Aliran drama absurd bermula sejak 1940-an menurut salah seorang ahli falsafah eksistensialisme Barat, iaitu Albert Camus pada tahun 1942. Dalam penulisannya yang bertajuk Myth of Sisyphus pada tahun 1950-an, beliau menyatakan bahawa keberadaan manusia itu sendiri pada dasarnya bersifat absurd, iaitu tidak masuk akal tanpa sebarang tujuan.
Perkembangan aliran absurd di Barat juga turut dipengaruhi oleh perang dunia kedua yang berlaku ketika itu yang mempengaruhi ramai mangsa perang yang terkesan mula menceritakan pengalaman mereka melalui hasil seni dan penulisan.
Perkembangan aliran absurd yang pantas berkembang di Barat telah melahirkan beberapa orang penulis baharu seperti Samuel Beckett (1906- 1989). Samuel Beckett telah menonjol dengan drama absurd dan antara karya beliau seperti Waiting for Godot (1954), Endgame (1958), Malone Dies (1958), dan banyak lagi.
Walaupun perkembangan aliran absurd di Barat bermula awal lagi, namun pengenalannya di Malaysia bermula agak lewat, iaitu sekitar tahun 1970-an.
Faktor utama berkembangnya aliran drama absurd di Malaysia ialah kejadian rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Kejadian berdarah tersebut telah memberikan kesan besar terhadap rakyat serta menimbulkan pertanyaan mengenai identiti nasional pada masa itu. Kejadian ini secara tidak langsung telah memberi kesan mendalam dalam dunia teater dan drama.
Ramai pengarang ketika itu mula menggunakan gaya persembahan yang berbeza daripada aliran realisme dan menggabungkan seni tradisional dalam menyampaikan segala mesej secara intrinsik kepada khalayak. Tokoh penulisan tempatan yang banyak menggunakan aliran absurd ialah Hatta Azad Khan. Hasil penulisan beliau seperti Mayat merupakan contoh karya absurd tempatan yang terkenal.
Hatta Azad Khan atau Mohamad Hatta Azad Khan merupakan seorang pensyarah dan pengarah yang dilahirkan pada 29 Januari 1952. Terkenal sebagai seorang pengarah yang menghasilkan drama pentas seperti karya kumpulan drama Dunia Belum Kiamat yang merupakan sebuah karya yang menghimpunkan lima buah drama pentas yang dihasilkan oleh beliau sendiri. Drama-drama dalam kumpulan tersebut seperti “Awang”, “Korporat”, “Dunia Belum Kiamat”, “Cermin Tipu Daya” serta “Puteri Gunung Ledang”.
Melalui karya ini, secara tidak langsung telah mencerminkan sikap serta keprihatinan dalam mengenai isu-isu politik, kesenian dan kemanusiaan, malah Hatta Azad Khan telah berjaya mengarahkan drama-drama tersebut dengan olahan gayanya yang tersendiri.
Hatta Azad Khan memberanikan diri menghasilkan karya-karya absurd selepas beliau bereksperimen dengan beberapa buah karyanya sebelum ini. Hasilnya, drama-drama aliran absurd mula berkembang dalam dunia drama tempatan selepas diperkenalkan oleh Noordin Hassan pada tahun 1970.
Drama-drama absurd karya Hatta Azad Khan seperti Kerusi (1976), Patung-patung (1977) dan Mayat (1978) merupakan antara drama dengan aliran absurd yang terawal ada di Malaysia.
Hatta Azad Khan memulakan karier beliau sebagai seorang pengarah filem dengan mengarahkan filem Mat Som pada tahun 1990. Filem tersebut merupakan sebuah adaptasi daripada sebuah buku komik yang dihasilkan oleh Lat mengenai seorang pemuda yang bernama Mat Som yang menghadapi konflik dalam memilih pasangan hidupnya.
Pada tahun 2008, Hatta Azad Khan telah berjaya mengarahkan sebuah filem Wayang yang menekankan isu kesenian wayang kulit serta konflik dalam agama dalam masyarakat Melayu.
Dalam filem ini, Hatta Azad Khan telah bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri perfileman seperti Eman Manan, Ida Nerina dan Zul Huzaimi. Kehebatan Hatta Azad Khan terserlah melalui filem Wayang apabila filem ini berjaya mewakili Malaysia dalam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur dan membawa pulang Anugerah Khas Juri dalam festival tersebut.
Kejayaan Hatta Azad Khan melalui filem Wayang telah memberi beliau kepercayaan untuk mengarahkan sebuah sequel filem yang terkenal, iaitu siri filem Senario, iaitu Senario Asam Garam. Seterusnya, filem Kembar Siang pada tahun 2011. Filem yang dibintangi oleh Kamal Adli dan Intan Ladyana itu mengisahkan sepasang kembar, Awal dan Awi yang bertemu dengan pasangan kembar yang lain, iaitu Ana dan Ani.
Selain mengarahkan filem, Hatta Azad Khan turut membantu dalam penghasilan sebuah sitkom terkenal, iaitu Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Sitkom ini merupakan hasil penulisan skrip komedi beliau yang bertajuk Syy!. Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu merupakan sebuah rancangan televisyen yang terkenal sekitar tahun 1980-an.
Sumbangan Hatta Azad Khan dalam dunia penulisan karya absurd tidak dapat disangkal lagi. Drama-drama beliau telah membuka minat ramai penulis tempatan untuk mula berkarya dalam aliran tersebut. Berikut merupakan antara karya-karya Hatta Azad Khan yang menggunakan aliran absurd.
Drama “Kerusi” merupakan sebuah karya ciptaan Hatta Azad Khan pada tahun 1976. Drama ini mengisahkan watak yang bernama Srisegala yang menguasai kerusi nikmat serta gong hikmat dan diikuti oleh pengikutnya yang setia, iaitu Tuta I, Tuta II dan Tuta III.
Srisegala merupakan seorang penguasa kuku besi yang hanya mengikut nafsunya sahaja dan tidak langsung memikirkan beban yang dipikul oleh rakyatnya. Dan setelah kedatangan Putra untuk menentang Srisegala, Putra dikhabarkan hilang selepas pertemuannya dengan Srisegala sehingga membuatkan wira-wira yang pernah tewas dengan Srisegala bersatu demi menjatuhkan Srisegala dalam usaha mendapatkan kembali Putra.
Drama “Kerusi” memfokuskan penyatupaduan masyarakat supaya bangkit dalam usaha menentang pemerintah yang zalim menindas mereka.
Drama “Patung-patung” pula merupakan sebuah drama yang dihasilkan oleh Hatta Azad Khan pada tahun 1977 yang berkisarkan isu politik yang menunjukkan watak Mega digambarkan sebagai seorang yang luar biasa terhadap patung-patungnya.
Dengan kekuasaan yang dimiliki, Mega menetapkan sebuah peraturan yang wajib dipatuhi oleh patung-patungnya. Tujuannya hanyalah untuk menjaga kepentingan Mega sendiri.
Setelah lama ditindas, terdapat beberapa buah patung kepunyaan Mega mula memberontak dan bangkit untuk menentangnya. Alang dan Dupa mula melawan Mega yang sudah lama dikuasai oleh egonya. Dan akhirnya, Mega telah berjaya ditumpaskan oleh Alang dan Dupa sendiri.
Hatta Azad Khan turut menghasilkan karya terkenal seperti drama “Mayat”. Drama tersebut merupakan sebuah karya absurd yang terkenal di tanah air. Drama ini juga merupakan salah satu hasil ciptaan Hatta Azad Khan yang dihasilkan pada tahun 1980.
Drama “Mayat” mengisahkan ujian yang dihadapi oleh empat sekawan yang digambarkan mempunyai akal yang cetek. Mereka berempat menghadapi masalah setelah salah seorang rakan mereka meninggal dunia dan tiada tempat untuk mengebumikannya. Disebabkan mereka tinggal di kawasan kota yang pesat membangun. Berlaku konflik sepanjang usaha mereka untuk mengebumikan mayat sahabat mereka sehingga ada yang sanggup menawarkan diri untuk membeli mayat tersebut.
Melalui penulisan Hatta Azad Khan ini, dapat dilihat bahawa beliau menyentuh isu kehabisan tanah merupakan isu pokok yang ingin diketengahkan oleh Hatta Azad Khan dalam karya “Mayat”. Isu tanah merupakan isu semakin meruncing sejak zaman berzaman sehinggakan tiada ruang untuk mengebumikan jenazah.
Kebanyakan tanah yang menjadi hak milik persendirian telah dijual untuk pembangunan dan semata-mata mengaut sejumlah wang pampasan
Oleh yang demikian, disimpulkan bahawa pencapaian Hatta Azad Khan dalam dunia penulisan drama memang tidak boleh disangkal lagi. Keupayaan beliau untuk menghasilkan karya-karya drama serta mengarahkan filem-filem yang terkenal telah diakui oleh ramai pihak serta beliau juga telah menerima pelbagai anugerah dalam bidang perfileman serta pemangkin dalam dunia penulisan absurdisme.