“Kita ini, siang malam kerja …. Apa kata orang sekarang ini, guru tunjang sekolah sejahtera? Hmm, selagi ada murid-murid di asrama, selagi itulah kita kena bekerja! Tengah-tengah malam pun dapat panggilan daripada murid-murid minta hantar ke hospital.” Su merungut.
Murni hanya diam memangku muridnya yang sakit itu.
“Aku nak pencen awallah … cukup tempoh perkhidmatan, aku minta berhenti. Minta laki jaga ….” Cheli menjawab sambil fokus berkereta untuk menghantar murid yang demam ke hospital pada pukul 2.00 pagi.
Kemudian mereka sama-sama ketawa.
***
Setibanya di sekolah, “Aku dah agak ….” Cheli berdiri di meja kerja Cikgu Syulais. Buku dan kertas berselerak. Ada serdak-serdak biskut bertabur atas meja. Cheli menyelak juga helaian kertas dan buku untuk mencari sesuatu.
“Hoi Cheli, awal kau datang pagi ini! Eh, kau buat apa dekat sarang tikus itu?” Su ketawa melihat gelagat Cheli membelek kertas.
Cikgu Murni meninjau-tinjau dari muka pintu. Dia masih menjinjing kasut untuk diletakkan di rak. Jika dibiarkan di muka pintu, pasti akan dipijak atau disepak oleh sesiapa yang lalu-lalang, terutama oleh murid-murid. Ada kasut berselerak. Jika guru kencing berdiri pasti murid akan kencing berlari. Cikgu Murni mengangkat satu-persatu menyusun beberapa pasang kasut yang terbiar itu.
Kau cari apa itu, Cheli? Tak fasal-fasal kena gigit dengan semut gatal nanti. Entah-entah, ular pun sudah bersarang di situ ….” Kata-kata Cikgu Murni tidak sempat dihabiskan. Dia ketawa.
“Eh, Akak Murni ini! Jangankan semut, lipas, tikus, biawak dan segala mak nenek boleh bersarang.” Su menambah. Riuh mereka ketawa.
“Hah, jumpa pun! Aku dah agak memang bersih skrip jawapan budak-budak ini. Tidak bertanda langsung. His, tetapi markah sudah ada dalam sistem!” Cheli kembali berkerut. Dia mengetip telefon bimbit, merakam gambar skrip-skrip yang tidak bertanda itu.
“Bos bising pagi-pagi lagi, ada budak mengadu fasal markah peperiksaan semester mereka. Suruh aku tengok-tengokkan ….” Cheli serba salah memberitahu hal itu.
“Oh, sebab itukah kau tiba-tiba jadi detektif ini? Nak menyiasatlah konon! Boleh gaduh kau nanti dengan kawan tu ….” Su tutup mulutnya dengan hujung jari apabila Cikgu Murni mencuit bahu menunjuk ke suatu arah.
Masing-masing menikus. Cheli lekas-lekas masukkan telefon bimbitnya ke dalam tas tangan.
***
“Tak boleh … Tak boleh ….” Agak keras nada suaranya. Cermin matanya ditolak dengan jari telunjuk agar tidak melurut ke hujung hidung.
Dia bertegas. Sebelum ini, Cikgu Murni masih melayan kerenah murid-murid yang meminta markah tambahan. Ini peperiksaan akhir. Kena telus. Tidak boleh sewenang-wenang memberikan markah simpati. Sudah berkali-kali tulisan tangan murid-muridnya disemak. Cukuplah setakat tiga kali.
Cikgu Murni melihat catatan kerja mingguannya yang ditandai dengan dakwat merah, terutama untuk kerja penting dan segera. Sepanjang hari ada kelas akademik. Ada kala, terselit juga mesyuarat pada waktu rehat. Petang pula bermula pukul 2.30 berlanjutan sehingga waktu asar dengan pelbagai taklimat dan pertemuan. Pukul 5.30 petang, dia perlu menguruskan kelab dan persatuan. Itu tidak termasuk tugas tetap sebagai jurulatih bola jaring lagi. Selepas solat isyak tergesa-gesa pula ke kelas tambahan atau memantau pelajar di kelas persediaan malam. Hidup macam robot, hanya berehat ketika tidur. Masa tidur seolah-olah suis dimatikan. Kepalanya dipicit-picit dengan hujung jari.
Beberapa orang guru yang turut berada di meja kerja masing-masing hanya tersenyum melihat gelagat murid-murid mereka. Begitulah suasana setiap kali markah peperiksaan diumumkan. Pasti riuh dengan murid yang berkunjung meminta simpati. Ada juga yang membawa kertas rakan untuk membandingkan markah yang telah disemak oleh para guru. Tidak kurang juga yang mempertikaikan markah yang diberikan. Sindrom begini agak kurang adab. Jika sebelum peperiksaan, tiada pula murid yang berkerumun di bilik guru meminta tunjuk ajar. Memijak kaki ke bilik guru semata-mata untuk menyatakan ketidakpuasan hati.
“Saya tak boleh tolong kamu … tiada pembetulan.” Lembut suaranya memujuk apabila melihat murid tersebut masih berdiri seperti ingin mengatakan sesuatu. Semakin kuat pula jari-jemarinya mencengkam dahi. Cikgu Murni yakin, itu markah yang adil diberikan. Membaca karangan budak-budak memang menjengkelkan terutama apabila melibatkan tulisan yang jelik. Pendek kata tulisan yang buruk atau hodoh sangat sukar diteliti.
“Hah, dah migrain cikgu kamu itu! Asyik pegang kepala sejak dari tadi lagi. Sudah … sudah … semua pergi masuk kelas masing-masing! Loceng dah berbunyi itu. Masa rehat sudah habis.” Cikgu Su meninggikan suaranya. Harapannya agar keadaan riuh-rendah di bilik guru itu segera reda.
“Akak, tak payahlah layan sangat budak-budak itu … akak pergi makan dahulu. Nanti sakit, bukan budak-budak itu nak peduli akak pun. Masa hendak minta tambah markah, baru nampak batang hidung. Bila senang nanti … sudah jadi usahawan ke, artis ke, menteri ke nanti … entah, mereka ingat atau tidak dekat kita cikgu-cikgu mereka ini.” Makin panjang leteran Cikgu Su.
“Itulah sarapan pagi tadi pun tak sempat … Su, nanti cikgu praktikal itu ikut ke kelas Su atau ikut masuk kelas akak?” Cikgu Murni membiarkan murid itu melangkah pergi.
“Eh, ke mana sudah cikgu baharu itu pergi? Ala, tak kan sudah rimas tengok budak-budak serbu cikgu. Saya dah bawa masuk ke kelas saya … tengok saya mengajar dalam keadaan mengantuk awal-awal pagi tadi kesan jadi penunggu di hospital.” Dia memerhati sekeliling untuk mencari seseorang. “Entah-entah, sudah lari balik sebab takut kena sergah dengan budak-budak macam peminta sedekah tadi itu.” Cikgu Su menambah.
Suasana dalam bilik guru kembali tenang. Semua guru kembali tekun serta fokus untuk menyiapkan kerja, terutama menyemak skrip peperiksaan.
“Perhatian semua … jangan lupa kawan-kawan, malam ini tarikh akhir key in markah. Ramai lagi guru yang tak isi markah dalam sistem penilaian kita!” Ada suara yang tiba-tiba melaung.
“Kenapa pula nak cepat-cepat sangat ini?” Syulais bertanya. Serius seperti tidak puas hati.
“Jangan mengada-ngada … sudah dua hari aku lewatkan tarikh masukkan markah. Cepat apa lagi?” Cheli kembali serius. Nyaring suaranya seolah-olah mengejutkan ketenangan guru-guru lain di dalam bilik guru itu.
“His, mana sempat dua hari itu … Jumaat dan Sabtu, memang hari cuti. Mana boleh buat kerja waktu cuti? Bukan boleh claim kerja lebih masa.” Syulais masih tidak berpuas hati.
“Hang tak payah beralasan … masa sekolah hang balik tidur pula kira lagu mana? Keluar beli lauk-pauk untuk binilah … hantar dan ambil anak ke tadika waktu kerja lagi. Hah, itu nak kena kira untuk tolak gaji ke?” Dia mencerlung.
Cheli selaku guru data dan peperiksaan sekolah bertegas. Memang guru-guru yang sama sahaja akan buat hal. Selalu lambat menulis laporan sahsiah. Selalu lewat untuk kemas kini butir peribadi murid. Pendek kata semuanya bertangguh. Dia pula perlu bertindak seperti pahat dengan pemukul. Dia perlu menyiapkan markah dan laporan untuk dihantar kepada ibu bapa. Jangan kerana kerbau seekor yang membawa lumpur semua orang terpalit. Bermasalah dan dipersalahkan oleh masyarakat di luar sana kelak.
“Nak semak kertas karangan ini ….” Syulais tidak sempat menghabiskan katanya.
“Tak payah beralasan … hang kan selalu timbang kati bagi markah budak-budak!” Cheli memutuskan. Jika dilayan pasti boleh naikkan darahnya. Cheli berlalu ke arah lain. “Ni dok pegang kepala fasal apa pula? Semalam selepas balik hantar budak dari hospital tak tidur ke?” senyum sambil menghampiri Cikgu Murni.
“Baru habis kena serbu dengan budak-budak. Minta sedekah … eh, markahlah … minta semak semula kertaslah … Mahu tak sakit kepala akak kita.” Cikgu Su ketawa.
“Buat macam kau senangkan Su, tak payah nak melayan. Eh, kena hati-hati juga bimbang ada kamera tersembunyi! Viral nanti jenuh kau nak menepis dan menjawab.” Cheli kembali serius.
“Ya itu Cheli, lagi melayan budak-budak itu lagi meminta-minta! Akak kita ini baik sangat. Hah, kan dah sakit kepala! Atau buat macam jantan itu, main timbang kati. Lepas itu, buat-buat kalut menanda … berlakon. Last-last kakak kita ini juga yang kena semak semula ….” Tak menghabiskan kata-katanya. Mereka sama-sama memandang ke arah guru yang dimaksudkan.
“Hoi, aku tak timbang katilah!” Melaung untuk menjawab. Wajahnya mencuka seperti tidak puas hati dengan sindiran itu.
Mereka tidak mengendahkan lagi. “Psst, mana cikgu baharu itu?” Perlahan sahaja suara Cheli tertanya.
“Eh, tiba-tiba berbisik pula! Entah … cikgu itu dah lari balik kot.” Su menggerakkan bahunya.
“His, tak payahlah menjerit-jerit Su,” mereka sama-sama ketawa.
“Cheli, hang bawa cikgu itu masuk kelas hanglah. Suruh dia tengok cara mengajar subjek Sains Komputer pula.” Cikgu Murni meminta.
“Amboi, akak pun berbisik … itu, baik suruh sahaja jantan itu bawa masuk ke kelas dia. Boleh lihat cara dia gebang dengan budak-budak di dalam kelas.” Cheli muncungkan mulutnya ke arah tersebut.
“Tak payah … tak payah … cikgu baharu itu masih suci nanti rosak ikut perangai dia,” Cikgu Su perlahankan suara.
“Hoi, Su aku dengarlah ….” marah Cikgu Syulais.
“Eloklah, hang dengar … bila nak berubah untuk mengajar bukan bergebang dalam kelas?” Selamba Su meluahkan.
Sudah lama perkara itu hendak perkatakan oleh Su. Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan pasti akan ada sahaja murid dari kelas Syulais yang tidak memperoleh gred A. Sedangkan semua murid kelas yang diajar oleh guru Bahasa Melayu lain memperoleh gred A. Mahu sahaja Su menghamburkan kata-kata itu. Sudah lama dia memendam. Jenuh hendak melayan pertanyaan ibu bapa yang sentiasa tidak berpuas hati.
“Sudah … sudah! Jom, teman akak makan. Tak payah nak mulakan drama kau orang pasal keputusan markah yang lepas-lepas tu,” Cikgu Murni bersuara untuk mengelakkan pertengkaran. Sesekali dia masih memicit-micit kepala. Sakit itu menyerang lebih kerap sejak kebelakangan ini.
***
Suasana petang di sekolah mereka memang meriah. Ada yang berlari-lari anak mengelilingi kawasan sekolah. Ada guru lelaki bermain bola sepak dengan murid di padang. Gelanggang tenis dan bola keranjang juga riuh dengan suara murid bersukan. Pendek kata setiap sudut dan ruang pasti ada murid dan guru beriadah. Majoriti semua guru tinggal di kuarters sekolah berasrama penuh itu. Jika tinggal di luar pun bukan boleh ke mana-mana. Mereka dikelilingi oleh lautan.
“Cikgu, kami dah buat senaman untuk memanaskan badan … kita nak mula sekarang ke atau nak tunggu Cikgu Murni,” murid-murid bertanya.
Murid-murid lain sudah mula berlatih. Ada yang sedang melakukan latihan balingan dan ada yang cuba melontar ke jaring gol. Mereka sudah maklum dengan setiap posisi masing-masing.
Sudah tiga tahun Cikgu Cheli dan Cikgu Murni melatih kumpulan murid itu. Sudah dua tahun mereka hanya sekadar ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Daerah Pulau Langkawi. Harapannya, pada tahun ini sekurang-kurangnya boleh melangkah ke perlawanan akhir. Pada tahun hadapan semua murid tersebut akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sudah pasti murid-murid itu akan lebih memberikan tumpuan kepada peperiksaan. Cikgu Murni juga sudah mula membentuk pasukan pelapis yang terdiri daripada murid Tingkatan Satu.
“Amirah, siapa pergi ke rumah Cikgu Murni tadi?” Cikgu Cheli mula risau. Jam menunjukkan hampir pukul 6.00 petang. Tidak pernah sesekali rakannya lewat sebegitu. Jika ada hal pasti akan dimaklumkan.
“Saya dan Shasa yang pergi ambil bola dan bid … saya ketuk pintu, tetapi Cikgu Murni tak jawab. Macam tak ada orang dalam rumah,” Amirah menjelaskan.
“Hmm, baiklah … yang lain-lain bentuk dua pasukan dan mulakan permainan dahulu. Amirah, mari ikut saya,” dia bergegas ke arah kereta.
Tiba di luar pejabat, Cikgu Cheli berhenti di situ. “Awak pergi tengok di bilik guru kalau-kalau Cikgu Murni terlelap. Saya akan ke rumahnya,” Cikgu Cheli terus memecut ke arah kawasan apartmen guru.
Cikgu Murni tidak sedarkan diri di bilik guru. Skrip jawapan peperiksaan bertimbun berada di atas mejanya. Amirah berlari deras ke arah padang bola untuk memaklumkan kepada guru-guru yang berada di sana. Air matanya mengalir deras.
Selamat Hari Guru Malaysia. Al-Fatihah buat Cikgu Murniazilla Masijan (26 Julai 1974–18 Januari 2020).