Skip to content
HSPM: Pedoman Buat Penulis Muda
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > HSPM: Pedoman Buat Penulis Muda
HSPM: Pedoman Buat Penulis Muda
Bicara Sastera

HSPM: Pedoman Buat Penulis Muda

  • Benedict Anak Samling
  • 20 Julai 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 85
  • 5

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang ditangguhkan untuk edisi kali ini, meninggalkan gema kata-kata dan detak dalam naskhah yang masih berdenyut dalam ruang ingatan kita sebagai pembaca.

Anugerah ini bukan sekadar acara dwitahunan. Lebih daripada itu, ia merupakan sebuah perayaan yang mengangkat makna, memberikan penghormatan kepada penulis, kepada karya, kepada pena, dan sebuah pengiktirafan terhadap denyut nadi sastera tanah air.

Di sebalik senyuman yang terukir di wajah para penerima di atas pentas, tersirat jerih payah, malam-malam yang panjang dan keberanian para penulis menterjemahkan zaman mereka ke dalam ayat dan dihidangkan kepada para pembaca. Menulis bukanlah suatu pekerjaan yang semudah memetik butir-butir debu di udara, tetapi menulis menuntut seseorang berfikir, merenung, mengembara, mengorbankan masa dan wang.

Jelas, barisan nama yang menerima penghormatan ini bukan sekadar penulis, mereka ialah perakam sejarah dan denyut nadi bangsa. Dan bagi penulis yang masih meniti jalan kepengarangan, penganugerahan ini menjadi mercu, menjadi panggilan untuk terus menulis, meski senyap, meski belum tiba giliran untuk disorot cahaya lampu limpah.

Percayalah, setiap huruf yang ditulis dengan jujur, setiap ayat yang lahir daripada keresahan zaman, dan setiap karya yang memikul derita serta harapan masyarakat pada akhirnya akan menemui takdirnya.

Dan hari ini, di sinilah takdir itu berdiri, dalam bentuk pengiktirafan yang kita kenali sebagai Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Tahniah kepada para penerima. Anda bukan sahaja penulis, tetapi penjaga zaman, penyaksi kepada denyut nadi masyarakat dan peneroka bahasa yang menggali makna dalam kegelapan dunia yang semakin kacau-bilau, dalam kesunyian yang kian nyaring.

Nama-nama besar yang telah dipilih bukan sekadar dijulang kerana keindahan gaya bahasa atau kelicinan teknik, tetapi kerana karya-karya mereka menembusi kulit dan menyentuh isi hati para pembaca. Mereka telah memperlihatkan bahawa sastera bukan sekadar seni, tetapi juga bentuk tanggungjawab sosial.

Namun, seperti sebatang pokok tidak hanya hidup kerana buahnya, sastera juga tidak akan hidup hanya kerana nama-nama besar. Di celah bayang para tokoh ini, wujud penulis-penulis muda, yang barangkali baru sahaja meletakkan noktah terakhir pada cerpen pertamanya. Kepada penulis muda, inilah saat untuk merenung dan membina kepengarangan, bukan sekadar terpesona oleh cahaya lampu limpah dalam majlis-majlis anugerah.

Penulis muda yang disayangi, teruslah menulis.

Bukan demi anugerah, bukan demi tepukan gemuruh yang cepat reda, tetapi demi kebenaran yang kerap disunyikan. Dalam dunia yang semakin gemar berlari ke arah khalayak, sorakan dan gelaran, jadilah seseorang yang memilih untuk berjalan perlahan, mendengar suara halus di pinggir-pinggir kota mahupun di desa, yang tidak kedengaran di pentas megah.

Usahlah terlalu dikejar anugerah semata-mata sebelum membina kejujuran dalam setiap ayatmu. Kerana pena yang jujur akan selalu lebih tajam daripada pedang pujian, dan karya yang lahir dari hati tidak pernah basi ditelan zaman. Anugerah sebenar bukan pada trofi yang mudah memerangkap debu, tetapi pada hati yang pernah tersentuh oleh tulisanmu.

Tulislah kerana kamu melihat dunia sedang terluka dan kata-kata mungkin tidak menyembuhkan, tetapi ia mampu menjadi balutan luka. Tulislah kerana kamu sedar, ada suara di pinggiran, di hujung lorong gelap atau di kaki gunung yang sunyi yang belum pernah diberi tempat di kertas sejarah. Jadilah kamu jurubicara dan lidah mereka, dengan rendah hati menyampaikan keluh-kesah mereka.

Dan, yang paling penting, tulislah dengan penuh kesedaran dan keberanian. Kesedaran bahawa setiap perkataanmu membawa tanggungjawab dan keberanian untuk berkata benar walau yang mendengar itu menolak. Dunia ini tidak miskin kata-kata, tetapi miskin kejujuran. Maka, biarlah tulisanmu menjadi pelita kecil di tengah malam yang panjang. Ia tidak perlu menerangi seluruh dunia, cukuplah ia menerangi satu jiwa yang sedang mencari jalan.

Teruslah menulis, wahai sahabat penulis muda. Mungkin suatu hari nanti, dunia akan tersentuh bukan kerana siapa kamu, tetapi kerana apa yang kamu tuliskan demi manusia lain.

Dan yang paling penting, bacalah dan berfikirlah. Bacalah dengan mata yang terbuka dan hati yang belum tertutup oleh prasangka. Telusurilah halaman demi halaman karya yang terbentang di depan matamu dan terokalah karya yang melangkaui sempadan bahasa dan waktu. Jangan hanya membaca untuk mengutip petikan manis atau kerana siapa penulisnya atau yang paling sadis, ‘asalkan dilihat membaca’, tetapi membacalah untuk memahami jerit sunyi di sebalik noktah, untuk mendengar suara yang bisu dalam setiap jeda.

Berfikirlah seperti kanak-kanak yang merenung langit, bertanya kepada awan mengapa ia tidak pernah jatuh, mengapa malam selalu datang semula, dan mengapa hati manusia boleh begitu rumit dan lembut dalam masa yang sama.

Berfikirlah dengan keberanian untuk tidak tahu dan keinginan untuk mencari. Kerana dari sanalah kamu akan belajar, bahawa menjadi penulis bukan sekadar tentang menulis. Ia adalah tentang menjadi pendengar kepada dunia yang tidak pernah terhenti walau sedetik, tentang menjadi cermin yang memantulkan cahaya dan luka, tentang memahami bahawa setiap manusia membawa kisah yang tidak tertulis dan kamu, penulis muda, dengan segala keterbatasanmu telah dipilih untuk menulisnya.

Menjadi penulis adalah tentang memikul dunia, bukan sebagai beban, tetapi sebagai amanah.

Amanah untuk menjaga cerita yang hampir dilupakan, untuk memelihara harapan dalam bentuk aksara, dan untuk mengingatkan manusia bahawa kata-kata, meski halus, mampu menggoncang gunung senyap yang berdiri dalam hati.

Sastera Malaysia akan terus bernyawa selagi ada yang menulis dari hati. Para penerima HSPM hari ini telah menjadi bukti bahawa karya yang benar akan tetap ditemui dan dihargai, meskipun lahir daripada kesunyian. Maka kepada penulis baharu, jadikan kesunyian itu taman untuk bertunas, bukan alasan untuk menyerah.

Akhir kata, tahniah sekali lagi kepada para pemenang HSPM. Dan kepada yang belum menang, mungkinkah karyamu sedang menunggu waktunya untuk menemui dunia? Walau apa-apa pun, terus menulis.

Teruskan memanusiakan manusia dengan penulisan.

 

# Esei# HSPM
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #komsas (2) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (17) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (24) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Di Mana Kedudukan Sastera dalam Dunia Moden?
Bicara Sastera

Di Mana Kedudukan Sastera dalam Dunia Moden?

  • 20 April 2025
  • 100
  • 4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP