Mohd Kasim Mahmud dilahirkan di Merlimau, Melaka pada 3 Februari 1958. Kali pertama beliau memijakkan kaki di tanah Kota Tinggi pada 1 Januari 1978 atas arahan petempatan kerja sebagai pendidik. Semenjak itu, beliau terus bermastautin di tanah Jauhar ini, khususnya di daerah Kota Tinggi.
Beliau telah melibatkan diri dalam bidang penulisan sejak usia remaja lagi apabila sajak pertama beliau yang berjudul “Ombak” tersiar dalam majalah Dewan Sastera keluaran bulan Mac 1976 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Biarpun cuma beberapa baris kata, sajak ini telah menyalakan iltizam beliau untuk menjadi seorang pengarang. Apatah lagi, beliau amat gemar membaca serta mengumpul beraneka jenis bahan bacaan baik surat khabar, buku, majalah, jurnal dan ensiklopedia.
Tekad Memilih Bidang Penulisan

Sejak awal lagi, Kasim Mahmud telah membuat ketetapan untuk menjadi pengarang genre puisi dan prosa sekali gus. Beliau tidak mahu menjadi penulis genre puisi sahaja ataupun penulis genre prosa sahaja. Dalam kata lain, selain menulis puisi, beliau juga ingin menjadi cerpenis dan novelis. Untuk memastikan hasrat ini tercapai, beliau menelaah dan menghayati karya-karya pengarang lain yang tersiar dalam akhbar mingguan seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, dan Utusan Zaman. Dengan berbuat demikian, beliau berpeluang membaca banyak karya pengarang di tanah air termasuklah karya sasterawan negara bagi memantapkan ilmu penulisannya.
Menggarap dan Menerapkan Pelbagai Bidang Ilmu dalam Penulisan
Sebagai pengarang, Kasim Mahmud berusaha untuk meneroka pelbagai bidang ilmu untuk digarap dan diterapkan dalam karya baik puisi, cerpen mahupun novel. Beliau berbuat demikian kerana tidak mahu dilihat sebagai seorang pengarang yang hanya menulis hal-hal (tema) yang sama atau biasa-biasa sahaja. Beliau tidak mahu dianggap sebagai pengarang yang mempunyai pemikiran yang statik atau terpenjara dalam sesuatu bidang ilmu sahaja.
Namun demikian, hal ini tidak mudah kerana kebanyakan individu tidak menguasai sepenuhnya semua bidang ilmu. Untuk mengatasi kesenjangan ini, beliau turut membaca bahan-bahan bacaan dalam pelbagai bidang ilmu seperti sejarah, geografi dan alam sekitar, psikologi, sains dan teknologi.
Popular dengan Karya Bertemakan Sejarah
Sejarah merupakan suatu bidang ilmu yang sangat diminati oleh Kasim Mahmud. Beliau berpendirian bahawa individu yang mempelajari dan mengkaji sejarah akan dapat membina jati diri sendiri dan bangsanya. Demikian juga, sejarah dapat menilai buruk atau baik daripada sesuatu tindakan pelaku sejarah pada masa lalu yang sangat memberikan kesan kepada kelangsungan hidup sesuatu bangsa.

Oleh hal yang demikian, Kasim Mahmud menelaah fakta sejarah tanah air dari pelbagai sudut lalu dicerna sebagai bahan untuk menghasilkan novel sejarah. Pada tahun 2008, Kasim Mahmud berjaya menerbitkan novel sejarah bertajuk Badai Hujung Tanah (MPH – YWJ Citra Holding Sdn. Bhd.). Novel ini berjaya memenangi hadiah tempat kedua bernilai RM25,000.00 dalam Sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor II.
Novel Badai Hujung Tanah mengangkat kehebatan dan kewibawaan Sultan Muzaffar Syah yang berkerajaan di Seluyut, yang terletak di pinggir Sungai Johor di Kota Tinggi. Hakikatnya, kisah sultan Johor yang ketiga ini amat sedikit maklumat yang boleh diperoleh. Seperti yang diketahui umum, kisah baginda yang tercatat dalam buku Sejarah Johor karya Haji Buyong Adil (DBP, 1971), hanya sekadar dua setengah muka surat sahaja, namun fakta yang tertulis jelas menunjukkan keterampilan baginda dalam menyusun strategi cara berhadapan dengan Portugis.
Bukti kritisnya yang pemimpin negara yang sedang menghadapi serangan musuh bertindak memidahkan pentadbiran kerajaan di Johor Lama ke hulu Sungai Johor, iaitu di Bukit Seluyut. Perpindahan pusat pemerintahan ini membolehkan baginda membina kubu yang lebih kukuh bagi menghadapi serangan Portugis mahupun Aceh kerana letaknya di puncak bukit. Dari atas bukit, kehadiran kapal-kapal dan perahu perang musuh lebih mudah dilihat. Baginda juga mengeluarkan perintah agar parit dibina di sepanjang tebing bukit sebagai suatu taktik berkubu untuk memudahkan askar baginda menyerang musuh.

Sementara itu, Kasim Mahmud juga memanfaatkan kisah Sultan Johor yang keempat, iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II, yang panjang lebar dalam buku-buku sejarah bagi mengarang novel Bara Sengketa (DBP, 2024). Sultan yang terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaan ini dapat mengimbangi ancaman kuasa Aceh dan Portugis secara serentak. Baginda dilihat berbaik-baik dengan Portugis bagi mengimbangi ancaman Aceh. Pada masa yang lain, baginda dilihat berbaik-baik dengan Aceh bagi mengimbangi ancaman Portugis. Peristiwa karamnya sebuah kapal dagang Portugis di laut yang berhampiran dengan muara Sungai Johor telah dimanfaatkan dengan baik sekali oleh baginda untuk mempersendakan dan mempermainkan Portugis. Baginda melakukannya demi merendahkan martabat Portugis dan mengangkat martabat kerajaan Johor.

Sehubungan dengan itu, Kasim Mahmud juga mengarang banyak syair bertemakan sejarah. Antaranya, “Syair Ketokohan Tun Seri Lanang” (Dewan Budaya, Julai 2021), “Syair Kisah Parameswara dan Pembukaan Negeri Melaka” (Dewan Budaya, April 2022, “Syair Tok Janggut” (Dewan Siswa, April 2022), “Syair Sejarah Penciptaan Bendera Malaysia” (Dewan Siswa, September 2024) dan “Syair Rentap, Pahlawan Terbilang Bumi Kenyalang” (Dewan Siswa, Julai 2025).
Kritis Berkarya Pelbagai Tema
Kasim Mahmud bukan hanya menulis karya sejarah yang merupakan bidang kepakarannya, sebaliknya turut berusaha keras menghasilkan karya bertemakan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan di luar bidang ini memerlukan beliau menghasilkan kajian mendalam sebelum mula berkarya.
Sehubungan dengan itu, beliau seorang yang berprinsip dalam menghasilkan sesebuah karya maka setiap maklumat dan fakta yang mahu ditulis dilakukan kajian dan pembacaan secara rinci dan kritis agar penulisannya memberikan maklumat yang benar dan tepat kepada pembaca. Umpamanya, penulisan beliau berkenaan isu pembalakan haram, perburuan haram haiwan liar yang dilindungi dan pencemaran sungai dihasilkan dengan baik serta dapat memberikan kesedaran kepada pembaca untuk sayang dan cinta akan alam sekitar, khususnya flora dan fauna. Hal ini sangat penting kerana tanpa berbuat demikian, kerosakan ekosistem hutan dan ekosistem sungai akan terjadi yang akhirnya merugikan manusia.
Oleh sebab pembacaan dan kajian terperinci dalam dunia flora dan fauna, Kasim Mamud berjaya menghasilkan novel kanak-kanak berjudul Misteri Keladi Bunting (Yayasan Citra Holding, 2009), “Pantun Menjaga Alam Sekitar” (Dewan Siswa, Februari 2022) dan sajak “Bisik Nurani Sebatang Alur” (Dewan Masyakarat, Mac 2025). Hasilnya, “Pantun Menjaga Alam Sekitar” mendapat pengiktirafan yang membanggakan apabila dijadikan teks soalan peperiksaan Kertas 1, Bahasa Melayu SPM tahun 2023.
Sementara itu, gempa bumi yang terjadi di dasar laut akibat daripada pergerakan plat tertonik bumi sehingga mencetuskan malapetaka tsunami mendorong Kasim Mahmud menghasilkan sebuah cerpen yang berjudul “Menggempur Tsunami” (Dewan Agama dan Falsafah, Julai 2006). Menerusi cerpen ini, beliau memfokuskan konflik pemikiran manusia dalam mencari titik persamaan antara kekuasaan Allah dengan fenomena sains, alam dan manusia.

Seterusnya, pada tahun 2015 novel remaja Badai Antartika (DBP) mengisahkan pengembaraan seorang gadis secara solo bagi merealisasikan impian peribadinya untuk memacakkan bendera Malaysia di benua paling selatan itu. Semasa melakukan misinya, gadis ini terpaksa menempuh pelbagai kesulitan yang timbul akibat ancaman sekumpulan penjenayah yang ingin memburu hasil perut bumi. Tidak kurang menyeksa ialah pelbagai fenomena semula jadi alam seperti suhu yang amat rendah, ribut dan runtuhan salji. Untuk memahami fenomena alam tersebut, pengarang telah membuat kajian secara tekun, dalam serta rinci dengan melakukan penyelidikan dan pembacaan yang luas. Novel ini akhirnya memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim ke-10 bagi kategori novel remaja.
Walau bagaimanapun, Kasim Mahmud tidak puas dengan kejayaannya menggarap beberapa tema, justeru itu dengan penuh keyakinan, beliau meneroka dunia sains dan teknologi bagi menghasilkan karya prosa berbentuk fiksyen sains. Beliau tertarik untuk memfiksyenkan isu senjata biologi yang digembar-gemburkan oleh saintis boleh membunuh berjuta-juta manusia secara senyap dan perlahan-lahan serta menyakitkan. Untuk merealisasikan penulisannya, Kassim Mahmud telah melakukan pembacaan dan penyelidikan dengan menggemburkan ensiklopedia, rencana di akhbar selain melayari laman sesawang untuk mendapatkan maklumat yang tepat tentang isu yang ingin dihasilkan.
Selain itu, majalah Dewan Kosmik yang dimiliki beliau sejak keluaran pertama, iaitu Januari 1993 menjadi bahan rujukan utama untuk penulisan fiksyen sains. Hasilnya, beliau berjaya mengarang novel Petaka Bakteria (UTM – Utusan Publications, 2012) dan cerpen “Fobia Antraks” (Pelita Bahasa, Januari 2004).

Seterusnya, Kasim Mahmud menerokai dunia sains angkasa lepas dengan meneliti Sistem Suria yang di dalamnya terdapat planet Bumi. Sistem Suria terletak di dalam Galaksi Bimasakti. Galaksi kita ini terletak berhampiran dengan Galaksi Andromeda yang merupakan jiran Galaksi Bimasakti.
Beliau menemukan bahawa dakwaan banyak penduduk di banyak negara di dunia pernah melihat UFO (piring terbang yang tidak dikenali) dan makhluk asing berlegar-legar di ruang angkasa tempat tinggal mereka. Biarpun segala dakwaan ini ada pro dan kontra dari segi kebenarannya, namun hal ini telah mencetuskan idea untuk beliau menulis novel fiksyen sains yang kedua. Kali ini Kassim Mahmud bereksperimen dengan kanak-kanak berusia bawah 14 tahun yang berjudul Makhluk dari Andromeda (UUM Press, 2025).
Memanfaatkan Sastera sebagai Medium Membanteras Rasuah
Sebagaimana sering dianalogikan, rasuah seumpama anai-anai yang membuat kerosakan dalam diam sehingga boleh meruntuhkan sebuah bangunan. Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Badan Ketelusan Antarabangsa menunjukkan status amalan rasuah di negara ini sentiasa turun naik pada tahap yang memalukan. Hal ini disebabkan gejala ini telah menular dalam segenap lapisan masyarakat baik dalam kalangan golongan berkedudukan tinggi, golongan pertengahan mahupun dalam kalangan masyarakat bawahan. Penyakit sosial yang sangat buruk ini juga terjadi dalam semua sektor ekonomi dan jabatan kerajaan.
Sehubungan dengan itu, Kasim Mahmud yang tersentuh dengan amalan buruk rasuah memanfaatkan bakat yang dimilikinya sebagai pengarang karya kreatif untuk melakukan kritikan dan sindiran pedas demi menerbitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Tatkala negara kita digegarkan dengan perbuatan mengatur keputusan pertandingan liga utama tempatan oleh sebilangan pemain dalam sukan bola sepak, beliau telah menghasilkan sebuah cerpen yang berjudul “Menjual Perlawanan” (Al-Islam, Ogos 1996). Masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh watak utama telah diambil kesempatan oleh tauke judi dan rakan sepasukan untuk membiarkan pasukan mereka tewas.
Seterusnya, Kasim Mahmud telah menghasilkan sebuah cerpen yang berjudul “Lalat” (Dewan Sastera, Mac 2022) sebagai suatu lagi tekad beliau untuk mengkritik amalan rasuah dalam kalangan masyarakat. Si pelaku rasuah yang ditampilkan dengan watak ‘Kau’ telah mengalami kejadian yang amat meresahkan kehidupan bersama-sama isterinya. Rumah banglo milik mereka di puncak bukit telah diserang oleh ribuan ekor lalat padahal rumah itu dijaga dengan bersih sekali oleh tukang kebun dan orang gajinya. Persekitaran rumah pula ditanami dengan pokok bunga mawar yang sepatutnya tidak disukai oleh lalat kerana mengeluarkan bau yang harum. Biarpun si pelaku dan isterinya tidak tercium sebarang bau busuk, namun serangan ribuan ekor lalat tersebut benar-benar mengganggu kehidupan mereka. Lalat di mana-mana – ruang tamu, dapur, meja makan bahkan di bilik tidur. Masalah serangan lalat turut terjadi di pejabat ‘Kau’ padahal bangunan di sekitar pejabat tersebut elok-elok sahaja. Falsafah yang ingin disampaikan melalui cerpen “Lalat” memberikan peringatan dan pengajaran tentang bahaya rasuah kepada masyarakat pembaca.
Sementara itu, dalam cerpen “Ulat” (Berita Minggu, 2 Februari 2025) pula, Kasim Mahmud menulis dengan kritis pembalasan perbuatan rasuah apabila si pelaku terpaksa berlapar kerana setiap makanan dan minuman yang dilihatnya dipenuhi ulat yang menyerupai ulat najis yang mengumit-ngumit. Hal ini hanya terjadi kepada pelaku sementara isteri dan anak-anak pelaku tidak mengalami masalah tersebut. Si pelaku terpaksa menahan rasa mual sehingga termuntah tatkala melihat insan-insan yang “dekat” dengannya mengunyah dan melahap ulat pada makanan dan minuman.
Selain cerpen, kritikan Kasim Mahmud terhadap pelaku rasuah juga didokumentasikan dalam bentuk sajak yang berjudul “Harimau di Puncak Bukit” (Dewan Sastera, Mei 2021). Sajak ini mengkritik pemimpin yang melakukan rasuah yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya sendiri dalam keadaan yang hina.
Secara tuntasnya, Kasim Mahmud berpegang pada prinsip “Sastera kerana Allah, berhikmah untuk Manusia” yang merupakan gagasan Sastera Islam yang dicetuskan oleh Sasterawan Negara Allahyarham Shahnon Ahmad. Biarpun karya beliau tidak menyisipkan nas berupa ayat al-Quran mahupun hadis secara langsung, namun nilai-nilai Islam tetap dapat dikesan untuk dihayati oleh pembaca.
