PENULIS itu sudah lama meninggalkan kita. Aku mengenalinya dengan Sami Mekong. Azizi menghadiahkan aku Sami Mekong. Sebelum aku membaca Sami Mekong, aku langsung tidak mengenali siapakah Azizi Haji Abdullah? Bahkan namanya pun tidak pernah aku dengar. Mungkin juga kerana pada ketika itu aku masih terlalu mentah. Masih lagi muda remaja dan baru berjinak-jinak dengan dunia bacaan dan dunia perbukuan, jauh sekali untuk menjejakkan kaki ke dunia sastera.
Walaupun berbeza realitinya, aku membayangkan bahawa aku benar-benar berpeluang menemuinya lalu dihadiahkan kepadaku Sami Mekong itu. Cerita-cerita sebegini selalu hadir melalui nukilan penulis mapan yang sama-sama bergelumang dalam kancah sastera dan dunia perbukuan. Mereka bertemu dan berkumpul di mana-mana tempat tumpuan penulis, lalu memesan secawan kopi dan melanjutkan perbualan sehingga tidak menyedari masa sudah memintas mereka. Mereka berbicara tentang karya masing-masing dan perkembangan semasa dunia sastera tanah air, bertukar-tukar pandangan dan akhirya bertukar hasil karya penulisan.
Aku mendapati buku itu tiba-tiba muncul sebaik sahaja aku tersedar daripada tidur. Saat aku menggenyeh-genyeh mataku yang kuyu dan dalam keadaan mamai, aku melihat buku itu berada di kepala katil, berhampiran bantal tidurku. Seperti rutinku sebelum melelapkan mata, aku membaca beberapa helaian daripada mana-mana buku dan ia boleh terjadi kepada Sami Mekong.
Sebelum ini aku mengenali Sami Mekong sebagai sebuah novel. Bertahun-tahun aku menganggapnya begitu, sehinggalah aku membeli sebuah lagi karya gemulah Azizi iaitu Latifah Rabbaniah, barulah aku tahu bahawa ia bermula dengan sebuah cerita pendek. Sami Mekong dijadikan cerita pembukaan kepada karya Azizi itu.
Azizi mentransformasikan semula cerpennya dan terbukti berjaya. Cerpen Sami Mekong dimuatkan pada penghujung sebagai satu bab dalam novel Sami Mekong. Ini menunjukkan Azizi terlebih dahulu membawa pengakhiran cerita Sami Mekong iaitu saat Mekong kembali kepada fitrah dan bersyahadah setelah jatuh cinta, terlanjur dan ingin bertanggungjawab atas lakunya kepada Rohani, barulah cerita-cerita awal novel Sami Mekong seperti dirinya terpisah daripada daripada adik beradiknya kemudiannya dia dibesarkan oleh Tok Tam serta membesar sebagai seorang sami.
Umur Sami Mekong sudah terlalu tua, tapi ceritanya masih segar seperti baru dilahirkan. Melalui cerita yang termuat dalam Latifah Rabbaniah itu, Sami Mekong kembali menyapaku setelah lama meninggalkan aku. Bukanlah niatku untuk mengulas semula cerita itu, tapi ternyata Sami Mekong masih segar dalam ingatan meskipun aku hanya berpeluang membaca keseluruhan ceritanya sekali sahaja. Sami Mekong menjadi langka nadir dengan sendirinya, dan amat sukar untuk ditemui. Aku tidak menyalahkan sesiapa dan Sami Mekong tidak perlu menyalahkan dirinya atas nilaian yang tinggi diletakkan kepadanya.
Pernah aku mengharapkan agar Sami Mekong hadir semula dengan wajah baharu sebagaimana kebanyakan karya penulis mapan yang kembali diberikan nafas baharu. Kehadiran yang didambakan oleh pencinta-cinta Azizi. Pencinta kepada karya nukilannya. Tapi sayangnya, impian itu belum terlaksana dan sehingga ke hari ini Sami Mekong tidak mampu berwajah baharu. Masih lagi mengekalkan wajahnya yang lama, nadir dan bernilai tinggi itu.
Aku tidaklah menganggap Sami Mekong dihadirkan dalam dunia sastera oleh Azizi khusus untuk aku. Sami Mekong bukan milik mutlak diriku, sebaliknya untuk dikongsikan kepada semua, kepada ribuan pencintanya. Selain nadir, nilainya yang mahal jika dibandingkan dengan kemampuan kewangan menjadikan Sami Mekong tidak berjaya dimiliki. Kini aku tidak lagi mahu terus-menerus berharap sama ada dengan wajah lama atau wajah baharu yang seakan-akan sukar direalisasikan itu.
Pada saat aku merinduinya, aku hanya mampu mengenangkan perjalanan ceritanya yang berbalam-balam kesamaran di fikiranku. Seterusnya menjadikan ia sebagai satu medan dakwah dan pentarbiahan diri biarpun ia lahir melalui jalan kreativiti. Aku mencari sumber-sumber penceritaannya melalui media massa biarpun ia hanya berupa coretan dan komen-komen pembaca yang pernah bersama terjun ke dalam cerita.
Sami Mekong menjadi sebuah karya yang menaikkan nama Azizi dan pernah dianggap sebagai karya yang kontroversi kerana berani menjadikan agama sebagai latar belakang penceritaannya selain kisah cinta. Namun kisah cinta itu tidak berakhir dengan sebuah perkahwinan apabila Mekong mendapat tahu bahawa kekasihnya, Rohani, ialah adik kandungnya yang terpisah sejak kecil.
Pada suatu pagi yang hening, aku melihat Mekong keluar dari ceritanya dan memberitahu aku jangan biarkan ceritanya hilang lenyap daripada dunia sastera amnya. Ini kerana kemungkinan anak muda yang baru berjinak-jinak dengan karya Azizi hanya mampu mengenali penulis itu melalui beberapa buah karyanya yang lain dan masih lagi dengan mudah didapatkan di pasaran seperti Tukcai, Ayahanda, Pendoa yang Ikhlas dan Seorang Tua di Kaki Gunung. Tapi sejauh manakah mereka mengenali Sami Mekong?
Bahkan karya itu akan lebih dikenali apabila dibawa ke pentas layar perak atau dijadikan sebuah drama berantai seperti Ayahanda yang dapat dinikmati ceritanya melalui kaca televisyen di rumah masing-masing. Mereka tidak perlu turun ke pasar-pasar karat, meninjau dan membelek satu per satu buku yang ada semata-mata untuk mencari senaskhah karya Azizi. Apabila ditayangkan di kaca televisyen, mereka hanya perlu menunggu masa siaran dan menekan butang alat kawalan televisyen.
Aku ingin menjadi seorang yang benar-benar menghargai sebuah karya. Aku tidak mahu membaca sebuah cerita dengan sebelah mata dan melihat ia sebagai semata-mata cerita dan melayani emosi serta perasaan. Apabila cerita ditamatkan, maka semuanya turut berakhir dan tiada apa-apa input yang boleh digali dan diselidiki. Modifikasi yang dilakukan oleh Azizi kepada Sami Mekong daripada ‘Happy Ending’ dalam cerpen iaitu, apabila Rohani akhirnya berjaya mengislamkan Mekong berubah menjadi ‘Sad Ending’ dalam novel iaitu, apabila Rohani dan Mekong tidak jadi berkahwin apabila didapati mereka sebenarnya adik-beradik. Akhirnya Mekong membawa diri dan hilang begitu sahaja setelah meninggalkan sekeping nota.
Sekalipun pendekatan modifikasi daripada cerpen kepada novel mempunyai kelemahannya tersendiri apabila penulis dilihat seolah-olah ketandusan idea, mewujudkan bermacam versi cerita malah boleh menghilangkan keaslian teks, ia tetap mempuyai nilai positifnya dalam mengembangkan sesuatu cerita. Malah aku sangat tertarik kepada pendekatan Azizi kepada karyanya, Ayahanda, yang asalnya ialah kumpulan cerpen tetapi mampu digarap dan disusun seolah-olah membentuk sebuah novel.
Kewujudan konsep yang hampir sama boleh didapati melalui beberapa hasil karya penulis lain. Cerpen-cerpen yang dikumpulkan dilihat seperti saling berkaitan atau bersambung-sambung. Setiap cerpen itu mempunyai cerita dan keistimewaannya tersendiri. Inilah seni dalam berkarya biarpun mungkin akan ada yang tidak bersetuju dengan pandangan aku.
Namun jika ia tidak berjaya digarap dengan baik, sekali lagi akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca. Pembaca akan merasakan seolah-olah dirinya dihidangkan dengan idea yang sama dan berulang-ulang. Memang terdapat situasi sebegitu. Maka di sini perlunya plot, teknik dan gaya bahasa yang baik memainkan peranan. Malah idea yang dibawa penulis bukan suatu yang diulang-ulang daripada cerpen-cerpen sebelumnya. Ada nilai terselit dalam ceritanya meskipun ia masih dalam skop penceritaan yang sama.
Sami Mekong tidak akan sekali-kali melupakan pembacanya. Bahkan dia tidak akan menyombongkan diri walaupun dianggap antara karya terbaik yang pernah dihasilkan Azizi. Sami Mekong akan bertegur sapa dengan Tukcai, Tukya, Suriati, Dee, Alias dan Sinappapal. Ia menjadi tanda jalinan persahabatan dan ikatan persaudaraan antara watak-watak dalam semua karya Azizi. Biarpun Sami Mekong semakin menyepi dan tidak dikenali kerana tidak mampu muncul dengan wajah baharu, mungkin watak-watak lain yang ada mampu menggantikan dirinya dan menarik pembaca untuk mengenali penulis bernama Azizi Haji Abdullah.