Skip to content
Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka
Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka
Bicara Bahasa

Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka

  • Noor Nani
  • 21 Jun 2025
  • DBP Cawangan Sabah
  • 37
  • 5

OBOR SEMANGAT NAN ABADI, begitulah tema sambutan ulang tahun ke-69 DBP pada tahun ini. Tema ini relevan dengan semangat dan usaha DBP yang sentiasa menyala bak obor demi menjunjung amanah memartabatkan bahasa Melayu, lambang jati diri bangsa.

22 Jun 1956, DBP ditubuhkan sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor yang bertujuan untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Setelah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 – 21 September 1956, Balai Pustaka dinamakan sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka dan dinaik taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaga sendiri.

Pada tahun 1957, DBP berpindah ke Kuala Lumpur dan beroperasi di sebuah bangunan yang dahulunya merupakan bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, DBP dinaikkan taraf lagi menjadi sebuah badan berkanun. Pada 31 Januari 1962, DBP berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa).

Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka
Menara DBP dan Wisma DBP di Kuala Lumpur.

DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur pada tahun 1977 dengan membuka DBP Cawangan Sabah, di Kota Kinabalu, Sabah dan DBP Cawangan Sarawak, di Kuching, Sarawak. Ini diikuti pula dengan pembukaan dua buah pejabat di Malaysia Barat pada tahun 1999, iaitu DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan. Seterusnya pembukaan DBP Wilayah Selatan di Johor Bharu, Johor pada tahun 2000 dan DBP Wilayah Tengah di Kuala Lumpur pada tahun 2011.

Pada tahun ini, Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP diadakan di negeri Sabah. Hal ini merupakan pengiktirafan kepada negeri Sabah khususnya dan DBP Cawangan Sabah amnya. Lebih bermakna lagi apabila majlis perasmian bakal disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah. Sehubungan dengan itu, penulis menyorot sejarah penubuhan DBP Cawangan Sabah dan memberikan maklumat program Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP di negeri Sabah.

Penubuhan DBP di Sabah mula dibincangkan dengan serius mulai dekad 1970-an apabila hal-hal berkaitan pembinaan, pengembangan dan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi mula difikirkan. Memandangkan keperluan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi dengan pesat di negeri Sabah, maka perbincangan antara Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pelajaran dan DBP yang juga melibatkan Kerajaan Negeri Sarawak telah diadakan.

Pada Ketika itu, para penulis dan persatuan bahasa dan sastera seperti BAHASA (Badan Bahasa Sabah), turut menggesa dan menyokong penubuhan DBP di Sabah. BAHASA melalui Seminar Bahasa Malaysia pada 4 hingga 6 Ogos 1970 telah menjadikan gesaan penubuhan DBP Cawangan Sabah sebagai salah satu resolusi seminar tersebut.

Sebelum itu, perjuangan ke arah mendaulatkan bahasa Melayu di Sabah telah bermula sejak tahun 1980-an oleh The Muhammadan Association di Sandakan, diikuti oleh beberapa pertubuhan lain seperti Persatuan Melayu Tawau (1910), Persatuan Islam Putatan (1951), Angkatan Gaya Baru (AGABA) (1959), Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) (1963) dan lain-lain, menjadi juga salah satu faktor kepada pewujudan DBP di Sabah. Maka pada 1 Januari 1977, bermulalah sejarah DBP di Sabah dan satu era baharu pembinaan dan pengembangan bahasa di Malaysia Timur.

Penubuhan DBP Cawangan Sabah ini hasil percantuman DBP dan Biro Kesusasteraan Borneo (BKB) di Sarawak yang melibatkan juga cawangan BKB di Kota Kinabalu. Turut diambil alih dan diserapkan ke dalam perkhidmatan DBP ialah harta dan kakitangan BKB. Mulai saat itu, semua fungsi BKB diselaraskan dengan peranan dan matlamat DBP, iaitu:

i. Untuk meningkatkan penerimaan dan penggunaan bahasa Malaysia di Sabah dengan memesatkan pembinaan dan pengembangannya melalui berbagai-bagai sumber dan media sehingga setara dan setaraf dengan Semenanjung Malaysia.
ii. Untuk mengembangkan bakat dan meningkatkan mutu penghasilan kesusasteraan dalam kalangan sasterawan Sabah sehingga menjadi setara dengan di Semenanjung Malaysia.
iii. Untuk menjadikan DBP Cawangan Sabah sebagai pusat kegiatan bahasa dan sastera di negeri Sabah.
iv. Untuk membantu DBP Kuala Lumpur mendapatkan manuskrip yang bermutu untuk diterbitkan.
v. Untuk memperluas penyebaran buku-buku terbitan DBP dalam kalangan pengguna di Sabah.

Pada awal penubuhan, DBP Cawangan Sabah hanyalah sebuah pejabat kecil yang terletak berhampiran dengan Rumah Persekutuan di Jalan Tengku Abdul Rahman, Kota Kinabalu. Bangunan tersebut telah dipinjamkan kepada BKB oleh Kerajaan Negeri Sabah dan diwarisi oleh DBP selepas itu.

Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka
Pejabat DBP Cawangan Sabah, di Jalan Tengku Abdul Rahman, Kota Kinabalu.

Di bawah pimpinan Pengarah DBP Cawangan Sabah yang pertama, Haji Mohd. Kamal Zainal Abidin (1977-1979), tugas utama DBP Cawangan Sabah pada peringkat awal hanyalah untuk memasarkan buku-buku yang diterbitkan oleh BKB dan DBP, menerbitkan majalah Dewan Perintis dan menjalankan penyelidikan terhadap cerita rakyat Sabah.

Pada bulan Julai 1977, DBP Cawangan Sabah telah berpindah ke pejabat baharu di Blok A, Lot 7, Kompleks SEDCO, Kampung Air, Kota Kinabalu, Sabah. Bangunan setinggi tiga tingkat ini didiami hingga tahun 1996 yang menampung sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan DBP Cawangan Sabah seramai 71 orang, kecuali pegawai dan kakitangan Unit Stor yang ditempatkan di bahagian lain.

Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka
Pejabat DBP Cawangan Sabah di Bangunan SEDCO, Kota Kinabalu.

Beban tugas DBP Cawangan Sabah semakin tahun semakin berat dan mencabar. Pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera di negeri Sabah perlu digerakkan supaya tidak terus ketinggalan. Hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran di sektor awam dan swasta masih belum tercapai sepenuhnya. Begitu juga dengan projek-projek lain yang bukan sahaja memerlukan prasarana, tetapi juga pertambahan kakitangan. Oleh itu, satu pelan pembangunan fizikal dirancang dan telah menjadi tumpuan utama dalam agenda pembangunan baharu bagi DBP Cawangan Sabah.

Pada tahun 1987, DBP telah membeli sebidang tanah daripada Kerajaan Negeri Sabah untuk dijadikan Kompleks Pejabat DBP Cawangan Sabah. Pada 25 Oktober 1993, kerja pembinaan dimulakan dengan peletakan batu asas Kompleks DBP Cawangan Sabah. Empat tahun kemudian, pada 1 Januari 1997, iaitu genap 20 tahun penubuhan DBP Cawangan Sabah, semua operasinya telah dipindahkan ke kompleks yang baharu di Teluk Likas, Kota Kinabalu.

Dengan adanya kompleks yang serba lengkap ini, DBP Cawangan Sabah telah berjaya menganjurkan pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di negeri Sabah. Kompleks DBP Cawangan Sabah yang terletak di Teluk Likas telah dirasmikan pada 1 Julai 1997 oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu.

Pejuang bahasa tidak dilupakan. Perjuangan mereka bak Obor Semangat Nan Abadi yang merealisasikan kelangsungan DBP Cawangan Sabah. Di Negeri di Bawah Bayu, perjuangan Datuk Jamdin Buyong dalam sejarah memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi harus dikenang dan diketahui oleh generasi muda. Usaha beliau dan rakan-rakan berbaloi apabila pada 16 September 1973, Kerajaan Negeri Sabah mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negeri Sabah.

Kini, DBP Cawangan Sabah meneruskan kesinambungan perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera di negeri ini mengikut arus terkini. Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP menyemarakkan usaha pemartabatan bahasa Melayu di negeri ini lagi. Istimewanya, aneka program yang dianjurkan oleh DBP bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP melibatkan pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat.

Dirgahayu DBP: Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka
Program bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP di Sabah.

Sesungguhnya kerjasama daripada pelbagai pihak dalam usaha penganjuran program yang dirancang amatlah bermakna kepada DBP. DBP tidak bersendirian dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Antara yang terlibat menjayakan Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP, termasuklah Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Pejabat Istana Negeri, Bahagian Istiadat dan Protokol, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia (Sabah), Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Perguruan Kampus Kent, Tuaran, Institut Perguruan Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Pejabat Daerah Membakut, Pejabat ADUN N.31 Membakut, SMK Membakut, SMK Badin, Tuaran, Perpustakaan Cawangan Membakut dan banyak lagi.

Ceritera perjuangan dan kejayaan DBP yang penulis nyatakan diharap menjadi pendorong dan pemangkin kepada karyawan DBP juga masyarakat di seluruh negara untuk berganding bahu agar DBP tekal menyalakan Obor Semangat Nan Abadi.

Dirgahayu DBP.

Bahasa Jiwa Bangsa.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (5) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

سجاده غزة
Puisi Moden

سجاده غزة

  • 20 November 2023
  • 5
Rimba Zaman
Puisi

Rimba Zaman

  • 20 Jun 2024
  • 73
  • 4.3
Jendela Ramadan
Puisi

Jendela Ramadan

  • 20 Mac 2025
  • 29
  • 4.7
Gundik Tri Anak Laksamana
Cerpen

Gundik Tri Anak Laksamana

  • 9 November 2023
  • 247
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP