Skip to content
Platelet
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Platelet
Platelet
Cerpen

Platelet

  • Osman bin Ayob
  • 6 November 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 5

HARI sudah petang dan aku  terus berehat di rumah. Rasa letih lantaran dari pagi hingga tengah hari aku berada di hospital, bersama-sama dengan ramai orang yang menerima rawatan, tidak menjadi hal. Di mana-mana hospital pun memang begitu. Yang menjadi hal bagiku ialah setelah 44 hari menerima rawatan dan mengambil ubat penyakit tibi setiap pagi, badanku terasa terus lemah. Aku terpaksa menemui doktor dan  menceritakan hal sebenar yang berlaku kepada diriku.

Setelah aku disahkan menghidap penyakit tibi, aku dikehendaki menerima rawatan lengkap secara intensif. Aku dikehendaki makan ubat yang amat busuk setiap pagi di hadapan  jururawat atau pembantu hospital. Ubat itu tidak dibenarkan dibawa pulang, sebaliknya perlu dimakan di hadapan mereka. Barangkali kerana ia busuk dan diragui pesakit akan membuangnya, maka aku dan pesakit yang senasib dengan aku dikehendaki memakannya di hadapan pegawai perubatan berkenaan.

Empat biji ubat  berwarna coklat sebesar kelengkeng bernama AKuriT-4 yang setiap tablet mengandungi Rifamficin USP150, Isoniazid75, PyrazimamideUSP bersama-sama sebiji Pyridoxine HCI.400n dan Ethambutol Hydrochloride USP275 perlu ditelan dengan bantuan sebotol air. Terasa begitu seksa untuk menelannya, tetapi kerana dorongan untuk mencari kesembuhan, aku tepaksa mengalaminya dengan tabah.

Ubat yang menyebabkan air kencing aku berwarna oren semacam tidak serasi denganku. Walaupun suhu badanku bertahan pada 36-36.5 darjah, selera makan sudah berkurangan. Hal ini menyebabkan berat badan aku sebelum ini 65 kilogram telah menurun menjadi 60 kilogram setelah 44 hari aku mengambil ubat ini.

“Saya terpaksa  beritahu doktor, sejak saya makan ubat ni, selain batuk  berterusan, tekak saya meloya dan sering muntah setelah makan tengah hari.”  Aku bersuara dengan jujur. Kutatap wajah doktor wanita yang duduk dengan tenang mendengar rintihanku.

Doktor itu mengangguk lalu menatap skrin komputer. Jari-jemarinya berlari di papan kekunci sambil menatap maklumat yang tertera. Dia kemudian mencatat sesuatu sebelum menatap wajahku.

“Saya ambil maklum aduan pak cik.” Doktor wanita berbadan langsing itu, agak lama meneliti maklumat di atas skrin komputer. Tentu yang ditemuinya, aku tidak pernah gagal menghadirkan diri memakan ubat setiap pagi. Kesan daripada pengambilan  ubat ini tentu mempengaruhi apa-apa yang berlaku kepada diriku.

“Bagi seseorang yang menghidap tibi, aduan pak cik bukan sesuatu yang luar biasa,” ujar doktor itu kemudian. “Bagaimanapun untuk mengetahui kedudukan sebenar penyakit pak cik, kita akan mengambil sampel darah untuk dianalisis.”

“Tidak ada masalah doktor,” cepat aku memintas. “Asalkan masalah yang saya hadapi sekarang dapat diatasi, saya sedia mengikut arahan.”

Doktor itu dengan pantas mengetik butang kekunci komputer. Dia kemudian  menulis sesuatu di atas sekeping kertas. Disuruhnya aku menemui seorang jururawat di luar bilik. Aku segera dibawa ke tempat pengambilan sampel darah.

 Tempat pengambilan sampel darah sudah tidak ramai orang. Aku menjadi penunggu ketiga. Satu tabung uji darah diambil. Aku diarah kembali menemui jururawat yang menguruskannya tadi.

 “Esok pagi pak cik datang lagi.” Jururawat itu menulis sesuatu di dalam buku rawatan. “Doktor akan beritahu keputusan ujian darah pak cik.”

“Terima kasih.” Ucapku penuh harapan. Esok aku berharap masalah aku akan selesai. Dokor tentu akan memberi ubat tertentu bagi mengatasi masalah yang membelenggu aku sejak aku dijangkiti  tibi. Tibi ialah sejenis penyakit yang sudah jarang diperkatakan sekarang. Hanya segelintir sahaja yang terkena penyakit ini. Soalnya mengapa aku boleh dijangkiti tibi sedangkan selama ini aku sihat walafiat?

Namun aku sedar, tinggal di kota besar sekarang, aku terdedah kepada masyarakat pelbagai bangsa, rupa dan latar belakang kehidupan. Kerapnya aku bersiar-siar, keluar masuk kedai dan pasar raya, ke tempat tumpuan ramai, mendedahkan aku dengan pendatang dari Bangladesh, India, Myanmar, Vietnam dan lain-lain. Tidak mustahil, mereka ialah parasit yang membawa penyakit yang sudah jarang dihidapi masyarakat di sini.

Melihat aku sudah lama sendirian, isteri aku yang sibuk di dapur tampil menghidangkan secawan kopi kurang gula. Aku sekadar mengangguk, membiarkan isteri aku kembali ke dapur.

Baru sekali aku  menghirup kopi yang dibekalkan adik aku dari kampung itu, tiba-tiba telefon tangan yang sentiasa berada di sisiku berdering.

“Pak cik Badrul,” ujar satu suara wanita setelah memberi salam.

“Ya, saya Badrul.” Aku cam benar, nada suara yang serak itu  suara jururawat di hospital tadi. “Ada apa nurse?” Aku hairan, mengapa petang begini, lepas waktu pejabat pula, jururawat ini menghubungi aku?

“Esok pak cik dikehendaki datang ke hospital, bukan?”

“Ya, insya-Allah!”

“Maaf, pak cik.” Suara itu terhenti sebentar. “Saya harap pak cik jaga diri baik-baik. Berhati-hati, jangan sampai terjatuh. Malah jika gusi pakcik berdarah ketika memberus, elok pak cik datang segera ke bahagian kecemasan.”

Aku terdiam. Belakang kusandar, fikiranku menderas dipalu sesuatu yang ganjil. Daripada nada suara kesungguhan jururawat itu, macam ada hal yang penting mahu dinyatakan padaku.

“Mengapa sampai begitu?” soalku dihurungi keliru.

“Saya cuma nak ingatkan pak cik.” Jururawat itu bersuara tenang. “Esok pak cik datang awal ya”.

“Okey.”

Sepanjang malam aku tidak jerap tidur. Aku diganggu dengan pelbagai pertanyaan. Adakah penyakit tibi aku semakin teruk? Adakah paru-paru aku semakin lunak dibaham kuman yang membuatnya bertiti-titik, berlubang-lubang sebagaimana terpeta dalam negatif hitam yang pernah ditunjukkan kepadaku?

Sepertimana bersarangnya kuman dalam paru-paru aku, begitu juga bersarangnya kerisauan yang membelenggu fikiran aku.

Aku menjadi orang pertama menemui doktor. Bukan doktor semalam, sebaliknya doktor lain berbangsa India, masih muda, barangkali baru setahun dua menjadi doktor.

Setelah meneliti hasil ujian darah yang tertera di skrin komputer, doktor berkumis dan bertali leher hitam itu berkata, “Hasil analisis darah pak cik, platelet pak cik telah turun kepada bacaaan 22.”

“Platelet?” Aku terkejut. Baru kali pertama aku mendengar istilah itu. “Platelet tu apa?” tanyaku pantas.

“Platelet tu ialah sel yang terdapat dalam darah dan membantu pembekuan darah.” Jelas doktor itu serius. Jari jemarinya menekan kekunci, pasti mencatat sesuatu yang penting.

“Bagi manusia normal, plateletnya berada pada bacaan 150-400.” Doktor itu menjelaskan.

Aku menggaru dahi. Kejutan itu memaksa aku bertanya, “Tadi doktor kata, platelet saya turun 22. Kenapa sampai begitu?”

Doktor itu terdiam. Jari jemarinya jadi kaku. Dia menyandarkan belakang, memandang wajahku dengan tenang.

“Ada banyak sebab.” Doktor itu sekali lagi menatap skrin komputer. Barangkali dia membaca apa yang aku cakapkan kepada doktor wanita semalam.

Setelah termenung sejenak, doktor yang berusia lingkungan tiga puluhan itu bersuara, “Berdasarkan usia pak cik yang sudah mencapai 75 tahun, pak cik mudah terdedah kepada banyak jangkitan. Apa lagi pak cik dalam rawatan tibi, kita perlu membuat analisis yang lebih mendalam.”

Aku menelan liur. Analisis yang lebih mendalam, menyenak dalam kepala. Namun setelah diam seketika, hatiku terdesak juga untuk bertanya.

“Analisis, macam mana tu, doktor?”

“Begini pak cik,” ujar doktor itu setelah beralih dan memusingkan kerusi macam mencari keselesaan. Wajahnya berkerut sedikit sebelum berkata, “Untuk analisis ini, kita perlu sedut sedikit air tulang belakang pak cik.”

Satu kejutan berkocak dalam dadaku. Mengambil air tulang belakang untuk tujuan kajian bukan perkara baharu. Aku pernah mendengar rakan-rakan aku bercerita. Bukan tidak boleh air tulang belakang disedut keluar. Jika kita masih muda tidak mengapa. Air tulang belakang boleh bertambah semula dalam tempoh yang singkat. Namun mengikut cerita rakan aku lagi, jika kita telah berusia, pengambilan air tulang belakang ada implikasnya. Ia mengambil masa yang lama untuk kembali ke tahap normal. Yang dibimbangi ialah cairan yang amat penting fungsinya bagi menggerakkan tulang belakang. Tanpa air tulang belakang fungsi seluruh tubuh akan menjadi tidak sempurna. Ini yang aku bimbang. 

“Saya keberatan, air tulang belakang saya diambil, doktor.” Aku menyatakan pendirian sebelum doktor memberi penjelasan lanjut.

 “Air tulang belakang itu penting untuk dianalisis bagi mengetahui penyakit pak cik.” Doktor itu menegaskan tentang SOP yang perlu aku lalui.

“Nak tahu penyakit apa lagi?” tanyaku spontan. “Bukankah saya sedang menerima rawatan tibi?”

Doktor itu menggeleng. Bagaikan kurang senang dengan pendirian aku. Dia kembali menghadap komputer dan membuat catatan dengan pantas.

“Okey, mulai hari ini, kami hentikan dulu pak cik daripada mengambil ubat tibi.” Doktor itu membuat keputusan. “Pak cik akan dirujuk kepada pakar hematologi untuk rawatan selanjutnya.”

Aku mendiamkan diri. Terfikir juga untuk aku bertanya, adakah pengambilan ubat tibi telah menyebabkan platelet aku  merosot begitu mendadak?

 Namun perubahan pada air muka doktor yang merawat aku kali ini, niat itu kupendamkan sahaja dalam hati.

“Untuk berjumpa dengan doktor pakar  hematologi, pak cik terpaksa pergi ke Hospital AP.”

Aku tunduk menggaru kening. Terfikir untuk ke Hospital AP, jauhnya kira-kira 15 km dari sini. Apa, di hospital ini tidak adakah doktor pakar  hematologi yang lebih ahli dalam soal darah dan rawatannya?

Mahu tidak  mahu demi mencari kesembuhan penyakit yang aku hidapi, aku perlu patuh dengan arahan yang diberi.

Di Hospital AP,  sampel darahku diambil lagi. Kelebihannya aku cuma perlu menunggu satu jam untuk darahku dianalisis dan keputusannya disalurkan terus  ke komputer doktor pakar hematologi.

Doktor pakar hematologi berbangsa Cina dan cukup fasih berbahasa Melayu itu begitu ramah dan pantas berkomunikasi denganku. Meskipun dia tidak mahu berterus terang menjelaskan mengapa platelet aku menurun begitu mendadak, dia dengan santun menjelaskan, “Pak cik jangan risau,” ujarnya semacam meredakan ketegangan yang berpeta pada wajahku yang terpaksa memandu jauh dari biasa. Tiba di hospital, puas aku berpusing mencari  parkir. Aku bernasib baik, tiba di hujung barisan, sebuah Volvo bergerak keluar. Hatiku lega, jika tidak, aku terpaksa bergerak keluar dan tidak tahu lagi di mana tempat untuk parkir.

“Pak cik jangan risau,” ujarnya lagi sambil tersenyum. ”Bawa bertenang, sebagai pakar darah, saya minta minggu pertama  pak cik ambil lapan biji sehari, Minggu kedua, empat biji sehari, minggu ketiga dua biji  dan minggu keempat sebiji sehari. Habis tu datang jumpa saya lagi, okay?”

“Ubat apa tu doktor?”

“Saya akan beri ubat terkawal, Triosolone tablet.” Doktor berusia empat puluhan itu mencatat sesuatu dalam buku rekod baru Hospital AP.

“Baik doktor.”  Aku menghela nafas panjang. Wajah doktor berkulit putih  kuning itu kutatap dengan segunung harapan.

Sebulan kemudian aku datang lagi. Setelah sampel darah diambil, aku bersabar menunggu dengan penuh debar.

Doktor berbaju putih dan bertali leher merah dengan ceria menerima kedatanganku. Setelah menatap skrin komputer dan menekan beberapa butang di atas papan kekunci, dia memandang aku sambil berkata, “Berita baik untuk pak cik,” ujarnya lalu terhenti seketika. “Platelet pak cik sudah naik kepada bacaan 100. Ini sudah okey untuk usia macam pak cik.”

“Alhamdulilah,” ucapku lalu mengurut dada.

“Lepas ni pak cik boleh teruskan dengan sebiji sehari.” Doktor itu bersuara yakin. “Teruskan hingga tiga bulan, kemudian datang ke unit hematologi lagi.”

“Terima kasih doktor, “ ujarku sebelum bangun. Namun tidak lupa aku sempat bertanya, “Saya perlu sambung pengambilan ubat tibi?”

“Mesti,” balasnya serius. “Pak cik perlu teruskan rawatan sehingga sembuh.” Doktor itu terdiam sebentar sebelum meneruskan. “Saya akan beri saranan tentang ubat tibi yang perlu pak cik ambil. Perlu sikit penyesuaian dengan keadaan fizikal pak cik.”

Aku mengangguk. Tidak perlu aku menyoal tentang kesan ubat tibi telah merubah kedudukan plateletku. 

 

Glosari

Platelet:  juga dikenali sebagai darah kuning (berdasarkan komunikasi penulis dengan doktor)

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (17) #komsas (2) #penulis (6) #penulisbaharu (19) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (16) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (4) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (11) dbpcawangansabah (8) dbpcawangansarawak (22) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Esei (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Puisi Tradisional (2) rindu (3) sajak (8) Sarawak (3) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Singa Watan yang Mengaum Lantang
Puisi

Singa Watan yang Mengaum Lantang

  • 9 Jun 2024
  • 57
  • 5
جيوا
Puisi Moden

جيوا

  • 20 April 2024
  • 4
Pasar Kata
Puisi

Pasar Kata

  • 7 Oktober 2024
  • 225
  • 4.7
Mohd Kasim Mahmud: Kritis Berkarya Pelbagai Tema
Tokoh

Mohd Kasim Mahmud: Kritis Berkarya Pelbagai Tema

  • 5 November 2025
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP