Karya pensejarahan Melayu tradisional merupakan sumber tempatan yang amat berguna bagi mengetahui perihal kehidupan masyarakat Melayu pada zaman silam. Melalui karya pensejarahan, terbukti bahawa masyarakat Melayu tradisional telah pun mempunyai konsep sejarahnya sendiri. Konsep ini mempunyai fungsi-fungsi tertentu bagi memenuhi keperluan masyarakat pada zamannya.
Konsep sejarah Melayu tradisional hanya boleh difahami menerusi perkembangan sejarah masyarakat waktu itu. Penulisan sejarah moden berdasarkan kepada fakta sejarah yang sebenar, sebaliknya pula dalam penulisan sastera sejarah Melayu lama. Fakta-fakta sejarah yang terkandung dalam sastera sejarah itu sebenarnya ialah unsur-unsur dongeng yang mempunyai fungsi atau peranannya yang tersendiri, sesuai dengan latar belakang masyarakat pada masa itu (Mohd Yusof, 1983: 67).
Sepanjang penelitian, terdapat beberapa orang tokoh yang meneliti Hikayat Seri Kelantan. Mereka ialah Mohd. Taib Osman (2006) menerusi kajiannya berjudul Hikayat Seri Kelantan: Menifestasi sebuah Peradaban dan Pernyataan Sosiopolitik Sesebuah Negeri dalam Sejarahnya. Bazrul Bahaman (2006) juga telah membuat satu kajian terhadap teks Hikayat Seri Kelantan bertajuk Analisis Motif Politik dalam Hikayat Seri Kelantan. Zainal Abidin Borhan (2006) pula meneliti perihal Perang, Perang, Perang: Satu Kajian Berdasarkan Hikayat Seri Kelantan. Hashim Musa (2006) menerusi Unsur Nilai Moral dan Etika dalam Hikayat Seri Kelantan, dan Ahmad Hakimi Khairuddin (2006), menerusi kajiannya Sejarah Awal Kelantan Berdasarkan Teks Riwayat Kelantan dan Hikayat Seri Kelantan.
Hikayat Seri Kelantan: Sinopsis Ringkas
Hikayat Seri Kelantan mengisahkan sejarah raja-raja Kelantan, bermula dengan kisah Encik Siti Wan Kembang yang memerintah negeri Kelantan purba yang dikenali dengan nama Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Selepas itu, diikuti dengan kisah legenda Puteri Saadong, anak angkat Encik Siti Wan Kembang yang telah menikam suaminya yang dikatakan tidak setia. Puteri Saadong turun daripada takhta dan menyerahkan pemerintahan negeri kepada adik iparnya, Raja Ibrahim. Pemerintahan Sultan Ibrahim zalim terhadap rakyat. Kezaliman ini disampaikan rakyat kepada Tuan Puteri Saadong. Tuan Puteri Saadong berdukacita, lalu menghilangkan dirinya dari Gua Bukit Marak. Setelah beberapa lama, tiadalah raja dalam negeri tersebut. Maka tersebut pula kisah Datu, keturunan Sultan Ibrahim.
Selepas kematian Datu, Raja Udang mengambil alih pemerintahan negeri. Tidak berapa lama lalu kembalilah raja tersebut menemui Ilahi. Lama selepas itu, Raja Tuan Long Pandak mengambil alih tampuk pemerintahan. Raja Tuan Long Pandak memerintah dengan sangat adil dan saksama. Tidak berapa lama kemudian pula, Raja Tuan Long Pandak mendapat dua orang cahaya mata, yang sulung bernama Tuan Kembang Bunga manakala adiknya, Long Sulaiman. Kedua-duanya belayar hingga ke Patani kerana takut kepada tentera Cina yang datang menyerang kerajaan ayahandanya. Keadaan ini telah menyebabkan Orang Besar Negeri itu mengambil mereka berdua menjadi anak angkatnya. Sampai usianya cukup matang dan pandai berdikari, Orang Besar Negeri itu telah mencari jodoh kepada Long Sulaiman. Orang Besar tersebut telah menikahkan Long Sulaiman dengan anak gadisnya. Setelah berapa lama hamillah isteri Long Sulaiman.
Oleh kerana ramai yang tergila-gilakan Tuan Puteri Kembang Bunga, beliau dikatakan telah mengambil keputusan membunuh diri dalam sebuah wangkang (kapal). Tidak berapa lama kemudian, isteri Long Sulaiman melahirkan seorang putera bernama Long Junus. Long Sulaiman berdukacita dengan kematian kakaknya lalu keluar dari negeri Patani. Tinggallah Long Junus dengan neneknya dan besarlah di situ.
Dikisahkan pula tentang Nang Cayang, Raja Patani pada waktu itu. Long Junus telah pergi menghadap Nang Cayang. Raja Nang Cayang berkenan kepada Long Junus lantas raja itu mengambilnya sebagai anak angkat. Setelah sekian lama, Raja Nang Cayang gering. Dipanggilnya tabib dan bomoh mengubati penyakit. Segala cara digunakan untuk mengubat, tetapi tidak juga sembuh. Ahli nujum pula tampil melihat penyakitnya itu. Ahli nujum bersembah dan meramalkan kepada Raja Nang Cayang bahawa bala akan menimpa kerajaan sekiranya budak peliharaannya tidak dihalau dari bumi Patani. Raja Nang Cayang lalu menghalau Long Junus.
Long Junus berjalan beberapa lamanya dan masuk ke Kelantan, sampai ke Kampung Raja, iaitu Kampung Kubang Labu. Dia pun menghadap Tuan Kota Kubang Labu. Rupa paras yang elok dan budi pekerti yang tinggi, Long Junus dilantik menjadi Bendahari. Tidak berapa lama kemudian berlaku peperangan. Long Junus dan Long Jaafar lari ke Terengganu. Semasa di Terengganu, ada Bugis yang mahu bertanding sabung ayam dan meletakkan wang pertaruhan sebanyak emas yang terdapat dalam kapal mereka. Raja Terengganu meletakkan Terengganu sebagai imbuhan kepada bugis sekiranya ayam sabungannya kalah. Maka setelah lama menyabung ayam, lalu ayam sabung Long Jaafar mewakili ayam raja telah menang. Setelah itu, Long Junus bermohon kembali ke Kelantan. Tidak berapa lama maka Long Junus menjadi raja memerintah Kelantan. Pemerintahannya sangatlah adil. Setelah itu, Long Junus mendapat zuriatnya. Long Junus dikurniakan lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan. Anak Long Junus inilah yang menjadi pemangku pemerintahan. Raja Long Junus memerintah negeri dengan selamat dan sejahtera. Kerajaan di bawah Long Junus memerintah Kelantan sehingga berabad-abad lamanya dan sehingga sekarang. Long Junus kembali ke hadrat Ilahi dan dikebumikan di Langgar. Selepas itu, Long Muhammad yang mengambil tampuk pemerintahan Kelantan dan Long Jenal sebagai bendahara. Selepas itu, pemerintahan Kelantan mula bergolak. Rajanya silih berganti sehingga berlaku beberapa peperangan saudara yang turut melibatkan negara jiran, iaitu Siam dan Terengganu.
Perihal Asal-usul
- Othman Kelantan (1985:15) menyatakan bahawa “tema merupakan persoalan pusat atau pokok yang menjadi inti pemikiran seseorang pengarang“. Hikayat Seri Kelantan memerihalkan tentang negeri Kelantan. Hikayat Seri Kelantan adalah berkaitan asal-usul Raja Kelantan. Hal ini digambarkan menerusi muka awal hikayat yang disebut seperti ( Mohd. Taib Osman 2004: 1 ):
“Bismillahirrahmanirrahim Wabihi Nasta’inu Billhahi Taala. Inilah suatu cetera hikayat zaman dahulu kala, ada ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini, asal raja yang memerintah negeri kelantan ini, iaitu seorang perempuan nama Encik Siti. Itulah raja yang memerintah negeri, terlalu besar kerajaannya …“.
Raja negeri Kelantan bermula dengan seorang perempuan yang bernama Encik Siti. Nama Encik Siti sememangnya terkenal dalam cerita-cerita lama di Kelantan. Ringkasan Cetera Kelantan mengatakan bahawa Encik Siti bukanlah pemerintah Kelantan yang pertama; ia anak Raja Ahmad, cucu Sultan Mahmud Shah Melaka. Nama asalnya Cik Wan Kembang, dan Siti ialah gelaran daripada bahasa Arab yang bermakna tuan perempuan (Mohd. Taib Osman 2004: 101 ) tetapi dalam Hikayat Seri Kelantan ini, gelaran bagi raja yang pertama ini hanyalah Encik Siti.
Kepercayaan Masyarakat Melayu Tradisional
Penulisan hikayat Melayu dihubungkaitkan dengan mitos dan legenda. Unsur ini penting terutamanya dalam menyatakan kekuatan dan kehebatan sesebuah kerajaan. Aspek ini mempengaruhi pemikiran masyarakat tersebut.
Hikayat Seri Kelantan memaparkan beberapa cerita berunsur mitos atau khayalan. Kekuatan dan kehebatan kerajaan Kelantan dapat dikesan sejak awal, iaitu semasa Encik Siti, raja yang memerintah Kelantan atau dikenali dengan nama Tanah Serendah Kebun Bunga. Penulis beranggapan bahawa masyarakat Melayu Kelantan tradisional percaya bahawa kesaktian dan kekuatan Encik Siti diperturunkan kepada Tuan Puteri Saadong, iaitu anak angkatnya. Tuan Puteri Saadong memperoleh kesaktian luar biasa apabila baginda dapat hidup kembali setelah kepalanya putus dipancung oleh Raja Abdullah, suaminya (Mohd. Taib Osman 2004: 33);
“… Maka inang yang Busu mendengar kata inang yang tua itu lalu ia pun ambil kepada Tuan Puteri Sa’dong/yang sudah becerai itu pergi bertangkup balik dengan badan Tuan Puteri Sa’dong itu. Kemudian diambil satu piring emas dicurahkan air mawar itu ke dalam piring itu. Kemudian diambil kapas, dicelupkan ke dalam air mawar itu lalu dicomor kepada leher Tuan Puteri Sa’dong itu, tempat mata lukanya, dan dicomorkan kepada tubuh badan sekaliannya itu. setelah sudah dicomor itu, lalu diambil kain kuning ditudung kepada Tuan Puteri Sa’dong itu. Kemudian lepas tudung itu lalu Tuan Puteri Sa’dung itu bergerak-gerak lalu bersin; kemudian maka hiduplah seperti sedia kalanya, serta bangun Tuan Puteri Sa’dong serta beri kepadanya air daripada inang yang busu itu, hendak buat basuh mukanya, serta bersabda kepada sekalian dayang-dayang dan inang sekalian …“
Kesaktian Tuan Puteri Saadong juga ditonjolkan semasa baginda dapat mengubati penyakit kayap di dada Raja Siam dengan menyembur air pinang (Mohd. Taib Osman 2004: 10).
Selain itu, kesaktian Tuan Puteri Saadong juga dapat memindahkan istananya ke tempat lain ketika istana itu dikepung oleh tentera Siam. Peranan Tuk Ca Siam, dianggap sangat berkesan dalam ilmu nujumnya itu (Mohd. Taib Osman 2004: 5-6);
“… Maka tatkala itu masing-masing pun turunlah ke perahu jong kenaikan yang mari itu, pergi mendapat Tuk Ca yang tahu ilmu nujum itu. maka lalu ditanya oleh Tuk Ca yang tahu ilmu nujum itu sekalian hal-ehwal ia berperang dengan Sultan Abdullah dan Tuan Puteri Sa’dung dari awal hingga akhirnya. Lalu Tuk Ca menggerak-gerakkan kepalanya. “Dengan sebab kesaktian Tuan Puteri Sa’dong itu, pada sangkaku dapat ditangkap ambil Tuan Puteri Sa’dong itu“. maka lalu Tuk Ca itu berkata, “Janganlah kamu sekalian bersusah hati fasal Tuan Puteri Sa’dung itu boleh aku lihat dalm nujumku, ke mana ia hendak pergi nescaya kita turut juga seboleh-bolehnya …“.
Hal ini juga menerangkan kepercayaan warisan di Kelantan yang menganggap kedudukan tokca Siam atau bomoh Siam mempunyai kekuatannya tersendiri. Kepercayaan terhadap kelebihan tokca Siam atau bomoh Siam dalam kalangan masyarakat Melayu berterusan sehingga ke hari ini. Menurut Mohamed Yusoff Ismail (1996: 23-37), terdapat beberapa elemen Buddha dan Siam diterima pakai oleh orang Melayu terutamanya dalam amalan magis gelap, termasuk ilmu guna-guna, ubat pengasih, ubat pembenci dan menilik nasib. Selain itu, orang Melayu juga mendapatkan khidmat perubatan tradisional tokca Siam bagi mengendalikan penyakit yang berpunca daripada perbuatan jahat oleh orang lain.
Hikayat Seri Kelantan memiliki tema, mempamerkan satu jurai keturunan raja negeri Kelantan. Hal ini berpaut kepada tajuk hikayat itu sendiri. Keturunan yang menjadi raja merupakan mereka yang dilahirkan dari darah daging raja atau anak angkat yang dijadikan oleh pemerintah. Sekiranya tiada pengganti, anak angkat tersebut atau bapa saudara sahaja yang boleh dilantik menjadi raja selain daripada anak-anak raja itu sendiri. Hal ini menggambarkan bahawa raja pada waktu itu memiliki kuasa mutlak ke atas negeri. Keadilan dalam sistem pemerintahan juga turut ditekankan dalam pembangunan sesebuah negara kota. Hikayat Seri Kelantan menggambarkan sekiranya raja bersikap adil dan saksama dalam mentadbir negeri bersama-sama rakyatnya, maka tidak akan berlaku huru-hara. Sebaliknya, apabila seseorang raja pemerintah negeri berbuat zalim terhadap rakyatnya berlakulah huru-hara.
Zaman pemerintahan sebegini akan berakhir dengan keruntuhan kerajaan. Oleh itu, pengarang dalam konteks ini telah mencapai suatu kesatuan idea yang jitu bagi menyatakan kembali sejarah lepas ke dalam hikayat tersebut. Bertitik tolak dari sini, pemikiran yang terkandung dalam sesebuah karya sastera sejarah perlu dikaji bagi memperoleh faedah dan kesannya bagi menangani sesuatu isu termasuklah politik, sosial dan sebagainya.