Skip to content
Sujud Terakhir di Haramain
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Sujud Terakhir di Haramain
Sujud Terakhir di Haramain
Cerpen

Sujud Terakhir di Haramain

  • Nur Rosmah binti A.Wahab@ Othman
  • 6 Jun 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 35
  • 4.4

“JOM kita pergi umrah hujung bulan depan. Kalau diizinkan Allah SWT, kita pergi sekali, ya, ayah, mak!” kata Man kepada ibu dan ayahnya yang sedang berehat di pangkin luar rumah.

Ros, isterinya, tersenyum mengiakan sambil menatang beberapa cawan teh panas ke pangkin bawah pokok mempelam itu. Ros sebenarnya sudah lama berhajat mahu menunaikan umrah. Dia bercadang mahu membawa ibu dan ayahnya sekali menunaikan umrah.

Pak Lan menghela nafas panjang. Mak Bedah di sisinya sekadar mengangguk perlahan. Bukan tidak mahu, tapi tubuh ini bukan lagi sekuat dahulu. Pak Lan tahu betapa uzurnya jantung yang berdetak lemah di dada.

“Kamu ada duit ke kalau ayah ikut?” ujar Pak Lan .

Ada sinar dalam mata Man. Dia tahu soalan ayahnya tadi seolah-olah ayah mahu ikut serta ke tanah suci.

“Ada, ayah! Saya dan Ros memang bercadang nak bawa mak dengan ayah menunaikan umrah bersama-sama. Ros juga akan bawa emak dan abahnya sekali.”

“Betul, ayah!” jawab Ros ringkas.

Ayah mengangguk tanda setuju. Man sujud syukur tanda terima kasih kepada Allah SWT. Hajatnya mahu membawa ayah dan ibunya ke tanah suci bakal tercapai.

*     *     *     * 

Hari keberangkatan ke tanah suci akhirnya tiba. Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke bumi Mekah, Pak Lan terduduk, lalu bersujud, mencium tanah suci itu. Man melihat air mata ayahnya menitis. Tanpa dipinta air matanya juga jatuh di pipi.   

 “Subhanallah… akhirnya aku sampai,” bisik Pak Lan dalam hatinya.

Azan pertama bergema. Pak Lan tidak mampu menahan sebak. Dia menangis semahunya, terasa seluruh dosa berguguran dengan setiap lafaz azan yang mengalun di angin Mekah. Malam-malam di tanah suci itu, Pak Lan rajin berqiamullail, bersedekah dengan apa yang termampu, meskipun hanya wang kecil di koceknya. Dia seronok tambah-tambah lagi kanak-kanak Arab itu melompat-lompat apabila menerima wang RM1 daripadanya.

Satu hari di dewan makan hotel, Pak Lan berdebat mesra dengan besannya, Pak Wahab.

“Wah, lauk ikan patin tempoyaklah menu tengah hari kita,” kata Pak Lan dengan nada ceria.

“Mana ada ikan patin sampai ke Mekah ni, Pak Lan,” tempelak Pak Wahab sambil menggeleng kepala. “Dekat Pahang pun ikan patin tak cukup!” tambah Pak Wahab lagi sambil ketawa.

“Ya lah, ya lah…” Pak Lan mengalah sambil ketawa kecil. Dia tahu, dia tak akan menang berlawan hujah dengan besannya itu. Jika besannya kata A, mesti A yang dimahunya.

Akhirnya mereka ketawa bersama-sama. Namun di sebalik tawa itu, ada rahsia besar yang disimpan oleh Pak Lan. Dia mahu orang nampak dia sihat dan gembira.

Petang itu, di bawah redup langit tanah suci, Pak Lan duduk berbual dengan mutawif, Ustaz Affandi. Angin sepoi-sepoi menampar pipi, membawa haruman Masjidilharam.

“Entah sempat atau tidak saya jumpa Ramadan tahun depan, ustaz. Hati ini rasa dekat sangat dengan kematian,” kata Pak Lan perlahan.

Ustaz Affandi menepuk lembut bahunya. “Bang Lan, jangan cakap macam itu. Mati itu rahsia Allah SWT. Kita bersyukur dapat sampai ke sini, beribadat semampu kita.”

Pak Lan mengangguk perlahan. Nafasnya berat, seakan-akan mengumpul kekuatan untuk berbicara.

“Saya ini orang kampung, ustaz. Hidup sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tak pernah saya bayang satu hari saya dapat jejakkan kaki ke sini. Duit simpan pun entah berapa sangat. Tapi Allah izinkan juga saya sampai. Subhanallah… nikmat yang tak terhingga,” suara Pak Lan bergetar menahan sebak.

Ustaz Affandi tersenyum, mengangguk memahami.

Pak Lan menyambung. Suaranya makin perlahan. “Saya bersyukur sangat sebab ada anak macam Man. Sejuk hati saya tengok dia. Dari kecil dia tak pernah menyusahkan. Apabila besar, dia tetap ingat saya dan maknya. Allah anugerahkan anak yang baik… anak yang bawa saya ke sini,” Pak Lan berhenti seketika, menahan air mata.

Ustaz Affandi mendengar dengan khusyuk. Dia tahu, kata-kata seorang ayah yang hampir pada hujung usia, bukan sekadar keluhan tapi doa yang hidup.

“Kalau saya tak sempat, ustaz… doakan anak saya terus jadi anak yang soleh. Itu saja harapan saya,” kata Pak Lan, sebelum tunduk menyapu air mata yang tumpah.

Angin tanah suci terus berbisik perlahan di sekeliling mereka. Suasana terus sunyi sehingga menamatkan perbualan mereka di situ. 

Keesokan harinya, suasana agak kecoh di lobi Hotel Mira Ajyad apabila Man tidak nampak kelibat ayahnya. Puas dia mencari di bilik dan di sekitar hotel. Biasanya ayah tidak akan keluar bilik tanpa dirinya.

Rupa-rupanya, Pak Lan menghilang ke ruang kerja pekerja hotel, bergurau senda sambil menggulung rokok daun.

Man hanya mampu menggeleng kepala. Dia sesekali menegur, namun membiarkan ayahnya menikmati kebebasan kecil itu. ‘Biarlah’, fikir Man, kenangan kecil itu akan menjadi memori manis buat mereka.

Esoknya, selepas solat Asar, Man menemani ayahnya Pak Lan, untuk mengerjakan umrah dan seterusnya melakukan sai.  

Semasa melakukan sai, Pak Lan kelihatan bersungguh-sungguh. Dengan tekad membara, dia berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah, penuh keinsafan dan ketabahan. Selepas selesai melakukan sai, Pak Lan ternampak seorang kanak-kanak comel, anak kepada lelaki berbangsa Bosnia. Dengan mesra, Pak Lan menegur bapa kanak-kanak itu dan menyatakan hasrat mahu bergambar dengannya.

Dari jauh, Man melihat ayahnya menunjukkan lambang bendera Malaysia yang tersemat pada kain ihramnya, dengan bangga dan penuh rasa syukur.

Selepas selesai bercukur, Man memanggil ayahnya untuk pulang ke hotel. Pak Lan tersenyum-senyum sambil menyapu peluh di dahi. Melihatkan keadaan itu, Man berasa sangat bahagia.

Tidak semua urusan di kota suci itu berjalan lancar. Ada juga perkara yang tidak diingini berlaku. Dua hari sebelum pulang, Pak Lan menyedari kad identiti jemaah miliknya hilang entah ke mana. Puas dia dan Man mencari di sekitar bilik hotel dan di sepanjang laluan yang mereka tempuh, namun usaha itu tidak berhasil. Kad itu hilang tanpa jejak. Di Mekah, kad itu sangat penting sebagai pengenalan diri. Jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, kad itulah yang orang akan cari. Pak Lan pasrah kad itu hilang. Dia perlu lebih berhati-hati apabila hendak ke sesuatu tempat. 

Subuh keesokan harinya, Pak Lan yang berniat mahu mencium hajarulaswad bertekad untuk mencuba nasib. Dia sudah beberapa kali mencuba untuk mencium hajarulaswad itu, namun gagal.

Namun hari ini, dia bertekad untuk mencium batu dari syurga itu sebelum kembali ke tanah air. Walaupun terpaksa bersesak-sesak dengan ribuan jemaah lain, Pak Lan bertekad.

Dengan penuh kesungguhan dan doa yang tidak putus-putus, akhirnya Allah mempermudahkan niatnya. Pak Lan berjaya mencium Hajarul Aswad dengan linangan air mata penuh kesyukuran.

Selepas menunaikan solat subuh, ketika melangkah keluar dari Masjidil Haram, Pak Lan ternampak sekeping kad identiti berhampiran tempatnya berdiri. Dengan hati yang berbunga, dia segera memungut kad itu, menyangka itu adalah miliknya. Namun, sebaik sahaja diperhatikan dengan lebih teliti, wajah yang tertera pada kad itu adalah milik Ros menantunya sendiri! Pak Lan tersenyum.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, Pak Lan menyerahkan kad itu kepada Man. Sebaik tiba di hotel, Man menyerahkan kad itu kepada isterinya, Ros. Raut wajah Ros yang cemas berubah menjadi ceria apabila mendapati kad identitinya yang hilang telah dijumpai semula. Mereka sama-sama tertawa kecil mengenangkan insiden itu. Mula-mula kad identiti jemaah Pak Lan hilang, kemudian, kad identiti Ros pula yang hilang. Nasib baik ayah yang menjumpai kad itu. Ros bersyukur. Cuma, kad identiti ayah yang hilang tidak dijumpai sehingga kembali ke tanah air.   

*     *     *     *

Pagi itu, Pak Lan keluar awal ke sawah. Pak Lan bekerja sendirian sahaja hari ini tanpa ditemani oleh Mak Bedah. Pak Lan mahu meracun rumput yang tumbuh meliar berhampiran padi yang menghijau, ibarat permaidani itu. Sedang ralit meracun, tiba-tiba dadanya berombak hebat. Nafasnya tersekat-sekat. Tangannya menggigil. Akhirnya Pak Lan terjatuh ke dalam petak bendang.

Dalam kesakitan, Pak Lan cuba menghubungi Man. Tangannya menggigil mengambil telefon di dalam poket. Dia mencari nama “Man Anak Soleh”. Namun sebelum sempat menekan butang panggilan, matanya kabur dan tubuhnya tidak sedarkan diri.

Nasib Pak Lan baik. Ada beberapa orang kampung yang kebetulan lalu di situ menyedari keadaan Pak Lan. Mereka bergegas menghubungi ambulans.

“Sabar, pak cik! Saya dah telefon ambulans!” jerit seorang anak muda dalam keadaan cemas.

Di bilik kecemasan, Pak Lan kembali sedar. Matanya yang berat terbuka perlahan. Di sisinya, Mak Bedah menggenggam erat tangan suaminya, seakan tidak mahu dilepaskan walau sekelip mata.

“Alhamdulillah… abang sedar,” bisik Mak Bedah sambil mengesat air mata yang tidak berhenti mengalir.

Nafas Pak Lan pendek-pendek. Wajahnya pucat dan tubuhnya lemah. Seluarnya dipenuhi selut.

“Bedah…” suaranya hampir tidak kedengaran.

“Saya… nak minta maaf… atas semua salah silap saya. Halalkan makan minum saya…”

Mak Bedah menangis teresak-esak sambil mengangguk, tidak mampu berkata-kata.

“Bedah… jaga diri, jaga anak-anak kita baik-baik. Doakan saya…”

Saat itu, Pak Lan menggenggam jari isterinya lebih erat, seolah-olah tahu detik itu sudah terlalu hampir. Jantungnya mula berdegup laju. Matanya kembali kabur.

Mak Bedah mula panik. Dia melihat skrin mesin pemantau yang memaparkan bacaan jantung yang semakin tidak stabil.

“Abang!” jeritnya kecil. “Abang, bertahan ya!”

Dengan tangan yang menggeletar, Mak Bedah menoleh ke belakang, sambil menjerit, “Doktor! Tolong doktor! Tengok suami saya ni, cepat!”

Beberapa jururawat bergegas masuk bersama doktor. Mereka menyuruh Mak Bedah ke tepi. Mak Bedah berdiri di penjuru katil, dada berombak menahan tangis, matanya tidak lepas memandang suami yang sedang bertarung nafas.

“Abang… jangan tinggal saya… jangan pergi dulu…” bisiknya sayu, berulang-ulang seperti zikir terakhir.

Mesin pemantau jantung itu berbunyi nyaring, sebelum akhirnya senyap… sunyi… seperti hati Mak Bedah yang baru kehilangan separuh jiwanya. Takdir Allah SWT mengatasi segalanya. Mak Bedah tahu yang suaminya sudah tiada. Dari kejauhan dia dapat melihat wajah suaminya itu. Tenang dengan senyuman kecil yang masih bersisa di bibirnya.

Man, yang dalam perjalanan ke hospital menerima panggilan daripada ibunya. Suara Mak Bedah serak menahan tangis menusuk ke hatinya.

“Man, ayah dah tak ada, nak…”

Man terdiam. Dunia terasa gelap, seolah-olah berhenti berputar. Air mata luruh tanpa mampu ditahan.

“Ya Allah, kenapa aku tak sempat jumpa ayah…”

Malam itu, setelah selesai pengebumian, Man duduk termenung di beranda rumah. Bau tanah merah masih melekat di ingatannya. Mak Bedah mendekat.

“Ayah sakit, Man,” kata Mak Bedah perlahan.

“Sakit apa, Mak? Kenapa Man tak tahu?”

“Ayah yang mahu mak rahsiakan hal ini.”

Mak Bedah menceritakan tentang pertemuan Pak Lan dengan doktor beberapa bulan sebelum mereka menunaikan umrah.

“Encik Dahalan, jantung encik sangat lemah. Encik perlu buat pembedahan secepat mungkin,” kata doktor sambil menatapnya penuh prihatin.

Pak Lan hanya ketawa kecil, ketawa yang penuh kelelahan.

“Doktor, saya cuma ada RM2 dalam dompet saya,” balasnya selamba.

Doktor diam sejenak, kemudian berkata dengan nada lembut, “Kalau pak cik mahu, saya boleh hubungi anak-anak pak cik. Mungkin mereka boleh bantu.” ujarnya kini dengan nada yang lebih mesra.

Pak Lan menggeleng perlahan.

“Tak perlu, doktor,” katanya perlahan tetapi tegas. “Saya tak mahu menyusahkan anak-anak. Mereka pun ada kehidupan mereka sendiri. Saya reda.”

Doktor menghela nafas panjang, memahami betapa besar jiwa seorang ayah tua ini. Dia mahukan yang terbaik buat pesakitnya. Tapi, dia tidak boleh memaksa.

Man teresak perlahan mendengarkan hal itu. Segala jasa dan pengorbanan ayah bergulung dalam fikirannya. Dia kesal. Jika dia tahu, dia sanggup menjual kereta BMW miliknya demi perubatan ayah.

Malam sebelum pemergian Pak Lan, Man masih ingat ayahnya kelihatan sangat ceria. Pak Lan ketawa besar sambil menyakat cucunya, Naufal, yang baru berusia lima tahun. Dengan penuh usikan, Pak Lan mengacah-acahkan seekor lipas mati ke arah Naufal yang menjerit ketakutan. Tawa Pak Lan bergema di seluruh ruang tamu rumah, menghidupkan suasana ceria dalam keluarga kecil mereka.

Man masih dapat membayangkan wajah ayahnya yang merah menahan ketawa. Matanya bercahaya dengan kebahagiaan. Melihatkan betapa sihat dan riangnya ayah malam itu, Man tidak pernah sekali pun terlintas di fikirannya bahawa itulah kenangan terakhir yang akan mereka cipta bersama-sama. Kini, setiap kali Man memejamkan mata, gelak tawa itu seolah-olah masih bergema dalam hatinya, menjadi kenangan abadi yang tidak mungkin dapat dipadamkan oleh masa.

“Ayah… Man janji, Man akan jaga mak dan adik-adik. Man akan teruskan amal kebaikan ayah. Doakan Man kuat.”

Angin malam bertiup lembut, seolah-olah membawa jawapan ayah dari alam sana.

Mak Bedah, yang diam di sisi, menyapu air mata dengan hujung tudung yang sudah lembap.

“Tunggu Man di syurga, ayah!”

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (13) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (15) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (14) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Sungai: Sumber Ilham dan Sumber Alam yang Berharga
Kearifan Tempatan

Sungai: Sumber Ilham dan Sumber Alam yang Berharga

  • 5 Februari 2025
  • 85
  • 3.8
دوهاي سي سولوڠ
Puisi Moden

دوهاي سي سولوڠ

  • 20 Oktober 2024
Ibuku
Cerpen

Ibuku

  • 19 April 2024
  • 309
  • 4.5
Perjanjian Sumpah dalam Masyarakat Rungus di Borneo
Kearifan Tempatan

Perjanjian Sumpah dalam Masyarakat Rungus di Borneo

  • 5 Ogos 2024
  • 103
  • 4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP