SEJAK tadi, Aki Gilau tidak keruan. Dia mundar-mandir dari ruai ke hujung tanju sebelum melabuhkan punggung di atas tikar bemban untuk kali ketiga. Tidak lama kemudian, dia kembali ke hujung tanju. Tidak dihiraukan mereka yang sedang ralit menjemur lada putih dan lada hitam, hasil pungutan di kebun sebelum matahari hari itu duduk di atas langit. Cuaca hari itu cerah tetapi hati Aki Gilau seakan-akan dilanda ribut gelisah.
“Kenapa Aki Gilau? Aku lihat sejak tadi kau seperti ayam betina mahu bertelur.”
Aki Gilau memandang sejenak lelaki yang sebaya dengannya sebelum kembali merenung ke hutan menghijau. Lelaki itu adalah Aki Rundau. Tinggal di sebelah bilik keluarga Aki Gilau. Tangannya sedang sibuk mengait jala yang koyak kerana ikan semah di Sungai Ulu Lebak. Hampir sahaja dia dapat menangkap ikan itu tetapi ikan semah itu besar dan berjaya melepaskan diri. Aki Rundau berasa geram dan dia benar-benar ingin menjala kembali ikan semah yang telah merosakkan jalanya semalam. Dia seolah-olah dicabar oleh ikan semah itu dan sebab itulah, dia terus membaiki jala yang koyak sebaik sahaja bangun dari tidur.
“Aku tak suka perempuan orang putih itu. Entah apa niat dia berada di sini,”sahut Aki Gilau. Wajahnya kelihatan sedikit marah. “Sudah dihalau, masih lagi berdegil untuk berada berdekatan rumah panjang ini,” tambahnya.
Aki Rundau tidak menyahut. Dia hanya mendengar sahaja bicara Aki Gilau yang akhirnya meluahkan apa yang terbuku di benak fikiran.
“Ditakutkan dengan parang ilang juga sudah.” Dia bercekak pinggang.
“Dia mahu mengajar anak cucu kita bahasa orang putih.” Muncul seorang wanita, berkemban dengan kain sarung berwarna kuning layu. Wanita itu merupakan isteri kepada Aki Rundau. Dia membawa bersama dulang berisi air kopi dan penyaram. “Aku dengar dari anak Apai Luta.”
“Haish! Tentu dia ada cuba mendekati budak-budak yang bermain di sekitar depan rumah panjang kita. Kenapa tak ada yang halau dia pergi?” marah Aki Gilau. Tangannya digenggam kuat. Seolah-olah perempuan orang putih itu ada di hadapannya.
“Perempuan orang putih itu sangat degil. Kata budak-budak tu lagi, dia bawa sekali kotak segi empat yang boleh ditekan-tekan itu. Ditunjuknya pada budak-budak itu,” ujar wanita itu.
“Kenapa tak beritahu aku awal-awal? Biar aku saja yang halau dia dengan parang ilang. Dia tidak tahu yang parang ilang aku dah makan banyak nyawa orang sepertinya!” Matanya mengerling ke arah gugusan tengkorak kepala yang bergantung di tengah ruai.
“Sabar, Aki Gilau. Sekarang ini orang putih menguasai tanah kita. Kita tunggu sedikit masa. Suatu saat nanti, tentu ada yang pergi menentang mereka. Aku dengar ada kumpulan yang sedang merancang untuk menyerang mereka pada masa terdekat,” kata Aki Rundau.
“Kalau mereka berani masuk ke kawasan rumah panjang kita, aku tidak takut mati melawan mereka!” Mata Aki Gilau membulat. Begitu marahnya dia mendengar perkataan orang putih itu. Nafasnya turun naik. Dadanya berombak kencang.
“Anak cucu kita tidak boleh dipujuk dengan kata-kata manis orang putih. Ini tanah air kita, tanah tumpah darah moyang kita. Setapak pun kita tak akan mundur biarpun terpaksa mati berdepan dengan mereka!” Jerkahan Aki Gilau mengejutkan penduduk kampung yang sedang duduk bersantai di ruai. Ada yang mengangguk bererti bersetuju.
“Sabar, Aki Gilau. Bukan kau saja yang tidak suka orang putih di kawasan kita tetapi bersabarlah buat sementara waktu. Bukan kau tak tahu, senjata mereka lebih canggih, lebih baik daripada apa yang kita ada pada waktu ini. Tetapi itu bukan bererti kita cuak akan mereka. Aku ada dengar khabar yang pada waktu ini Linggi dan orang-orangnya sedang menyiapkan diri untuk menyerang mereka,” bicara Aki Rundau.
“Baguslah kalau begitu. Kita orang Iban tidak gentar jika terpaksa mati demi tanah pusaka!”sahut Aki Gilau setelah mendengar kata-kata Aki Rundau. Kata-kata itu sedikit mengurangkan gusar di jiwa. Akhirnya, kopi yang telah sejuk diteguk.
*****
“Dana. Kau mahu ke mana?” Pemuda itu terkejut disergah Aki Gilau. Dia sebenarnya mahu ke tebing sungai kerana ada urusan yang tidak ingin diketahui sesiapa.
“Aku mahu menjala ikan,” bohongnya.
“Lebih baik kau belajar mengasah mata parang dengan aku daripada kau membuang masa setiap hari di sungai,” tegur Aki Gilau.
Dana menggaru kepala. Kemudian, dia membetulkan sirat yang longgar dililit di punggung. Mahu tak mahu, dia turutkan sahaja kemahuan Aki Gilau.
Aki Gilau menggeleng melihat perlakuan cucunya itu. “Begini caranya,” ujar Aki Gilau. “Gosok satu arah. Jangan bolak-balik. Nanti mata parang rosak. Condongkan sedikit.” Tangan Aki Gilau bergerak perlahan dan konsisten. Sekejap-sekejap dia perhati mata parang dengan hujung mata yang teliti.
Dana perhati tatu pada lengan dan tubuh orang tua itu. Di bawah dagunya juga ada tatu. Dia ingat lagi, usianya pada waktu itu baru sahaja enam tahun tetapi ada beberapa ingatan yang masih segar dalam kenangan. Arwah ayahnya juga ada beberapa tatu. Dia sempat melihat proses mengukir tatu arwah ayah. Pemalu (pengetuk) digunakan untuk mengetuk kayu tatuk berdakwat ke kulit berulang kali. Mengerut dahi arwah ayah setiap kali pemalu hinggap di lengannya.
Dana memerhati ke tubuhnya yang masih kosong, belum ada satu pun tatu. Walaupun kini usianya sudah hampir menjangkau lima belas tahun, tetapi dia masih belum lagi membuat sebarang tatu. Menurut Aki Gilau, tatu adalah lambang kepahlawanan, tanda kemenangan dan status seseorang sebagai simbol keberanian setelah mencapai suatu kejayaan.
“Nah, sekarang giliran kau pula.” Aki Gilau menghulurkan parang ilang pada Dana.
Entah mengapa, parang ilang terasa berat di tangan Dana. Seperti direnjat elektrik sebaik sahaja parang itu bertukar tangan. Meremang bulu tangan Dana. Entah berapa nyawa telah hilang di mata parang ilang itu kerana Aki Gilau adalah salah seorang pengayau. Dana menoleh pada tengkorak kepala yang bergantungan di tengah ruai. Tengkorak kepala itu seumpama trofi, kemenangan memenggal kepala musuh.
“Kau ada nampak perempuan orang putih berjalan di kawasan tanah kita?”soal Aki Gilau tiba-tiba.
Tersentak Dana mendengarnya. Parang ilang tadi diletakkan ke bawah. “Tidak,”sahutnya.
“Kalau ada nampak, usir dia pergi. Kita tidak mahu orang asing masuk ke tanah kita.”
Dana mengangguk.
Apa yang Aki Gilau tidak tahu, dia ada bertemu dengan perempuan orang putih itu. Bukan sekali tetapi telah banyak kali.
Pada mulanya, dia menghalau perempuan orang putih itu yang tiba-tiba datang padanya sewaktu dia berseorangan di tebing sungai yang jauh dan terletak tersembunyi di hujung kampung. Jarang didatangi orang. Namun, perempuan orang putih itu amat degil. Dia datang lagi keesokan harinya. Membawa bersama kotak yang mempunyai banyak butang di atasnya bersama helaian kertas.
Perempuan orang putih itu tidak mudah berganjak pergi. Dengan wajah tenang, dia duduk di atas batu. Memerhati Dana yang bercekak pinggang sambil memegang sebilah pisau di tangan, berjaga-jaga. Sedangkan perempuan orang putih itu bersahaja tanpa ada sebarang senjata. Akhirnya, Dana biarkan sahaja. Perempuan orang putih itu menekan-nekan satu persatu butang itu berulang kali. Kemudian, dia menunjukkan sekeping kertas pada Dana. Dana tidak menghiraukannya lalu terus menjala ikan. Kenapa dia harus takut pada perempuan orang putih itu?
Esoknya perempuan orang putih itu datang lagi. Menghulurkan kertas pada Dana. Dana segera merenyukkan kertas itu. Wajah perempuan orang putih itu berubah. Sedikit kecewa.
“Gila!” Bicara Dana padanya. Tidak mempedulikan perempuan orang putih itu, dia terus menjala ikan.
Hari demi hari, perempuan orang putih itu masih lagi datang ke situ. Hanya mereka berdua. Dana pula semakin rimas. Perempuan orang putih itu langsung tidak takut mahupun segan. Tetapi setiap kali perempuan orang putih itu pulang, dia akan meninggalkan beberapa helaian kertas dengan tulisan di atasnya.
Suatu hari, perempuan orang putih itu tidak datang ke situ. Entah mengapa, Dana pula seakan-akan tercari-cari akan perempuan orang putih yang selama ini, dia tidak pernah hiraukan. Helaian kertas yang telah basah kerana hujan dipegang Dana. Dana tidak tahu maksud tulisan yang bertaip itu kerana dia tidak pernah bersekolah. Dia membelek-belek kertas itu. Dia ingat lagi betapa bisingnya objek yang digunakan perempuan orang putih untuk menghasilkan tulisan di atas kertas.
Esoknya, perempuan orang putih itu masih tidak kelihatan. Selalunya, dia akan membawa sebuah beg, tempat menyimpan alat untuk menaip di atas kertas itu. Dia sentiasa menoleh ke arah jalan tempat perempuan orang putih itu masuk. Tetapi, perempuan orang putih itu tidak juga memunculkan diri sehinggalah senja melabuhkan tirai.
“Dah, tajam sudah mata parang ilang ni.” Dana bangun. Dia menghulurkan parang ilang itu pada Aki Gilau.
“Kau nak ke mana?”soal Aki Gilau.
“Aku nak menjala!” sahutnya tergesa-gesa. Entah mengapa dia teringat pada perempuan orang putih itu dan berharap agar perempuan orang putih itu ada di tebing sungai pada hari ini.
Jala yang telah dikemas rapi, diletakkan di atas bahu. Dia berjalan berkaki ayam menuju ke tebing. Tetapi matanya tidak menipu. Sentiasa melilau. Mencari perempuan orang putih itu. Dari jauh, dia dapat melihat perempuan orang putih itu mengenakan seluar panjang dan baju putih dan setia duduk di atas batu seperti biasa. Dia juga memakai topi jerami lebar yang menutup setengah wajahnya dari terik matahari.
Perempuan orang putih itu melambai padanya sebaik sahaja melihat Dana. Senyumannya manis dengan calitan gincu merah muda di bibir. Sedikit rasa gembira menyelubungi hati seperti lalang bertepuk tangan ditiup angin sepoi-sepoi. Dana menyembunyikan senyuman sedangkan hatinya berbunga.
Perempuan orang putih itu menghulurkan helaian kertas padanya. Dana memegang kertas itu, berpura-pura marah tetapi kali ini, dia tidak membuang kertas itu seperti selalu. “Ini A. Ini B.” Perempuan orang putih itu berkomunikasi dengan bahasa yang dia tidak ketahui, bercampur aduk dengan isyarat tangan.
Hari berganti hari. Hubungan mereka berdua menjadi rapat.
Rupanya, perempuan orang putih itu mahu mengajar penduduk kampung di situ. Mahu mereka berpendidikan, katanya.
Objek yang selalu dibawanya itu dinamakan mesin taip. Mempelajari bahasa asing tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada bangsanya sendiri tetapi mengajarnya untuk lebih memahami bahasa dan budaya yang berbeza, menurut perempuan orang putih itu lagi.
*****
“Celaka kau!” Dana mendongak. Bilah parang betul-betul terletak di bawah dagu. Seinci dia bergerak, maka bilah itu pasti membelah dagu. “Di sini kau bersama perempuan orang putih!”
Dana tidak menjawab. Dia melindungi perempuan orang putih itu yang sedang berada di belakangnya, ketakutan.
“Pengkhianat! Patutlah kau sering ke tebing sungai. Betina orang putih ini yang kau sering jumpa!” jerkah Jemat. Parang masih diacukan pada Dana. Dana kekal tidak bergerak. Hendak menjawab tetapi dia tidak berani kerana parang itu tegak diacu ke arahnya. Salah langkah, dia tidak bernyawa.
“Jemat!” Suara Aki Gilau memanggil. Ramai yang turut hadir. Benarlah apa yang didengar Aki Gilau dua hari lepas, Dana bertemu dengan perempuan orang putih yang diharamkan masuk ke kampung mereka.
“Aku tak kira, Aki Gilau! Walaupun dia cucu kau, dia mengkhianati kita! Dia lupa siapa asal usul dirinya!” Parang bergerak ke kiri dan hampir ke dagu Dana lalu melukakan sedikit kulitnya. Dia terundur ke belakang.
“Dia datang bukan mahu menjajah tempat kita,”jelas Dana.
“Kau diam! Tidak layak untuk kau bercakap lagi pada ketika ini!”
Tangan Dana memegang kulit dagu yang terluka. “Dia tidak berbahaya. Di tangannya hanya ada mesin taip dan kertas!”kata Dana lagi.
“Bangsa perempuan orang putih itulah yang menyerang Rentap! Hampir lima ratus orang orang Rentap dibunuh oleh Rajah Putih! Kau kacang lupakan kulit! Mungkin kau sudah lupa, ayah kau salah satu daripada mereka yang mati mempertahankan tanah kita!”kata Aki Gilau. “Kerana itu aku membenci orang putih!” Aki Gilau menarik parang ilang dari sarung berukiran ikan dengan pemegang berbentuk naga.
Hanya sekali tarik, dia memenggal kepala Dana dengan parang yang pernah diasah Dana. Pengkhianat hukumnya, mati. Tiada keampunan walaupun darah dagingnya sendiri. Perempuan orang putih itu menjerit ketakutan sebelum pengsan.
Malam itu, kecoh di hadapan Rumah Pegawai Besar Orang Putih. Anak perempuan pegawai kanan Rajah Putih ditemui terbaring bersama kepala penduduk tempatan. Bagaimanapun, perempuan orang putih masih lagi bernyawa dan dibiarkan hidup. Hari itu juga adalah hari terakhir perempuan orang putih itu dilihat menjejak kaki ke rumah panjang Aki Gilau.