DAHULU, boleh dikatakan sastera mengubah dunia.
Di Eropah sekitar 1939 sehingga 1945, sastera terlibat secara langsung dalam peperangan Jerman. Penyair Jindrich Heisler menggunakan puisi-puisinya untuk menentang pendudukan Jerman. Toyen, seorang surealis wanita menggunakan sastera seni visualnya untuk menyatakan betapa peperangan membawa kebinasaan. Lukisan Toyen kemudian dibukukan dan beberapa lukisannya dipamerkan di Estonia National Museum dan Central Library Helsinki. Tidak kurang hebatnya di Malaysia, karya-karya sastera juga memainkan peranan yang penting ketika era penjajahan untuk menyuarakan penentangan terhadap polisi-polisi yang diperkenalkan oleh pihak British. Namun, kini dunia seakan-akan sedang mengubah sastera. Buktinya, terhidang di penghujung hidung.
Sastera pada zaman perang tidak terlepas daripada pengaruh politik. Banyak karya diterbitkan sebagai bentuk propaganda untuk menyokong atau mengkritik pihak-pihak yang terlibat dalam perang. Di negara-negara seperti Jerman Nazi, Rusia Soviet dan Amerika Syarikat, karya sastera digunakan untuk memanipulasi pandangan umum, menggalakkan semangat patriotik dan merendahkan musuh. Penulis di bawah regim totalitarian sering kali terpaksa mengubah tema dan gaya penulisan mereka untuk mematuhi arahan pihak pemerintah.
Beberapa pengarang terkenal dunia menghasilkan karya-karya yang memberikan impak besar pada zaman Perang Dunia Kedua. Antara karya utama yang muncul ialah All Quiet on the Western Front (1929) oleh Erich Maria Remarque.
Meskipun diterbitkan sebelum Perang Dunia Kedua, novel ini menjadi salah satu karya yang paling berpengaruh dalam menggambarkan pengalaman tentera semasa perang. Remarque menggambarkan dengan sangat mendalam penderitaan fizikal dan mental para tentera muda, serta kesan negatif perang terhadap semangat mereka. Karya ini menyampaikan pesan antiperang yang kuat dan menggambarkan kekejaman perang dengan cara yang sangat jujur.
Selain itu, karya The Diary of a Young Girl oleh Anne Frank mengisahkan kehidupannya dalam persembunyian ketika Perang Dunia Kedua. Buku ini memberikan gambaran yang sangat mendalam tentang ketakutan dan kegelisahan yang dihadapi oleh mangsa perang, serta keinginan untuk hidup dan berharap kemunculan cahaya keamanan di sebalik kabus peperangan.
Novel 1984 oleh George Orwell pula dipengaruhi oleh pengalaman beliau semasa peperangan. Karya ini mengkritik pemerintahan totalitarian dan propaganda yang digunakan oleh rejim Nazi Jerman dan Kesatuan Soviet. Orwell menggambarkan dunia yang diperintah oleh diktator yang menggunakan perang untuk mengekalkan kuasa, dengan masyarakat yang hidup dalam ketakutan dan penindasan.
The Naked and the Dead oleh Norman Mailer menggambarkan pengalaman tentera Amerika di Pasifik semasa Perang Dunia Kedua. Mailer, yang juga seorang veteran perang, menggunakan pengalaman peribadinya untuk menggambarkan ketegangan antara individu dan struktur sosial dalam tentera, serta kekejaman peperangan yang kononnya dijulang oleh pemerintah sebagai jalan mencari kedamaian. Jika ditelusuri, karya-karya sastera terdahulu terlibat secara langsung dalam proses perubahan dunia sehinggalah dunia meniti titian modenisasi.
Dalam dunia yang serba moden, sastera menghadapi pelbagai cabaran yang menyebabkan minat terhadapnya semakin berkurangan. Salah satu faktor utama ialah perubahan gaya hidup generasi muda yang lebih tertarik kepada media digital seperti media sosial, video pendek dan permainan video. Karya sastera yang berbentuk naratif panjang dan mendalam sering dianggap kurang menarik kerana menuntut masa dan kemahiran pembacaan yang tinggi.
Selain itu, persaingan daripada bentuk hiburan lain seperti filem, siri televisyen dan audio siar turut mengurangkan daya tarikan kepada sastera. Format- format hiburan ini memberikan pengalaman visual dan auditori yang lebih mudah dicerna berbanding membaca karya sastera yang memerlukan pemikiran analitikal dan imaginasi yang tinggi. Tanyalah kepada anak-anak muda, antara lagu Cindai dan APT, yang manakah pilihan mereka?
Rentetan daripada itu, terdapat pola penurunan yang ketara terhadap aktiviti membaca karya sastera. Pada era digital ini, perhatian orang ramai beralih kepada hiburan visual seperti media sosial, video serta permainan video. Kebanyakan individu, terutamanya golongan muda, lebih memilih kandungan multimedia yang mudah dicapai dan menarik. Kecenderungan ini mengakibatkan jumlah pembaca sastera, khususnya karya-karya semakin berkurang. Karya sastera yang sememangnya diketahui kaya dengan nilai estetika serta intelektual yang tinggi mulai dianggap terlalu rumit atau tidak relevan bagi sesetengah pembaca moden terutama generasi digital. Melihat kepada situasi ini, siapakah yang harus memikul tanggungjawab untuk meletakkan kembali sastera pada landasannya?
Tambahan pula, sistem pendidikan moden yang lebih menekankan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menyebabkan sastera kurang diberi perhatian. Ramai pelajar dan ibu bapa menganggap bidang sastera sebagai kurang berpotensi dalam menyediakan peluang pekerjaan yang menjanjikan, menyebabkan minat terhadapnya semakin luntur. Justeru, tidak mustahil suatu hari nanti, sastera hanya dikenali di peringkat sekolah. Itu pun suatu yang boleh dibanggakan.
Kemajuan teknologi telah memberikan impak yang signifikan terhadap cara karya sastera dihasilkan dan dinikmati. Sebagai contoh, penerbitan digital dan platform self-publishing telah membuka peluang baharu bagi pengarang untuk menerbitkan karya mereka tanpa melalui proses tradisional. Perkara ini memudahkan penulis, terutama yang baru mula, untuk mendapatkan pembaca tanpa bergantung kepada penerbit besar. Sebagai contoh, karya-karya yang sebelum ini tidak mendapat perhatian di pasaran konvensional kini boleh dengan mudah diakses oleh khalayak global melalui e-buku (buku elektronik) seperti Google Book.
Di samping itu, Internet dan media sosial juga telah mengubah cara sastera disebarkan. Penulis kini boleh berinteraksi secara langsung dengan pembaca melalui platform seperti Twitter, Facebook dan blog. Keupayaan untuk berhubung secara langsung ini memberikan pengarang ruang untuk berkongsi pemikiran mereka, memperkenalkan karya mereka dan mendapatkan maklum balas secara segera. Ia telah menjadikan sastera lebih interaktif dan mudah diakses, sekali gus mengurangkan jurang antara penulis dengan pembaca.
Globalisasi telah membawa dunia lebih dekat antara satu sama lain, dengan peralihan budaya dan idea yang lebih pantas daripada sebelumnya. Dalam konteks ini, sastera juga tidak terkecuali. Karya sastera kini tidak lagi terikat pada sempadan negara atau budaya tertentu. Penulis dari pelbagai bahagian dunia boleh berhubung, berkolaborasi dan mempengaruhi satu sama lain, menjadikan sastera lebih bersifat global.
Namun, globalisasi juga menimbulkan cabaran terhadap identiti budaya dalam sastera. Banyak pengarang kini menghadapi dilema antara mempertahankan suara tempatan atau mengikuti trend sastera global yang lebih komersial.
Di satu sisi, sastera yang bersifat universal mungkin lebih mudah diterima oleh pasaran antarabangsa, tetapi di sisi lain, perkara ini mungkin mengorbankan keaslian dan kekayaan budaya tempatan. Oleh itu, sastera moden sering kali berusaha mencari keseimbangan antara globalisasi dan identiti tempatan.
Perubahan sosial dan politik turut memberikan kesan besar terhadap sastera. Sejak era sastera romantik hingga ke era sastera pascamoden, pengarang semakin berani bereksperimen menggunakan norma-norma sosial dan politik dalam karya mereka. Isu seperti hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan perjuangan untuk keadilan sering menjadi tema utama dalam karya sastera. Sastera menjadi medan untuk menyoal dan mengkritik ketidakadilan dalam kalangan masyarakat, serta memberikan suara kepada mereka yang terpinggir.
Contoh yang jelas dapat dilihat dalam karya-karya yang muncul semasa pergerakan hak sivil atau zaman pascakolonial. Penulis seperti Chinua Achebe, Gabriel Garcia Marquez dan Toni Morrison telah menggunakan sastera untuk menyuarakan pengalaman penjajahan, ketidakadilan sosial dan diskriminasi. Dunia yang sentiasa berubah ini memberikan peluang kepada pengarang untuk terus mengangkat isu-isu sosial yang relevan dan penting, menjadikan sastera sebuah alat yang berkuasa untuk perubahan.
Chloe Anthony Wofford Morrison, atau Toni Morrison, seorang penulis novel dan editor.
Dunia yang semakin pantas bergerak juga memberikan kesan kepada cara pembaca menikmati sastera. Suatu ketika dahulu, pembaca lebih cenderung untuk meluangkan masa membaca karya sastera yang panjang seperti novel klasik. Namun, dengan kemunculan teknologi dan media sosial yang mengutamakan kandungan cepat dan ringkas, minat terhadap karya sastera yang panjang mulai menurun. Kini, pembaca lebih tertarik kepada kandungan berbentuk artikel, cerita pendek atau bahkan tweet yang mempunyai elemen cerita.
Di satu sisi, perubahan ini memberikan peluang kepada penulis untuk bereksperimen dengan bentuk dan gaya penulisan yang lebih ringkas dan mudah dicerna. Cerita pendek, puisi dan novel grafik juga semakin mendapat tempat dalam dunia sastera moden. Namun, di sisi lain, ia mungkin memberikan cabaran kepada ketelitian dan kekayaan karya sastera yang memerlukan kemahiran pembacaan yang tinggi, reflektif dan berobjektif.
Perubahan teknologi yang pesat begitu jelas mempengaruhi dunia sastera dalam membentuk kesedaran sosial. Sebagai contoh, isu perubahan iklim, hak asasi manusia dan keadilan sosial kini menjadi tema yang semakin dominan dalam karya-karya sastera. Penulis moden menggunakan karya mereka untuk mempersoalkan struktur sosial dan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu yang penting.
Kini, sastera menjadi lebih daripada sekadar hiburan; ia menjadi alat untuk mengajar, memperingatkan dan mencabar pandangan dunia sastera konvensional. Melalui novel, cerpen, puisi dan drama, pengarang dapat membawa pembaca ke dalam dunia yang lebih mendalam, mengajak mereka untuk melihat dunia dengan perspektif yang berbeza.
Dalam erti kata lain, sastera tetap relevan kerana ia sentiasa berkembang untuk memenuhi tuntutan zaman dan memberikan kesan kepada perubahan sosial.
Dahulu, proses penerbitan merupakan satu lagi cabaran besar dalam dunia sastera. Jumlah penerbit yang terhad dan syarat-syarat yang ketat menyebabkan ramai pengarang menghadapi kesukaran untuk menerbitkan karya mereka. Selain itu, kos penerbitan yang tinggi sering kali menjadi halangan kepada penulis muda atau yang tidak mempunyai sokongan kewangan untuk meneruskan hasrat mereka. Meskipun dengan kemunculan platform swaterbit (self-publishing), masih terdapat banyak halangan dalam memastikan karya tersebut dapat diterima oleh masyarakat dan diterbitkan secara meluas.
Namun, kini proses penerbitan bukan lagi isu yang membelenggu para penulis. Dengan adanya teknologi digital, platform-platform penerbitan terbuka luas. Penulis dari sesebuah negara di Asia mampu menghantar karya mereka ke Eropah untuk penilaian penerbitan dalam masa yang singkat. Terdapat juga penerbit-penerbit yang berani memecah tembok konvensional. Dengan keberanian tersebut, sastera tidak akan dilihat sebagai lubuk romantik semata-mata, sebaliknya sebagai sebuah bidang yang mampu berdiri sebagai institusi falsafah dunia moden.
Walaupun sastera menghadapi pelbagai cabaran, termasuklah kemungkinan akan hilang peminatnya, masih terdapat harapan untuk melihat kebangkitan semula sastera. Salah satu cara adalah melalui adaptasi digital. Karya sastera boleh diakses dalam bentuk buku elektronik, buku audio dan web novel yang lebih sesuai dengan gaya hidup moden dengan harga yang berpatutan.
Selain itu, kesedaran terhadap kepentingan warisan budaya perlu dipertingkatkan. Festival sastera, pertandingan penulisan, serta sesi pembacaan puisi di media sosial berjaya menarik minat golongan muda untuk menghargai keindahan sastera. Usaha seperti ini bukan sahaja mengekalkan minat terhadap sastera tetapi juga menggalakkan lebih ramai individu untuk terlibat dalam penghasilan karya kreatif.
Penulis baharu juga harus diberi ruang untuk bereksperimen dengan genre dan gaya penulisan baharu kerana para pembaca dalam kalangan generasi baharu, yakni generasi digital, mempunyai trend pembacaan yang semakin dinamik berbanding generasi yang sebelumnya. Sastera kini tidak lagi terbatas kepada novel dan puisi tradisional, tetapi turut berkembang dalam bentuk fiksyen sains, fantasi, realisme magis serta karya berlatarkan dunia moden dan futuristik. Tema-tema yang relevan dengan kehidupan masa kini, seperti perubahan sosial, isu identiti dan pergelutan emosi, berjaya menarik perhatian pembaca baharu yang dahulunya kurang berminat dengan sastera konvensional.
Andai pemain-pemain sastera memilih untuk berada dalam lingkungan keselesaan, yakni sastera kovensional, maka tidak mustahil sastera akan kehilangan peminatnya. Namun, ia tidak akan lenyap sepenuhnya. Selagi manusia mempunyai keinginan untuk memahami kehidupan, emosi dan budaya melalui karya-karya sastera, ia akan terus hidup dalam pelbagai bentuk. Oleh itu, usaha untuk menggalakkan minat terhadap sastera harus diteruskan agar warisan intelektual ini tidak pupus ditelan arus kemodenan. Dan, yang paling penting, sastera perlu berada pada tangan yang betul seandainya tidak mahu melihat ia kehilangan peminat seterusnya membiarkan dunia mengubah sastera, touch wood!