Penulis: Mabulmaddin Shaiddin
UNGKAPAN ‘APA ADA PADA NAMA (What’s in a name?)’ dalam drama Romeo and Juliet karya William Shakespeare mungkin sekadar suatu pernyataan bahawa nama hanyalah pengenal bagi seseorang individu. Tidak ada yang penting selain daripada itu, dan tidak ada yang perlu difikirkan secara serius.
Namun bagi masyarakat Iranun, nama merupakan suatu hal yang amat bermakna. Nama dipercayai mampu mempengaruhi perjalanan hidup seseorang – sejak nama itu diberikan kepadanya sehingga hari kematiannya. Nama ialah suatu bentuk doa kepada individu yang memilikinya jika disebut selalu. Nama ialah gambaran peribadi seseorang, dan nama juga boleh membuatkan jatuh bangun maruah sesebuah keluarga.
Dalam kehidupan masyarakat Iranun dahulu, nama diberikan kepada anak beberapa jam selepas anak itu dilahirkan. Namun nama pilihan itu hanya diisytiharkan secara rasmi kepada keluarga selepas anak berusia tujuh hari atau lebih. Antara kriteria nama yang baik ialah nama itu mudah disebut dan tidak lebih daripada tiga patah perkataan.
Syarat penamaan yang tidak kurang pentingnya ialah ketika nama diungkapkan, bibir mesti dalam keadaan terbuka. Sebagai contoh, nama seperti Musa, Kalbi dan Asmara termasuklah dalam pensyaratan itu. Masyarakat dahulu percaya bahawa rezeki yang dibawa oleh nama itu mudah masuk jika laluannya terbuka. Mereka menganalogikan rezeki seperti makanan, yang mudah masuk ke mulut, jika mulut itu terbuka.
Nama yang berakhir dengan bukaan bibir yang sempit tidak digemari, demikian juga nama yang apabila disebut menjadikan kedudukan lidah berada di belakang gigi atau di langit-langit mulut. Nama itu menggambarkan rezeki lambat masuk kerana terhalang laluannya, seperti juga makanan yang terhalang masuk ke mulut kerana dihadang oleh lidah.
Nama yang berakhir dengan bibir terkatup seperti Boestamam, Azim, Adib dan seumpamanya jarang dipakai. Nama-nama itu kononnya menyebabkan pemilik nama sentiasa menghadapi kesulitan dalam hidupnya. Itu antara satu sebab nama-nama sedemikian jarang digunakan untuk anak-anak Iranun pada masa itu.
Namun ada dalam kalangan ibu bapa yang mengagumi ketokohan dan kebijaksanaan watak daripada Darangen – sebuah cerita epik kebanggaan masyarakat Iranun sejak zaman-berzaman. Nama-nama seperti Matali, Daranda, Lumena dan Patula sangat menghidupkan cerita itu. Oleh yang demikian, mereka memilih nama tokoh itu untuk anak mereka, agar anak tersebut mencontohi kualiti tokoh-tokoh itu apabila besar nanti.
Terdapat juga ibu bapa yang memilih nama-nama Islam. Ini wajar kerana masyarakat Iranun keseluruhannya beragama Islam. Tambahan lagi, kesedaran mendalami soal agama pada ketika itu – sebelum Perang Dunia Kedua – semakin kuat apabila ada antara keluarga mereka yang telah menjadi imam dan amat berpengaruh dalam kalangan masyarakat, seterusnya berpeluang mengerjakan ibadah haji di Mekah.
Justeru, nama-nama anak diambil daripada perlakuan dan sifat-sifat sebagai Muslim sejati. Nama-nama seperti Taat, Ibadat, Kajat (hajat), Maripat (makrifat) dan Ugama ialah gambaran bahawa individu ini lahir daripada keluarga beragama. Nama-nama tersebut ialah nama biasa bagi orang Iranun di Kota Belud. Nama-nama ini juga mampu mengingatkan tentang ibadat dan amal soleh kepada sesiapa yang menyebutnya.
Namun pada masa itu, kebanyakan orang Iranun belum mengenal sistem sebutan dalam bahasa Arab dengan sempurna. Mereka hanya mendalami ilmu agama melalui pembelajaran secara lisan. Mereka tidak dapat membezakan sebutan huruf-huruf hijaiyah seperti ha, ha’ dan kha menyebabkan nama-nama yang melibatkan huruf itu disebut dengan huruf qaf. Misalnya Hamid menjadi Kamid, Rohaya menjadi Rukaya, Hussien menjadi Kusin dan sebagainya.
Di kawasan yang penduduknya bekerja sebagai nelayan dan petani pula, mereka gemar menamakan anak mereka dengan nama ikan – ini dalam konteks mereka mempercayai kekuatan sifat ikan yang boleh hidup di air tanpa udara. Jadi, nama-nama seperti Salunsung (siakap), Sapat (sepat siam), Pait (lampam), Kulam (talapia) dan Kambura’ (belanak) turut terdapat dalam kelompok ini.
Apabila bahan bacaan semakin mudah didapati, keinginan untuk belajar membaca dan menulis tulisan Jawi semakin mekar. Apatah lagi pada waktu itu, gerakan ‘membenci’ tulisan Rumi atau dikenali dalam kalangan mereka sebagai romanais sedang berlaku. Mereka mendakwa, tulisan Rumi yang dibawa oleh Barat adalah salah satu diayah bagi melumpuhkan agama Islam. Justeru itu, tidak hairanlah jika tulisan Rumi kurang diterima sebelum awal tahun 1950-an.
Bahan sastera dalam tulisan Jawi semakin mudah diperoleh di tamu minggu atau di kedai buku. Buku-buku seperti Syair Dandan Setia, Syair Unggas dan Hikayat Bayan Budiman menjadi bahan bacaan yang digemari. Kitab-kitab perbintangan tua seperti Tajul Muluk dan Bintang Dua Belas juga menjadi bahan telahan mereka yang utama.
Dua buah kitab terakhir itu mengandungi kaedah bagaimana mengira nama yang baik untuk anak yang baru lahir, dengan merasi nilai huruf yang membentuk nama tersebut. Apabila keseluruhan huruf dijumlahkan, jumlah huruf perlu ditolak dengan angka ganjil (tiga hingga sembilan). Nilai baki hasil tolakan itulah yang akan menentukan nama tersebut elok atau tidak.
Budaya merasi nama ini terbawa-bawa sehingga ke jenjang pelamin. Sebelum mempelai dinikahkan, nama mereka dirasi terlebih dahulu untuk menentukan adakah mereka sesuai hidup bersama. Jika rasian tidak mendapat hasil yang baik, nama mereka diganti dengan satu nama lain lagi, lalu dikira semula. Jika bersesuaian, barulah mereka dinikahkan.
Tetapi fahaman meminggirkan tulisan Rumi itu perlahan-lahan lenyap dengan wujudnya sekolah Native Volunteer School (NVS) yang dibuka di beberapa buah kampung di Kota Belud. Sekolah ini mengajar membaca dan menulis dalam tulisan Rumi. Di sekolah ini juga timbul kesedaran betapa banyaknya bidang kerjaya di luar yang menjanjikan masa depan yang cerah.
Maka timbullah satu trend, ibu bapa lepasan NVS menamai anak dengan nama-nama kerjaya atau jawatan yang mereka suka. Bahkan anak itu kelak diharap dapat menceburkan diri dalam bidang berkaitan dengan nama mereka. Maka wujudlah nama Supidi (OCPD), Marin (polis marin), Sarjan (pangkat dalam pasukan polis) dan sebagainya.
Mapened I Ngaran
Walau bagaimanapun, terdapat juga nama-nama yang diklasifikasikan sebagai berat atau mapened i ngaran. Antara gejala memiliki nama yang berat ini ialah pemilik nama tersebut kelihatan lesu, pucat dan kesihatannya sering terganggu kerana perubahan cuaca. Mungkin anak itu hanya sekadar mengalami demam biasa, tetapi sukar sembuh walaupun telah dibawa berubat ke banyak tempat.
Antara ciri-ciri nama berat ialah nama itu melebihi tiga suku kata. Sebagai contoh, nama ‘Mustafa Kamal’. Nama ini terdiri daripada lima suku kata yang dirasakan tidak dapat dipikul oleh pemiliknya. Selain daripada itu, penggunaan nama-nama tokoh legenda daripada cerita rakyat seperti Sumedsen sa Alungan yang bermakna ‘Si Penggulung Matahari’ disifatkan sebagai amat berat, sehinggakan pemilik nama tidak layak memilikinya. Nama itu juga mempunyai enam suku kata.
Terdapat beberapa kaedah bagi menyelesaikan permasalahan itu. Kaedah pertama ialah nama asal perlu dipendekkan. Sebagai contoh, ‘Mustafa Kamal’ dipendekkan kepada ‘Mustafa’ atau ‘Kamal’ sahaja, bahkan untuk menjadikannya lebih ‘ringan’, nama ‘Mus’ sudah memadai. Kaedah kedua ialah nama itu ditukar terus kepada nama lain yang tidak mempunyai kaitan dengan nama asal. Nama ‘Sumedsen sa Alungan’ mungkin boleh diganti dengan nama ‘Salih’ atau nama yang dirasakan lebih sederhana dan tidak membebankan.
Nama Lebih daripada Satu
Dalam budaya Iranun, menyebut nama sebenar dianggap kurang sopan. Anak-anak Iranun dididik sejak awal agar tidak melakukan perkara itu. Jadi, ibu bapalah yang berperanan memberi ‘nama ganti’ kepada setiap anak, khususnya digunakan semasa berinteraksi di rumah. Nama ganti yang popular bagi anak lelaki ialah Datu’, Atu’ dan Mama. Sementara nama ganti bagi anak perempuan ialah Ba’i, Babai, Tabai dan Abai.
Mempunyai lebih daripada satu nama selain nama sebenar yang didaftar secara rasmi di surat beranak bukanlah asing bagi masyarakat Iranun. Ada individu yang mempunyai tiga nama atau lebih, tidak termasuk nama rasminya. Hal ini unik dan mempunyai alasan tersendiri. Nama-nama yang disandang ini hanya digunakan sebagai sapaan dalam kalangan keluarganya sahaja. Tetapi lama-kelamaan, nama ganti lebih dikenali sehingga mampu menenggelamkan nama sebenar.
Hal ini kadangkala mendatangkan kesulitan kepada pihak yang berkepentingan. Misalnya jika seorang rakan dari daerah lain datang mencari rakannya di alamat yang diberikan – katakanlah rakannya bernama ‘Ahmad’, kemungkinan besar ‘Ahmad’ yang dimaksudkan tidak ditemui, kerana orang kampung kebanyakannya mengenali ‘Ahmad’ dengan nama lain. Kemungkinan Ahmad dikenali sebagai ‘Lempid’ di kampungnya. Demikianlah seterusnya.
Alasan utama penggunaan banyak nama ini ialah sebagai pendinding diri daripada sihir kalulut. Sihir kalulut mendapat namanya kerana sihir ini dibawa oleh kalulut (belalang daun) ke rumah mangsa (orang yang disihir). Menurut orang-orang dahulu, para pengamal ilmu sihir memilih kalulut sebagai penghantar sihir kerana serangga itu pintar menyamar. Kalulut ialah spesies belalang yang mempunyai sayap serupa pucuk nangka.
Dikatakan bahawa sihir akan lebih menjadi jika menggunakan nama sebenar mangsa. Ketika kalulut sampai ke rumah tujuan, kalalut pun hinggap di dinding atau di tempat yang berdekatan dengan manusia. Kalulut menanti masa untuk melompat ke arah mangsa jika nama sebenar mangsa disebut atau dipanggil oleh ahli keluarganya. Namun jika ahli keluarga di rumah itu menggunakan nama ganti, kalulut tidak dapat berbuat apa-apa.
Nama Sebagai Penyimpan Maklumat
Salah satu hikmah yang terkandung dalam nama-nama orang Iranun dahulu ialah nama mereka berfungsi sebagai penyimpan maklumat. Terdapat nama orang-orang tua dahulu yang kedengaran aneh kerana tidak diketahui maksudnya. Namun apabila diselidik dan dikaji secara mendalam, nama-nama itu merupakan khazanah bahasa yang berharga.
Misalnya pada tahun 1980-an, terdapat seorang wanita warga emas di Kampung Rampayan yang bernama Lalansai. Pada mulanya nama ini tidak mempunyai sebarang makna kepada pengarang dan rakan-rakan, namun akhirnya diketahui bahawa Lalansai ialah istilah kepada sejenis hiasan dinding yang sudah jarang ditemui hari ini. Bentuk Lalansai seakan-akan ulap-ulap atau sambira’.
Demikian juga dengan nama seorang lelaki warga emas di Kampung Kotabungan yang bernama Sawir. Perkataan itu tidak diketahui maksudnya sama sekali. Hanya pada awal tahun 2000, pengarang akhirnya menemui makna perkataan sawir yang bermaksud keadaan kayu yang bengkok seperti dipulas.
Hari ini, nama-nama anak Iranun tampak lebih moden, lebih standard dalam erti kata penggunaan nama mereka lebih kurang sahaja kedengaran dengan nama-nama biasa yang didengari di kaca televisyen. Ibu bapa Iranun sekarang hanya memilih nama melalui buku panduan menamakan anak. Kadangkala ada juga ibu bapa yang menamakan anak mereka dengan nama artis atau memilih nama bersifat kebaratan yang kedengaran lebih canggih.
Nama-nama dahulu lebih organik dan unik serta dapat menggambarkan jati diri masyarakat Iranun yang sebenar. Bahkan seperti yang dibincangkan, nama-nama itu mampu menggalas bahasa dan menggendong budaya Iranun dengan bertenaga. Cuma kesedaran generasi baharu Iranun untuk mencintai bangsanya perlu dipulihkan semula. Berdasarkan kajian beberapa agensi kerajaan, bahasa dan budaya Iranun masa kini berada dalam zon kuning yang membimbangkan.