Apabila berbicara tentang perjuangan untuk menegakkan Islam di tanah air, seringlah yang diperkatakan adalah mengenai perjuangan saudara seagama di Palestin, Iran, Afghanistan, Sudan, Mesir dan Syria. Malangnya perjuangan saudara Muslim seagama yang lebih dekat kerap kali terpinggir. Umpamanya pejuang-pejuang Islam di Filipina, etnik Rohingya di Myanmar dan yang paling hampir, masyarakat Melayu di Patani atau kini dikenali dunia sebagai Selatan Thailand. Sebenarnya, masyarakat Melayu Islam di Patani lebih 200 tahun mengalami penindasan, penderitaan, kezaliman, ketidakadilan dan juga kesusahan. Tanah mereka dirampas oleh pihak berkuasa Thailand yang dianggap penjajah dan hidup mereka diwarnai dengan tiga istilah yang sinonim dengan untung nasib mereka, iaitu getir, kritikal dan konflik. Pengalaman dan kehidupan yang tragis di Patani sudah menjadi satu kisah yang tiada noktah akhir. Senarionya, mereka tidak boleh menggunakan nama Islam, bahasa Melayu dihalang untuk dituturkan dan paling tragis dicabut daripada akar budaya serta dijauhkan daripada agama. Kehidupan seharian mereka diselubungi dengan pembunuhan kejam, diugut dengan penculikan dan disempitkan semua hak-hak kemanusiaan mereka.
Berdasarkan pemerhatian, pergolakan di Patani sebenarnya sering mendapat perhatian pengarang-pengarang sastera dengan pelbagai penghasilan karya sama ada prosa atau puisi. Melalui penghasilan karya-karya ini, suara rakyat Patani diangkat tinggi agar dapat didengari terutamanya oleh umat Melayu Nusantara itu sendiri yang boleh dikatakan kurang memahami secara mendalam tentang konflik yang berlaku di Patani. Misalnya, seperti yang dilakukan oleh Rohani Deraman melalui novel Lukanya Merah yang terbit pada tahun 2013. Novel ini telah disenaraikan oleh pemenang S.E.A. Write Award 2011, S.M Zakir sebagai sebuah karya menarik serta harus dibaca pada abad ini. Oleh itu, keberadaan novel ini dalam lingkaran kesusasteraan Melayu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Lukanya Merah perlu diperkatakan secara tuntas agar pemikiran yang dibawa oleh pengarang dapat diketengahkan kepada masyarakat seperti yang dilakukan dalam penulisan ini.
Berbeza daripada kebiasaan, novel Lukanya Merah tampil mengangkat watak wanita lanjut usia bernama Mek Romah dalam mengungkapkan kisah-kisah penuh berdarah dan air mata perjuangan rakyat Patani. Namun, ia lebih cenderung untuk mengetengahkan perihal penglibatan wanita bersama-sama golongan lelaki dalam usaha mengekalkan hak-hak rakyat Patani. Maka, hal-hal yang menyentuh mengenai siapa kuat, siapa gagah, siapa patut jadi pemimpin, siapa yang berani, isu-isu ini tidak sama sekali timbul. Hal ini demikian kerana, rakyat Patani tidak kira lelaki, perempuan, tua, muda dan para jemaah surau serta masjid adalah dalam kalangan masyarakat yang ada cita-cita yang satu, yakni menebus dan mempertahankan maruah bangsa dan agama. Perjuangan Mek Romah yang diperlihatkan oleh pengarang langsung tidak menafikan keperkasaan golongan lelaki untuk berjuang, begitulah sebaliknya. Oleh sebab itu, perjuangan ini bukan untuk menunjukkan bahawa tidak ada lagi wanita pasif, yang menurut kata, lembut atau tertakluk kepada “male standard point”. Novel ini teguh mempersoalkan maruah dan tanggungjawab bersama antara wanita dan lelaki bagi mempertahankan tanah air dan kesucian agama.
Mek Romah yang berusia 64 tahun digambarkan dalam novel sentiasa menjadi tulang belakang untuk menyuntik semangat juang anak-anak muda di Patani atas semangat patriotisme. Justeru, faktor biologi, usia dan gender bukan satu halangan baginya. Berdiri atas dasar menyambung perjuangan arwah suaminya Haji Daud dan pembunuhan anak lelakinya Saman serta Dollah yang disebabkan tembakan oleh pihak “demo” simbolik kepada pemerintah Thai, Mek Romah berjuang dengan penuh rasa semangat. Dalam diari kehidupannya tidak ada perasaan takut dan istilah pengecut. Seluruh perjalanan hidup Mek Romah adalah perjuangan. Tidak hairanlah kehidupannya dilingkungi oleh watak-watak lelaki yang bukan saja hadir sebagai teman seperjuangan dengan Mek Romah, tetapi juga mereka memerlukan buah fikiran Mek Romah, sokongan moral, sumbangan fikiran dan modal perjuangan. Mek Romah adalah pemangkin dalam gerakan anak-anak muda Patani mempertahankan tanah air mereka. Lebih terkesan lagi, kehadiran Mek Romah di sisi mereka adalah sebagai pembakar semangat dan tanpa Mek Romah pincanglah perancangan anak-anak pejuang ini. Pada mereka, tanpa suara sokongan Mek Romah maka percaturan, gerakan dan strategi yang disusun untuk mengatur serangan balas terhadap puak “demo” tidak ada roh perjuangan. Ternyata, Mek Romah bukan calang-calang watak yang dicipta oleh pengarang. Paling menggerunkan, dalam usia tua, Mek Romah turut terlibat dengan pelbagai rancangan sulit dan amat berbahaya yang tidak terfikir oleh kalangan wanita seusianya mahupun lebih muda daripadanya, apatah lagi dalam kalangan orang lelaki. Misalnya, Mek Romah ada membeli peralatan membuat bom secara sulit dan merancang bersama-sama Fatmah untuk mengebom perbarisan tentera. Kata, Mek Romah “Aku dah letih nak hitung hari. Aku rasa aku tak nak tunggu lagi. Aku nak berjuang dengan mereka di hutan. Aku tak nak berselindung lagi. Aku nak berada di barisan depan, dengan PULO” (Lukanya Merah, 2013: 370).
Meneliti arus perjalanan cerita novel ini, sememangnya didapati pengarang bersandarkan kepada pergolakan di Selatan Thai atau Patani yang tiada kesudahan. Ia didasarkan kepada peristiwa tragis dan amat malang di masjid Kersik dan Tak Bai yang pernah menggegarkan dunia pada satu masa dahulu. Justeru, jalan cerita novel ini yang sepatutnya sebagai sebuah fiksyen telah terhasil sebagai sesuatu yang lebih “real”. Perjuangan dalam novel juga memperlihatkan mereka sentiasa berusaha untuk membebaskan tiga wilayah bagi memperoleh hak demi membolehkan rakyatnya menjalani kehidupan yang aman, bebas, tenteram di sebuah kawasan yang merdeka sebagai negara yang berdaulat. Kesan penceritaan menjadi lebih segar dan telus dengan wujudnya nama-nama tempat yang sememangnya wujud di Patani, umpamanya Kampung Chanae, Tanyung Matt, Kampung Ban Sat, Kampung Dusun Nyior, Kampung Sg. Kolok, Yala dan Narathiwat.
Selain itu, kematian dan pembunuhan secara kejam yang berlaku terhadap tokoh-tokoh agama sentiasa menjadi pembakar semangat anak-anak muda Patani seperti yang digambarkan oleh pengarang telah menyebabkan bentuk perjuangan mereka mula beralih kepada tujuan yang lebih besar. Peristiwa-peristiwa ini membawa perjuangan berbentuk patriotisme kepada jihad di jalan agama. Pemuda Patani digambarkan mula berjuang untuk mempertahankan agama Islam kerana semangat patriotisme yang hanya setakat membawa maksud kesetiaan, cinta dan kasih sayang terhadap negara tidaklah memadai. Makna jihad yang diperjuangkan oleh anak-anak muda ini digambarkan pengarang terarah kepada jihad melawan musuh, gigih berusaha sepenuh jiwa untuk menolak kezaliman, memerangi musuh dan membela kebenaran demi mencipta kedamaian serta keamanan. Hal ini penting kerana jika mereka terus berdiam diri tidak melakukan apa-apa, pihak pemerintah terus menerus menindas mereka tanpa belas kasihan.
Tuntasnya, perjuangan Mek Romah dalam novel ini bukanlah berteraskan agenda feminisme seperti yang selalu dilaungkan oleh Barat tetapi lebih kepada agenda mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara yang menjadi tanggungjawab setiap rakyat yang cintakan kedamaian. Maka, pembabitan golongan lelaki dan wanita amatlah dituntut. Keberanian Mek Romah yang diungkapkan pengarang amat jauh daripada kelaziman, Mek Romah muncul sebagai watak yang luar biasa atau extraordinary. Malah, perihal perjuangan anak-anak muda Patani seperti yang dicetuskan oleh pengarang menerusi novel Lukanya Merah amat jauh berbeza dengan perjuangan ISIS yang berteraskan terrorisme kerana mereka berjuang akibat ditindas pihak pemerintah dari setiap sudut hingga membawa kepada pertumpahan darah dan air mata yang masih berterusan hingga ke hari ini.