Laut
khabarkan pada dia
dalam tenangmu
ada gelora membelah dadamu.
Laut
khabarkan pada dia
dalam tenterammu
ada ombak datang membadai.
Laut
khabarkan pada dia
dalam amanmu
semilir menyapa sedingin salju.
Laut
khabarkan pada dia
sekali dikau menghempas,
pepasir pantai pun berubah.
Laut
khabarkan pada dia
aku ibarat biduk di tengahmu
terombang terapung dan terbuai
namun bisa bertahan.
Laut
khabarkan pada dia
akanku harung
andai badai melanda
meranap runtuhan rasa.
Dan
waima seganas ombak
mencengkam tebingan
akanku tiba ke pelabuhan
bersama-sama sinar bahagia.
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
