Penulis: Yatim Ahmad
RupHA ialah perpustakaan yang menempatkan kira-kira tujuh ribu naskhah buku. Nama RupHA diberikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sebagai singkatan bagi Rumah Puisi Hasyuda Abadi. Sejak diwujudkan pada 2010, ruang kecil ini telah memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti seperti baca puisi, wacana, bual bicara sastera dan kegiatan lain yang diadakan di RupHA. Orang ramai boleh berkunjung ke RupHA bagi mendapatkan bahan bacaan atau untuk tujuan rujukan, kajian dan penyelidikan.
Ini merupakan komitmen Haji Sukor bin Haji Usin atau nama penanya Hasyuda Abadi selama hampir tiga dekad dalam dunia kesusasteraan, khususnya di Sabah sejak beliau meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Kumpulan Anak Seni pada tahun 1990 kerana tertarik dengan kegiatan sastera dan gerakan penulis muda.
Hasyuda kemudian menyertai Ikatan Penulis Sabah (IPS) beberapa bulan selepas ditubuhkan dan bergabung dengan Jasni Matlani (Datuk), Abd Naddin Shaiddin, Ailin Nor, NR Rahim, Aida AR, Sharifah AM Nordin, Along Jasmin dan Ali Karim.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan IPS Pertama pada tahun 1992, Hasyuda Abadi dipilih sebagai Ketua Dua. Jawatan tersebut disandangnya selama enam tahun sebelum menggantikan Jasni Matlani yang mengundurkan diri sebagai Ketua Satu. Pada tahun 2019, Hasyuda tidak mempertahankan jawatan dan digantikan oleh Abd Naddin Shaiddin.
Sejak itu, Hasyuda Abadi bagaikan jentera senyap akar sastera dengan mewujudkan RupHA dan membentuk dua cabang bahagian pengurusan, iaitu Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah (KEBUKU) dan Persatuan Kebajikan Baitul Muqaddam. Kedua-dua ini telah didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada bulan November 2021.
“RupHA menggabungkan buku, persuratan, pustaka dan pendidikan al-Quran. Rangkuman ini merealisasikan khutub khanah Pustaka Iqbal Nazim dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam. Saya wujudkan Kelab Komuniti Penggiat Buku Negeri Sabah. Melalui RupHA ini, saya fikir boleh dianjurkan pelbagai aktiviti persuratan seperti diskusi buku, baca puisi, penataran sastera dan seminar mini,” kata Hasyuda.
Hasyuda Abadi dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Lumadan, Beaufort pada 1967 hingga 1972 sebelum meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah St John Beaufort sehingga Tingkatan Lima dalam aliran Sains pada tahun 1973 hingga 1978. Hasyuda seterusnya mendalami bidang Pengajian Melayu dengan Kepujian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kota Kinabalu pada tahun 2015.
Puisi pertama beliau bertajuk Mengapa oh Mengapa tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980. Selain menulis cerpen, Hasyuda turut menulis rencana sastera dan rencana umum serta skrip drama radio.
Pada tahun 1985, puisi Hasyuda berjudul Salam Buat Kekasih siaran Harian Ekspres pada 17 November 1985 terpilih sebagai penerima Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Kemenangan ini merupakan kesinambungan legasi penulis Sabah terdahulu, iaitu Datuk Haji Jamdin Buyong, Tuan Haji Hashim Jeffri dan Allahyarham Haji Saidi Lampoh (S. Mala).
Hasyuda mengikuti Program Penulis Anak Angkat anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Allahyarham Kemala), serta turut terpilih mengikuti Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera, 1997) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta. Melalui program anjuran Mastera ini, Hasyuda Abadi dan rakan-rakannya dibimbing oleh Allahyarham Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.
Hasil Program Penulis Anak Angkat ini telah melahirkan kumpulan puisi sejarah berjudul Balada Paduka Mat Salleh terbitan DBP pada tahun 1989, berlatarbelakangkan sejarah perjuangan seorang pahlawan peribumi negeri Sabah bernama Mat Salleh menentang Inggeris pada 1896-1900. Buku ini dianggap satu-satunya buku puisi sejarah yang dihasilkan penulis Sabah dan Malaysia ketika itu.
Sepanjang empat dekad membina jentera sastera peribadinya dengan melahirkan puisi-puisi tanpa jemu, keberhasilan Hasyuda Abadi menyerlah menerusi pelbagai sayembara termasuk memenangi Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah bermula tahun 1988. Kegiatan ini berlangsung saban tahun bersempena dengan Malam Pengucapan Puisi Berunsur Islam di negeri Sabah.
Penganalisis sastera tanah air, Allahyarham T. Alias Taib pernah memberikan tanggapan bahawa karya (puisi) Hasyuda memberikan ungkapan asli dan segar (Dewan Sastera, April 2000). Allahyarham Dharmawijaya juga melalui tulisannya dalam Dewan Sastera, Mei 2003 berpandangan bahawa Hasyuda Abadi memperlihatkan ketelitiannya dalam penggunaan bahasa.
Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) melihat peningkatan Hasyuda Abadi menerusi epik dan sejarah, namun suaranya juga mulai mendekat kepada unsur keislaman.
Dari segi kepimpinan di bawah teraju Hasyuda, IPS berjaya meraih gelaran persatuan paling aktif di Sabah menerusi Hadiah Tinta Sastera Kategori Persatuan anjuran Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) dan DBP Cawangan Sabah selama tiga tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 1999, 2002 dan 2004.
Beliau juga terbabit dalam penubuhan Institut Penilaian Sastera (INPES) bersama-sama Datuk Dr. Haji Janathan Kandok dan Abd Naddin Shaiddin. INPES mempunyai landasan yang mandiri dalam visinya mengangkat sastera sekali gus mengiktiraf pengarang tempatan.
Semua ini bagaikan membawa petanda masa hadapan Hasyuda bukan sahaja ikonik dalam puisi, tetapi juga berjaya mengangkatnya sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah (SNS) ke-3 pada tahun 2022.
“Anugerah Sastera Negeri Sabah ialah pencapaian tinggi untuk kita perlu gigih melakukan sesuatu secara ikhlas. Anugerah itu urusan Allah, saya berfikir begitu namun kita mesti bekerja kerana minat, iltizam dan niat. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berwajib kerana mewujudkan anugerah buat para penulis. Ini merupakan suatu penghargaan yang tidak akan saya lupakan,”
“Selepas menerima anugerah, saya bekerja lagi untuk memperkasakan dunia persuratan kita. Kita ada impian menjadi hebat namun hebat atas nama orang lain kita tidak akan ke mana-mana. Kita akan tenggelam oleh satu nama besar,” katanya.
Hasyuda berkata, penulis (Sabah) tidak harus diletakkan berdasarkan blok supaya kesuburan sastera (Malaysia) berlangsung lebih bebas bukan atas kapasiti blok. Semua penulis berhak memiliki kemudahan yang diberikan kerajaan. Pihak kerajaan juga melalui agensi berkenaan perlu bersikap adil kepada NGO persuratan untuk menyalurkan bantuan.
“Jangan seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” tegasnya.
Menurut Hasyuda, sastera perlu dibesarkan mengikut acuan sendiri, memiliki identiti sendiri, bukan menjadi pengikut budaya luar agar kebiasaan membesarkan sastera milik orang dapat diseimbangkan dengan produk setempat.
“Jika mahu sekadar inspirasi pun saya fikir tiada masalah. Kita harus membangunkan produk kita sendiri. Sastera kita hebat. Komuniti sastera kita sangat luas dalam konteks kearifan lokal yang luar biasa. Ini merupakan aset yang sangat tinggi nilainya tetapi bukan bermobilisasikan acuan luar. Bukankah acuan sastera kita sangat banyak?” katanya.
Tambah Hasyuda, penulis perlu mempunyai institusinya sendiri, berkolaboratif dengan persatuan penulis atau mana-mana agensi yang berkaitan.
“Oleh sebab itulah saya wujudkan RupHA, bukan semata-mata berfungsi untuk puisi dalam corak aktivitinya bahkan akan menyumbang ke arah kepelbagaian kegiatan yang menarik. Kita perlu ada landasan atau alternatif bergerak secara persendirian atau kumpulan, jadi pergerakan sastera tidak tertumpu di satu tempat sahaja,” katanya.
Sebagai contoh, Hasyuda berkata ciri-ciri semula jadi dalam ukhuwah suasana kesederhanaan. “Ketika mengetuai IPS selama dua dekad, kami menjunjung semangat sederhana agar terlepas daripada sifat-sifat ujub dan memperkasakan hal-hal yang menyebabkan lupa diri kerana menganggap lebih itu dan ini. Kita bersama-sama bangun dan bergerak secara sederhana. Syukurlah, sifat wasatiah terus berlaku dan difahami generasi penerus,” tambahnya.
Kini generasi kedua menerajui persatuan yang baru berusia 33 tahun itu telah menuju angka 50, sudah pasti IPS terus dinamik kerana pengalaman mereka yang terbaik dalam menyertai gagasan semasa bersama-sama kekuatan ahli yang pelbagai latar disiplin mereka. Pada 15 tahun mendatang bukan bermakna hanya untuk tempoh itu, sudah tentu kesiagaan generasi penerus akan dilahirkan daripada semasa ke semasa.
“Saya yakin pimpinan (IPS) sekarang, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin memiliki upaya tersendiri. Sebagai generasi awal kami bertindak menyokong kewibawaan mereka. Sesungguhnya kecemerlangan akan berlaku seiring keikhlasan dan kesediaan berkongsi kebolehan,” katanya.
Sementara itu, Hasyuda berkata merekayasa ‘PUISI ADALAH…’ sebagai sebuah aktiviti induk. Peserta perlu mendaftarkan akaun media sosial Facebook menggunakan nama ‘Puisi Adalah…’
Katanya, pengertian ‘puisi’ dalam konteksnya hendaklah diperluaskan kepada pantun dan sebagainya, maka itu sayembara ‘Puisi Adalah…’ dijangka akan diadakan setiap bulan menerusi medan Facebook.
Mengenai Baitul Muqqadam, Hasyuda berkata bahawa fungsi utamanya memberikan bimbingan melalui aktiviti taksif Iqra’ dan al-Quran kepada anak-anak dan ibu-ibu di Kampung Gudon dan persekitarannya, selain daripada bimbingan fardu ain dan fardu kifayah.
“Kami juga menganjurkan program tadabur al-Quran, program motivasi Islam dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menggerakkan kerja-kerja kemanusiaan, membantu golongan asnaf dan masyarakat yang daif. Baitul Muqqadam merupakan pusat atau hub bantuan masyarakat, program ibadah korban Aidiladha serta menubuhkan jemaah ‘Muzika Islami’ melalui kompang,” katanya.
Setakat ini, bilangan pelajar di Baitul Muqaddam ialah seramai 140 orang. Aktiviti dikendalikan oleh Puan Hajah Sahara dengan dibantu para sukarelawan NGO yang bergerak aktif di Kota Kinabalu.
Sementara itu, mantan Ketua Satu IPS, Abd Naddin Shaiddin berkata sebagai aktivis sastera, Hasyuda seorang yang sangat komited dan dedikasi, konsisten sebagai pemikir yang diperlihatkan menerusi sepanjang penglibatannya dalam dunia sastera pada penghujung 70-an hingga kini.
“Seolah-olah tak ada letihnya, Hasyuda menggerakkan aktiviti sastera terutamanya selepas menyertai Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada 1990 dan menjadi Ketua Satu pada 1998 hingga 2019 dan sekarang menjadi Pengerusi Majlis Penasihat IPS,” kata Abd Naddin.
Menurutnya, Hasyuda boleh dikatakan memberikan seluruh jiwa dan raganya kepada sastera dengan komitmen yang tidak diragukan.
Awang Abdul Muizz berpendapat bahawa kebitaraan Hasyuda dalam sastera Sabah tidak dapat disangkal kerana kedudukannya sebagai Sasterawan Negeri Sabah yang diperakui oleh kerajaan dan rakyat Sabah serta DBP.
“Hal ini menggambarkan kepakaran beliau dalam menulis dan menganalisis karya-karya sastera dan budaya yang melambangkan masyarakat dan tanah air Sabah, baik tradisional mahupun moden. Lebih menarik lagi, kesusasteraan Hasyuda Abadi di Sabah sentiasa menarik golongan belia. Saya sendiri mendapat pendidikan dan latihan sastera daripada beliau ketika saya mula-mula menginjak seusia beliau,” katanya.
Di samping ilmu dan kemahiran penulisan, penerbitan dan analisis karya, Awang Adul Muizz juga belajar daripada Hasyuda cara menangani isu-isu semasa terlibat dalam industri sastera dan budaya menerusi peluang memimpin dan mengurus yang diberikan oleh beliau dan rakan-rakan senior.
Katanya, mempelajari ilmu dan kemahiran sastera daripada Hasyuda Abadi merupakan peluang yang berharga bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga golongan belia yang meminati sastera dan berhasrat untuk berkecimpung dengan sastera. Seiring dengan peredaran zaman, telah muncul beberapa orang belia yang menghiasi industri sastera di Sabah yang sebahagiannya disumbangkan oleh kesusasteraan Hasyuda Abadi. Selain pengarang sendiri, terdapat juga Mohilis, Dayana Chacho, Ainun Nasibah Johar dan yang terbaharu, Fahaiz.