lucu sangat? Bahan-bahan mahal belum tentu sedap dimakan!” marah Kek Belacan semakin beremosi.
“Eh, Si Belacan ni! Tumbuk buat sambal sajalah!” ejek Kek Tular.
“Berlagak!” kutuk Kek Lumut Keju.
“Oi, Lumut! Bukan kau ni ke yang selalu buat lantai jadi licin? Ee, berkerak-kerak! Tak seleralah aku tengok!”
Persenda Kek Tular.
“Inilah akibatnya jikalau letak kek baharu di tingkat atas! Tak beradab sungguh dengan kek lain!” bebel Kek Batik Pandan.
“Maaf ya, Batik! Dalam banyak-banyak kek dalam peti sejuk ni, kau saja yang nampak cantik…” puji Kek Tular.
“Betul ke?” Tanya Kek Batik Pandan, teruja.
“Walaupun kau pun hijau macam lumut tapi kau nampak lebih cantik. Kau tak teringin nak jadi kain kemban orang lepas mandi ke?” usik Kek Tular sebelum menyambung ketawanya.
“Tak guna kau!” jerit Kek Batik Pandan, berasa dipermainkan.
“Sudah! Jangan bergaduh! Kita semua sedap. Tetamu-tetamu yang datang nanti, seleranya berbeza-beza. Kita pasti ada peminatnya masing-masing.” Pujuk Kek Hati Parek.
“Nanti kita akan tengok, kek mana yang paling menjadi pilihan,” kata Kek Tular.
“Baik, kek yang paling cepat habis yang akan menang!” cabar Kek Belacan.
Hari kemenangan untuk seluruh umat Islam pun tiba. Budaya kunjung-mengunjung antara sanak-saudara serta rakan-taulan dimeriahkan lagi dengan hidangan yang menyelerakan. Lauk-pauk, kuih-muih dan minuman yang beraneka ragam, menjadi penyeri suasana di samping hiasan rumah yang cantik-cantik.
Sejak pagi hari raya pertama, tuan rumah sudah mengeluarkan kek-kek dari peti sejuk untuk dipotong. Selepas beberapa hari, tubuh kek yang asalnya bersaiz loyang 8 x 8, semakin mengecil.
Kek Belacan sudah terpotong tiga daripada empat bahagian. Kek Hati Parek juga tersisa satu daripada empat bahagian. Kek Lumut Keju masih bersaiz setengah dari saiznya yang asal. Kek Batik Pandan juga bernasib sama.
“Oi, Kek Tular! Kenapa tuan rumah tak potong kau untuk dihidang? Tak ada siapa yang nak makan ke?” sindir Kek Belacan.
“Hari tu kan tuan rumah ada potong sikit,” bela Kek Hati Parek.
“Tiga potong saja. Itu pun untuk tuan rumah, anak dia dengan orang gaji dia.” Kata Kek Lumut Keju.
“Tak sedaplah tu, sebab tu tuan rumah tak nak hidang untuk tetamu…” persenda Kek Batik Pandan.
Kek Tular sangat tersinggung. Dia yakin bahawa rasanya tidak mungkin mengecewakan. Pun begitu, dia juga hairan, kenapa tuan rumah membiarkannya terus berada di dalam peti sejuk sahaja?Tidakkah tuan rumah teringin untuk mempamerkan kek semahal dirinya?
Sedang kek-kek itu membanding-bandingkan nasib antara satu dengan yang lain, tuan rumah kembali membuka pintu peti sejuk. Satu demi satu kek dikeluarkan dan dipotong termasuk Kek Tular. Mereka kemudiannya disusun di dalam bekas kek yang sama. Setelah semuanya siap, kek-kek itu dibawa ke ruang tamu sebagai hidangan rumah terbuka.
“Siapa kata aku tak sedap? Kau orang tengok, tuan rumah sengaja simpan aku untuk majlis yang penting. Bukan macam kau orang, letak mana-mana pun sama saja. Tak berkelas!” hujah Kek Tular lalu ketawa.
“Berkelas ke tak berkelas ke, kau tetap dalam bekas yang sama dengan kami…” bidas Kek Belacan.
Kesombongan Kek Tular semakin memuncak saat potongan-potongan tubuhnya berkurang dengan cepat. Semua tetamu begitu teruja untuk mencuba sendiri rasa kek yang mahal lagi terkenal itu.
“Mama, nak lagi! Nak lagi!” pinta seorang budak kecil berbaju Melayu jingga.
“Tadi kan mama dah bagi…” tolak seorang wanita lalu menggendong paksa budak lelaki itu pergi.
Suara tangisan budak lelaki itu memenuhi ruang tamu rumah. Dia tidak puas mencicipi potongan kek yang dibahagi dua oleh ibunya. Ibunya pula tidak berani mengambil potongan kek itu lagi kerana memikirkan akan harganya yang mahal. Fikirnya, mungkin masih ada tetamu lain yang belum mencuba kek itu dan dia tidak mahu mementingkan diri.
Keadaan itu membuat Kek Tular berasa bersalah. Ia memang bangga akan kualiti yang dia miliki tetapi ia tidak suka keadaan seperti ini. Ia mahu kehadirannya memberi kegembiraan dan bukannya mengundang tangisan.
“Kasihan, adik tu! Tak apa, adik. Makanlah saya saja. Makan banyak-banyak pun tak apa…” bisik Kek Batik Pandan.
“Salah aku ke?” soal Kek Tular dengan nada bingung.
“Jadi sedap tu tak salah. Jadi mahal pun sebenarnya tak salah. Yang salah tu, kau sombong sangat!” jawab Kek Belacan.
“Betul tu! Kau terlalu riak sampai orang nak makan pun serba salah. Kita ni kek raya. Tugas kita untuk buat pengalaman raya mereka jadi indah…” jelas Kek Lumut Keju.
“Makanlah aku! Hidanglah aku! Aku nak semua orang boleh rasa seronok sebab kehadiran aku!” rayu Kek Tular.
“Tenang dan jangan risau! Tetamu tuan rumah ni masih ramai lagi. Tiap-tiap tahun semua makanan pasti habis…” pujuk Kek Hati Parek.
Majlis rumah terbuka hari itu berjalan begitu meriah. Semua tetamu menikmati hidangan sepuasnya. Semua bekas makanan, bekas kek dan bekas minuman, licin tanpa sisa. Tuan rumah bersyukur kerana semua tetamunya pulang dalam keadaan gembira. Hari raya yang diraikan pun memberi makna kebersamaan yang menjadi kenangan indah buat mereka semua.