Skip to content
Debunga Cicar
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Debunga Cicar
Debunga Cicar
Cerpen

Debunga Cicar

  • MADIHAH YUSRA BINTI ABD RONI
  • 8 September 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 98
  • 4.9

PRANG! Bunyi periuk terhempas kedengaran sekali gus memecah kesunyian kelas amali memasak. Semua wajah berpaling ke arah desingan itu. Iman terkaku di tempatnya. Wajahnya pucat dan nafasnya mula menjadi tersekat-sekat. Bunyi, sentiasa menghantui fikirannya sejak peristiwa banjir besar pada tahun lalu. Dalam sekelip mata, dia dibawa kembali pada malam kejadian.

Hujan yang mencurah-curah memenuhkan setiap ruang kampung dengan air yang semakin meninggi. Sangat pantas, rumah Iman sudah separuh digenangi air. Tiba-tiba air masuk melalui segenap sisi yang terbuka. Tidak pasti daripada mana air yang melimpah sebanyak itu? Iman mula bergelut untuk menyelamatkan datuknya yang tidak berdaya kerana sudah tua benar. Renta.

“Tok wan, paut leher saya kuat-kuat, jangan lepas!” jerit Iman sambil menahan air deras yang membadai tubuhnya.

Datuknya yang sentiasa lemah itu mula menggigil kerana kesejukan. Mereka berdua sudah hampir ditenggelami arus yang semakin melaut. Semena-mena, sebatang kayu besar yang dihanyutkan arus menghentam bahu Iman hingga dia tidak dapat mengimbangi badannya. Genggaman tangan datuknya juga terlepas.

“Tok wan!” Dia menjerit dan cuba berenang melawan arus untuk menyelamatkan datuknya yang masih berada di pundaknya. Tubuhnya yang kerdil itu hanyut dibawa oleh arus yang semakin mengganas. Dalam keadaan olang-aling itu, Iman menggapai apa-apa sahaja yang tercapai. Dia berpaut pada sebatang ranting pokok yang terjuntai di tebing sungai. Ranting pokok itu melentur hampir patah untuk menampung bebannya.

Dia melihat-lihat ke atas arus deras sungai itu untuk mencari kelibat datuknya. “Tok wan, pegang pokok itu,” jerit Iman, menggagahkan diri untuk menarik tubuh datuknya yang melintas berhampiran dengannya. Air sungai yang keruh ini menerjah ke lubang hidung. Dia terbatuk-batuk dan semakin lemah. Dia menahan nafas, juga menahan rasa sakit di lengannya yang sudah mula kebas akibat mencengkam pokok itu dengan terlalu kuat. Arus terus mengganas. Iman merasakan tubuhnya hampir tidak berdaya lagi untuk bertahan.

Digagahi dengan kudrat yang ada, Iman berjaya menyelamatkan datuknya. Beberapa jam kemudian, setelah keadaan reda sedikit, dia dan datuknya dijumpai di bawah pokok oleh pasukan penyelamat. Mereka dibawa ke kawasan selamat. Malam yang panjang itu menghadirkan berita duka seterusnya. Satu lagi khabar yang menghancurkan hatinya. Ketika mereka tiba di pusat pemindahan banjir, Iman melihat wajah ayah Farhan yang sugul. Dalam hati kecilnya, dia tahu sesuatu yang buruk telah berlaku kepada jiran dan juga teman sepermainannya itu.

Iman menghampiri ayah Farhan dengan wajah yang penuh harapan, tetapi kebimbangan mula menyelubungi hatinya.

“Pak cik, Farhan ada di mana?” tanya Iman. Suaranya hampir berbisik, tetapi penuh dengan getaran.

Ayah Farhan memandang Iman dengan mata yang berkaca-kaca. Dia seolah-olah cuba menahan air mata yang tidak dapat dibendung lagi. Dia menggeleng perlahan, kemudian meraup wajahnya dengan tangan. Teresak-esak menangis tanpa suara.

“Rumah kami telah dihanyutkan bah, Iman!” suara ayah Farhan bergetar, menahan sebak.

“Farhan… tak sempat keluar daripada rumah. Dia bersama-sama ibu dan kakaknya hanyut dibawa arus. Orang ramai sedang mencari mereka….”

Dunia Iman terasa runtuh. Suasana di sekelilingnya seolah-olah terhenti seketika. Bunyi gemuruh air hujan dan suara orang ramai menjadi sepi dalam sekelip mata. Iman jatuh terduduk, tangannya menggigil. Nafasnya menjadi pendek, dadanya terasa sesak.

“Tak, tak mungkin,” Iman menangis sepuasnya, tangisan yang memilukan hati itu memecah kesunyian malam.

Setiap kenangan bersama-sama Farhan, gelak tawa dan impian yang mereka bina  muncul satu persatu seperti kilatan filem yang menghancurkan jiwanya. Sahabat baiknya yang selalu berada di sisinya, kini telah pergi buat selamanya. Farhan yang selalu ketawa bersama, yang sering memberi semangat, yang mahu membina dunia kulinari bersamanya, kini hilang dibawa arus deras Sungai Iboi.

***

“Iman!” Aniq menggoyang bahu Iman dengan cemas untuk mengembalikannya ke alam realiti. Iman tersentak. Tubuhnya masih bergetar, manakala rakan-rakan sekelasnya memandang dengan wajah penuh tanda tanya.

“Saya minta maaf,” Iman bersuara. Nadanya perlahan. “Saya teringat kejadian banjir pada tahun lepas ….” sayu nadanya.

Cikgu Shima menghampiri mereka. Dia menunduk sedikit untuk menyamakan paras mata dengan muridnya itu. “Kamu pernah lalui sesuatu yang sangat sukar, Iman. Kadang-kadang trauma itu datang semula dengan cara yang kita tidak jangkakan.”

“Iman,” suara Aniq memecah keheningan. “Kalau kamu hendak berkongsi cerita, kami semua sedia mendengar. Mungkin berbual-bual tentang kisah lama itu boleh bantu kamu lebih tenang.”

Mata Iman bertemu pandang dengan Aniq. Perlahan-lahan dia mula menceritakan peristiwa malam itu.

Bermula dari bunyi deras kepala air yang menakutkan, keperitannya berpaut pada ranting pokok sehinggalah berita kematian Farhan yang menghancurkan jiwanya. Setiap tutur kata yang keluar dari mulutnya membawa kelegaan kecil dalam dadanya.

Rakan-rakannya mendengar dengan penuh perhatian dan di wajah mereka, tiada apa-apa selain rasa kagum dan empati. Mereka mula memahami mengapa bunyi kuat seperti tadi boleh menggoncang jiwa seorang yang kuat seperti Iman?

“Tindakan kamu sangat berani, Iman. Tak semua orang mampu melalui apa yang kamu telah lalui itu,” Aniq memuji.

Iman mengangguk perlahan. Dia tahu trauma itu mungkin tidak hilang sepenuhnya tetapi dia juga tahu dia kini tidak keseorangan lagi. Malah dia berharap kawannya memahami reaksinya yang tiba-tiba kerana bunyi-bunyi yang menggetarkan perasaan itu.

***

Iman memandang pokok penyelamat yang tegak megah di tepi sungai. Bunga-bunganya yang putih dengan corak ungu di tengah kelopak berguguran perlahan lalu dihanyutkan angin kemarau. Setiap kelopak yang jatuh seolah-olah membisikkan cerita lama Kampung Iboi yang hampir dilupakan. Kisah dirinya yang hampir kehilangan nyawa. Juga kisah duka kehilangan seorang sahabat yang baik.

Dia pejamkan mata. Bunyi deras air banjir kembali menghantui ingatannya. Petang itu, arus deras kepala air merobek Kampung Iboi, membawa rumah-rumah orang kampung hanyut seperti mainan. Dalam usaha menyelamatkan datuknya, Iman berpaut pada ranting pokok yang teguh di tepi sungai.

“Iman, jangan lepas ranting pokok itu!” suara tok wan menusuk kuping lalu tenggelam dalam gemuruh air agar cucunya terus bertahan.

Pokok itu menjadi penyelamat mereka. Tegap dan gagah melawan arus yang mengganas. Sejak hari itu, Iman tidak pernah memandang pokok tersebut sebagai sekadar tumbuhan meliar yang banyak di sekitar Kampung Iboi. Baginya itu adalah lambang keteguhan.

Iman duduk bersama-sama datuknya di pangkin hadapan rumah menghadap sungai tempat tragedi itu berlaku.

“Iman, kamu tahu sebab tok wan suka sangat dengan pokok itu?” tanya datuk sambil mengusap janggutnya yang berwarna putih itu.

“Kenapa tok wan?” Iman menoleh ingin tahu.

“Pokok ini ada akar yang sangat kuat, tahan badai. Suatu masa dahulu, orang kampung guna batangnya untuk buat rakit, titi dan rumah. Akarnya pula boleh merawat luka dengan izin Allah,” jelas tok wan sambil tersenyum.

“Pokok ini macam kampung kita juga, teguh … kuat … walau diuji hebat oleh Allah. Pada malam itu, pokok inilah yang selamatkan kita. Ranting kecil yang berjuntai ke arah sungai itu telah menahan kita berdua daripada dihanyutkan oleh kepala air.”

Iman terdiam sambil merenung pohon di tebing sungai itu. “Iman pun rasa begitu, malah lebih lagi …. Pokok ini bak harapan untuk terus hidup.”

Tok wan mengangguk perlahan. “Betul tu, Iman! Pokok ini sudah selamatkan kita, sekarang giliran kita untuk menjaga semua pokok-pokok agar tragedi kepala air itu tak berulang lagi,” kata-kata itu melekat di hati Iman, menjadi motivasi untuknya melangkah ke hadapan.

***

Debunga CicarIman pulang ke rumah dan melihat ibunya yang sedang sibuk membuat kuih. “Ibu, kenapa ibu suka sangat buat kuih lepat bunga cicar ini?” tanya Iman, memandang ibunya dengan penuh rasa ingin tahu.

Ibu Iman tersenyum lembut, mengusap kepala anaknya dengan kasih sayang. “Iman, kuih lepat bunga cicar ini bukan sekadar kuih bagi ibu tetapi warisan nenek moyang kita. Lepat ini mengingatkan ibu tentang kampung kita, tentang kerjasama dan keteguhan bersama.” 

Iman mengangguk perlahan, tetapi rasa ingin tahunya semakin mendalam. “Boleh ibu tunjukkan cara membuatnya?”

Ibu Iman tersenyum, kali ini dengan mata yang berkilau penuh harapan. “Sudah tentu, Iman! Kita mulakan dengan bunga cicar ini. Pertama, perlu mencucinya terlebih dahulu hingga bersih.

Iman mendekati bunga cicar, menghidunya dengan penuh kekaguman. “Bau dia harumlah, ibu. Saya tak sangka bunga ini begitu istimewa!”

“Betul, Iman. Selepas dicuci, kita campurkan bunga cicar ini dengan santan, tepung beras, gula serta garam. Kesemua bahan ini, kemudiannya dikisar sehingga halus,” kata Ibu Iman sambil menunjukkan langkah demi langkah dengan perlahan-lahan dan teliti.

Iman memerhati dengan penuh minat, menghargai setiap perincian dalam proses tersebut. “Adunan ini nampak sudah sebati, ibu. Apa yang kita hendak lakukan seterusnya?”

“Kita akan membalut adunan ini dengan daun pisang sebelum dikukus sehingga masak. Bau daun pisang yang segar akan menambahkan lagi keharuman kuih kita. Resipi ini diajar oleh nenek moyang kita dan telah menjadi tradisi keluarga kita selama bertahun-tahun,” jelas Ibu Iman sambil membalut adunan dengan daun pisang.

Iman membantu ibunya dengan penuh semangat. Dia merasakan keunikan setiap langkah itu. “Ibu, saya akan ingat semua tunjuk ajar ini. Saya akan pastikan warisan kita terus hidup dan dihargai oleh generasi akan datang.”

Ibu memandang anaknya dengan bangga. “Ibu gembira mendengarnya, Iman. Kuih ini bukan sekadar makanan, tapi tanda cinta dan kasih sayang kita terhadap warisan nenek moyang. Dengan usaha kita bersama-sama, ibu yakin kuih lepat bunga cicar ini akan terus dikenang dan dinikmati.”

Iman memeluk ibunya dengan erat. Dia tahu bahawa keistimewaan kuih ini adalah sebahagian daripada identiti mereka. Dia bertekad untuk menjaga warisan ini dengan sepenuh hati.

***

“Iman, bunga cicar ni cuma pokok biasalah,” kata Aniq, rakan sekelasnya, ketika Iman berkongsi ideanya untuk kerja khusus bagi subjek Pemprosesan Makanan, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“His, tidaklah Aniq!” balas Iman. “Pokok ini lebih dari itu. Kita yang menentukan sesuatu itu penting atau sebaliknya. Lagipun semua tumbuhan ciptaan Allah SWT pasti ada keistimewaannya. Kalau kita biarkan sahaja, maka akan dilupakan seperti kita juga yang sedang melupakan siapa diri kita.”

Cikgu Shima yang mendengar perbualan mereka tersenyum dan menyampuk, “Betul Iman, nama saintifik pokok cicar ialah Stereospermum fimbriatum DC. Bunga cicar hanya akan berbunga antara penghujung Disember hingga Mac pada setiap tahun sewaktu musim kemarau. Bunganya seakan sama seperti bunga Sakura Jepun dan hanya berbunga setahun sekali. Kelopak bunganya berwarna putih dan ungu itu harum semerbak.”

Aniq mengangguk perlahan, mula memahami kepentingan pokok cicar.

“Jadi, bunga cicar ini bukan sekadar cantik tetapi juga mempunyai nilai sentimental yang mendalam kepada sesiapa yang menghargainya.”

Iman sudah memutuskan untuk menggunakan bunga cicar sebagai bahan utama dalam kerja khususnya. Namun, dia tidak mahu sekadar membuat kuih lepat bunga cicar yang sudah terkenal di daerah Baling itu. Dia mahu membawa bunga itu ke dunia moden, menjadikannya sesuatu yang lebih dari sekadar warisan.

Dengan kemajuan teknologi IOT (Internet of Thing), Iman mencipta sistem untuk mengeringkan bunga cicar dengan lebih efisien. Dia juga mempelajari cara menghasilkan serbuk bunga yang dapat disimpan lebih lama tanpa kehilangan aromanya. “Kita boleh buat lebih daripada lepat tau,” kata Iman kepada Aniq. “Bayangkan, kita boleh cipta pelbagai produk moden seperti kek, biskut, roti dan minuman. Semuanya berasaskan bunga cicar.”

“Wah, itu bagus ini!” kata Aniq dengan kagum. “Saya tak sabar nak lihat hasilnya.”

Cikgu Shima menambah, “Dengan pendekatan inovatif juga, kamu bukan sahaja melestarikan warisan kampung tetapi juga memperkenalkan sesuatu yang unik ke pasaran global. Ini satu contoh teknologi dan tradisi boleh bergabung untuk mencipta sesuatu yang luar biasa.”

Iman tersenyum, merasa lebih yakin dengan perancangannya. Dia tahu bahawa dengan sokongan Aniq dan Cikgu Shima, dia mampu menghidupkan kembali warisan bunga cicar dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi

Ketika di makmal, Iman tidak dapat menahan air mata. Setiap kelopak bunga yang disentuhnya membawa kembali ingatan tentang tragedi itu. Saat dia hampir kehilangan tok wan dan benar-benar kehilangan Farhan. Proses pengeringan bunga cicar bukan sekadar langkah teknikal. Lebih kepada cara untuk menghormati pokok itu. Satu penghormatan kepada kampungnya dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Dia bekerja siang dan malam untuk mencipta resipi baru yang dinamakan Cicar Bread. Roti yang terhasil ini menggabungkan serbuk bunga cicar dengan rasa manis yang lembut dan gebu. Dia tetap mengekalkan aroma tradisional bunga cicar yang mengingatkan pada lepat bunga cicar.

***

Pada hari pembentangan, Iman berdiri di hadapan juri dengan tangan yang bergetar. Namun, ketika dia memandang bunga cicar dalam bekas kaca di hadapannya, ketenangan perlahan-lahan mengambil alih.

“Pokok cicar ini bukan sekadar tumbuhan kepada saya,” katanya. Dia menarik nafas dalam-dalam. “Ranting pokok ini telah menyelamatkan nyawa saya … hari ini saya mahu membalas jasanya. Saya percaya kita boleh mengangkat warisan kuih lepat cicar ini ke tahap yang lebih tinggi,” Iman menunjukkan bagaimana bantuan daripada IOT membantunya memastikan kualiti serbuk bunga cicar yang dihasilkan? Dia juga berkongsi resipi Roti Cicar yang boleh menjadi simbol moden bagi warisan Kampung Iboi.

Salah seorang juri memuji, “Kamu bukan sahaja mencipta makanan tetapi juga menghidupkan kembali cerita lama yang sangat istimewa untuk kita semua. Hal ini luar biasa kepada saya. Sentimental itu pasti membawa kepada penghormatan terhadap roti bunga cicar awak ini.”

Pada asalnya hanya kerja khususnya yang hanya mahu memenuhi syarat wajib subjek MPV SPM, tetapi telah menjadikan Iman sebagai salah seorang murid terbaik dalam kelasnya. Selepas tamat SPM, Iman mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang Teknologi Makanan di sebuah Pusat Pengajian TVET. Tawaran itu bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. “Aku sudah lama hendak jadi chef yang setanding dengan chef di negara luar sana. inilah peluang dan masanya!” kata Iman yang ingatannya tidak pernah melupakan Farhan.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (14) #karyasastera (16) #komsas (2) #penulis (5) #penulisbaharu (17) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (10) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (19) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (9) puisi (26) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu
Sejarah dan Budaya

Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu

  • 5 Ogos 2023
  • 889
  • 5
Sungai: Sumber Ilham dan Sumber Alam yang Berharga
Kearifan Tempatan

Sungai: Sumber Ilham dan Sumber Alam yang Berharga

  • 5 Februari 2025
  • 94
  • 3.8
سباريس کات
Puisi Moden

سباريس کات

  • 5 Mac 2024
  • 5
Adat Perkahwinan Suku Kaum Bajau Pantai Timur Sabah: Manifestasi Budaya dan Keharmonian Sosial
Bicara Bahasa

Adat Perkahwinan Suku Kaum Bajau Pantai Timur Sabah: Manifestasi Budaya dan Keharmonian Sosial

  • 5 September 2025
  • 64
  • 3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP