KETAMADUNAN yang wujud pada hari ini amat berkait rapat dengan bahasa. Kegemilangan setiap ketamadunan diukur pada tingginya martabat dan keunggulan sistem bahasa yang dipraktikkan dan dituturkan dalam amalan harian. Begitu juga halnya dengan negara kita Malaysia yang bahasa rasminya ialah bahasa Melayu. Begitu agungnya dan bernilainya bahasa Melayu tidak dapat kita ragui lagi. Martabat bahasa indah ini telah terbukti dan diguna pakai ratusan tahun. Maka tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa ketamadunan bahasa Melayu itu sendiri dapat menggambarkan betapa maju dan bijaknya masyarakat terdahulu yang telah menuturkan, berkomunikasi dan menggunakan bahasa lingua franca ini.
Sebelum berbicara lebih mendalam, sama-sama kita tekuni dan lihat kembali sejarah bahasa Melayu yang agung ini. Menurut Khairudin Mohamad (2016), bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa Austronesia dan mempunyai kaitan yang rapat dengan bahasa-bahasa etnik lain yang dituturkan di Nusantara. Maka dalam hal ini, terdapat ahli bahasa yang berpendapat bahawa bahasa Melayu tergolong dalam rumpun bahasa Melayu-Polinesia. Bahasa ini dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu Nusantara, antaranya Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura sebagai pusatnya. Malah hingga ke Selatan Thailand, Selatan Filipina sehingga ke Madagaskar. Oleh itu tidak hairanlah kosa kata dan dialek pertuturan masyarakat di sana seakan-akan sama dengan bahasa Melayu di negara kita.
Setiap bahasa di dunia ini mempunyai ciri-ciri yang membolehkannya menjadi bahasa yang maju dan disegani. Menurut Khairudin Mohamad (2016), Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah meletakkan asas yang kukuh untuk bahasa Melayu menjadi bahasa yang disegani dan dihormati oleh masyarakat di Malaysia dan antarabangsa, walaupun status yang diharapkan itu masih belum menjadi kenyataan. Justeru, jelaslah di sini bahawa masyarakat Malaysia haruslah didedahkan tentang kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan melalui tulisan ini kita dapat mengetahui serba sedikit tentang fungsi, serta mengenal pasti ciri-ciri yang ada hubung kait dengan fungsi yang bakal dijelaskan.
Perkara asas dan utama yang harus kita sedari dan selami adalah mengetahui kedudukan bahasa Melayu itu sendiri dalam perlembagaan. Kita sebagai generasi yang bertuah ini perlu mengetahui sejarah kedewasaan bahasa Melayu yang sememangnya gemilang suatu ketika dahulu. Menurut Asmah Haji Omar (2002), sejarah kewujudan bahasa Melayu sebenarnya tidak mengalami persaingan pada awalnya, sehinggalah datangnya bahasa Inggeris. Sungguhpun sebelum kedatangan orang Inggeris, Melaka sudah dijajah oleh bangsa Portugis dan Belanda, tetapi bahasa Portugis dan bahasa Belanda tidak tersebar secara meluas dalam kalangan masyarakat Semenanjung Tanah Melayu.
Berlainan pula dengan bahasa Inggeris yang lebih diterima dan dituturkan, selain penggunaannya yang tersebar luas melalui sistem persekolahan, pentadbiran dan pergaulan individu. Hal ini jelas sudah memberikan gambaran kepada kita bahawa penggunaan bahasa Inggeris ini sendiri diterima baik oleh masyarakat pada ketika itu dan telah menatijahkan kemerosotan terhadap bahasa Melayu. Namun masalah kemerosotan ini tidaklah berlarutan dan menjadi barah dalam pengembangan bahasa Melayu. Maridah Alias (2016) menyatakan bahawa semangat kebangsaan bergema dan masyarakat Melayu pada masa itu mula mengorak langkah untuk lebih radikal memperjuangkan bahasa ibunda mereka.
Dalam perjuangan itu semestinya kita dapat merumuskan bahawa sudah terbit semangat mempertahankan bahasa Melayu dalam jati diri masyarakat pada masa itu. Mereka sudah berani memperjuangkan dan menyuarakan hak dan kepentingan bahasa Melayu. Hal ini dikuatkan lagi oleh Nik Safiah Nik Karim (2008) yang menjelaskan bahawa pelbagai pihak telah mengambil bahagian dan bersatu hati untuk memperjuangkan dan mempertahankan bahasa Melayu seperti wartawan, sasterawan, budayawan, guru-guru Melayu dan ahli-ahli politik.
Ketika itu, akhbar dan majalah menjadi saluran utama untuk mencetuskan rasa cinta kepada bahasa Melayu dan menyebarkan peranan bahasa Melayu dalam mempengaruhi pemikiran perjuangan masyarakat. Pada masa yang sama, telah wujud persatuan-persatuan bahasa dan sastera yang muncul dengan “ghairah” dan berkobar-kobar untuk bersama-sama dalam gelanggang perjuangan bahasa Melayu. Masing-masing memasang strategi dan melakukan provokasi demi mempertahankan keutuhan bahasa Melayu. Mereka sudah mulai sedar bahawa hanya dengan bahasa ibunda ini mereka dapat mencari titik pertemuan keharmonian di negara.
Menurut Khairudin Mohamad (2016), perjuangan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Maka, dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa peranan bahasa Melayu pada masa itu sangat penting dan telah meresap dalam jiwa dan pemikiran rakyat yang mahukan kebebasan dan hak mereka. Pelbagai langkah dan kaedah telah dilaksanakan serta diperjuangkan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa utama dalam pertuturan rakyat. Fokus utama adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Akhirnya, berkat usaha dan perjuangan serta doa maka kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa “Bahasa kebangsaan negara ini ialah bahasa Melayu…”
Bagaikan satu rahmat dan anugerah daripada Tuhan Yang Maha Esa, betapa bangga dan megahnya apabila bahasa ibunda yang tersusun indah ini dimeterai sebagai bahasa kebangsaan. Maka dengan perakuan itu, bermulalah era baharu bagi bahasa Melayu. Diangkat sebagai bahasa kebangsaan negara baharu dan berdaulat pada masa itu, bererti secara tidak langsung sudah ada beban dan tugas berat yang perlu dipikul oleh bahasa Melayu itu sendiri, iaitu antaranya menjadi bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum, bahasa pengantar, serta bahasa ilmiah di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Pada masa yang sama, semua tugas ini dipikul peringkat demi peringkat sejak tahun 1957, sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan.
Dalam konteks zaman pascakemerdekaan yang sarat dengan kemodenan ini, kita sebagai rakyat Malaysia wajib mengetahui fungsi Bahasa Melayu yang kita cintai ini. Fungsi-fungsi yang bakal dibincangkan sebentar lagi adalah sangat relevan dan komprehensif dalam mempertahankan bahasa ibunda kita ini. Antara fungsi-fungsinya adalah sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi.
Siti Hajar Abd. Aziz (2011) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa dan negara. Maka jelas di sini bahawa setiap negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan yang tersendiri untuk melambangkan jati diri sesebuah bangsa dan negara. Oleh itu dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu telah berjaya menjadi bahasa yang menonjolkan identiti rakyat Malaysia.
Harus kita ketahui juga bahawa terdapat beberapa ciri yang perlu ada pada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pertama ialah keupayaannya dalam melambangkan identiti bangsa dan negara. Kedua, bilangan bahasa kebangsaan hanya satu. Ketiga, cara bahasa kebangsaan dipilih adalah daripada bahasa-bahasa yang dituturkan oleh masyarakat asal. Yang terakhir ialah pengiktirafan bahasa kebangsaan dibuat melalui penggubalan undang-undang yang sah.
Rasional pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dinyatakan oleh Asmah Haji Omar (2002), bahawa selain faktor lingua franca, ada beberapa faktor yang membantu bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan, iaitu faktor endoglosia, faktor pengalaman, dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi sebelum kedatangan British. Sejarah telah membuktikan keupayaan bahasa Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Kebijaksanaan pemimpin pada masa itu telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa harian dalam urusan berkaitan pentadbiran, perdagangan, ketenteraan dan sebagainya. Bahkan sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mewujudkan hubungan diplomatik atau perdagangan di kawasan yang ditakluki mestilah menggunakan bahasa Melayu.
Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan Melayu berlaku dalam beberapa empayar Melayu seperti empayar Srivijaya, iaitu sekitar abad ke-15 hingga ke-16, empayar Brunei pada abad ke-14 hingga ke-17 dan empayar Johor, iaitu pada abad ke-17 hingga ke-19.
Bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa tinggi pula telah pun berlaku sebelum kedatangan Inggeris. Bahasa Melayu sendiri telah digunakan sebagai bahasa utama dalam segala hal sebelum datangnya pengaruh bahasa asing yang lain. Contohnya, dalam konteks hubungan luar dan antarabangsa, surat-surat dan dokumen rasmi perjanjian, semuanya menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi.
Fungsi kedua Bahasa Melayu adalah sebagai bahasa rasmi. Menurut Nuraini Yusof (2005), bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan oleh pihak kerajaan dalam sesebuah negara, iaitu dari peringkat kementerian hingga ke peringkat bawahan. Hal ini disokong oleh Asmah Haji Omar (1993) yang menyebutkan bahawa bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, yakni dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi dan sebagainya. Maka bolehlah diungkapkan di sini bahawa bahasa rasmi ini merupakan satu sistem bahasa yang diterima dan diaplikasikan dalam apa-apa jua acara yang melibatkan rasmi dan tidak rasmi dalam usaha mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kini, fungsi ini jelas dipaparkan apabila bahasa Melayu bertindak sebagai bahasa perhubungan antara para pegawai kerajaan dalam tugasan rasmi, selain berperanan sebagai medium dalam segala urusan surat-menyurat antara jabatan, dokumen dan rekod kerajaan.
Dalam konteks Malaysia pada hari ini, bahasa Melayu merupakan salah satu wadah dalam memupuk semangat bersatu hati dan sayang kepada negara. Apabila semua rakyat dapat memahami, mengaplikasikan dan menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian, sifat kenegaraan akan lebih menebal, dan secara tidak langsung akan menyatupadukan rakyat berbilang kaum, dan mewujudkan rasa kesetiaan bahasa. Kesetiaan bahasa bermaksud keinginan masyarakat yang menjadi pendukung sesuatu bahasa untuk memelihara dan mempertahankan bahasa tersebut daripada pengaruh dan ancaman bahasa asing lain.
Fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan merupakan satu proses dan usaha berterusan untuk mengekalkan dan mengutuhkan perpaduan dan penyatuan kaum di Malaysia. Usaha ini tidak akan terhenti dan menjadi gerak kerja harmoni yang membawa kepada bukan sahaja perpaduan dan saling menghormati antara kaum, malahan dapat meningkatkan ekonomi dan kemajuan negara serta menjadi contoh kepada negara lain.
Fungsi seterusnya adalah sebagai bahasa pengantar. Perkara ini merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai satu alat perhubungan atau komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, senario di negara kita menampakkan sedikit hambatan dan permasalahan dalam perkara ini. Menurut Siti Hajar Abd. Aziz (2011), semasa pemerintahan British, penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan amat terhad. Bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Melayu hingga darjah 4, di Maktab Perguruan Sultan Idris dan di Maktab Perguruan Perempuan Melaka. Dalam keterbatasan itu, sejarah tetap membuktikan, walaupun bahasa Melayu tidak diperluaskan ajarannya, masyarakat pada ketika itu belajar bahasa Inggeris dan boleh memahami bahasa Melayu dengan baik. Maka tidak hairanlah menurut tulisan Khairuddin Mohamad (2016), kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah dikukuhkan dalam sistem peperiksaan dengan menjadikan syarat lulus subjek bahasa Melayu untuk mendapatkan sijil peperiksaan utama bermula pada tahun 1957.
Dalam meniti sejarah ini, ia bermula pada tahun 1957 dengan Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu, diikuti tahun 1978 untuk Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, tahun 1980 untuk Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan tahun 1982 untuk Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan yang hanya dijalankan menggunakan perantaraan bahasa Melayu. Pada tahun 1956, iaitu apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan khusus untuk membina, mengembang dan melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia, maka kemuncak pembinaan bahasa Melayu sudah mula menyinar. Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1970, telah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa pengantar. Jadi jelaslah bahawa perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memajukan bahasa ibunda ini tidak pernah luntur, malahan terus mekar dan positif walaupun terpaksa mengharungi pelbagai onak ranjau berduri.
Fungsi seterusnya ialah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu yang sememangnya amat bernilai dan mempunyai potensi, serta pengaruhnya besar dalam pengembangan ilmu di dunia ini. Dalam konteks kita di Malaysia hari ini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjadikan bahasa Melayu mampu memberikan nilai kompetensi dan diterima seluruh masyarakat dunia. Dalam hal ini, bahasa Melayu itu sendiri harus berperwatakan sebagai bahasa yang ekspresif dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sastera, sains, teknologi dan sebagainya. Menurut Havranek dalam Garvin (1984), sesuatu bahasa itu akan mencapai taraf sebagai bahasa ilmu apabila mempunyai dua ciri penting, iaitu keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Yang dimaksudkan dengan keintelektualan adalah dalam konteks bahasa, iaitu mempunyai keupayaan menyampaikan hujah dan buah fikiran yang berimpak tinggi dan tepat, serta mampu menyampaikan sesuatu secara rasional.
Kesempurnaan bahasa bererti satu bahasa yang akan berfungsi sebagai bahasa ilmiah serta mempunyai sistem dan peraturan bahasa yang lengkap. Jika kita teliti dengan mendalam, bahasa Melayu sebenarnya sudah mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan.
Bahasa Melayu mampu memberi impak keintelektualan dan kesempurnaan bahasa kepada masyarakat. Persoalannya, adakah masyarakat perasan atau ambil tahu tentang betapa intelektual dan sempurnanya bahasa Melayu dalam mengungkapkan sesebuah ilmu?
Sebagai bahasa perdagangan, sejarah telah menceritakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan komunikasi utama sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Kegemilangan Melaka pada zaman itu amat dibanggakan dan telah menjadi salah sebuah pelabuhan penting. Peranan pemimpin pada masa itu juga amat berkesan dan telah memberikan arahan hanya bahasa Melayu digunakan secara rasmi. Maka secara tidak langsung, bahasa Melayu telah menjadi bukan sahaja bahasa perdagangan, malahan menjadi bahasa diplomatik untuk pedagang-pedagang luar melakukan urusan rasmi dan tidak rasmi mereka.
Sayangnya, dalam konteks semasa, bahasa Melayu tampak kurang mendapat perhatian dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan. Masyarakat lebih “memahami” dan “mudah” menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan jual beli. Faktor terjadinya perkara ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpunca daripada diri masyarakat sendiri. Oleh itu dalam hal ini, perasaan bangga dan berani untuk menggunakan bahasa Melayu amatlah dituntut agar rakyat asing boleh melihat bahasa Melayu mampu memberikan persaingan kepada bahasa utama dunia yang lain sebagai bahasa perdagangan.
Fungsi terakhir bahasa Melayu adalah sebagai bahasa komunikasi. Umum mengetahui bahawa subjek Bahasa Melayu diwajibkan diajar kepada semua bangsa di Malaysia semasa di bangku sekolah. Maka, tiada alasan untuk kita sebagai rakyat Malaysia untuk menyatakan bahawa kita tiada asas dalam bahasa Melayu dan kita tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik, fasih dan lancar. Setiap rakyat Malaysia yang lahir di Malaysia wajib menguasai bahasa Melayu, merangkumi aspek pertuturan, penulisan dan berperanan mengembangkan bahasa rasmi negara kita ini. Maka dalam hal ini, fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi bukan sahaja terhad kepada hubungan komunikasi verbal dan bukan verbal secara bersemuka antara dua pihak, tetapi lebih daripada itu.
Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi juga berlaku secara langsung dalam bidang pengiklanan, komunikasi massa dan teknologi maklumat. Kesemua fungsi ini akan memberikan impak yang tinggi kepada bahasa Melayu jika semua anggota masyarakat bersatu hati dan bekerjasama melestarikan dan memajukan bahasa Melayu agar evolusi bahasa Melayu berlaku dalam alam nyata dan alam maya.
Konklusinya, segala fungsi bahasa Melayu akan menjadi realistik dan fleksibel jika semua masyarakat Malaysia mengambil tahu dan peka terhadap perkembangan dan berusaha ke arah pengembangan bahasa Melayu itu sendiri. Tanpa lahirnya perasaan ingin mempertahankan bahasa Melayu pada masa kini akan menyebabkan kerugian yang tiada tangisan untuk anak cucu kita pada 100 tahun atau 1000 tahun akan datang. Usaha dan gerakan bersama masyarakat Melayu dan bukan Melayu penting untuk meningkatkan nilai bahasa Melayu. Hal ini kerana perkembangan globalisasi dan liberalisasi yang semakin rakus pada hari ini menggugat perjalanan bahasa Melayu dalam meniti nasibnya di bumi sendiri.
Oleh itu, tugas dan amanah yang sangat berat harus diterima oleh para penggiat bahasa dan masyarakat Melayu sendiri khususnya, untuk terus berganding bahu, berusaha mencari jalan, kaedah, strategi dan hipotesis untuk terus meningkatkan dan melestarikan nilai bahasa Melayu itu sendiri. Tugas ini akan menjadi lebih mudah jika ada dukungan dan sokongan padu oleh pihak berwajib seperti pihak kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan yang berkaitan kebahasaan dan kesusasteraan. Moleklah duduk berbincang dan merangka strategi murni untuk menjadikan bahasa Melayu ini sebagai agen penting dalam menyuburkan nilai kesatuan dan perpaduan dalam hati rakyat Malaysia serta penambah rencah dalam kemajuan negara.
Bibliografi
Asmah Haji Omar. (2002). Setia dan Santun Bahasa. Tanjong Malim : Penerbit Universiti Sultan Idris.
Kharudin Mohamad,Maridah Alias & Faiziah Haji Samsudin. (2016). Bahasa Melayu Komunikatif. Petaling Jaya. Sasbadi Sdn.Bhd.
Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hassim Musa, dan Abdul Hamid Mahmood. (2008). Tatabahasa Dewan: Edisi Ketiga, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Nuraini Yusoff. (2005). Bahasa Melayu untuk Pengurusan. Sintok : Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Siti Hajar Abd. Azizi. (2011). Siri Pendidikan Guru : Bahasa Melayu 1 (Edisi kedua). Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Cikgu Osman Zaini
Master in Education (UPSI), Bachelor of Education (IPG Malaysia)
Naib Presiden 2
Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA)