Skip to content
Su Faridah
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Su Faridah
Su Faridah
Cerpen

Su Faridah

  • Az Adieputra
  • 5 November 2025
  • DBP Wilayah Timur
  • 4.5

NAMANYA Su Faridah, Cikgu Su Faridah. Berkulit cerah. Berlesung pipit indah. Bunyi macam klise, tetapi Cikgu Su Faridah memang menarik dan cantik. Masih muda dan belum berpunya.

Cukup pantas berita tersebar. Bertebar perkhabaran tersebut mengatasi cerita politik sensasi masa kini. Meluncur laju dari mulut ke mulut warga sekolah, terutamanya guru-guru lelaki yang berasa ada sedikit potensi namun mereka kurang yakin dan berani.

Aku cuba memilih untuk tidak terkesan dengan cerita Su Faridah, Cikgu Su Faridah.

Aku tidak ada sebab untuk berasa tergugat dan mengubah laluan kebiasaan dan kerutinan itu. Memang, tidak ada sebab.

“Cikgu baru belum jumpa lagi, kan?” soal pengetua.

“Belum,” pantas jawapanku.

Pengetua seakan-akan senyum tetapi tidak seperti biasa. Seperti ada sesuatu yang mahu dijelaskan. Aku tidak mahu tahu. Aku terima kelainan senyumannya seperti biasa. Aku tahu aku sedang dikail pertanyaan.

“Su Faridah namanya. Cikgu Su Faridah Kamal Aidid,” jelas pengetua.

“Saya tahu,” aku menambah.

“Cikgu tahu?” pengetua kehairanan.

“Tahu,” aku membalas semula.

“Tadi kata belum jumpa,  kan?” pengetua semakin curiga.

“Namanya cepat tersebar. Mungkin seluruh sekolah kita dah tahu namanya, meskipun belum kenal, belum jumpa tuan punya badan,” laju jawapan keluar dari mulutku.

“Hebat,” usik pengetua.

“Mungkin,” aku ingin segera menamatkan perbualan ini.

Ada wajah yang masih tidak berpuas hati. Wajah yang masih diterpa persoalan ingin tahu. Aku tahu aku sedang ditagih jawapan yang aku sendiri tidak tahu apa persoalannya.

“Saya mahu cikgu baca fail ini dan pastikan tugasan serta jadual untuk cikgu baru kita diselesaikan secepat mungkin. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena,” ujar pengetua.

“Maksud cikgu?” aku kehairanan.

“Cikgu semak betul-betul dan buat keputusan nanti,” pengetua bergegas meninggalkan aku.

Kata-kata pengetua tadi memaksa aku untuk tidak menunggu lagi. Aku juga mahu mencari jawapan itu. Jawapan yang perlu didapatkan dengan segera sebelum aku menyerahkan tugasan dan jadual waktu yang betul kepada Cikgu Su Faridah.

***

Cerita tentang nama dan raut wajahnya sudah betul. Segalanya memang tepat dan indah. Keberhasilan kerja lampau juga memang meyakinkan aku. Data-data pentingnya juga tersusun dengan kehebatan masa lalu. Menghampiri kesempurnaan sebagai seorang cikgu.

“Saya Su Faridah. Su Faridah Kamal Aidid. Asal Johor. Pengalaman mengajar agak lama juga. Hampir 20  tahun. Sebelum dipindahkan ke sini,” jelas Cikgu Su Faridah.

Aku masih meneliti fail dirinya. Aku masih tidak bersedia untuk mencari wajahnya. Entah kenapa sejak semalam aku diusik resah yang tidak menentu. Gelisah yang menular secara tiba-tiba. Ada sesuatu yang menerpa ingatan lalu.

“Kesusasteraan Melayu?” aku bertanya.

“Tidak relevan lagi, cikgu,” Su Faridah mencelah.

“Pembinaan dalaman pelajar boleh disalurkan menerusi penghayatan nilai murni dalam setiap karya sastera,” aku memanjangkan perbualan.

“Banyak masa terbuang, cikgu. Kita mesti pantas. Bergerak cergas dalam dunia semakin mencabar,” Su Faridah menjawab dengan penuh semangat.

Pertelagahan pandangan yang menimbulkan rasa tidak puas hati. Aku tidak puas hati dengan jawapannya. Ternyata dia memandang kecil akan kepentingan nilai sastera dalam  kehidupan.

“Itu untuk orang-orang lama. Kita ni orang baru. Perlu jelas matlamat dan hala tuju. Bukan masanya lagi nak berkias bagai,” kata-katanya begitu tajam.

Tersentap aku. Semakin tercabar. Menyirap darah seni yang puluhan tahun mengalir dalam urat nadi jantung hatiku. Dia benar-benar mencabar aku.

“Saya tidak mahu pelajar-pelajar saya hanyut. Khayal yang tidak berakar umbi. Tidak berpijak di bumi nyata,” Su Faridah tidak mahu mengalah.

Keterlaluan! Amat menusuk ke lubuk perasaanku. Tersiat luka dan begitu memedihkan. Kata-katanya menghampiri tahap penghinaan kepada penghasil karya seni.

“Bila anak-anak pelajar kita dapat bergerak laju sekiranya bermain dengan perasaan yang tidak ada sudahnya? Hanyut dan lupa tentang tugas peranannya dalam membina negara bangsa,” Su Faridah menambah.

Aku sendiri sudah lupa sejak bila dia mula memandang serong terhadap aku. Cikgu sains dan matematik ini begitu mencabar aku. Aku ingat sangat dia tidak seperti ini. Namun, sejak dua tiga hari ini dia benar-benar mencari kaedah dan cara untuk membangkitkan kemarahan aku atau lebih tepat membangkitkan kemarahan terhadap Kesusasteraan Melayu.

“Puisi-puisi yang cukup meloyakan,” kata-katanya begitu mencabar keegoanku.

Aku menanti dan menunggu riak kemarahannya. Mujurlah tahap kesabaranku boleh dikawal. Aku belajar memahami makna kemarahan yang tidak rasional. Kemarahan yang pasti bersebab.

“Puisi yang hanya sekadar pelarian. Tidak berani menerima kenyataan. Takut berdepan dengan kebenaran. Hipokrit!” telingaku semakin pedih.

Kata-katanya sudah membawa kepada punca perasaan marah dan tidak puas hati. Beberapa kali dia melarikan tatapan matanya. Keyakinannya mula tergugat.

“Segalanya hipokrit. Penipu. Aku betul-betul tak suka. Tak suka! Tak suka!” Su Faridah seperti hilang akal.

Aku masih bersabar. Dan aku semakin pasti persoalan yang bakal bertemu jawapannya.

Su Faridah semakin hilang kawalan. Dia semakin membenihkan kebenaran tentang kebencian itu.

“Penipu! Manusia sastera manusia penipu. Menipu perasaan orang dengan kata-kata manis tapi penuh dengan muslihat. Terbelit dan membelit jiwa raga manusia yang lemah dan mudah terpedaya. Aku cukup benci manusia ini,” Su Faridah seakan-akan melepaskan amarah lama.

Telahan dan andaianku semakin jelas. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang disuarakan oleh seorang guru yang cekap dengan data dan fakta pengiraan ini. Segalanya penuh objektif yang tidak membenarkan sebarang unsur subjektif mencelah. Tidak ada nada yang kurang dan sudah pasti tidak berlaku penambahan. Segalanya total dan tepat.

“Dia penulis novel,” aku bermonolog sendirian.

Akhirnya terjawab dan pengakuannya bermula.

“Aku manusia sains dan matematik. Aku tidak suka bermain dengan perasaan yang tidak pasti penamatnya,” jelasnya lagi.

Aku perhatikan gaya cakap dan susunan katanya tidak menggambarkan dia sebagai manusia sains dan teknologi. Jiwanya halus.

Agak pelik mungkin. Sebagai manusia Sarjana Sains tetapi bergelumang dengan ribuan novel di dalam kamar. Ratusan buku puisi di atas meja belajar. Kegilaan ini kian memuncak apabila penulisnya aku temui.

Suaranya sedikit perlahan. Sepi senja di perpustakaan kian dirasai. Aku tunduk dan membiarkan perasaan memahami dan mengerti menjalar ke setiap urat nadi simpati.

Ketika itu, aku terbawa-bawa ke alam mimpi dan realiti seni yang terbukti indah dan penuh dengan motivasi. Aku menemui harapan dan masa depan di situ. Memahami dan mengerti perasaan orang lain. Empati yang teramat. Hebat. Cukup hebat. Dalam dunia Sarjana Sains sebelum ini tidak pernah aku dapat ilmu sebegini, namun hari ini segalanya sudah terjawab. Jiwa kemanusiaan aku dah dapat, tetapi?

Aku terdiam sejenak. Mengangkat wajah yang mencari aku. Dia belum puas. Sepasang matanya juga masih kemerah-merahan. Perlahan-lahan matanya dikecilkan. Kerutan dahinya makin jelas berbekas.

“Dasar manusia sastera penipu. Bijak dan indah berkata-kata, namun membunuh kepercayaan. Perasaan halus ini mula dipermainkan setelah diikat kepercayaan. Mati-mati aku percayakan dia. Dia menipu. Penipu!” jeritan Su Faridah memenuhi ruang kecil perpustakaan.

Setelah berminggu-minggu aku kehilangannya barulah aku mendapat khabar bahawa dia sebenarnya ditinggalkan oleh manusia sastera yang memberikan harapan kosong kepada sang Sarjana Sains yang terlalu mengharap.

Dia hanya cikgu sastera, dia bukan manusia sastera. Itulah kata-kata terakhir yang aku berikan sebelum dia memilih untuk membina harapan baharu di sekolah lain. 

***

“Cikgu?” Su Faridah menyapa.

“Sila duduk, cikgu.” Aku tersentak.

“Su Faridah,” dia memperkenalkan diri.

“Baik. Berdasarkan memo ini …,” aku terdiam.

Aku terkejut dengan apa yang aku sedang hadap sekarang. Sesuatu yang mustahil. Tidak mungkin. Aku kaget seketika.

“Kenapa, cikgu?” Su Faridah menyoalku.

“Tak ada apa-apa. Tapi …,” aku diam lagi.

 “Tapi apa, cikgu?” Su Faridah bertanya kembali.

Cukup mengejutkan. Adakah aku masih berada di alam sedar atau berilusi? Seperti tidak percaya apa yang sedang aku lihat. Tidak mungkin. Bukankan dia sudah lama pergi? Pergi yang tidak pernah ada jalan pulang lagi.

“Maafkan saya. Saya hilang konsentrasi seketika apabila saya memandang wajah Cikgu Su Faridah,” aku kebingungan.

“Kenapa, cikgu? Ada yang tidak kena atau saya masuk tidak kena pada masanya, cikgu?” Su Faridah menyoalku bertubi-tubi.

“Oh, lupakan! Maafkan saya, Cikgu Su Faridah,” aku mencelah.

“Tak mengapa, cikgu. Cuma saya amat berharap agar saya dapat mengajar Kesusasteraan Melayu di sekolah ini. Mintak sangat-sangat, cikgu,” Su Faridah menambah.

“Kesusasteraan Melayu. Kesusasteraan Melayu Komunikatif atau KMK,” ujarnya lagi.

Aku melihat kesungguhan pada raut wajahnya. Aku menatap pengharapan pada sepasang mata bersih dan cantik itu. Ah, sekali lagi aku seperti tidak percaya! Sepasang mata itu adalah milik Su Maria. Cikgu Su Mariana!

“Saya nampak kesungguhan Cikgu Su Faridah untuk mengajar KMK di sini. Sedangkan kelas KMK kita hanya ada satu kelas sahaja. Dan saya yang mengajar kelas tersebut. Jadi saya mahu cikgu berikan sebab kenapa Cikgu Su Faridah perlu ambil tempat saya sebagai cikgu KMK di sekolah ini?” aku menyoal dengan lembut.

Riak wajahnya mula menimbulkan keringat di dahi, namun masih tak luntur semangatnya. Sepasang mata bersih memberikan keberanian.

“KMK dunia saya, cikgu. Saya mahu buktikan yang saya tidak silap pilih subjek mengajar saya. Keperibadian jati diri beretika sejati selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya lagi.

“Semangat sahaja tidak cukup, cikgu. KMK perlu lebih daripada itu untuk memastikan pelajar-pelajar kita benar-benar memahami kehendak kementerian dan membuat pembaharuan kepada subjek sastera ini,” aku menambah.

“Saya faham, cikgu. Tapi saya akan belajar dan mengajar KMK dari masa ke masa. Saya tahu saya masih baru dan belum cukup ilmu, cikgu,” dia meyakinkan aku.

Aku tersenyum puas. Aku hampir memiliki seorang tenaga pengajar KMK yang benar-benar memahami dunia sastera. Benar-benar meminati dan benar-benar ingin menakluk dunia seni sastera ini.

“Boleh saya tanya sedikit soalan berkaitan peribadi?” aku curiga dari tadi.

Su Faridah tergamam. Terus terpancar keresahan pada wajahnya. 

“Boleh, cikgu. Ada apa?” dia menyoal kembali.

“Adakah Cikgu Su Faridah mempunyai kaitan hidup dengan Cikgu Su Maria, maksud saya Cikgu Su Mariana?” aku dengan berani bersuara.

“Mama mahu saya tebus kesilapannya dahulu,” ringkas dan tepat jawapannya membuatkan aku terpaku.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (17) #komsas (2) #penulis (6) #penulisbaharu (19) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (16) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (4) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (11) dbpcawangansabah (8) dbpcawangansarawak (22) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Esei (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Puisi Tradisional (2) rindu (3) sajak (8) Sarawak (3) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Pulangnya Sang Pelaut
Puisi

Pulangnya Sang Pelaut

  • 20 Oktober 2025
  • 4.7
Malam Tanpa Cahaya
Puisi

Malam Tanpa Cahaya

  • 10 Ogos 2023
  • 133
  • 4.4
Gelora Kalbu
Puisi

Gelora Kalbu

  • 20 Mei 2024
  • 47
  • 3.8
Kesedaran Remaja tentang Kemerdekaan Negara dalam Novel Berlumur Duka
Bicara Sastera

Kesedaran Remaja tentang Kemerdekaan Negara dalam Novel Berlumur Duka

  • 20 Oktober 2025
  • 3.5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP